Skip to content

Hukum Makan Belalang. Adakah ia halal atau tidak?

hukum makan belalang

Apakah hukum makan haiwan iaitu belalang? Artikel ini akan membincangkan berkenaan hukum untuk seseorang itu makan belalang.

Pengenalan

Dalam Islam, kita mempunyai peraturan halal dan haram berkenaan pemakanan. Bukan semua jenis makanan kita boleh makan. Sebagai orang Islam, kita patut mencari makanan yang dihalalkan syarak untuk dimakan. Maka, panduan adalah amat penting bagi kita semua supaya dapat mendapatkan makanan yang halal.

Terdapat beberapa panduan berkenaan makanan halal:

  • Tidak mengandungi benda-benda haram seperti babi, anjing atau haiwan yang tidak disembelih menurut syarak
  • Tidak mengandungi najis
  • Tidak diproses di tempat yang sinonim dengan benda-benda haram seperti kilang arak dan sebagainya

Allah berfirman dalam Surah al-An’am ayat 145:

Katakanlah: “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Ayat ini menekankan bahawa bangkai, darah yang mengalir dari haiwan (bangkai) babi dan binatang yang tidak disembelih atas nama Allah adalah haram dimakan. Namun, dalam keadaan darurat kita boleh memakan makanan yang haram dimakan dengan kadar untuk hidup sahaja.

Hukum memakan belalang, bolehkah? 

Abu Ya’fur RA berkata:

Aku bertanya ‘Abdullah bin Abi Aufa tentang membunuh belalang, dia menjawab “Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak enam kali, dan kami memakan belalang”. (Hadis riwayat Muslim)

Seorang sahabat bercerita bahawa ketika beliau pergi berperang dengan Rasulullah, mereka makan belalang. Menurut hadis ini, memakan belalang hukumnya harus atau dibolehkan.

Ibnu Umar RA pula pernah berkata:

Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: ikan dan belalang. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Imam an-Nawawi dalam Majmu’ berkata bahawa ikan dan belalang harus dimakan walaupun tidak disembelih. Lagipun, dua binatang tersebut mustahil untuk disembelih.

Dalam satu perjalanan Rasulullah dan para sahabat untuk mengerjakan haji dan umrah. Para sahabat terjumpa satu kelompok belalang lalu mereka membunuhnya. Rasulullah pun bersabda kepada mereka:

Makanlah ia, kerana ia sama jenisnya dengan binatang buruan di laut (yang halal dimakan). (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ibnu Qudamah juga pernah dihidangkan belalang goreng. Ibnu Umar mengatakan bahawa kalau hendak menggorengkan belalang, kena dipatahkan sayapnya terlebih dahulu. Barulah digorengkan meskipun belalang itu masih hidup.

Kesimpulan daripada hukum ini, harus untuk makan belalang.

Kebaikan makan belalang

Memakan serangga bukanlah satu perbuatan yang pelik. Bahkan, ia merupakan satu makanan yang sihat. Serangga dikhabarkan ada protein, mineral dan rendah kolesterol. Di Mexico, belalang memang biasa dimakan. Di Filipina pun begitu. Mereka sudah menjadikan belalang semacam snek makanan sehari-hari mereka.

Belalang tidak bahaya kepada kesihatan kita untuk dimakan. Tetapi, perlu diingatkan bahawa sekiranya mahu memakan belalang, harus digoreng terlebih dahulu untuk buang sumber patogen yang ada pada serangga tersebut.

Belalang mengandung sumber protein yang sangat tinggi. Sebenarnya. Kandungan proteinnya lebih berzat berbanding makanan laut seperti udang dan ikan. Dikhabarkan juga, belalang pun sedap dimakan.

Menurut Biology Institute of the National Autonomous University of Mexico (UNAM), belalang lebih sihat berbanding ayam dan daging kerana nutrisinya yang lebih sihat berbanding dua itu. Belalang mengandungi vitamin A, B dan C.

Belalang juga membantu kita untuk meningkatkan sistem imunisasi kita. Dengan sistem imunisasi yang tinggi, kita boleh melawan pelbagai jenis penyakit. Sebab, antibodi kita kuat. Kalau antibodi kita tidak kuat, kita mudah dijangkiti pelbagai penyakit. Makan belalang juga dapat membantu mengurangkan penyakit buasir.

Bagi mereka yang mengandung, memakan belalang juga sangat bagus bagi janin. Belalang mengandungi vitamin B12 yang sangat bagus untuk keperluan janin.

Kesimpulan

Hukum memakan belalang adalah harus. Makan belalang juga membawa pelbagai manfaat dalam kehidupan kita. Maka, digalakkan untuk memakan belalang. Rasulullah juga pernah memakan belalang.

Rujukan

  1. AL-KAFI #963: HUKUM MEMAKAN BELALANG
  2. Halal dan Haram dalam Islam – Dr. Yusuf al-Qaradawi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + one =