Apakah hukum seseorang lelaki untuk pakai rantai? Artikel ini akan membincangkan dengan ringkas berkenaan hukum pakai rantai untuk seseorang lelaki.
Pengenalan
Setiap di antara kita mahu dilihat cantik dan kacak. Macam-macam cara digunakan hari ini untuk dilihat cantik dan kacak. Ada yang buat gaya rambut tertentu, memakai pakaian-pakaian yang mengikut trend dan bersolek.
Antara perkara lain yang orang kita suka buat adalah memakai rantai dan gelang. Sebahagian besar sebab kenapa orang pakai aksesori seperti rantai adalah nak nampak bergaya. Rantai seolah-olah menambah keyakinan diri dan ketampanan pada seseorang. Jadi, ramai anak-anak muda bahkan suka memakainya.
Hukum Lelaki Pakai Rantai
Namun, adakah memakai rantai itu harus dalam Islam?
Kita mulakan dulu dengan satu sabda Rasulullah yang berbunyi:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.” (Hadis riwayat Bukhari dan Ahmad)
Baik, dari sini kita jelas bahawa lelaki tidak boleh ikut gaya wanita dan wanita pula tidak boleh ikut gaya lelaki. ‘Gaya’ yang dimaksudkan di sini adalah apa-apa benda yang khas buat wanita, lelaki tidak boleh ikut ‘benda’ itu sama sekali.
Contoh: Serkup kepala merupakan pakaian wanita. Maka, haramlah lelaki untuk memakai serkup kepala. Sebab, serkup kepala ialah pakaian khas buat wanita.
Apa-apa perhiasan yang khas untuk satu jantina, maka haram untuk jantina yang lagi satu memakainya.
Soal rantai, hukumnya harus bagi wanita kerana ianya memang perhiasan buat mereka. Namun, hukum lelaki memakai rantai pula adalah haram kerana ia bukanlah perhiasan lelaki.
Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu’ berkata bahawa dalam mazhab Syafi’e, majoriti ulama mengharamkan lelaki memakai rantai dan gelang. Hal ini beliau sebut dalam kitabnya juzu’ 3.
Dalam Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah juga menyatakan yang lelaki haram untuk mengikut atau meniru apa saja yang secara lumrahnya khas untuk wanita seperti cara bercakap, lemah-lembutnya, cara berpakaian dan sebagainya. Begitu jugalah sebaliknya.
Dalam kitab Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani juga menukilkan kata-kata daripada Imam At-Tabari bahawa beliau menyatakan bahawa lelaki haram untuk lelaki mengikut pemakaian wanita dan begitu juga sebaliknya. Rantai adalah pemakaian wanita sepertimana yang disebut oleh Ibnu Daqiq Al-Eid. Jadi, haramlah lelaki untuk pakai rantai.
Pun juga, Sheikh Ibn Al-Uthaimin sebut dalam Fatawa Islamiyah yang haram lelaki memakai perhiasan wanita. Tambahan pula, ia menjadi dua kali salah sekiranya perhiasan itu pula ialah rantai.
Dari sini kita sudah faham bahawa lelaki tidak boleh memakai rantai. Rantai merupakan perhiasan wanita. Lelaki haram pakai rantai kerana rantai adalah perhiasan wanita.
Wanita saja yang boleh pakai rantai. Tapi, adakah jenis rantai-rantai tertentu yang mereka tidak boleh pakai?
Daripada Saidina Ali Bin Abi Talib, Rasulullah SAW mengambil sutera yang kemudian baginda meletakannya pada tangan kanannya, lalu baginda mengambil emas dan diletakkannya emas tersebut ditangan kiri baginda.
Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kedua benda ini (sutera dan emas) diharamkan bagi lelaki dari umatku.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, dan An-Nasa’i)
Berdasarkan hadis ini, wanita boleh memakai apa-apa perhiasan seperti rantai dalam bentuk emas. Tidak ada halangan bagi wanita nak pakai apa-apa jenis rantai, emas mahupun lain-lain. Lelaki haram pakai rantai, lagi-lagi emas.
Ulama salaf mengatakan ijmak ulama bagi wanita memakai perhiasan emas. Ini juga yang disebut oleh Imam An-Nawawi:
“Dibolehkannya bagi wanita memakai sutera serta berhias dengan perak dan emas dengan ijma’ (kesepakatan) berdasarkan hadis-hadis yang sahih.”
Ini berdasarkan apa yang sebut oleh Aisyah RA:
“Aku dipersembahkan sebuah perhiasan kepada Rasulullah SAW. yang dihadiahkan oleh seorang An-Najasyi (Raja Habsyah) kepada baginda. Dalam perhiasan itu terdapat cincin emas permata habsyi. Kemudian baginda mengambilnya dengan ranting yang dihulurkan atau dengan sebahagian jari-jarinya. Kemudian baginda memanggil Umamah binti Abul ‘Ash, iaitu anak dari Zainab (puteri Rasulullah). Lalu baginda bersabda, “Berhiaslah dengan ini wahai cucuku.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Ini menunjukkan, wanita boleh pakai perhiasan apa saja jenis termasuklah emas. Rantai emas adalah harus bagi wanita memakainya.
Kesimpulan
Hukum lelaki memakai rantai adalah haram, manaka harus bagi wanita memakai rantai termasuklah jenis emas dan sebagainya. Sebabnya, haram bagi lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan
- AL-KAFI #1722: HUKUM LELAKI MEMAKAI GELANG: Mufti Wilayah
- Hukum Memakai Gelang Dan Rantai Lelaki: Yadim
- Law of Men Wearing Necklaces in Islam – Is It Allowed?: AZislam
- Ruling on wearing necklaces for men: Islamqa
- The Ruling on a Man Wearing a Necklace: Fatwa Islam
- Ruling on women wearing gold rings: Islamqa