hukum lelaki pakai gelang

Hukum Lelaki Pakai Gelang. Adakah ia dibenarkan?

Apakah hukum lelaki pakai gelang? Artikel ini akan membincangkan hukum sama ada lelaki dibenarkan untuk pakai gelang ataupun tidak di dalam islam.

Pengenalan

Dalam bab perhiasan, ada jenis perhiasan yang dikhaskan buat wanita dan begitu juga sebaliknya. Lelaki tidak boleh memakai apa-apa perhiasan yang dikhaskan buat perempuan, dan begitu juga sebaliknya. Kedua-dua jantina mempunya lumrah kejadiannya.

Dalam satu hadis dari Abu Hurairah, katanya:

Rasulullah melaknat lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Bukhari dan Ahmad)

Dalam kitab Umdah Al-Qari, Sheikh Badruddin Al-’Aini menerangkan hadis ini, kata beliau, apa yang dikhaskan buat wanita, haram bagi lelaki lakukan, tidak kiralah dari sudut perhiasan, perwatakan, gaya, pemakaian dan sebagainya. Tidak bolehlah lelaki memakai serkup kepala kerana ianya merupakan pakaian khas wanita. Haram lelaki memakainya. Haram juga lelaki memakai rantai kerana rantai itu perhiasan wanita. Haram lelaki berperwatakan seperti wanita, gedik-gedik, lembut-lembut (jangan salah anggap dengan lemah-lembut) yang mana sifat-sifat itu khas dan lumrah wanita. Haram lelaki ikut atau menyerupainya.

Al-Mausu’ah Al-Kuwaitiah juga menyatakan perkara yang sama. Ulama sepakat dalam hal ini. Apa-apa pakaian wanita, lelaki tidak boleh memakainya. Begitu juga sebaliknya.

Dalam satu hadis, diceritakan Rasulullah nampak seorang lelaki memakai gelang di tangannya.

Rasulullah bersabda:

Gelang apakah ini? Maka lelaki itu pun menjawab, “Ini disebabkan penyakit.” Lalu baginda bersabda, “Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan.” (Hadis riwayat Sunan Ibnu Majah)

Dalam hadis ini, Rasulullah menyatakan tidak boleh memakai gelang hatta untuk kesihatan sekalipun. Tidak ada manfaatnya. Sebab itu baginda meminta lelaki tersebut menanggalnya.

Hukum Pakai Gelang Bagi Lelaki

Dengan hadis ini juga, Imam Nawawi berpandangan memakai gelang itu HARAM bagi lelaki. Ada pendapat minoriti mengatakan ianya harus, itu pun bersyarat. Tetapi, umumnya, dan kebanyakan ulama mengatakan hukum memakai gelang itu HARAM.

Sebab kenapa ianya haram kerana gelang ini dilazimi oleh wanita. Tidaklah ia dibolehkan bagi lelaki memakainya. Ia sudah khas bagi wanita kerana mereka melazimi perhiasan demikian. Haram bagi lelaki untuk memakai gelang.

Dalam kitab Tuhfat Al-Ahwadhi, Sheikh Mubarakfuri mengatakan lelaki tidak boleh menyerupai wanita dalam apa jua cara yang bukan lumrah, seperti fesyen, personaliti, suara, memakai inai pada tangan dan sebagainya. Itu semua khas bagi wanita. Lelaki tidak boleh nak pakai dan buat.

Dr. Yusuf Al-Qaradwi sebut dalam bukunya Halal wal Haram fil Islam, hikmah daripada dielakkan bagi sesiapa untuk menyerupai jantina yang berlawanan adalah kerana tidak mahu melanggar tabiat dan kekhususan diri sendiri sebagai jantina tertentu. Lelaki ada tabiat kekhususannya. Begitu juga wanita. Lelaki tidak boleh melanggar tabiatnya untuk menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya. Ini haram, dan Nabi melaknatnya. Laknatnya Nabi terhadap ini semua diaminkan para malaikat.

Jadi, gelang ialah perhiasan khusus buat wanita dalam Islam. Hanya mereka sahaja yang boleh memakainya. Haram bagi lelaki yang memakainya.

Sejarah gelang

Ada dua jenis gelang. Satu, gelang tangan. Satu lagi, gelang kaki. Ia diperbuat daripada logam seperti emas, perak dan sebagainya. Selain itu juga, ia pernah dibuat daripada, permata dan manik.

Sejarah gelang ini ia berusia sama dengan usia peradaban manusia. Sejak dulu lagi sudah ada orang yang memakai gelang. Ia berfungsi sebagai macam-macam fungsi.

Ada yang berfungsi sebagai perhiasan. Ada yang berfungsi sebagai perbezaan antara puak. Puak lain, memakai gelang lain. Puak yang lain, memakai gelang yang lain juga. Hamba juga dipakaikan gelang untuk menunjukkan status mereka sebagai hamba.

Jadi, bukan setakat perhiasan, tetapi sebagai tanda juga. Gelang menunjukkan siapa kita.

Allah berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa.

Janganlah biarkan perbezaan kita menunjukkan siapa kita kerana yang dilihat oleh Allah itu hanyalah ketakwaan kita terhadapNya. Bukannya gelang yang nak menunjukkan kita siapa. Bukannya apa juga perhiasan. Semuanya tidak menunjukkan siapa kita. Tetapi, hanya ketakwaan.

Kesimpulan

Memakai gelang bagi lelaki ialah haram kerana ia menyerupai wanita. Gelang ialah perhiasan khusus buat wanita. Adalah haram untuk lelaki melanggar tabiat kelakiannya.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum BerzinaHukum Cukur Bulu
Hukum Gantung Gambar dalam RumahHukum Gugurkan Kandungan
Hukum Main ForexHukum Warnakan Rambut
Hukum Baca Al-quran Ketika HaidHukum Buang Tahi Lalat
Hukum Makan Dakwat SotongHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Rujukan:

  1. Hukum Lelaki Memakai Gelang – Muftiwp
  2. Is It Haraam For Men To Wear Bracelets – Islamwa
  3. Halal wal Haram fil Islam – Yusuf Al-Qaradawi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − 3 =

Scroll to Top