Skip to content

Niat Puasa Bulan Rejab dan Kelebihan (Panduan Lengkap)

Puasa Bulan Rejab

Bagaimana melakukan Puasa Bulan Rejab dan niatnya?

Artikel ini akan menerangkan secara mudah berkenaan dengan Puasa Bulan Rejab serta kelibahannya.


Bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia di dalam Islam dan merupakan salah satu daripada bulan-bulan Haram. Bulan Haram ini terdiri daripada empat buah bulan iaitu bulan Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab.

Hal ini disebut di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. [Riwayat al-Bukhari (4054)]

Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh mengikut susunan bulan-bulan di dalam kalendar Islam. Ianya terletak di antara bulan Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.

Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, bulan ini dinamakan bulan Rejab kerana pada zaman Jahiliyyah, mereka meninggalkan peperangan bagi mengagungkan bulan ini.

Niat Puasa Bulan Rejab


Niat Puasa Bulan Rejab

Bacaan Rumi:

Nawaitu shouma ghodin fii syahri rajabi sunnatan lillahi taala.

Maksudnya:

“Aku berniat puasa sunat esok hari di bulan Rejab sunat kerana Allah taala.”

Kelebihan Puasa Bulan Rejab


1. Mendapat pahala berpuasa pada bulan-bulan Haram.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 95/28] mengatakan bahawa jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah hadith daripada Imam Muslim:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada  bulan Allah al-Muharram”. [Riwayat Muslim (1163)]

Akan tetapi, mereka mengatakan berpuasa pada bulan Rejab sahaja adalah makruh berdalilkan dengan sebuah hadith di dalam Sunan Ibn Majah:

Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ رَجَبٍ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang berpuasa pada bulan Rejab”. [Riwayat Ibn Majah (1743)][Imam al-Syaukani [Lihat: Nail al-Authar 293/4 ]mengatakan hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Zaid bin Abd al-Hamid dan Daud bin Atha’][Hadith ini adalah dhaif jiddan (teramat lemah)]

Ini kerana, jika seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab sahaja maka ia menunjukkan seakan-akan mereka ini menghidupkan syiar (lambang) golongan Jahiliyyah pada masa lalu yang memuliakan bulan ini.

Walaupun begitu, larangan atau pemakruhan ini akan hilang jika seseoang itu berbuka pada salah satu hari daripada bulan tersebut (tidak berpuasa penuh) atau berpuasa pada bulan yang lain daripada tahun tersebut dan tidak semestinya terus selepas daripada Rejab.

2. Sebagai Persediaan Menghadapi Ramadhan

Selain itu, kata Abu Bakar al-Warraq :

“Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Sya’ban pula adalah bulan untuk menyiram tanaman dan bulan Ramadhan pula adalah bulan untuk memungut hasil.” [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 121/1]

Memandangkan bulan Rejab datang sebelum bulan Sya’ban dan bulan Ramadan, maka umat Islam digalakkan untuk mula melatih diri berpuasa sunat dan memperbanyakkan amalan sunat yang lain pada bulan ini sebagai persediaan untuk menghadapi Puasa Ramadan. Oleh sebab itulah bulan Rejab diibaratkan seperti bulan untuk bercucuk tanam.

3. Pahala Dilipatgandakan

Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4]

Pendapat ini menjelaskan bahawa setiap amal soleh yang dilakukan pada bulan-bulan haram akan mendapat pahala yang lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Oleh itu, amatlah rugi sekiranya kualiti dan kuantiti amal soleh kita tidak digandakan saat tibanya bulan-bulan haram.

Penutup


Bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

Ini kerana, ia termasuk atau bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain. Marilah kita sentiasa memperbanyakkan amal ibadat kita dan menjaga kualitinya agar kita sentiasa mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Selamat beramal!

Jenis Puasa yang lain

Puasa RamadhanPuasa Nazar
Puasa EnamPuasa Bulan Rejab
Puasa Hari AsyuraPuasa Hari Putih
Puasa Hari ArafahPuasa Ganti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 5 =