Skip to content

10 Hadis Tentang Hati yang Anda Perlu Tahu

hadis tentang hati

Berikut merupakan 10 hadis pilihan tentang hati. Sebahagian hadis yang disebutkan disertakan dengan sedikit keterangan agar dapat kita fahaminya dengan baik. Selain itu, hadis yang dipilih adalah dari hadis-hadis yang Sahih sahaja.

Hadis 1: Niat

Sabda Baginda SAW:

إنّمَا الأَعْمَالُ بالنِّيّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امرِىءٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصيبُهَا، أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكَحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلى مَا هَاجَرَ إِلَيْه

Maksudnya: Setiap amalan diterima berdasarkan niat, dan setiap seseorang mempunyai apa yang telah dia niatkan, maka sesiapa yang tujuan hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, dan sesiapa yang tujuan hijrahnya kerana untuk memiliki dunia atau untuk menikahi seseroang wanita, maka hijrahnya itu adalah seperti apa yang dia niatkan. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Hadis ini dijadikan sebagai hadis pertama berkaitan dengan hati adalah kerana niat itu datangnya dari hati. Pentingnya hadis ini sebagai pedoman dan ikutan semua orang islam agar sentiasa ikhlas dalam melakukan suatu amalan mahupun ibadah.

Hadis 2: Penilaian Allah Kepada Hati

إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menilai berdasarkan rupa paras kalian  dan harta kalian, akan tetapi Allah menilai dengan melihat kepada hati serta amalan kalian. (Riwayat Muslim)

Keterangan: Hadis ini memberitahu kepada kita bahawa keikhlasan seorang hamba dalam melakukan suatu amalan adalah perkara yang dipandang dan yang dinilai oleh Allah. Seterusnya menjadikan orang yang ikhlas ini adalah mereka yang mempunyai kedudukan di sisi Allah SWT. Bukan pula harta serta rupa paras yang dinilai untuk menentukan kemuliaan seseorang.

Hadis 3: Penentuan Syurga dan Neraka adalah Pada Pengakhirannya

إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: Sesungguhnya terdapat salah seorang dari kamu melakukan amalan dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dan syurga hanyalah sehasta, akan tetapi ketentuan mendahuluinya, maka dia melakukan amalan ahli neraka seterusnya memasukinya, dan sesungguhnya terdapat dari kalangan kamu yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dan neraka hanyalah sehasta, akan tetapi ketentuan mendahuluinya, maka dia melakukan amalan ahli syurga seterusnya memasukinya. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Tidak dapat dinafikan hadis ini terkait dengan Qadar Allah SWT yang perbahasannya agak panjang. Akan tetapi pengajaran hadis ini sangat penting sehinggakan niat seseorang melakukan ibadah atau amalan boleh merubah pengakhiran hidupnya. Seorang yang beramal dengan amalan kebaikan pada luaran tapi hatinya dipenuhi dengan sifat riak. Seorang lagi yang berubah hatinya ke arah kebaikan di akhir hidupnya.

Hadis 4: Tangisan adalah Rahmat

Ketika mana Rasulullah SAW menitis air matanya, berkata Saad kepada Baginda SAW “Apakah maknanya ini wahai Rasulullah?” Maka kata Baginda SAW:

هَذِهِ رَحْمَةٌ يَضَعُهَا اللَّهُ فِي قُلُوبِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: Ini adalah Rahmat yang Allah letakkan pada hati-hati hambanya yang dikehendaki. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Pertanyaan Saad kepada Rasulullah disebabkan sangkaan beliau bahawa menangis terhadap pemergian seseorang adalah berdosa. Akan tetapi Baginda SAW memberitahu bahawa nangis adalah satu rahmat dari Allah yang diletakkan ke dalam hati hamba-hambanya. Adapun yang tidak dibenarkan itu adalah meratapi dan meraung pemergian seseorang.

Hadis 5: Seketul Daging di Dalam Jasad

Sabda Nabi SAW:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya: Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad terdapat seketul daging, jika ianya baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ianya rosak maka rosaklah seluruh jasadnya, ketahuilah ianya adalah hati! (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Hadis 6: Tinggalkan Perkara yang Diragui

Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ، فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: Tingalkan perkara yang diragui kepada perkara yang tidak diragui, maka sesungguhnya kebenaran itu menenangkan, dan kesalahan itu meragukan. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasaie. Berkata al-Tirmizi: Hadis ini Sahih)

Keterangan: Hadis ini mengajarkan kepada kita bahawa ketenangan hati adalah petanda bahawa perkara yang kita mahu lakukan adalah perkara yang baik begitu juga sebaliknya. Akan tetapi ketenangan itu dapat dirasa dan difahami setelah mana hatinya dipandu dengan keimanan.

Hadis 7: Lembut Hati Kepada Kaum Kerabat

Sabda Baginda SAW:

وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ‌ذُو ‌سُلْطَانٍ ‌مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ، وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ، وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Maksudnya: Dan sesungguhnya ahli syurga ada tiga, penguasa yang bersederhana, penderma dan membantu, dan seorang lelaki yang penyayang lembut hatinya terhadap kaum kerabat dan muslim lain, dan orang yang menjaga maruahnya serta mempunyai tanggungan. (Riwayat Muslim)

Keterangan: Ciri-ciri ahli syurga itu sebenarnya banyak berdasarkan kepada hadis-hadis lain. Dan salah satu ciri-ciri ahli syurga adalah seseorang yang mempunyai hati yang lembut dan penyayang.

Hadis 8: Hati Yang Berbolak Balik

Kata Rasulullah SAW:

‌إِنَّ ‌قُلُوبَ ‌بَنِي ‌آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ، كَقَلْبٍ وَاحِدٍ، يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Maksudnya: Sesungguhnya hati-hati anak Adam kesemuanya di antara dua jari Allah yang maha pemurah, ibarat ianya adalah hati yang satu, yang boleh bagi Allah membolak-balikkan hati sesiapa yang dikehendaki. Maka Rasulullah SAW berdoa “wahai Tuhan kami yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami dalam mentaati Mu”. (Riwayat Muslim)

Hadis 9: Hati dan Sifat Kasih Sayang

Ketika mana seorang badwi melihat Rasulullah SAW mencium kanak-kanak, lalu berkata “kamu mencium kanak-kanak, sedangkan kami tidak mencium mereka”. Lalu berkata Rasulullah SAW:

أَوَأَمْلِكُ لَكَ أَنْ نَزَعَ اللهُ مِنْ قَلْبِكَ الرَّحْمَةَ

Maksudnya: Apakah aku memiliki apa yang Allah telah hilangkan dari hati kamu sifat kasih sayang? (Riwayat al-Bukhari)

Hadis 10: Al-Quran dan Hati

Sabda Nabi SAW:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ مَا ائْتَلَفَتْ قُلُوبُكُمْ، فَإِذَا ‌اخْتَلَفْتُمْ ‌فَقُومُوا ‌عَنْهُ

Maksudnya: Bacalah al-Quran ketika hati-hati kamu bersatu, jika kamu berselisih maka jauhilah perselisihan. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: yang dimaksudkan dengan menjauhi pada hadis ini adalah menjauhi perselisihan dan perdebatan ketika terdapat perbezaan atau keraguan sama ada dalam cara pembacaan atau pemahaman terhadap al-Quran.

Diharapkan artikel Hadis Tentang Hati ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan beberapa hadis yang berkait tentang hati ini.

Rujukan:

  1. Sahih al-Bukhari
  2. Sahih Muslim
  3. Sunan al-Tirmizi
  4. Syarah al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim
  5. Tuhfatul Ahwazi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6 − 5 =