Hadis ini merupakan hadis ke-4 dari pada buku hadis Arbain iaitu hadis 40 karangan Imam Nawawi dan ia menceritakan tentang peringkat kejadian manusia, ketentuan dan kesudahannya.
Ia membuktikan kekuasaan Allah dalam mencipta manusia dari permulaan kejadian, cara pembentukan manusia secara berperingkat-peringkat, amal yang dilakukan dalam masa hidupnya dan akhir hidupnya dan tempat yang akan didiaminya kelak.
Hadis Kejadian Manusia. Hadis Keempat Hadis Arbain
عَنْ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعُوْدْ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الـْمَصْدُوْقُ: (إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ یَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الـْمَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَالله الَّذِيْ لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَايَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., beliau berkata Rasulullah SAW menceritakan kepada kami, dan baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan. Sesungguhnya seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari bentuk air mani, kemudian dia menjadi seketul darah selama tempoh itu, kemudian dia menjadi seketul daging selama tempoh itu juga, kemudian Allah mengutuskan kepadanya satu malaikat lalu dia meniupkan ruh padanya. Malaikat itu disuruh oleh Allah dengan 4 kalimah; iaitu menulis rezekinya, ajalnya, amalannya, dan celaka atau bahagia janin tersebut. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak tinggal antaranya dengan syurga kecuali sehasta, takdir yang telah ditulis mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia memasuki neraka. Sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga tidak tinggal antaranya dengan neraka kecuali sehasta, lalu takdir yang telah ditulis mendahuluinya lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia memasuki syurga. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perkara Asal Kejadian Manusia dan Kesudahan Amalnya
1. Ciptaan manusia secara berperingkat
Hadis kejadian manusia ini menunjukkan bahawa janin berubah kepada tiga proses perkembangan dalam masa 120 hari. Dalam setiap 40 hari akan berlaku satu perkembangan.
Selepas 120 hari malaikat meniupkan ruh pada janin tersebut dan dituliskan untuknya empat perkara. Allah SWT telah menceritakan dalam al-Quran mengenai perubahan janin peringkat-peringkat ini dalam surah al-Haj ayat 5:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّنَ ٱلْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ
Maksudnya : “Wahai umat manusia, sekiranya kamu dalam keraguan tentang hari kebangkitan maka (fikirkanlah) bahawa sesungguhnya Kami telah jadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air mani, kemudian dari seketul darah, kemudian dari segumpal daging”
Hikmah Allah SWT menciptakan manusia secara beransur-ansur dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain merupakan didikan Allah terhadap hambaNya agar teliti dalam semua perkara dan tidak tergesa-gesa dan gopoh-gapah. Ia mengajar manusia bahawa hasil spiritual yang sempurna melalui pendekatan berfasa, sepertimana kesempurnaan penciptaan luaran manusia yang berfasa dari sudut bentuk kepada satu bentuk sehingga bayi tersebut mencapai kematangannya. Begitulah juga peringkat-peringkat perilaku manusia untuk mencapai kesempurnaan sama seperti proses tersebut.
2. Tiupan Ruh
Ulama bersepakat bahawa ruh ditiupkan kepada janin selepas 120 hari pasangan lelaki dan perempuan bersetubuh, iaitu setelah sempurna 4 bulan dan memasuki bulan kelima. Ini dapat dibuktikan dengan pemerhatian dan penglihatan. Tiupan ruh benar-benar terbukti dengan wujudnya pergerakan bayi di dalam rahim. Lantaran itu ia dijadikan asas sandaran kepada hukum-hukum dan kewajiban nafkah. Oleh itu, hikmah jangka masa ‘iddah isteri yang kematian suami adalah selama 4 bulan 10 hari untuk memastikan rahim tersebut bersih dan dia tidak hamil.
Ruh ialah elemen yang menyebabkan manusia hidup. Ia adalah daripada urusan Allah sahaja, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 85
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلً
Maksudnya : “Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang ruh. Katakanlah ruh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
3. Ditulis 4 kalimah semasa dalam kandungan
Setelah kandungan tersebut hidup kerana telah ditiupkan ruhnya oleh malaikat, maka diperintahkan kepadanya untuk menulis empat kalimah; iaitu mengenai rezekinya, ajalnya, amalannya dan kesudahan nasib dirinya bahagia atau celaka.
Sesungguhnya Allah SWT telah mengetahui keadaan makhluk sebelum mereka diciptakan. Tiada sesuatu yang berlaku di kalangan mereka sama ada iman dan taat, kufur dan derhaka, bahagia dan celaka, kecuali dengan pengetahuan dan kehendak Allah. Ilmu Allah terhadap sesuatu tidak menghilangkan kelayakan seorang hamba memilih dan mengambil halatuju sendiri.
Allah memerintahkan makhlukNya agar beriman dan taat. Dia melarang hambaNya daripada kufur dan derhaka. Ini menjadi bukti bahawa hamba mempunyai kelayakan untuk memilih dan mengambil halatuju yang mereka inginkan, jika tidak, perintah dan larangan Allah itu dikira sia-sia. Ini adalah mustahil, firman Allah SWT dalam surah asy-Syams ayat 7-10
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (7) فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (8) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (9) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (10(
Maksudnya : “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
4. Berhujah dengan Qadar ( ketentuan)
Allah SWT memerintahkan kita agar beriman dan taat kepadaNya. Allah juga menegah kita daripada kufur dan derhaka terhadapNya, itulah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah keatas kita. Manakala perkara baik atau buruk yang telah ditentukan oleh Allah kepada kita adalah perkara yang tersembunyi dan kita tidak mengetahuinya. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 105
وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya : “Dan katakanlah (wahai Muhammad) : Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan) maka Allah dan Rasulnya dan serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan”
Hadis ini membuktikan kepada kita bahawa keputusan memasuki syurga mahupun neraka belum lagi dipastikan, meskipun dia telah melakukan semua jenis amalan baik atau dia melakukan semua jenis amalan jahat. Oleh itu, seseorang individu tidak boleh bergantung dan kagum dengan amalan yang telah dilakukannya kerana dia tidak mengetahui akan kesudahannya. Selain itu, kita janganlah merasa lemah dengan keadaan zahir manusia, kerana ukuran sebenar adalah pada akhirnya. Kita memohon kepada Allah agar ditetapkan hati kita di atas jalan kebenaran dan husnul khotimah (kesudahan yang baik).
Nabi Muhammad SAW sentiasa berdoa:
يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
Maksudnya : “Wahai Tuhan yang berkuasa membalik-balikkan hati tetapkanlah hatiku diatas agamamu.”
Kesimpulan
Hadis ini menunjukkan kekuasaan Allah dan kebijaksanaanNya menciptakan manusia dengan cara beransur-ansur serta ditetapkan garisan perjalanan hidupnya di dunia. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa amal seseorang adalah syarat yang menghampirkan kepada balasan yang baik atau jahat, syurga atau neraka.
Apa yang seharusnya kita lakukan ialah berusaha supaya amal yang baik itu berterusan sepanjang hayat, serta memperelokkannya dan mengawasi dari perkara yang merosakkannya. Akhir sekali, kita haruslah memelihara perjalanan hati atau jiwa dari perubahan yang mendatangkan akibat yang celaka kerana perubahan inilah yang sangat ditakuti.
Diharapkan perkongsian hadis ke 4 iaitu hadis arbain – hadis 40 imam nawawi iaitu berkenaan kejadian manusia ini dapat memberikan pencerahan berkenaan kebesaran Allah SWT pada kita.
Artikel Berkaitan: Sains dan Penciptaan Manusia dalam Al-Quran
Hadis Arbain yang lain: