Bagaimana mengerjakan Solat Sunat Fajar? Artikel ini akan memberikan panduan ringkas bagaimana untuk mengerjakan solat sunat fajar
Waktu Solat
Solat sunat fajar ialah satu jenis solat sunat yang yang didirikan tatkala masuknya waktu solat fardhu subuh (terbitnya fajar sadiq) dan berakhir apabila terbitnya matahari pada hari tersebut.
Walaupun waktunya lumayan panjang, namun waktu terbaik untuk mengerjakannya ialah sebelum menunai solat fardhu subuh. Hal ini demikian kerana para ulama’ telah mengkategorikan solat ini sebagai salah satu solat sunat rawatib yang mengiringi solat-solat fardhu.
Lafaz Niat Solat Sunat Fajar
Seperti solat-solat niat sunat yang lain, solat sunat fajar juga perlu didirikan dengan niat yang betul. Lafaz niat bagi solat sunat fajar ini ialah:
Bacaan rumi:
Usolli sunnatal fajri rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku menunaikan solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah Taala.
CARA SOLAT SUNAT FAJAR
Dibawah ini merupakan cara melakukan solat sunat fajar mengikut langkah yang betul
Rakaat Pertama
1. Berdiri Tegak dan Niat di dalam hati
Sebelum mengangkat takbir, lintaskan niat untuk melakukan solat sunat fajar di dalam hati
Niatnya adalah:
Bacaan rumi: Usolli sunnatal fajri rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku menunaikan solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah Taala.
2. Takbiratul Ihram
Takbiratul Ihram dengan mengangkat kedua-dua tangan sambil menyebut
“Allahu akbar”
Maksud: Allah Maha Besar
Kemudian perlu meletakkan kedua tangan pada bahagian atas pusat dimana tangan kanan perlu diatas tangan kiri.
3. Membaca Doa Iftitah
Doa ini sunat dibaca. Boleh sahaja terus membaca surah Fatihah tanpa membaca doa ini.
Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.
4. Membaca Surah Al-Fatihah
Setelah membaca doa iftitah, anda perlulah membaca surah al-fatihah
Maksudnya; “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”
5. Membaca surah atau mana-mana ayat pilihan di dalam al-quran
Disunatkan membaca ayat 136 dari surah al Baqarah seperti dibawah. Jika tidak ingat, boleh membaca ayat-ayat di dalam Al-Quran.
Maksudnya: Katakanlah (wahai orang mukmin): “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak-cucunya dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi oleh Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.”
6. Rukuk sambil bertakbir (lafaz Allahu akbar).
Bacaan rukuk:
“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.
Nota: Kedua-dua tangan kita terletak atas lutut kedua-dua kaki.
7. I’tidal sambil mengucapkan,
“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”
Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
Nota: Bediri tegak dan kedua-dua tangan berada di sisi.
8. Sujud sambil bertakbir.
Bacaan sujud:
“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Nota: Kedua-dua tapak tangan terletak atas lantai/sejadah separas bahu.
9. Duduk antara dua sujud sambil bertakbir.
Bacaan duduk antara dua sujud:
“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
Nota: Kedua-dua tangan terletak atas kedua-dua peha.
10. Sujud kembali sambil bertakbir.
Bacaan sujud sama seperti di atas.
Rakaat Kedua
1. Berdiri daripada sujud sambil bertakbir.
2. Membaca surah al-Fatihah sehingga habis.
Bacaan seperti pada rakaat pertama
Nota: Tangan ketika qiyam adalah di bawah dada.
3. Membaca surah atau ayat-ayat lain di dalam al-Quran
Pada rakaat kedua pula setelah membaca surah Al-Fatihah, kita disunatkan pula untuk membaca ayat 64 dari surah Ali-Imran. Jika tidak mampu, boleh membaca ayat atau surah lain di dalam Al-Quran.
Maksudnya: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan di antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah melainkan Allah dan tidak kita menyekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan melainkan Allah.” Jika mereka berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa kami adalah orang yan berserah diri (kepada Allah).”
4. Rukuk dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
5. I’tidal dan bacaanya sama seperti rakaat pertama
6. Sujud dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
7. Duduk di antara dua sujud dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
8. Sujud balik semula dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
9. Duduk Tahiyat Akhir
Bacaan untuk tahiyat akhir adalah:
“Attahiyatu mubarakatus solawatut toyyiba tulillah, assalamualaika ayyuhan nabi yu warah matullahi wabarakatuh, assalamualaina wa ‘ala ibadillah hissolihin. Ashhadualla ilaha illallah wa ashhadu anna muhammadar rasulullah. Allahumma solli ‘ala muhammad wa ‘ala ali muhammad, kama sollai taala ibrahim wa ‘ala ali Ibrahim. Wa barik ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad, kama barak taala Ibrahim wa ‘ala ali ibrahim fil ‘alamina innaka hamidum majid.”
Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.
10. Memberi Salam
Kedua-dua saranan ayat yang dibaca pada selepas Surah Al-fatihah ini ialah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ibnu Abbas RA.
Walau bagaimanapun, sekiranya kita sukar untuk membaca ayat seperti yang disarankan di atas, kita disunatkan juga untuk membaca:
- Surah Al-Insyirah.
- Surah Al-Fil.
- Surah Al-Kafirun.
- Surah Al-Ikhlas.
Perlakuan ini pula boleh disandarkan kepada sebuah hadis Riwayat daripada Abu Hurairah RA.
Doa Selepas Solat
Setelah selesai berwirid dan berzikir, kita disunatkan untuk berdoa kepada Allah SWT kerana antara waktu yang mustajab doa ialah doa selepas solat.
Antara doa yang boleh dibaca ialah:
Bacaan rumi:
Ya hayyu ya Qayyum ya zaljalali wal ikram. As aluka an tuhyiya Qalbi binuri ma’rifatik. ya Allah ya Allah ya Ar-hamar rohimin
Maksudnya: Wahai yang hidup selama-selamanya, wahai yang mempunyai segala kemuliaan, aku memohon kepada-Mu supaya menghidupkan hatiku dengan cahaya makrifah-Mu. Ya Allah Ya Allah Ya Arham Al-Rahimin.
Namun, jika kita tidak mampu untuk membaca doa ini, kitab boleh berdoa dengan apa-apa doa yang baik.
Kelebihan Solat Sunat Fajar
Terdapat banyak kelebihan solat sunat fajar berbanding dengan solat-solat sunat yang lain, antaranya ialah solat sunat ini merupakan solat sunat yang paling utama dalam kategori solat sunat rawatib.
Selain itu, terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang kelebihan solat sunat fajar ini, antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina A’isyah RA:
لَمْ يَكُنْ النبي صلى الله عليه وسلم على شيء مِنْ النوافلِ أَشَدَّ منه تَعَاهُدًا على رَكْعَتِي الفجرٍ
Maksudnya: Tidak pernah dilihat Nabi Muhammad SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar
Antara kelebihan solat sunat ini yang lain ialah ia merupakan solat sunat yang paling diambil berat oleh Nabi Muhammad SAW. Hal ini demikian kerana telah warid sebuah hadis dari Sayyidatina A’isyah RA tentang betapa Nabi Muhammad SAW mengambil berat tentang solat sunat fajar ini.
رَكْعَتا الفجرِ خيرٌ من الدنيا وما فيها
Maksudnya: Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya
Kesimpulan
Justeru, apa yang dapat disimpulkan disini ialah seharusnya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW mengambil berat tentang ibadat sunat ini kerana selain merapatkan kita dengan ajaran dan sunnah Nabi, ia juga dapat menjadi saham pahala kita untuk dibawa ke akhirat kelak di mana tiada seorang pun manusia di dunia ini yang mampu menjamin keselamatannya di akhirat kelak.
Selain daripada mendirikan perkara-perkara fardhu yang telah diwajibkan ke atas setiap Muslim, ibadat-ibadat sunat juga penting untuk diamalkan kerana mengikut pandangan para ulama’, ibadat-ibadat sunat perlu didirikan untuk menampung kelompongan dalam ibadat-ibadat fardhu seharian. Selain itu, antara hikmahnya juga ialah untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW dan juga mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT.
Terlalu banyak ibadat yang boleh dijadikan contoh, antaranya ialah solat-solat sunat yang telah warid dari hadis dan pengamalan salafus-soleh. Dalam hal solat-solat sunat pula, terdapat satu solat sunat yang sentiasa didirikan oleh Nabi Muhammad SAW semasa hayat Baginda iaitu solat sunat fajar.
Selain itu, solat merupakan pra-syarat yang utama untuk menjadi seorang yang berjaya. Ini kerana Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Mukminun ayat 1:
}}قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ{{
Maksudnya: Sesungguhnya, telah berjaya orang yang beriman
Oleh itu, ayuhlah kira bekerja keras menggandakan saham akhirat dengan memperbanyakkan solat-solat sunat agar kita lebih dekat dengan Allah SWT. Namun, walaupun solat-solat sunat terdapat banyak ganjaran dan imbalan daripada Allah SWT seperti yang telah disebut di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, janganlah pula kita melupakan dan memandang enteng pada solat-solat fardhu kerana smestinya, solat fardhu melebihi sekelian solat-solat sunat dari segi pahala dan fadhilatnya.
Wallahu a’lam.
Rujukan dan bahan bacaan lanjut:
- Fiqh Al-Ibadat ‘Ala Mazhab Al-Syafie, Hajjah Durriyyah Al-Ghaiti.
- Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia.
Cara solat sunat yang lain