hukum main kutu

Hukum Main Kutu. Adakah Dibenarkan Syarak atau Tidak?

Apakah hukum untuk main kutu? Artikel ini akan membincangkan secara mudah berkenaan hukum main kutu ini sama ada ia dibenarkan dalam agama ataupun tidak.

Apa itu main kutu?

Main kutu ini ialah penyimpanan duit dengan cepat. Itu maksud ringkasnya. Dalam bahasa Inggeris, ada yang memanggilnya sebagai chit fund. Ada juga yang memanggilnya sebagai tontine. Orang kita di Malaysia lebigh terkenal dengan istilah main kutu.

Main kutu ialah apabila anda mempunyai sekumpulan orang. Tidak kisahlah kawan-kawan atau saudara-mara. Tetapi ia harus dimainkan dalam berkumpulan. Katakan ada lima orang.

Anda mahu menyimpan duit untuk kegunaan masa depan. Maka, anda bersetuju lima-lima orang perlu memberi RM1000 setiap bulan. Jadi, setiap orang pun bagilah RM1000. Jumlahnya berapa setiap bulan? RM5000. Sebab setiap orang beri RM1000, maka jumlah yang dikumpulkan ialah RM5000.

Baik, dari sini, akan diundi siapa yang bakal mendapati jumlah duit RM5000 itu. Jadi, bulan ini seorang dapat keseluruhan duit yang dikumpul tadi. Bulan depan, ikut giliran orang lain pula. Begitulah bergilir-gilir.

Apa matlamat sebenarnya main kutu ini?

Matlamatnya adalah nak memberi ahli mendapat sejumlah wang yang boleh dia manfaatkan untuk dirinya. Kiranya, macam dapat ‘advance’. Selepas itu, dia harus bayar juga RM1000 seperti biasa. Cumanya, ada bulan tertentu, dia dapat RM5000. Bolehlah dia manfaatkan untuk buat kerja-kerja tertentu, atau bangkitkan bisnes, atau selesaikan urusan keluarga.

Jadi, main kutu ini dapatlah membantu ahli kutu untuk dapat duit cepat. Kiranya, mereka saling membantu untuk sumbangkan duit. Wang yang sama iaitu RM1000 setiap seorang. Tempoh yang sama iaitu setiap bulan. Giliran sahaja yang berbeza. Setiap seorang, lima bulan sekali akan dapat jumlah duit kutu itu. Ikut putaran yang disetujui setiap ahli.

Tapi, itu metod A.

Ada kutu cara yang lagi satu. Saya namakan ia sebagai metod B. Caranya sama. Setiap orang kena bayar jumlah yang disetujui. Bezanya apa? Bezanya tidak ada giliran di mana seorang ahli akan dapat keseluruhan jumlah itu tadi. Tidak ada.

Metod B ini pula macam tabung bantuan. Setiap orang bayar. Nanti, bila jadi apa-apa pada ahli yang menimpa masalah dan sebagainya. Bolehlah disumbangkan daripada duit kutu itu tadi.

Lebih kurang insuran. Lebih kurang tabung bantuan. Metod B ini terkenal dalam kalangan kawan-kawan rapat, lebih-lebih-lebih sesama ahli keluarga. Ini dia.

Jadi, kita sudah faham, main kutu ini umumnya ialah simpan duit. Cara untuk simpan duit. Bila sudah simpan duit, nanti akan dapat kembali, bezanya hanya masa. Metod begini membuatkan ahli yang bermain kutu ini dapat menyimpan duit dengan berkesan. Mungkin kalau dia simpan sendiri, nafsu nak membelanjakan duit itu tidak mampu dia lawan. Eloklah dia bermain kutu, ada juga orang yang nak pantau.

Semua duit yang dikumpulkan, mesti diberikan kepada ibu kutu. Orang yang kumpulan duit-duit itu, dipanggil sebagai ibu kutu. Ibu kutu ini dilantik oleh semua ahli yang terlibat. Jadi, bila sudah dipersetujui, terlantiklah seorang ibu kutu untuk kumpulan duit-duit itu semua. Dialah yang pegang duit. Dialah yang edarkan duit. Seperti bendahari.

Justeru, apa hukum main kutu?

Fatwa Wilayah Persekutuan telah menjawab soalan ini pada tahun 2015. Apa yang boleh saya ringkaskan adalah:

Hukum bermain kutu ialah harus dengan syarat jauh daripada riba, judi dan ketidaktentuan. Selagi mana jauh daripada ketiga-tiga perkara ini, maka HARUSlah main kutu itu.

Bagaimana nak jadi riba?

Riba ini mudahnya bermaksud penambahan pada jumlah yang sepatutnya. Kalau yang sepatutnya berharga RM1000, maka tidaklah ia boleh untuk ditambah menjadi RM1100 bertujuan untuk menjana keuntungan, denda dan sebagainya. Tidak boleh. Penambahan itu dipanggil sebagai riba.

Kalau ada yuran keahlian, maka ia tidak dibolehkan. Kerana, yuran keahlian itu untuk siapa? Ia tidak relevan. Sekiranya ia untuk ibu kutu, ia pasti tidak adil. Ibu kutu juga harus membayar duit kutu, tetapi dia juga mendapat keuntungan daripada yuran keahlian. Itu sudah lebih. Itu adalah bertujuan untuk memperkayakan diri ibu kutu. Maka, sebab itu ia diklasifikasikan sebagai riba. Ia caj tambahan yang tidak betul kepada individu tertentu bertujuan untuk keuntungan diri.

Main kutu ini bukanlah satu bisnes. Ia satu cara penyimpanan wang. Allah halalkan bisnes, tapi bukan riba. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 275:

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Bagaimana pula ia jadi judi?

Judi ini taruhan. Nak dapat, mesti bertaruh. Ini haram. Sebab, kalau nak halal main kutu, mesti ikut giliran. Ia lebih adil dan efisien. Kalau nak bertaruh siapa yang patut mendapat duit berkenaa, ia sudah menjadi zalim. Kalau kalah, rugi. Kalau menang, untung. Siapa yang bayar bulanan tapi selalu kalah, selalulah juga dia rugi. Habislah duitnya. Ini menzalimi satu pihak dan menguntungkan pihak yang lagi satu. Ini sudah tidak kena dengan matlamat asal main kutu, iatu menyimpan. Menyimpani ini haruslah dengan roh nak membantu sesama ahli kutu, bukan bertaruh dan merugikan ahli.

Bagaimana menjadi ketidaktentuan?

Ini adalah apabila ahli kutu tidak jelas dengan jumlah dan proses semua ‘main kutu’ ini dimainkan. Dia kena jelas dengan jumlah yang perlu dibayar, tempoh yang disetujui, giliran dan sebagainya. Semua ini kena clear. Kalau ibu kutu mahu melabur duit tersebut, ahli-ahli kutu harus tahu ke mana duit itu dilaburkan untuk mendapat kembali jumlah yang lumayan. Kena clear. Kena tahu. Semua perkara. Duit itu pergi mana, disimpan bagaimana, dan sebagainya.

Kesimpulan

Main kutu hukumnya harus dengan syarat ia terhindar daripada riba, judi dan ketidaktentuan. Mainlah kutu untuk tujuan yang baik, iaitu simpan untuk kebaikan masa depan dan adil dengan setiap ahli. Janganlah digunakan untuk menjana keuntungan sendiri. Kalau nak untung, untunglah sama-sama.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum BerzinaHukum Cukur Bulu
Hukum Gantung Gambar dalam RumahHukum Gugurkan Kandungan
Hukum Main ForexHukum Warnakan Rambut
Hukum Baca Al-quran Ketika HaidHukum Buang Tahi Lalat
Hukum Makan Dakwat SotongHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Rujukan

  1. Apa tu main kutu dan kenapa pula ia diharamkan di Malaysia? -Asklegal
  2. Pastikan kaedah main kutu tiada unsur penipuan – bharian
  3. Hati-hati main kutu: Peguam – Sinar Harian
  4. HUKUM MAIN KUTU moden – Muftiwp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × two =

Scroll to Top