Skip to content

10 Hadis Tentang Akhlak yang Anda Perlu Tahu

Hadis tentang akhlak

Artikel ini akan membincangkan 10 hadis tentang akhlak. Sebelum itu, mari kita sama-sama telusuri makna akhlak itu sendiri. 

Akhlak 

Menurut Imam al-Ghazali dan Ibnu Sibawaih, akhlak ialah sesuatu yang tertanam dalam diri sehingga seseorang itu tidak perlu berfikir panjang untuk melakukan sesuatu. Dalam al-Quran, Allah mengatakan bahawa Rasulullah itu mempunyai akhlak yang agung. 

Perkara ini boleh dirujuk dalam Surah al-Qalam ayat 4: 

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Bukan setakat Allah memuji akhlak baginda, tetapi Allah juga menegaskan bahawa Rasulullah itu adalah contoh bagi kita semua.

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Sekarang, mari kita sama-sama pelajari 10 hadis tentang akhlak untuk dijadikan pedoman. 

Hadis 1: Rasulullah menyempurnakan akhlak 

Rasulullah bersabda: 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: Sesungguhnya aku hanyalah diutus untuk menyempurnakan akhlak. (Riwayat Bukhari)

Asas untuk menjadi orang Islam yang baik adalah berakhlak mulia. Akhlak itu juga harus dilatih sesuai dengan apa yang diajar dan dicontohi oleh Rasulullah sendiri. 

Kita harus membaca dan mengkaji al-Quran dan Sunnah untuk mencontohi baginda. Sebab, dalam hadis yang lain, Aisha RA mengatakan bahawa akhlak Rasulullah itu adalah al-Quran. Mengamalkan isi kandungan al-Quran adalah satu bentuk akhlak yang mulia. 

Hadis 2: Dekat dengan Rasulullah di hari kiamat 

Rasulullah bersabda:

إِنَّ مِنْ أَحَبِّكُمْ إِلَيَّ وَأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ القِيَامَةِ أَحَاسِنَكُمْ أَخْلَاقًا

Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara kalian dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat adalah mereka yang paling bagus akhlaknya di antara kalian. (Riwayat Tirmizi)

Apabila sesuatu amalan itu ditegaskan mendapat ganjaran di hari kiamat, maka ia menunjukkan ganjaran itu sangat besar dan mulia. Apatah lagi Rasulullah mengatakan pengamal akhlak mulia itu akan dekat dengan baginda nanti. 

Hadis 3: Timbangan yang berat

Rasulullah bersabda: 

مَا مِنْ شَيْءٍ أَثْقَلُ فِي مِيْزَانِ المُؤْمِنِ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الخُلُقِ، وَإِنَّ اللهَ يُبْغِضُ الفَاحِشُ البَذِي

Tidak ada suatu yang paling berat ditimbang oleh Allah ditimbangan-Nya ialah akhlak yang baik. (Riwayat Tirmizi)

Apakah contoh akhlak yang baik? Kita boleh rujuk dalam kitab Minhajul Abidin tulisan Imam al-Ghazali. Antaranya adalah sabar, takwa, takut kepada Allah, berkata yang baik-baik, bersyukur dan sebagainya. 

Semua akhlak yang baik ini timbangannya berat di hari akhirat. Dengan itu, kita harus beramal dengan semua itu. Akhlak bukanlah sesuatu yang terjadi secara automatik. Sedangkan iman juga ada naik dan turun, akhlak juga ada baik dan buruk. Ia harus dipraktik dengan konsisten sehingga ia tertanam dalam diri. 

Hadis 4: Berkata keji dan berakhlak buruk 

Rasulullah bersabda: 

Sesungguhnya Allah SAW benci terhadap mereka yang berkata keji dan orang yang buruk akhlaknya. (Riwayat Ibnu Hibban) 

Berkata keji adalah satu bentuk akhlak yang buruk. Hal ini kerana, kebanyakan kesalahan anak Adam bermula daripada lisan. Lisan kita ini adalah seperti pisau, ia mudah menyakiti orang, ia mudah menjatuhkan orang, dan ia mudah menghancurkan hidup seseorang. 

Maka, jagalah lidah kita daripada percakapan yang buruk seperti memfitnah, mengumpat, mengejek dan sebagainya. 

Perbanyakkan zikir, memuji kebesaran Allah, membaca kitab-kitab dan sebagainya. 

Hadis 5: Malu

Rasulullah bersabda: 

فإِنَّ الحياءَ مِنَ الإِيمانِ

Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malu di sini bermaksud segan daripada melakukan maksiat. Hari ini, kita lihat ada orang yang tidak ada perasaan malu melakukan dosa. 

Ada malu yang berbentuk fitrah, seperti malu telanjang di hadapan orang, malu diejek oleh orang dan sebagainya. 

Ada malu yang berbentuk pegangan. Orang yang berpendirian bahawa sesuatu itu haram dan sebagainya, pasti malu melakukannya. Begitulah sebaliknya. 

Hadis 6: Tanda-tanda munafik 

Rasulullah bersabda: 

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Tanda-tanda munafik itu ada 3, jika ia berbicara berdusta, jika ia berjanji ia ingkar dan jika diberi amanah ia khianat. (Riwayat Bukhari)

Hadis ini menceritakan tentang tiga tanda orang munafik. Munafik bermaksud berpura-pura beriman. Ini bermaksud, orang yang mempunyai iman pasti takut untuk berdusta, mengingkari janji dan mengkhianati amanah. 

Hadis 7: Jangan saling membenci dan mengeji 

Rasulullah bersabda: 

لا تَحَاسَدُوا، ولا تَنَاجَشُوا ولا تَبَاغَضُوا، ولا تَدَابَرُوا، ولا يَبِعْ بَعْضُكم على بَيْعِ بعضٍ، وكُونوا عبادَ الله إخوانًا

Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling mengghibah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Riwayat Muttafaqun Alaih) 

Orang Islam itu adalah bersaudara. Hal ini dinyatakan dalam Surah al-Hujurat. Maka, janganlah memecahkan persaudaraan tersebut dengan saling membenci, saling mengeji, dan seterusnya. 

Sekiranya, kita dibenci dan dikeji, janganlah kita membalasnya. Respon yang terbaik untuk itu adalah berdiam diri dan mengabaikannya. Teruskan berbuat baik! 

Hadis 8: Mengeji itu bukan ciri orang mukmin

Rasulullah bersabda: 

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلاَ اللَّعَّانِ وَلاَ الْفَاحِشِ وَلاَ الْبَذِيء

Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berkata keji, dan suka berkata kasar.”. (Riwayat Tirmizi) 

Orang yang beriman itu tidak akan mencela, melaknat dan mengeji seseorang. Ini bermaksud, orang yang beriman pasti mempunyai akhlak terpuji sehingga dia tidak akan melakukan perkara-perkara negatif seperti yang dinyatakan dalam hadis.

Hadis 9: Berkata yang baik atau diam

Rasulullah bersabda: 

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka katakanlah yang baik ataupun hendaklah dia diam. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Akhlak yang baik itu bermula daripada lisan. Seseorang yang berakhlak mulia tidak akan bercakap-cakap perkara yang sia-sia. Dia hanya akan bercakap perkara-perkara yang baik sahaja. Selain daripada itu, dia akan diam.

Hadis 10: Tidak menyakiti seseorang dengan lisan 

Rasulullah bersabda: 

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Orang muslim adalah yang menyelamatkan orang muslim yang lain daripada (keburukan) lidah dan tangannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Lisan boleh mengangkat dan menjatuhkan kehidupan seseorang. Maka dengan itu, orang Islam yang berakhlak mulia tidak akan menyakiti orang lain dengan lisannya. Dia akan sedaya upaya menjaga lisannya dengan cara berfikir panjang sebelum mengeluarkan bicara. 

Rumusan 

Akhlak yang mulia diberi ganjaran besar di hari akhirat. Sebaliknya, akhlak yang buruk akan mendapat padah yang dahsyat. Akar kepada agama adalah akhlak atau perilaku yang baik. 

Diharapkan artikel hadis tentang akhlak ini dapat memberikan beberapa maklumat yang berguna tentang hadis-hadis yang boleh dikaitkan dengan akhlak

Rujukan 

  1. Hadits Tentang Akhlak – inews.id
  2. Hadist Nabi Tentang Akhlak Mulia – Islampos
  3. Keutamaan Berhias Dengan Akhlak Mulia – Muslim.or.id
  4. Wajib Berkakhlak Mulia – Harian Metro
  5. Suka Memaki Hamun Orang lain di jalan raya – Mufti Wilayah Persekutuan
  6. Ketahuilah Adab Bercakap Menurut Islam – Al Raudah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − fifteen =