Siapakah Ikrimah bin Abu Jahal ini? Artikel ini akan membincangkan salah seorang sahabat nabi ini iaitu Ikrimah.
Siapakah Ikrimah Bin Abu Jahal?
Ikrimah bin Abu Jahal adalah sahabat Rasulullah SAW dan merupakan anak kepada Abu Jahal yang terkenal sebagai musuh utama umat islam pada zaman itu. Pada zaman jahiliyahnya, beliau mengikuti jejak bapanya yang selalu memusuhi Islam dan beliau selalu berusaha untuk membunuh Rasulullah SAW.
Biarpun pernah melihat dan membaca ayat Al-Quran namun hatinya telah dibutakan oleh kebenciannya terhadap islam. Namun semua perbuatan keji itu berubah pada saat beliau memeluk agama Islam.
Setelah memeluk agama Islam, beliau menjadi seorang ahli ibadah dan sangat tekun dalam membaca Al-Quran serta selalu bersemangat untuk menyebarkan dakwah Islam. Beliau juga menjadi salah seorang tentera berkuda yang gagah berani di barisan kaum muslimin tatkala di medan peperangan.
Salasilah Keturunan Ikrimah Bin Abu Jahal
Beliau adalah anak kepada Abu Jahal ‘Amr bin Hisyam yang merupakan kabilah Quraisy dan berasal dari suku bani Makhzum. Nasab keturunan Ikrimah terputus kerana anak lelakinya yang bernama Umar terbunuh pada peperangan Yarmuk.
Masuknya Ikrimah Bin Abu Jahal ke dalam Agama Islam
Pada suatu hari, istrinya Ikrimah yang bernama Ummu Hakim bertemu dengan Rasulullah SAW untuk memeluk agama islam dan sekaligus memohon perlindungan dan keamanan kepada baginda untuk Ikrimah, maka selepas itu Rasulullah SAW pun bersabda kepadanya “Dia aman.” Setelah mendengar apa yang dikatakan Rasulullah SAW, dia pun balik dengan segera untuk memberitahu Ikrimah tentang perkataan Rasulullah tadi.
Setibanya Ummu Hakim di tempat pengasingan Ikrimah, dia menceritakan segalanya tentang apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW lalu mengajaknya untuk kembali semula ke kota Mekah. Dia mengatakan bahwa Rasulullah telah mengampuni dan memaafkannya. Lalu Ikrımah pun bersetuju untuk kembalike kota Mekah yang sudah lama ditinggalkannya.
Tatkala Ikrimah dan juga istrinya sudah menghampiri kota Mekah, Rasulullah SAW pun bersabda kepada para sahabat yang lainnya, “Ikrimah bin Abu Jahal akan datang ke tengah-tengah kalian sebagai seorang mukmin dan juga sebagai seorang muhajir. Oleh sebab itu, janganlah kalian mencaci bapanya. Kerana mencaci orang yang telah mati sama dengan menyakiti orang yang masih hidup. Sedangkan segala cacian itu tidak sama sekali didengar oleh orang yang telah mati.”
Pada saat Ikrimah dan istrinya memasuki majlis yang diadakan oleh Rasulullah SAW, baginda menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Di majlis tersebut, Ikrimah duduk di hadapan Rasulullah SAW dan mengucapkan syahadat menunjukkan beliau siap untuk menjadi seorang muslim. Setelah bersyahadat, Ikrimah meminta kepada Rasulullah SAW untuk mendoakannya supaya Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesalahannya yang telah dilakukan sebelumnya. Rasulullah SAW pun menerima permintaan tersebut dan memintakan pengampunan dari Allah SWT untuk Ikrimah.
Wajah Ikrimah pun berubah berseri-seri setelah itu dan kemudian beliau pun berkata, “Demi Allah, wahai Rasulullah! Tidak ada satu sen pun harta yang telah aku keluarkan untuk memperjuangkan agama Allah pada masa lalu, dan bermula pada saat ini akan aku tebus dengan menginfakkan hartaku berlipat ganda demi menegakkan agama Allah ini. Lalu tidak ada seorang pun kaum Muslimin yang telah gugur di tanganku, melainkan akan kutebus dengan membunuh kaum musyrikin berlipat ganda demi untuk menegakkan agama Allah.”
Begitulah bagaimana seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Ikrimah ketika sudah memeluk agama islam. Beliau bersungguh sungguh dalam mewujudkan apa yang telah dikatakan olehnya di hadapan Rasulullah SAW dan tidak pernah berputus asa dari Rahmat Allah SWT.
Wafatnya Ikrimah Bin Abu Jahal
Ketika berlakunya peperangan Yarmuk dan pada saat pasukan muslimin hampir dikalahkan oleh pasukan Romawi, jiwa pemberani Ikrimah pun muncul memecahkan kegempitaan peperangan pada saat itu. Beliau berkata kepada Khalid Al-Walid, “Ketepilah wahai Khalid bin Walid, izinkan aku untuk menebus kembali apa yang telah aku dan bapaku lakukan di zaman dahulu. Pada waktu itu aku menjadi musuh kepada Rasulullah SAW. Apakah pada saat ini aku akan lari untuk meninggalkan perang ini dari pasukan Romawi? Demi Allah tidak, ini selamanya tidak akan pernah terjadi!”
Lalu setelah itu Ikrimah pun berteriak, “Siapa yang akan membaiatku untuk syahid di jalan Allah?” Bapa saudaranya Harits bin Hisyam dan juga Dhirar bin Al-Azwar segera berdiri untuk membaiatnya dan setelah itu seramai 400 orang pasukan muslimin ikut bersamanya menuju medan peperangan. Pada akhirnya Allah SWT pun memberikan kemenangan dan kemuliaan kepada mereka.
Seusainya peperangan, para sahabat mendapati Ikrimah tergeletak di atas tanah dengan tubuhnya yang terdapat 70 buah tikaman pedang. Di sebelah beliau terdapat Harits bin Hisyam dan juga Ayyasy bin Abi Rabi’ah. Harits memanggil sahabat untuk memberikan air kepada Ikrimah. Namun Ikrimah menolaknya dan menyuruh para sahabat memberikan air kepada Ayyasy terlebih dahulu. Pada saat air hampir diberikan kepada Ayyasy, Ayyasy sudah menghembuskan nafas terakhirnya. Setelah itu para sahabat pun segera kembali untuk memberikan air kepada Ikrimah dan Harits, namun keduanya juga telah pergi menghadap Allah SWT dan menuju ke syurga yang dijanjikan olehNya.
Tercatat dalam sejarah bahawa Ikrimah bin Abu Jahal telah wafat pada tahun 636M pada peperangan Yarmuk
Sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain:
Rujukan
- Kisah Ikrimah bin Abu Jahal : Biografi Tokoh Ternama
- Biografi Ikrimah Bin Abu Jahal : Laduni.id