Skip to content

Perkara Yang Membatalkan Wudhu (Panduan Lengkap)

Perkara membatalkan wudhu

Apakah perkara yang membatalkan wudhu? Artikel ini akan membincangkan beberapa perkara yang membatalkan wudhu dan penjelasan berkenaan perkara tersebut.

Pengenalan

Wudhu’ diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran, dinamakan wudhu’ kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat syarat, fardhu serta sunat yang harus disempurnakan. (Lihat Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafie, 1/69).

Wudhu’ dalam bahasa mudah adalah suatu perbuatan menggunakan air pada anggota tubuh yang tertentu. Menurut syara‘, wudhu’ bermakna membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua-dua belah kaki dengan syarat dan rukun yang tertentu.

Terdapat tiga tujuan wudhu’ iaitu ingin mendirikan solat, menyentuh al-Quran dan bertawaf di Baitullah.

Rasulullah bersabda, “Barangsiapa tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwudhu’), maka malaikat akan tetap mengikuti lalu ketika ia bangun nescaya malaikat akan berkata : “Ya Allah! Ampunilah hambamu si fulan kerana dia tidur di malam hari dalam keadaan suci.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dari Ibnu Umar R.A.).

Perkara yang Membatalkan Wudhu

Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh membatalkan wudhu’ dalam mazhab Imam Al-Syafi’e :

  1. Keluarnya sesuatu dari dua saluran (qubul dan dubur).
  2. Tidur dalam keadaan yang tidak tetap.
  3. Hilang akal (mabuk atau sakit).
  4. Bersentuhan kulit di antara seorang lelaki dengan perempuan ajnabi tanpa   lapik.
  5. Menyentuh kemaluan anak Adam dengan bahagian dalam (باطن).
  6. Menyentuh halaqah (lubang) dubur dengan bahagian dalam tangan.

1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul

Keluar seuatu dari dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.

Berdasarkan kata-kata Ibn Abbas R.Anhuma : “Wudhu’ itu disebabkan sesuatu yang keluar dan bukannya disebabkan sesuatu yang masuk.” Riwayat Ibn Abi Syaibah (535)

Hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah S.A.W. tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab baginda : “Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.

Bagi wanita, keputihan adalah najis dan membatalkan wudhu’ kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Cecair yang keluar daripada kawasan faraj yang tidak wajib dibasuh dinamakan ( رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal (1/178), Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108).

Berkata Imam Syafie dalam kitab al Umm: “Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada kemaluan, maka hukumnya najis kecuali air mani (Lihat al-Umm 1/72).

Syeikh Muhammad Shalih Al-‘Utsaimin berpendapat keputihan membatalkan wudhu’ seperti kentut dan kencing tetapi jika keputihan keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wudhu’. Oleh itu, tidak perlu mengambil wudhu’ melainkan setelah masuk waktu dan wudhu’ bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran (Lihat Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin : (1/284 – 285).

Wanita yang sentiasa keluar keputihan ketika melaksanakan solat tidak perlu mengulangi wuduknya kerana di luar kawalan selain dihukumkan seperti wanita istihadah. Namun, satu wuduk hanya sah untuk satu fardhu solat dan beberapa amalan sunat.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, sekiranya darah buasir keluar dari bahagian dalam dubur dan bukan secara berterusan, hal itu membatalkan wudhu’ dan menyebabkan solat terbatal manakala jika darah buasir keluar dari luar dubur, hukumnya adalah seperti hukum luka yang mengalir. Hal itu tidak membatalkan wudhu’ namun hendaklah dibalut tempat keluar darah supaya tidak merebak ke tempat lain (Mardia Mazri, 2019).

2. Tidur yang tidak tetap punggungnya

Perkara seteruisnya adalah tidur yang tidak tetap punggungnya kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.

Tidur dalam keadaan duduk dan tetap punggung tidak membatalkan wudhu’. Tetapi jika tidur dalam keadaan mengiring atau punggung tidak menyentuh permukaan lantai boleh membatalkan wudhu’. Anda perlu mengambil wudhu’ semula jika tidur dalam keadaan tidak duduk.

Siapa yang tidur maka hendaklah dia berwudhu’.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sebaik-baiknya, jika tertidur, perlu mengambil semula wudhu’ apabila ingin menunaikan solat.

3. Hilang akal

Hilang akal disini boleh disebabkan mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui dan tidak sedar akan keadaan dirinya.

Ibn al-Mundzir r.h berkata :

“Ulama sepakat mewajibkan berwudhu’ bagi sesiapa yang tidak sedar disebabkan gila atau pengsan. Kami telah meriwayatkan dengan sanad yang tsabit daripada Rasulullah S.A.W bahawa Baginda sakit lalu berwudhu’ sehingga menyebabkan Baginda pengsan.” (Rujuk al-Ausot, jilid 1, ms. 155. 156)

Apabila sedar, baginda bertanya lagi kepada Aisyah: Adakah orang ramai telah solat? Jawab Aisyah: Belum. Mereka menunggu engkau. Baginda berkata: Bawakan air wudhu’ yang berada dalam Mikhdhab (sejenis bekas) itu untukku. Aisyah berkata: Baginda duduk lalu membasuh (berwudhu’). Tiba-tiba sakit itu menyerang lagi dan baginda terus pengsan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Menyentuh Kemaluan atau Dubur

Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan tapak tangan walaupun kemaluan sendiri merupakan antara perkara yang membatalkan wudhu’ berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Busrah binti Sofwan R.anha, beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah.” (Riwayat Abu Dawud (181), al-Nasaie (163), Ibn Majah (479))

Sekiranya seseorang memasukkan sesuatu ke dalam duburnya lalu bahagian dalam tangannya menyentuh lubang duburnya, maka keadaan ini membatalkan wudhu’, kecuali jika memakai sarung tangan, ia tidak membatalkan wudhu’.

5. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram).

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan (2020), pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie menyatakan bahawa bersentuhan di antara yang berlainan jantina yang bukan mahram seperti perempuan dan lelaki ajnabi tanpa berlapik akan membatalkan wudhu’. 

Suami dan isteri yang bersentuhan kulit membatalkan wudhu’ kedua-duanya. Tidak batal wudhu’ sekiranya bersentuhan dengan berlapik dan ini merupakan pendapat yang muktamad di dalam mazhab Imam Syafie dan ia diamalkan di Malaysia.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya : “Sesungguhnya persentuhan kulit seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wudhu’ sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Tetapi, persentuhan tersebut tidak membatalkan wudhu’ sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/30)

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebut bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukum sebagai najis apabila telah mati sama ada mereka Muslim atau kafir (bukan Islam).

Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 28 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang Musyrik itu najis.” Najis yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis dan bukan kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10).

Berjabat tangan atau seumpamanya yang sama jantina tidak membatalkan wudhu’ walaupun berlainan agama (Muslim dengan bukan Muslim) (Tengku Ibrahim Helmi, 2020).

Penutup

Solat adalah tiang agama. Allah tidak akan menerima solat seseorang apabila hambaNya dalam keadaan berhadas sehingga orang itu mengambil semula wudhu’ dengan sempurna dalam keadaan bersih. Ambil wudhu’ untuk menyucikan diri anda dari hadas kecil sebelum mengerjakan solat.

Umat Nabi Muhammad S.A.W. yang rajin berwudhu’ dengan sempurna ketika di dunia akan bercahaya gilang-gemilang anggota badan yang berwudhu’ di Padang Mahsyar.

Bab dan hukum-hakam agama perlu dijaga, dititikberatkan dan tidak boleh dipandang ringan terutamanya yang melibatkan ibadah solat kerana perkara pertama yang akan disoal di akhirat kelak adalah solat. Jika solat dikerjakan secara main-main, ia akan dicampakkan semula ke wajah umpama kain buruk.

Mempelajari, mengetahui dan mendalami ilmu agama terutamanya yang berkaitan dengan ibadah adalah dituntut dan digalakkan agar ibadah yang dilaksanakan sempurna dan sah.

Artikel Berkaitan:

  1. Cara Mengambil Wudhu Berserta Niat

Rujukan

  1. Dawud al-Hawariy. (2019). Al-Kafi #1312: Adakah menyentuh kemaluan anak kecil membatalkan wudhu’? Dari Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Mardia Mazri. (2019). Al-Kafi #1483 : Hukum wudhuk dan solat bagi pesakit buasir. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Muhammad Fahmi Rusli. (2019). Al-Kafi #1418 : Adakah kemasukan supositori ke dalam dubur membatalkan wuduk? Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty − one =