Apakah doa yang dibaca ketika gelisah? Artikel ini akan membincang doa waktu gelisah dan tazkirah berkenaan perasaan gelisah ini.
Doa ketika gelisah
1. Doa perlindungan daripada kesusahan
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksud: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kebingungan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari ketakutan dan kekikiran, aku berlindung kepada-Mu dari lilitan utang dan tekanan orang-orang.
Rasulullah mengajar doa ini kepada Abu Umamah yang dibebani dengan macam-macam hutang.
2. Doa daripada Surah Taha
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
Maksud: Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku (Surah Taha ayat 25-28)
Tazkirah ringkas
Allah berfirman dalam Surah al-Maariij ayat 19 dan 20:
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.
Dua ayat ini bercerita kepada kita bahawa terdapat rasa gelisah dalam diri manusia yang berpunca daripada ketidaksabaran. Imam Asy-Syaukani berkata dalam Fathul Qadir, gelisah dalam ayat ini adalah pada orang yang ketika senang dia tidak bersyukur dan ketika susah dia tidak bersabar.
Disebabkan itu, gelisahlah hatinya.
Dalam hidup kita, terdapat banyak punca yang menyebabkan hati kita gelisah. Ada waktu, hati kita gelisah kerana sifat buruk diri kita sendiri. Ada waktu, hati gelisah itu berlaku tanpa kita minta. Ia menunjukkan betapa kita ini manusia yang tidak akan berasa tenang dengan hal-hal yang buruk.
Dugaan dalam hidup juga boleh menggelisahkan hati. Dengan itu, kita perlu ada sikap yang mulia ketika menghadapinya agar Allah merahmati kita.
Janganlah ketika menghadapi dugaan itu kita mengeluh sehingga hilang akhlak dengan memaki hamun. Janganlah kita menggadaikan keperibadian mulia ketika menghadapi kesusahan. Semua itu lumrah kehidupan.
Kita perlu hadapinya dengan sabar. Ibnu Katsir ketika mentafsirkan ayat di atas mengatakan, untuk menghilangkan rasa gelisah, kita perlu bersolat dan berzakat. Ini akan membaiki hubungan kita dengan Allah dan makhluk lain.
Melalui zakat, akan lahir kesedaran bilamana kita berasa dalam rezeki kita, ada rezeki untuk orang lain juga.
Oleh itu, janganlah gelisah kerana kurangnya harta. Semua itu kurniaan Allah dan Allah mengamanahkan kita untuk memberi kepada orang lain.
Boleh jadi juga hati kita gelisah kerana banyaknya dosa. Ibnu Qayyim mengatakan bahawa hati akan gelisah dengan banyaknya dosa. Perbanyaklah istighfar.
Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 52:
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!
Istighfar dapat menambah kekuatan di samping kekuatan kita. Allah akan membantu kita dalam menghadapi perkara-perkara sukar dalam hidup. Cara untuk mencapai hal berkenaan, beristighfarlah kepada Allah.
Seterusnya, cinta kepada dunia juga akan membawa kepada kegelisahan.
Rasulullah bersabda:
Yang paling aku takutkan dari umat sepeninggalanku adalah jika kesenangan dunia dan hiasannya dibuka untuk kalian. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila kita bergantung kepada dunia yang tidak kekal dan tidak tetapi. Maka, kita akan menghadapi kekecewaan akhirnya. Kebergantungan kita sepatutnya hanya kepada Allah.
Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 122:
Dan hanya kepada Allah orang yang beriman itu bertawakal.
Salah satu cara untuk mengurangkan rasa gelisah ialah dengan bersyukur.
Rasulullah bersabda:
Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat kepada orang yang berada di atas kamu kerana yang demikian itu lebih patut bagi kamu supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kamu. (Riwayat Bukhari)
Dengan membandingkan diri kita dengan orang yang menghadapi dugaan atau ujian yang lebih teruk lagi akan sedikit sebanyak menenangkan hati kita.
Betapa apa yang kita hadapi ini merupakan perkara yang tidaklah begitu buruk. Ini juga akan melahirkan rasa syukur dalam diri kita.
Allah berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 7:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
Allah akan menambahkan nikmat bilamana kita bersyukur. Maka, ucapkanlah alhamdulillah dan menggunakan segala nikmat yang Allah beri untuk tujuan kebaikan.
Akhir
Hati yang gelisah itu boleh dibendung dengan bermacam-macam cara dan doa. Namun, yang paling penting, janganlah kegelisahan itu disebabkan hal-hal yang buruk seperti tidak sabar, angkuh, dan sebagainya.
Bacaan Doa yang lain
Rujukan
Imam al-Ghazali. Minhajul Abidin.