Apakah itu najis mutawassitah? Dalam artikel ini kita akan belajar tentang najis yang berada di tingat pertengahan iaitu najis mutawassitah.
Maksud najis
Najis dari segi bermaksud sesuatu yang menjijikkan. Dari segi istilah pula, semua benda yang kotor seperti tahi dan sebagainya. Najis menghalang sahnya ibadat. Contohnya, kalau kita ada najis, tidak sahlah kita bersolat. Kita harus membersihkan najis itu terlebih dahulu, barulah kita boleh solat dan melakukan ibadat-ibadat yang lain.
Setiap yang kotor semuanya najis. Termasuklah kotoran yang keluar dari qubul atau dubur dan sebagainya.
Setiap kitab fiqh yang kita buka, pasti akan mendahulukan bab-bab penyucian (taharah).
Rasulullah bersabda, “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” (Riwayat Muslim)
Islam sangat menitik beratkan hal-hal kebersihan dan penyucian. Membersihkan diri kita daripada najis dan kekotoran itu merupakan satu perkara yang dituntut dalam agama.
Maksud najis mutawassitah
Najis mutawassitah atau najis pertengahan ialah semua najis (kecuali najis mukhaffafah dan najis mughallazah).
Contoh-contoh najis mutawassitah
- Semua najis yang keluar daripada manusia dan binatang (kecuali anjing dan babi) yang keluar dari tempat buang air kecil atau buang air besar
- Semua air yang memabukkan seperti arak
- Air susu binatang yang tidak boleh dimakan
- Semua jenis bangkai kecuali ikan (binatang di laut)
Beberapa isu najis mutawassitah
- Air liur basi yang keluar dari dalam perut itu adalah najis, sekiranya keluar dari bahagian mulut sahaja seperti air liur yang diludahkan itu adalah tidak najis
- Kahak bukan najis
- Lendir perut tidak najis, ia dimaafkan
- Darah (haiwan) yang bercampur dengan masakan itu dimaafkan
- Susu haiwan yang kita tidak boleh makan, itu najis seperti susu keldai
- Susu yang keluar dari bangkai juga adalah najis
- Kotoran daripada ikan kecil itu dimaafkan, manakala ikan besar tidak dimaafkan (najis)
Cara Menyucikan Najis Mutawassitah
Caranya adalah dengan menyiramkan najis tersebut sehingga hilang segala sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Warna, bau dan rasa ini perlu betul-betul hilang selepas pembersihan, barulah ia dianggap sudah suci.
Najis mutawassitah ini terbahagi kepada dua bentuk:
- Ainiyah: Nampak sifat najisnya (warna, bau dan rasa)
- Hukmiyah: Tidak nampak sifat najisnya
Bagi yang tidak nampak sifat najisnya, maka memadailah kita melalukan air padanya. Selepas itu, sucilah ia.
Dalil-dalil najis berkaitan
1. Air laut itu suci
Rasulullah bersabda, “Laut itu suci dan menyucikan airnya lagi halal bangkainya.” (Riwayat Ibnu Khuzaiman dan Tirmidzi)
Air laut itu suci dan segala bangkai dalam laut itu seperti binatang laut adalah bukan najis sama sekali.
2. Samak kulit haiwan
Rasulullah bersabda, “Apabila kulit haiwan telah disamak, maka menjadi suci.” (Riwayat Muslim)
3. Arak itu najis
Rasulullah ditanya tentang arak yang diproses menjadi cuka, jawab baginda, “Tidak boleh.” (Riwayat Muslim dan Tirmidzi)
Dalam hadis ini menegaskan kepada kita bahawa bahan arak itu merupakan najis dan kotor. Ia tidak dibolehkan bagi kita. Kalau terkena arak, wajiblah dibersihkan arak itu terlebih dahulu.
4. Darah haid yang terkena pakaian
Rasulullah bersabda, “Kamu harus menggoresnya, lalu menggosokkan dengan air, kemudian mencucinya, sesudahnya kamu boleh pakai untuk solat.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memberitahu bahawa darah haid itu merupakan najis. Sekiranya kita tahu dan nampak najis tersebut pada pakaian kita, wajiblah kita mencucinya terlebih dahulu. Selepas itu barulah boleh dipakai untuk solat.
5. Kalau ada najis yang tidak hilang-hilang juga
Daripada Abu Hurairah RA, Khaulah pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau bekas darah masih belum juga dapat dihilangkan?” Rasulullah menjawab, “Cukup bagimu hanya mencucinya degan air, sedangkan bekasnya yang masih tertinggal tidak membahayakanmu.” (Riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis ini pula menekankan kepada kita apa yang perlu dilakukan sekiranya ada najis yang kita sudah sehabis baik cuba membersihkannya, tetapi tetap ada kesan-kesannya lagi.
Dalam situasi ini, kita perlu membersihkan sedaya upaya kita, maka kalau ada juga kesannya, itu dimaafkan.
Kesimpulan
Najis mutawassitah merupakan najis pertengahan. Ia merupakan semua jenis najis kecuali mukhaffafah dan mughallazah. Cara untuk membersihkan najis ini adalah dengan mencucikan ia dengan air sampai hilang sifat-sifat najis iaitu warna, bau dan rasa.
Artikel Berkaitan:
- Najis Mutawassitah: Maksud dan Cara Menyucikannya
- Najis Mukhaffafah: Maksud dan Cara Menyucikannya
- Taharah: Jenis Air, Jenis Najis dan Cara Untuk Taharah
Rujukan
- Syarah Safinah an-Najah oleh Ustaz Muhadir Haji Joll
- Bulughul Maram oleh Ibnu Hajar al-Asqalani