Mesti anda yang ingin tahu asbab disebalik kita menyebut nama Nabi Ibrahim dalam solat semasa tahiyat akhir. Kita memohon kesejahteraan serta keberkatan buat Nabi Ibrahim dan keluarga baginda. Hal ini kerana, Selawat Ibrahimiyah itu adalah petunjuk yang diajarkan Nabi Muhammad SAW.
Selain itu, terdapat juga beberapa riwayat yang disampaikan oleh sahabat Nabi Muhammad SAW bahawa cara terbaik untuk berselawat kepadanya adalah dengan membaca Selawat Ibrahimiyah. Nama Nabi Ibrahim dititipkan dalam tahiyatul akhir sebagai tanda penghormatan atas doanya yang dikabulkan Allah. Sebab lain adalah kerana baginda menyampaikan salam kepada umat Nabi Muhammad SAW semasa Mikraj Rasullullah SAW.
Kehidupan Awal Nabi Ibrahim
Nabi Ibrahim A.S merupakan nabi ke-6 dalam sejarah rasul yang wajib kita ketahui. Nama baginda ialah Ibrahim bin Azzar bin Nahur merupakan keturunan Sam bin Nuh. Baginda juga merupakan salah seorang rasul Ulu-Al Azmi. Gelaran ini diberi atas kesabarannya yang tinggi menghadapi ujian. Baginda diutuskan ditengah-tengah kaum yang mensyirikkan Allah.
Bapa Nabi A.S merupakan pembuat patung berhala yang disembah oleh kaumnya ketika itu. Kerajaan tersebut merupakan kerajaan Babylon yang diperintah oleh Raja Namrud. Raja Namrud dinukilkan sebagai pemerintah yang zalim dan mengakui dirinya sebagai tuhan.
Mimpi Raja Namrud
Raja Namrud bermimpi disuatu malam dimana seorang anak lelaki kecil masuk ke biliknya lalu memijak mahkotanya. Raja Namrud segera memanggil ahli nujum untuk menilik mimpinya. Menurut mereka, akan lahir seorang anak lelaki yang akan merampas takhta Raja Namrud serta menjatuhkan kerajaan Babylon.
Mendengar akan berita buruk itu, Raja Namrud memerintahkan agar kesemua bayi lelaki mesti dibunuh. Atas kuasa Allah, Nabi Ibrahim sewaktu kecilnya dipelihara Allah dimana ibunya sempat menyembunyikan diri di gua sehingga lahirnya Baginda ke dunia.
Kebijaksanaan Nabi Ibrahim
Allah telah mengurniakan kecerdasan akal fikiran kepada Baginda A.S dimana baginda mula memikirkan hal-hal ketuhanan diawal usianya.
Baginda berfikiran mengapa `kaumku menyembah matahari sedangkan ia akan terbenam setelah malam, masakan bintang itu adalah Tuhanku sedangkan ia mulai menghilang setelah siang. Bagaimana Tuhanku akan memberi petunjuk padaku sekiranya ia menghilang ?
Melihat akan perkara itu, Nabi Ibrahim A.S berkata kepada kaumnya seperti dalam Surah Al-An’am ayat 78:
Maksudnya: Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).(Al-An’am:78)
Setelah dikurniakan petunjuk Allah, baginda segera menasihati serta mengajak kaumnya termasuklah bapanya sendiri untuk mentauhidkan Allah.
Hal ini jelas membuktikan bahawa perlakuan penyembahan berhala yang dilakukan kaumnya secara terang-terangan itu adalah perbuatan yang mensyirikkan Allah. Namun, bapa serta kaumnya tetap berdegil. Mereka tidak mengendahkan nasihat Baginda A.S.
Perdebatan Nabi Ibrahim dan Raja Namrud
Berlaku beberapa siri perdebatan antara Nabi Ibrahim A.S dan Raja Namrud dimana baginda berkata, “Tuhanku adalah yang menghidupkan dan mematikan”. Raja Namrud yang mengakui dirinya tuhan itu menyatakan bahawa dia dapat menghidupkan dan mematikan yang bermaksud jika dia hendak membunuh dua orang, dia boleh membunuh seorang lalu membiarkan seorang lagi hidup.
Namun, itu jauh sekali dari sifat-sifat Allah yang Maha Pencipta dimana Allah menciptakan sesuatu yang tiada menjadi ada. Kemudian Nabi Ibrahim berkata lagi, “Seseungguhnya Allah menerbitkan matahari dari Timur, maka terbitkanlah ia dari Barat”. Raja Namrud terdiam kerana sedar akan ketidakmampuannya untuk menerbitkan matahari dari sebelah barat.
Nabi Ibrahim Dibakar di dalam Api
Kesombongan Raja Namrud jelas terserlah apabila dia melemparkan Nabi Ibrahim A.S ke dalam api. Hal ini bermula apabila Baginda A.S tidak menyertai pesta keramaian kaumnya. Baginda tidak turut serta atas alasan sakit. Secara senyap, baginda memulakan langkah dengan menghancurkan patung-patung berhala yang terdapat di dataran luas perkampungannya kecuali patung yang paling besar diantaranya.
Setelah kaumnya pulang dari pesta tersebut, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati seluruh patung berhala semuanya musnah. Berita musnahnya patung berhala tersebut sampai kepengetahuan Raja Namrud lalu memanggil Nabi Ibrahim A.S ke istana.
Raja Namrud bertanyakan adakah Nabi Ibrahim yang memusnahkan berhala itu. Namun baginda menjawab, “Patung berhala yang besar itu yang melakukannya, tanyakanlah kepada berhala itu jika ia dapat berbicara”. Raja menjawab sudah tentu patung itu tidak dapat menjawabmu kerana patung itu tidak mampu berkata-kata.
Kisah ini ada di ceritakan di dalam surah Al-Anbiya ayat 52-hingga 66.
Sedar akan hal itu Nabi Ibrahim berkata seperti dalam surah Al-Anbiya ayat 66:
Maksudnya: Nabi Ibrahim berkata: “Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?(Al-Anbiya: 66)
Raja Namrud menjadi murka setelah dimalukan oleh Nabi Ibrahim A.S didepan pengikutnya. Lantas, Baginda dihukum atas keberaniannya mempersoalkan Tuhan mereka. Pengikut Raja Namrud mula mengumpul kayu bakar dengan membuat tempat pembakaran yang sangat besar. Api mulai marak dan menjulang tinggi. Sebelum dicampak ke dalam api, Nabi Ibrahim A.S membaca doa,
Doa Nabi Ibrahim ketika dicampak ke dalam api
Terdapat hadis riwayat Bukhari dari Abdullah bin Abbas dijelaskan bahawa ada doa yang dibaca Nabi Ibrahim sebelum dia dilontarkan ke dalam api. Doa tersebut adalah dari surat Ali Imran ayat 173.
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”
Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api yang sedang marak. Kesemua yang hadir menyaksikan seksaan itu yakin bahawa baginda akan rentung dimamah api. Raja Namrud juga beranggapan begitu. Namun, dengan kasih Allah, api itu tidak sedikit pun mencederakan baginda A.S dan baginda terselamat dari diseksa. Sebahagian yang melihat keajaiban itu mempercayai dakwah Nabi Ibrahim A.S atas izin Allah.
Hal ini ada diceritakan dalam surah Al-Anbiya: 69
قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ
Maksudnya: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”(Al-Anbiya: 69)
Pengakhiran Raja Namrud
Menurut sejarahwan, Raja Namrud enggan menerima dakwah Nabi Ibrahim A.S. Kemudian, Allah mengirimkan sekecil-kecil tenteranya iaitu nyamuk untuk mengazab Raja Namrud disebabkan kezalimannya terhadap kekasih Allah iaitu Nabi Ibrahim A.S dan pengikutnya.
Nyamuk tersebut masuk ke dalam hidung Raja Namrud lalu dia memukul kepalanya menggunakan besi untuk mengeluarkan nyamuk tersebut. Begitulah sadisnya kisah Raja Namrud menemui ajal.
Dalam surat Al-Baqarah ayat 26 Allah Berfirman bahawa:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۖ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ
Artinya: “Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: “Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?”. Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik,”
Pengajaran Kisah Nabi Ibrahim dan Raja Namrud
Terdapat beberapa pengajaran yang kita boleh dapatkan daripada kisah Nabi Ibrahim ini:
1. Akal Fikiran digunakan untuk memikirkan ketuhanan
Akal yang dikurniakan tuhan sepatutnya digunakan untuk melihat kebesaran Allah SWT daripada setiap yang kita perbuatkan malah daripada alam yang kita lihat.
Lihat bagaimana Nabi Ibrahim A.S. menyangkal kewujudan matahari dan bintang sebagai tuhan.
Bahkan Baginda juga cuba memberi kefahaman yangmudah kepada kaumnya bagi menunjukkan berhala yang mereka sembah itu bukanlah Tuhan yang Esa.
2. Api tidak membakar Nabi Ibrahim
Kisah ini mengajarkan kita Allah lah yang meletakkan sebab dan musabbab(kesan) atas satu-satu perkara dan Allah jugalah yang mampu mengubahnya. Api yang panas dan sepatutnya mampu membakar seseorang manusia, kelihatan tidak mampu mendatangkan apa-apa kecederaan pun pada Baginda.
Tidak dapat tidak yang mampu memberi mudharat kepada seseorang itu hanyalah Allah SWT. Oleh itu, rasa takut kita sepatutnya hanya kepada Allah SWT bukan kepada makhluk lain yang lemah.
Rasulullah SAW bersabda:
وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِاجْتَمَعَتْ عَلىَ أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ ؛ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَ إِنِ اجْتَمَعُوْا عَلَى أَنْ يَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ ؛ لَمْ يَضُرُّوْكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ
Maksudnya:“Dan ketahuilah, kalau sekiranya semua manusia di permukaan bumi ini berkumpul untuk memberikan kamu satu manfaat, mereka tidak akan dapat memberikanmu manfaat itu melainkan dengan sesuatu yang Allah tetapkan bagimu. Dan sekiranya semua manusia berkumpul untuk memberikanmu satu mudarat, mereka tidak akan dapat memudaratkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu.”
3. Sekecil nyamuk mampu membunuh
Kisah ini memberi satu petunjuk bahawa Allah SWT mampu menghina atau membunuh seseorang itu dengan hanya mendatangkan makhluknya yang kecil dan seolah-olah nampak lemah. Dibunuh oleh makhluk yang kecil itu adalah bertujuan untuk menunjukkan satu penghinaan yang besar kepada Namrud yang takbur.
Disebabkan itu, kita sendiri janganlah merasa besar diri dan menidakkan suruhan Allah SWT kepada kita.
Artikel Berkaitan: Nabi Ibrahim dan Penyembelihan Nabi Ismail
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |
Rujukan :
- Kisah Nabi, Ummu Abdillah al-Buthoniyyah
- Kisah Nabi yang Dibakar Api
- Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S , IslamHouse.com
- Al-quran terjemahan Bahasa melayu