Kisah Nabi Soleh mempunyai banyak pengajaran. Madain Soleh merupakan suatu tempat yang terletak antara Wadi (sungai kering di padang pasir) Makkah dan Syam iaitu di daerah Hijr. Di kawasan tersebut pernah didiami oleh suatu kaum iaitu kaum Tsamud yang telah banyak Allah rakamkan dalam al-Quran al-Karim.
Kemahiran Kaum Tsamud Memahat Gunung-Ganang
Dan (terhadap) kaum Tsamud yang memahat batu-batu besar di lembah? (Al-Fajr 89:9)
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum ‘Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi”. (Al-A’raaf 7:74)
“Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal – dengan bijak dan bersungguh-sungguh? (Asy-Syu’araa’ 26:149)
Berdasarkan ayat al-Quran di atas berkenaan dengan kisah Nabi Soleh, kaum Tsamud telah diberi kelebihan dalam memahat gunung-ganang untuk mendirikan istana-istana dan rumah-rumah untuk didiami. Malah, mereka digambarkan dalam al-Quran mereka bersungguh-sungguh, berketrampilan, bijak dan rajin dalam mendirikan bangunan-bangunan melalui air tangan mereka. Kesan kehebatan kemahiran mereka dalam teknologi pembuatan dan seni bina masih ada yang kekal dan boleh dilihat sekarang ini di Madain Soleh.
Kaum Tsamud dan Tanah yang Subur
“Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini?. Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan matair-matair (yang mengalir). Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut?” (Asy-Syu’araa’ 26:146 – 148)
Allah mengurniakan keamanan kepada kaum Tsamud di lembah tersebut dengan nikmat-nikmat yang indah di dunia. Antaranya ialah bumi yang subur dengan kebun-kebun tanaman dan buah-buahan seperti tamat yang subur. Malah, Allah hiasi dengan taman-taman yang indah beserta mata air yang mengalir di kawasan tersebut.
Kisah Nabi Soleh dan Kaum Tsamud
Namun, kesenangan dengan dunia peradaban yang tinggi dan aman itu hanya sementara apabila Kaum Tsamud ditimpa azab daripada Allah kerana tidak mahu mentauhidkan Allah. Nabi Soleh sebahagian daripada saudara mereka, diutuskan kepada mereka dalam rangka mengajak mereka kembali kepada Allah.
Dan kepada kaum Tsamud, (kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah), serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat (rahmat), lagi sentiasa memperkenankan (permohonan hamba-Nya)”. (Hud 11:61)
Menurut tafsir Ibnu Kathir berkenaan dengan kisah Nabi Soleh, berlakulah dialog antara Nabi Soleh dan kaum Tsamud. Kaum Tsamud merupakan generasi selepas kewujudan kaum ‘Aad di kawasan tersebut iaitu al-Hajar yang terletak antara Tabuk dan Madinah. Nabi Soleh memerintahkan supaya mentauhidkan dan beribadah kepada Allah sahaja. Malah, dijelaskan bahawa mereka berasal daripada tanah sama seperti bapanya iaitu Nabi Adam. Baginda juga menjelaskan bahawa Allah menjadikan mereka sebagai pemakmur bumi yang meramaikan manusia dan memanfaatkan bumi. Oleh, itu, Nabi Soleh mengajak kaum Tsamud untuk memohon ampun kepada Allah atas dosa yang telah lalu dan bertaubat kembali kepada Allah terhadap apa-apa yang mereka hadapi dalam kehidupan.
Mereka menjawab dengan berkata: “Wahai Soleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dalam kalangan kami, patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya”. (Hud 11:62)
Nabi Soleh berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran yang berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Dia pula mengurniakan rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripada-Nya, maka siapakah yang akan menolongku daripada azab Allah kalau aku menderhaka kepada-Nya? Oleh itu, kamu tidak menambah sesuatu pun bagiku selain daripada perkara yang merugikan. (Hud 11:63)
Maka, mereka membalas dialog Nabi Soleh dengan mengatakan bahawa Nabi Soleh merupakan orang yang dipercayai dengan kebijaksanaan dalam berfikir sebelum meluahkan sebarang kata-kata. Malah, mempertikaikan apa yang diibadahkan oleh mereka sepertimana datuk moyang dahulu beribadah. Mereka juga menjelaskan bahawa mereka benar-benar rungsing terhadap apa yang diserukan oleh Nabi Soleh.
Nabi Soleh terus memujuk dan menegaskan bahawa hanya Allah telah mengutus Nabi Soleh beserta dasar yang meyakinkan dan keterangan yang kuat. Malah, Nabi Soleh mengatakan bahawa andai beliau menderhaka kepada Allah iaitu dengan tidak mengajak kembali kepada Allah dan beribadah kepada-Nya, maka kaumnya tidak dapat memberi dan menambah apa pun manfaat kepadanya kecuali kerugian.
Kisah Kaum Tsamud dan Unta Betina
Dan kepada kaum Tsamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-A’raaf 7:73)
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum ‘Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi”. (Al-A’raaf 7:74)
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya”. (Al-A’raaf 7:75)
Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”. (Al-A’raaf 7:76)
Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)”. (Al-A’raaf 7:77)
Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Al-A’raaf 7:78)
Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat”. (Al-A’raaf 7:79)
Ringkasnya, Nabi Soleh telah diutuskan kepada kaum Tsamud dan menyeru agar menyembah dan beribadah kepada Allah semata-mata. Kemudian, Allah datangkan unta yang hamil dari sebuah batu yang besar seperti mana permintaan mereka dengan harapan mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Namun, apabila peristiwa itu terjadi, beberapa pemimpin dalam kalangan kaum Tsamud mengimani apa yang diserukan kepada mereka, namun dihalangi oleh sebahagian yang lain.
Setelah beberapa ketika, unta tersebut melahirkan anaknya. Unta dan anaknya mempunyai giliran dengan kaum Tsamud untuk minum dari sumur di lembah tersebut sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Qamar ayat 28 dan surah asy-Syuaraa ayat 155. Namun, setelah sekian lama mereka dalam keadaan begitu, mereka mengambil keputusan untuk membunuh unta tersebut tanpa mempedulikan amaran daripada Nabi Soleh atas alasan mahu menguasai sumur sepenuhnya.
Maka, sembilan pemimpin daripada kaum Tsamud disebutkan di dalam al-Quran iaitu dalam surah an-Naml ayat 48 telah berpakat untuk membunuh unta tersebut. Malah, pembunuh unta tersebut turut ditawarkan ganjaran berupa anak gadis sekiranya mereka berjaya membunuh unta tersebut. Maka, selepas peristiwa pembunuhan unta tersebut, Nabi Soleh menangis seraya berkata firman dari Allah, “Bersenang-senanglah kamu di rumahmu selama tiga hari.” (Surah Huud ayat 65). Setelah itu, muncullah suara yang keras dari langit dan gempa dari bawah menimpa mereka. Tiada seorang pun yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya terselamat daripada balasan tersebut.
Kesimpulan Kisah Nabi Soleh
Berdasarkan kepada pengajaran kisah Nabi Soleh, beriman kepada Allah merupakan asas kepada keimanan seorang mukmin dan seorang mukmin yang luar biasa adalah menyerahkan kehidupannya dengan mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Maka melalui kisah Nabi Soleh ini, apabila datang perintah Allah melalui utusan-Nya iaitu para rasul, mereka terus dan tetap taat kepada perintah tersebut.
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |
Assalamualaikum,
Terima kasih, sgt berguna utk sy sy waktu dalam kelas Tdabbur surah Ibrahim <3