Apakah bacaan doa sebelum makan dan selepas makan berserta adab-adabnya? Artikel kami akan menerangkan dengan mudah berkenaan doa-doa tersebut dan adab-adab lain yang perlu dilakukan ketika makan.
Doa Makan |
---|
Doa Sebelum Makan |
Doa Selepas Makan |
Makan dan Minum adalah perkara yang sangat penting bagi kita kerana ia merupakan sumber tenaga untuk kita meneruskan kehidupan ini. Islam mengajar kita bahawa setiap perlakuan ada adab – adab yang perlu kita patuhi termasuklah adab ketika makan.
Adab – Adab Ketika Makan
1. Mencuci tangan sebelum dan selepas makan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ : ” أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكَلَ كَتِفَ شَاةٍ فَمَضْمَضَ ، وَغَسَلَ يَدَيْهِ ، وَصَلَّى “
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah s.a.w memakan paha seekor kambing, kemudian berkumur-kumur, membasuh kedua tangannya, kemudian solat. (Sunan Ibnu Majah)
Walaupun hadis ini hanya menceritakan kepada kita tentang Rasulullah SAW membasuh tangan selepas makan, tetapi kita digalakkan untuk mencuci tangan sebelum dan selepas makan kerana ia dapat menghindarkan diri daripada kuman dan segala penyakit.
2. Membaca Doa sebelum makan
Maksudnya: (Ya Allah, berkatilah makanan yang telah engkau kurniakan kepada kami, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka).
Doa di atas adalah doa yang sering kita baca apabila hendak makan.
Tahukan anda bahawa doa ini berasal daripada hadis munkar?
Imam An Nawawi ada menyebut tentang hadis ini di dalam kitabnya Al Adzkar,
روينا في كتاب ابن السني عن عبد اللّه بن عمرو بن العاص رضي اللّه عنهما عن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم أنه كان يقول في الطعام إذا قُرِّبَ إليه : ” اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا فِيما رَزَقْتَنا وَقِنا عَذَابَ النَّارِ باسم اللَّهِ “
Telah diriwayatkan dalam kitab Ibnus Sunni dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash R.anhuma, dari Nabi SAW bahawa ketika makanan didekatkan kepadanya, beliau biasa mengucapkan “Ya Allah, berkatilah makanan yang telah engkau kurniakan kepada kami, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka, Dengan nama Allah”.
Ibnu Hajar Al-Asqolani berpendapat bahawa di dalam riwayat hadis tersebut ada Muhammad bin Abi Az Zu’ayzi’ah, dan Abu Hatim mengatakan bahawa hadis tersebut adalah hadis yang sangat munkar (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak dipercayai). Pendapat yang sama juga dinyatakan oleh Imam Al-Bukhari.
Walaupun doa tersebut berasal daripada hadis munkar tetapi ia tidak menjadi satu kesalahan untuk kita mengamalkannya dengan syarat tidak berpegang bahawa doa itu adalah bersandarkan daripada sunnah Rasulullah SAW. Kita boleh mengamalkan apa sahaja doa asalkan ia membawa kepada makna yang baik.
Ada juga riwayat yang sahih tentang doa tersebut dan ia adalah mauquf dari ‘Urwah bin al-Zubair dan ia dibaca selepas makan bukan sebelum makan.
وَحَدَّثَنِي عَنْ مَالِكٍ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ كَانَ لاَ يُؤْتَى أَبَدًا بِطَعَامٍ وَلاَ شَرَابٍ حَتَّى الدَّوَاءُ فَيَطْعَمَهُ أَوْ يَشْرَبَهُ إِلاَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا وَأَطْعَمَنَا وَسَقَانَاوَنَعَّمَنَا اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ أَلْفَتْنَا نِعْمَتُكَ بِكُلِّ شَرٍّ فَأَصْبَحْنَا مِنْهَا وَأَمْسَيْنَا بِكُلِّ خَيْرٍ نَسْأَلُكَ تَمَامَهَا وَشُكْرَهَا لاَ خَيْرَ إِلاَّ خَيْرُكَ وَلاَ إِلَهَ غَيْرُكَ إِلَهَ الصَّالِحِينَ وَرَبَّ الْعَالَمِينَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ مَا شَاءَ اللَّهُ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ .
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Imam Malik, Daripada Hisyam bin ‘Urwah, Daripada Ayahnya, Sesungguhnya ‘Urwah bin Zubair tidak sesekali dihidangkan dengan makanan atau minuman atau ubat kecuali dia akan menyebut selepas memakannya atau meminumnya:
“Segala puji bagi Allah yang memberi hidayah kepada kami, memberi makan, memberi minum, memberi nikmat. Allah maha besar. Ya Allah, nikmat Mu tetap ada walaupun wujud setiap kejahatan kami, dengan nikmat Mu kami menjalani waktu pagi dan petang dalam kebaikan baik.
Kami memohon kesempurnaan nikmat itu dan kesyukuran atas nikmat Mu. Tiada kebaikan melainkan kebaikanMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan orang-orang salih dan Tuhan sekelian alam.
Segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka” (Muwatta’ Imam Malik)
Jadi, apakah doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum makan?
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ ” .
Maksudnya : Daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda “Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia menyebutkan nama Allah SWT. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah SWT pada awalnya, hendaklah dia mengucapkan: (Dengan nama Allah pada setiap permulaannya dan pengakhirannya) ” (Jami’ At-Tarmizi)
Kesimpulan: Boleh beramal dengan doa sebelum makan yang selalu kita baca asalkan tidak berniat bahawa doa tersebut datang dari Rasulullah SAW. Yang thabit datang daripada Rasulullah SAW hanyalah dengan membaca Bismillah.
3. Duduk ketika makan
Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik R.A menyatakan:
عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا . قَالَ قَتَادَةُ فَقُلْنَا فَالأَكْلُ فَقَالَ ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada meminum sambil berdiri. Qatadah bertanya bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)? Anas menjawab: “Yang demikian itu adalah lebih buruk dan tercela.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini menerangkan bahawa kita disuruh untuk duduk ketika hendak makan mahupun minum. Adapun hukum makan dan minum sambil berdiri tidaklah menjadi haram kerana terdapat juga riwayat yang mengatakan bahawa nabi Muhammad SAW pernah minum air zam – zam sambil berdiri tetapi jumhur ulama’ berpendapat bahawa minum dalam keadaan duduk itu adalah lebih baik.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ سَقَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ زَمْزَمَ فَشَرِبَ وَهُوَ قَائِمٌ
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Aku pernah menghidangkan air zam-zam kepada Rasulullah SAW dan Baginda SAW minum dalam keadaan berdiri. (Hadis Riwayat Muslim)
4. Makan menggunakan tangan kanan
وَعَنْ جَابِرٍ , عَنْ رَسُولِ اَللَّهِ - صلى الله عليه وسلم -قَالَ : ) لَا تَأْكُلُوا بِالشِّمَالِ ; فَإِنَّ اَلشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِالشِّمَالِ (
Maksudnya : Jabir bin ‘Abdillah R.A, bahwa Rasulullah SAW bersabda:Janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan makan dengan tangan kiri ( Hadis Riwayat Muslim )
Hadis ini menunjukkan larangan bagi orang yang makan dengan tangan kiri. Oleh itu seharusnya kita elakkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Rasulullah dan mengamalkan suruhannya. Sesungguhnya Rasulullah SAW akan menggunakan tangan kanan bagi perkara yang melibatkan kebaikan.
5. Mengambil makanan yang terdekat
عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ : كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: )يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ(
Maksudnya: Daripada Umar bin Abi Salamah katanya:
Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Rasulullah SAW tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu”. ( Hadis Riwayat Muslim )
Makan makanan yang berhampiran adalah salah satu di antara adab – adab makan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan beramal dengan sunnah baginda adalah perkara yang terpuji.
6. Tidak meniup makanan
Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah RA:
إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ، وَإِذَا أَتَى الخَلاَءَ فَلاَ يَمَسَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ
Maksudnya: Apabila kalian minum, janganlah bernafas di dalam gelas, dan ketika buang hajat, janganlah menyentuh kemaluan dengan tangan kanan.(Hadis Riwayat Bukhari)
Perbuatan meniup makanan sebenarnya boleh membawa kepada kemudharatan seperti menghembuskan karbon dioksida yang tidak diperlukan oleh badan dan juga boleh menyebabkan orang sekeliling rasa kurang selesa kerana bimbang jika air liur atau bau nafas seseorang itu akan mengotori makanan. Oleh itu sebaiknya jika kita menunggu makanan itu sehingga sejuk dan sesuai untuk dimakan.
7. Tidak mencela makanan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ مَا عَابَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم طَعَامًا قَطُّ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ، وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah tidak sesekali mencela makanan. Jika menyenanginya, Baginda akan memakannya. Namun jika tidak, Baginda akan meninggalkannya. (Hadis Riwayat Bukhari)
Makanan adalah rezeki yang diberikan untuk kita meneruskan kehidupan ini jadi perbuatan mencela makanan itu adalah dilarang kerana setiap rezeki itu ada keberkatan padanya. Selain itu, perbuatan mencela makanan akan melukakan perasaan orang yang menyediakannya oleh itu jika kita tidak suka akan makanan tersebut sebaiknya kita diam.
8. Doa Selepas Makan
عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِذَا أَكَلَ أَوْ شَرِبَ ، قَالَ : الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَ وَسَقَى ، وَسَوَّغَهُ ، وَجَعَلَ لَهُ مَخْرَجًا “
Maksudnya : Daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila telah makan atau minum, bacalah: Segala puji bagi Allah yang memberi makan dan minum, yang membuatkan ia boleh ditelan dan menjadikan untuknya tempat keluar. (Sunan Abi Daud)
Terdapat banyak hadis sahih yang menerangkan tentang doa Rasulullah SAW selepas makan dan hadis di atas adalah salah satu daripadanya. Hadis ini menerangkan bahawa Rasulullah akan menyebut puji – pujian kepada Allah selepas baginda makan.
Doa Selepas makan
Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan dan memberi kami minum dan menjadikan kami muslim.”
Adapun doa selepas makan yang telah menjadi zikir harian bagi kita pula adalah berdasarkan hadis yang dhaif.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنْ طَعَامِهِ قَالَ “ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِينَ ”
Maksudnya : Daripada Abi Sa’id Al Khudri, Apabila Nabi SAW telah menghabiskan makanannya baginda akan berkata “Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan dan memberi kami minum dan menjadikan kami muslim.” ( Sunan abi daud )
Walaupun hadis ini berstatus dhaif, tetapi kita mengambil kira pandangan para ulama yang berpegang bahawa hadis dhaif juga boleh diamalkan di dalam bab fadhail al-a’mal (fadhilat-fadhilat amal).
Kesimpulan
Adab – adab di atas adalah beberapa adab makan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, masih banyak lagi adab – adab lain yang perlu kita amalkan apabila hendak makan. Walaupun makan hanyalah aktiviti seharian yang kita lakukan untuk mengalas perut tetapi kita juga boleh mengamalkan sunnah baginda apabila kita makan dengan mencontohi adab – adab yang telah di ajar oleh baginda. Wallahua’lam.
Bacaan Doa yang lain
Doa sebelum dan selepas makan | Doa Sebelum Tidur dan Bangun Tidur |
Doa Qunut Nazilah | Doa Naik Kenderaan |
Doa Masuk dan Keluar Tandas | Doa Wabak Penyakit |
Doa Pagi Ma’thurat | Doa Berbuka Puasa |
Rujukan
- Sunnah.com
- Laman web rasmi mufti wilayah persekutuan
- Tzkrh.com