Skip to content

Puasa Ramadhan: Pengenalan dan Panduan Lengkap

puasa ramadhan

Bagaimanakah untuk melakukan puasa di bulan ramadhan berserta niat-nya?

Artikel ini akan menghuraikan secara lengkap berkenaan puasa ramadhan, niat-nya, kelebihan dan amalan sunat ketika berpuasa.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Pengertian Ramadhan dan Puasa
  3. Jenis Puasa
  4. Dalil Puasa Fardhu Ramadhan
  5. Rukun, Syarat Wajib dan Syarat Sah Puasa
  6. Mengenai niat puasa
  7. Golongan yang dibolehkan tidak berpuasa
  8. Perkara yang mempengaruhi puasa
  9. Amalan Sunat Ketika Berpuasa

PENGENALAN


Ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan tuntutan fardu ‘ain yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim yang mukalaf. Ibadah puasa di bulan Ramadan ini telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam sejak bulan Ramadan tahun ke-2 Hijrah. [1]

Ibadah puasa yang fardu ini telah diperintahkan khusus oleh Allah SWT dan bulan Ramadan telah ditetapkan sebagai bulan khas untuk dilaksanakannya. Oleh itu, seorang Muslim perlulah berusaha memahami aspek asas berkaitan fiqahnya bagi memastikan ibadah ini menjadi ibadah yang sempurna seterusnya mengharapkan penerimaan oleh Allah SWT.

PENGERTIAN RAMADHAN DAN PUASA


Ramadan ialah bulan yang kesembilan daripada beberapa bulan yang terdapat dalam pengiraan kalendar Hijrah. Perkataan Ramadan (رمضان) itu sendiri bermaksud panas yang sangat terik. Hal ini kerana kebiasaan cuaca di Tanah Arab pada bulan Ramadan adalah berkeadaan sangat panas, kering, dan terik. Maka ibadah puasa dalam bulan ini diibaratkan seperti membakar dosa-dosa orang yang berpuasa.

Bukan sahaja pensyariatan puasa yang menjadi keistimewaan utama dalam bulan ini, malah terdapat banyak peristiwa besar yang lain turut berlaku semasa Ramadan. Ini membuktikan betapa besarnya nilai bulan ini yang juga disebut sebagai penghulu segala bulan kepada kehidupan Muslim. Antara beberapa peristiwa tersebut; [2]

  • Kemenangan umat Islam dalam Perang Badar tahun ke-2 Hijrah. Jumlah tentera Islam ketika itu hanya 313 orang dan berjaya menentang tentera musuh yang jauh lebih ramai melebihi 900 orang.
  • Peristiwa meruntuhkan semua berhala di Kaabah dan sekitar Kota Makkah pada tahun ke-7 Hijrah.
  • Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8 Hijrah kesan daripada pencabulan Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan kaum Quraisy pada tahun ke-6 Hijrah.
  • Tariq bin Ziyad berjaya kuasai Kota Andalusia pada tahun 91 Hijrah yang menjadi pencetus kepada bertapaknya Islam di Eropah.
  • Pembukaan Ammuriah yang berlaku pada tahun 223 Hijrah.
  • Salahuddin al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib pada tahun 584 Hijrah yang memberikan mereka berjaya menguasai semula Benteng Shafad.
  • Pembukaan Bosnia Herzegovina pada tahun 791 Hijrah.

Menyelusuri jalan peristiwa besar yang berlaku ini, maka tidak hairanlah sekiranya golongan Salaf terdahulu sangat menanti kedatangan Ramadan dengan penuh semangat dan akan menangisi pemergiannya. Ramadan mempunyai satu nilai yang cukup mendalam kepada kekuatan jiwa mereka, mereka menjalani Ramadan sebagai sebuah madrasah jihad yang bukan sahaja menentang hawa nafsu malah sebagai tempat untuk mencari dan menagih pertolongan daripada Allah SWT.

Manakala menyentuh pengertian puasa pula, ia disebut sebagai ash-shiyam (الصيام) ataupun ash-shaum (الصوم) dalam bahasa Arab. Secara pengertian bahasa, puasa boleh dimaksudkan dengan erti menahan diri. Manakala dari segi istilah syarak, puasa membawa pengertian menahan diri daripada makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari.

JENIS PUASA DALAM ISLAM


Puasa dapat dikelaskan kepada dua jenis, iaitu puasa yang diperintahkan oleh syarak dan puasa yang dilarang oleh syarak.

PUASA DIPERINTAHKAN SYARAK

Puasa wajib (fardu):

1. Diwajibkan oleh Allah: Puasa bulan Ramadan

2. Diwajibkan oleh Hamba: Puasa nazar, Puasa Kafarah, Puasa Qada

Puasa sunat:

1. Sunat mutlaq: Puasa yang tiada pengkhususan waktu oleh dalil

2. Sunat muqayyad: Puasa yang ada pengkhususan waktu oleh dalil, seperti Puasa enam hari Syawal, Puasa Isnin dan Khamis, Puasa hari ‘Arafah, Puasa hari Tasu’a, Puasa Ayyamul Bidh (Puasa hari putih), dan Puasa ‘Asyura

PUASA DILARANG SYARAK

Puasa haram:

Puasa pada hari raya ‘Aidilfitri dan ‘Aidiladha, dan Puasa pada hari Syak (hari ke-30 bulan Syaaban)

Puasa makruh:

Puasa hari ‘Arafah bagi mereka yang mengerjakan haji

DALIL PUASA FARDHU RAMADHAN


Perintah anjuran berpuasa di bulan Ramadan sebagai satu daripada ibadah yang fardu adalah merupakan perintah yang wajib bagi setiap Muslim. Dalil-dalil tentang kewajipan puasa fardu Ramadan adalah;

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [3]

Hadis Rasulullah SAW,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضى الله عنهما قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ “

“Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Islam dibangun atas lima (perkara), Syahadah La ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji, dan puasa Ramadan.” [4]

Hadis daripada Talha bin ‘Ubaidillah RA, yang menceritakan bahawa ada seorang Arab Badwi yang berambut kusut datang bertemu dengan Rasulullah SAW lalu bertanya tentang puasa kepada baginda, sebagaimana berikut;

” فَقَالَ أَخْبِرْنِي مَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَىَّ مِنَ الصِّيَامِ فَقَالَ ‏”‏ شَهْرَ رَمَضَانَ، إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا ‏”‏‏

“Maklumkan kepadaku mengenai puasa apa yang Allah wajibkan kepadaku, Baginda SAW bersabda, puasa sebulan Ramadan, melainkan jika engkau ingin berpuasa lebih sebagai puasa sunat.” [5]

RUKUN, SYARAT WAJIB DAN SYARAT SAH PUASA


Rukun Puasa

1. Niat

2. Menahan diri daripada makan dan minum, dan daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar (fajar shodiq) hingga terbenamnya matahari.


Syarat Wajib Puasa

1. Islam

Ibadah puasa hanya disyariatkan bagi umat Islam sahaja, adapun apabila seseorang kafir masuk Islam pada bulan Ramadan, maka dia wajib melaksanakan puasa Ramadan.

2. Baligh

Anak kecil yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, namun adalah sangat digalakkan untuk mengajari mereka berpuasa dari kecil kerana ini bertepatan dengan anjuran dalam sebuah hadis Rasulullah SAW.

3. Berakal

Orang gila tidak diwajibkan berpuasa bahkan tidak wajib menggantikan puasanya ketika dia masih gila.

4. Bermukim

Orang yang sedang dalam safar tidak wajib berpuasa malah mereka diberikan pilihan sama ada untuk terus berpuasa ataupun tidak semasa safar. Jika memilih tidak berpuasa, mereka wajib menggantikan bagi hari puasa yang ditinggalkan tersebut.

5. Suci daripada haid dan nifas

Wanita dalam keadaan tidak suci kerana haid atau nifas tidak wajib berpuasa, tetapi mereka wajib menggantikan hari yang ditinggalkan tersebut.

6. Mampu berpuasa

Islam tidak membebankan umatnya yang uzur. Puasa tidak wajib bagi orang yang sakit dan tidak mampu berpuasa, namun mereka wajib menggantikan semula sebanyak hari yang mereka tinggalkan itu.


Syarat Sah Puasa

1. Islam

2. Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)

3. Suci daripada haid, nifas, dan wiladah

4. Berpuasa pada waktunya

MENGENAI NIAT PUASA


Niat menjadi pembeza antara berpuasa dengan menahan diri daripada makan dan minum kerana diet. Niat puasa merupakan antara rukun kepada kesempurnaan puasa Ramadan dan juga puasa sunat. Setiap Muslim yang ingin menyempurnakan ibadah puasa baik fardu mahupun sunat adalah wajib berniat untuk berpuasa. Imam an-Nawawi RH menyatakan bahawa;

“Tidak sah puasa seseorang kecuali dengan niat. Niat itu letaknya di dalam hati, tidak disyaratkan untuk diucapkan dan pendapat ini tidak terdapat perselisihan dalam kalangan para ulama.” [6]

Pendapat ‘ulama mazhab as-Syafi’i yang lain dalam hal ini, antaranya;

“Pertama niat, iaitu rasa ingin berpuasa, tempat niat adalah di hati, tidak cukup dengan lisan dan tidak disyaratkan melafazkan niat. Dalil wajib niat sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya tiap amalan itu bergantung pada niat. Hadis riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907).” [7]

Daripada penerangan ini, niat puasa tidak terikat pada lafaz tertentu, sebaliknya cukup terlintas di dalam hati untuk berpuasa pada keesokkan harinya dan itu sudah memadai dianggap sebagai berniat puasa. Malah ada pendapat ulama juga yang mengatakan apabila seseorang bangun untuk bersahur, maka itu sudah cukup dikira sebagai berniat kerana seseorang tidak akan bangun bersahur melainkan ada rasa untuk berpuasa.

Walaupun begitu, tidak menjadi kesalahan bahkan sangat baik sekiranya kita dapat melafazkan niat puasa yang sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

LAFAZ NIAT PUASA RAMADHAN


Antara contoh lafaz niat puasa yang boleh digunakan adalah seperti;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ اَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى

Nawaitu shauma ghadin ‘an ada ‘i, fardhi syahri Ramadana hazihis sanati Lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

Perbincangan Seputar Niat Puasa

Adalah sangat dianjurkan untuk berniat puasa yang wajib pada waktu malam hari bagi puasa yang ingin dilakukan pada keesokannya. Hal ini sebagaimana disebut dalam sebuah hadis daripada Saidatina Hafsah Ummul Mukminin RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

‏ “ مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ “

“Siapa yang tidak berniat puasa pada waktu malam sebelum fajar maka tiada puasa baginya.” [8]

Ibn ‘Umar, Jabir bin Yazid daripada kalangan sahabat, al-Nashir, al-Muayyid Billah, Imam Malik, al-Laits, dan Ibn Abi Dzaib, mereka mewajibkan niat puasa dilakukan pada malam hari tanpa membezakan sama ada untuk puasa Ramadhan ataupun sunat.

Manakala Imam as-Syafi’i, Imam Ahmad bin Hanbal semisalnya mengharuskan niat pada malam hari khusus hanya untuk puasa Ramadhan dan tidak untuk puasa sunat. Bagi puasa sunat, seseorang boleh sahaja berniat pada waktu malam atau siang selagi mana dia tidak makan dan minum. Keadaan ini ada contohnya daripada Rasulullah SAW, dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Saidatina ‘A’isyah Ummul Mukminin RA;

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، – رضى الله عنها – قَالَتْ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ ‏”‏ يَا عَائِشَةُ هَلْ عِنْدَكُمْ شَىْءٌ ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عِنْدَنَا شَىْءٌ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَإِنِّي صَائِمٌ ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأُهْدِيَتْ لَنَا هَدِيَّةٌ – أَوْ جَاءَنَا زَوْرٌ – قَالَتْ – فَلَمَّا رَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أُهْدِيَتْ لَنَا هَدِيَّةٌ – أَوْ جَاءَنَا زَوْرٌ – وَقَدْ خَبَأْتُ لَكَ شَيْئًا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ مَا هُوَ ‏”‏ ‏.‏ قُلْتُ حَيْسٌ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ هَاتِيهِ ‏”‏ ‏.‏ فَجِئْتُ بِهِ فَأَكَلَ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ قَدْ كُنْتُ أَصْبَحْتُ صَائِمًا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ طَلْحَةُ فَحَدَّثْتُ مُجَاهِدًا بِهَذَا الْحَدِيثِ فَقَالَ ذَاكَ بِمَنْزِلَةِ الرَّجُلِ يُخْرِجُ الصَّدَقَةَ مِنْ مَالِهِ فَإِنْ شَاءَ أَمْضَاهَا وَإِنْ شَاءَ أَمْسَكَهَا‏.

“Daripada ‘A’isyah Ummul Mukminin RA katanya, pada suatu hari Rasulullah SAW bertanya, “Wahai ‘A’isyah, adakah kamu mempunyai makanan?” Lalu saya menjawab, “Wahai Rasulullah, kita tidak mempunyai apa-apa.” Nabi berkata, “Jika begitu, saya berpuasa.” Lalu Baginda SAW keluar dan kami diberikan hadiah atau dikunjungi orang yang datang menziarah. Apabila Rasulullah SAW pulang, saya berkata, “Wahai Rasulullah, kami diberikan hadiah atau dikunjungi orang dan saya telah simpan sedikit makanan untukmu.” Baginda bertanya, “Apa dia?” Aku menjawab, “Hais (kurma diuli dengan tepung dan minyak sapi).” Nabi bersabda, “Bawa ke mari.” Lalu Baginda makan kemudian Baginda berkata, “Sebenarnya pagi tadi saya berpuasa.” Talhah berkata, “Saya menyampaikan hadis ini kepada Mujahid lalu beliau berkata: Perkara ini seperti orang yang mengeluarkan duit untuk sedekah, jika dia ingin dia teruskan, jika tidak dia tahan.” [9]

Jika seseorang terlupa berniat puasa yang wajib di malam hari, maka dia harus segera melaksanakan niatnya apabila kembali ingat. Niat puasa yang wajib harus dilakukan pada setiap malam bulan Ramadhan dan ini adalah pendapat Imam as-Syafi’i. Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad pula berpendapat puasa tetap juga sah sekiranya seseorang ingin berniat puasa untuk sebulan Ramadhan sekaligus. 

LAFAZ NIAT PUASA SEBULAN


Bagi mereka yang ingin berniat untuk sebulan Ramadan, antara contoh lafaz niat yang boleh diguna pakai adalah seperti;

ﻧَﻮَﻳْﺖُ ﺻَﻮْﻡَ ﺷَﻬْﺮِ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥَ كُلِّهِ ﻟِﻠَّﻪِ ﺗَﻌَﺎﻟَﻰ

Nawaitu shauma syahri Ramadana kullihi Lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadan kerana Allah Ta’ala.”

GOLONGAN YANG DIBOLEHKAN TIDAK BERPUASA


Islam tidak membebankan umatnya yang tidak mampu untuk menunaikan puasa sebulan Ramadan kerana mereka boleh dikecualikan daripada berpuasa. Allah SWT memberikan keringanan (rukhsah) kepada mereka dan sebagai bukti Allah yang bersifat Maha Penyayang lagi Maha Pengasih terhadap sekalian hamba-Nya.

Golongan yang mendapat pengecualian untuk tidak berpuasa boleh dibahagikan kepada dua bahagian, seperti mana berikut;

PERTAMA: Dikecualikan tapi wajib ganti semula apabila tiada halangan

  1. Orang yang sakit yang ada harapan sembuh
  2. Musafir

Firman Allah SWT,

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

“Maka siapa di antara kamu yang sakit, atau dalam safar, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.” [10]


KEDUA: Dikecualikan dan tidak perlu ganti semula apabila tiada halangan, tetapi perlu bayar fidyah

  1. Lelaki/Wanita tua yang tidak mampu berpuasa
  2. Orang sakit yang tiada lagi harapan sembuh
  3. Wanita hamil
  4. Wanita yang menyusukan anak

Firman Allah SWT,

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” [11]

PERKARA YANG MEMPENGARUHI PUASA


Semasa menunaikan ibadah puasa, beberapa tindakan yang bermain dalam kehidupan seharian perlu diambil perhatian kerana tanpa sedar ia mampu menjejaskan puasa yang ditunaikan.

Secara umumnya, perkara-perkara tersebut dapat dikategorikan kepada tiga keadaan yang utama, iaitu perkara yang membatalkan puasa, perkara yang makruh ketika berpuasa, dan perkara yang diharuskan semasa berpuasa (mubah).

Perincian terhadap perkara tersebut dapat dirumuskan seperti berikut;

perkara yang mempengaruhi puasa ramadhan 1
perkara yang mempengaruhi puasa ramadhan-2

AMALAN SUNNAH PUASA RAMADHAN


Untuk memastikan pelaksanaan ibadah puasa dapat dilakukan dengan lebih cemerlang, seorang Muslim seharusnya memahami beberapa amalan yang bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW ketika berpuasa. Beberapa amalan sunnah yang boleh dilaksanakan semasa mengerjakan ibadah puasa, antaranya;

a) Bersahur sebelum masuk waktu fajar

  1. Sahur merupakan satu amalan yang sangat dituntut oleh sunnah bagi mereka yang ingin berpuasa. Seseorang Muslim dituntut untuk berusaha bangun bersahur walaupun dengan seteguk air kerana keberkatan yang ada pada sahur sangat besar.
  2. Sahur dianjurkan untuk dilewatkan sehingga ke penghujung waktu sahur sebelum masuknya waktu fajar.

b) Berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala

  1. Mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala akan diampunkan dosa yang lalu.
  2. Di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama al-Rayyan, dikhususkan bagi mereka yang berpuasa untuk memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak.

c) Mempertingkatkan amalan kebajikan

  1. Memperbanyak bacaan al-Quran di siang dan malam hari bulan Ramadhan, sama ada membaca secara bersendirian ataupun bertadarus beramai-ramai.
  2. Menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa.
  3. Melakukan umrah di bulan Ramadhan, pahala seperti melaksanakan haji.

d) Memperbanyakkan doa ketika berpuasa

  1. Tiga doa yang mustajab tanpa syak, antaranya doa orang yang berpuasa.

e) Menyegerakan berbuka puasa apabila masuk waktu

  1. Seorang manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa.

f) Mulakan berbuka puasa dengan ruthob (kurma muda), jika tiada maka dengan tamar (kurma tua), jika tiada maka dengan air

  1. Menjadi kebiasaan Rasulullah SAW memulakan berbuka puasa dengan ruthob sebelum solat, tetapi jika tiada ruthob maka berbuka dengan tamar. Jika tiada tamar, maka Baginda berbuka dengan beberapa teguk air.

g) Membaca doa berbuka puasa

  1. Boleh membaca apapun doa yang membawa maksud berbuka puasa, namun doa berbuka puasa yang warid daripada Rasulullah SAW seperti mana yang diceritakan oleh Marwan ibn Salim al-Muqaffa’, bahawa Ibnu ‘Umar menyebut kebiasaan Rasulullah SAW apabila berbuka puasa, Baginda akan berkata;

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Zahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insya Allah

Maksudnya: “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah tetap pahala dengan izin Allah” [12]

h) Mempertingkatkan ibadah pada 10 malam terakhir bulan Ramadan

  1. Pada sepuluh malam terakhir Ramadan dijangkakan berlakunya satu malam yang cukup istimewa dan lebih baik daripada seribu bulan, iaitu Malam al-Qadar. Terlalu banyak berkat dan rahmat daripada Allah SWT bagi sesiapa yang berjaya menghidupkan malam ini.
  2. Menjadi kebiasaan Rasulullah SAW apabila masuk sahaja sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya.

i) Beriktikaf di masjid

  1. Melakukan iktikaf, iaitu duduk dalam masjid dengan niat untuk bermunajat kepada Allah SWT. Mereka yang kekal berada dalam keadaan berwuduk dan di tempat solatnya maka berpeluang mendapat keberkatan doa daripada para malaikat.

j) Mengeluarkan zakat fitrah

  1. Zakat fitrah adalah fardu kepada semua orang Islam dan wajib ditunaikan dalam bulan Ramadan. Zakat fitrah boleh dibayar pada bila-bila masa sepanjang bulan Ramadhan atau sebelum menunaikan Solat Sunat ‘Aidilfitri.

PENUTUP

Puasa bukan sahaja terhad kepada sebuah anjuran ibadah dalam agama, malah perintah puasa itu sendiri membawa erti yang signifikan ke arah mendidik seseorang insan menjadi seorang Muslim yang produktif. Islam mengajar umatnya secara menyeluruh daripada satu perintah ibadah sehingga ia merangkum pelbagai nilai-nilai baik yang menyentuh norma kehidupan manusia. 

Lihatlah bagaimana puasa dapat mendidik seorang hamba untuk mengawal hawa nafsunya dan berusaha memberikan ketaatan kepada tiap perintah Tuhan, sedang ganjaran yang cukup besar pula menanti mereka yang berjaya melaksanakannya. Melalui puasa juga seseorang akan belajar tentang erti sabar, bersyukur dengan nikmat, dan mendidik semua insan bersama merasai bagaimana keperitan si fakir miskin seterusnya bersama meringankan beban mereka melalui sumbangan zakat.

Tidak hairanlah jika Ramadan selalu disebut sebagai sebuah madrasah, madrasah yang akan menyucikan kembali jiwa dan roh mengenal hakikat sebagai hamba. Hamba yang wajib tunduk dan patuh semata-mata hanya kepada Allah SWT. Puasa seorang hamba adalah untuk Allah SWT. Oleh itu, hadis daripada Abu Hurairah RA ini wajar direnung sedalam-dalamnya, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda;

‏” كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ‏”‏

“Setiap amalan baik anak Adam pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Akulah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada wangian        kasturi.” [13]

Jenis Puasa yang lain

Puasa RamadhanPuasa Nazar
Puasa EnamPuasa Bulan Rejab
Puasa Hari AsyuraPuasa Hari Putih
Puasa Hari ArafahPuasa Ganti

RUJUKAN

[1] Imam asy-Syaukani dalam Nailul Authar, Kitab puasa, 245.

[2] Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Ramadhan al-Mubarak Fadhilat dan Hukum Semasa, 26-32.

[3] Surah al-Baqarah, ayat 183.

[4] Hadis riwayat Imam al-Bukhari. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Du’aa ukum Imaanukum, hadis no 8.

[5] Hadis riwayat Imam al-Bukhari. Sahih al-Bukhari, Kitab Puasa, Bab Puasa diwajibkan dalam Ramadan, hadis no. 1891.

[6] Imam an-Nawawi dalam Raudhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1/268.

[7] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji dalam Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 1/340.

[8] Hadis riwayat Imam an-Nasa’i. Sunan an-Nasa’i, Kitab Puasa, Bab Zikri Ikhtilaf al-Naaqilin li Khabar Hafsah fi zalik, hadis no. 2331. Hadis ini sahih menurut Syeikh al-Albani RH.

[9] Hadis riwayat Imam Muslim. Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Dibolehkan melakukan puasa sunat dengan niat di siang hari sebelum tergelincir matahari dan dibenarkan untuk berbuka puasa sunat tanpa sebab walaupun lebih baik baginya untuk meneruskannya, hadis no. 1154.

[10] [11] Surah al-Baqarah, ayat 184.

[12] Hadis riwayat Imam Abu Daud. Sunan Abu Daud, Kitab Puasa, Bab Ucapan pada waktu berbuka puasa, hadis no. 2357.

[13] Hadis riwayat Imam Muslim. Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Fadilat Puasa, hadis no. 1151.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + six =