Skip to content

Hukum Derma Organ. Boleh atau Tidak?

hukum derma organ

Apakah hukum derma organ? Artikel ini akan membincangkan berkenaan hukum derma organ berserta penerangan ringkas dengan dalil.

Pengenalan

Derma organ ini adalah apabila tisu organ seseorang tidak mampu berfungsi lagi, maka bolehlah mendapatkan organ yang masih sihat tisunya untuk dipindahkan kepada pesakit. Organ tersebut bolehlah didapati daripada penderma. Selalunya, organ-organ yang dipindahkan itu adalah buah pinggang, hati, dan lain-lain.

Pemindahan itu dipanggil sebagai transplantasi. Ia memindahkan tisu dan sel organ manusia kepada manusia yang lain.

Apa hukum derma organ?

Baik, ia terikat dengan keadaan.

1. Pendapat yang mengatakan HARUS

Ulama menetapkan pemindahan organ daripada orang yang sudah mati adalah harus dengan empat syarat:

  • Sebelum orang itu mati, dia harus reda dan setuju dulu untuk diderma organnya.
  • Cara nak memindah organ itu haruslah terbukti berkesan, bukan sekadar eksperimen tetapi cara yang diiktiraf dalam dunia perubatan.
  • Pemindahan itu mesti bertujuan untuk berubat sahaja.
  • Tiada unsur jual beli, yang ada hanya pendermaan ikhlas yang tak diisi dengan apa-apa transaksi wang.

Jika pemindahan itu daripada manusia yang hidup, kepada manusia lain pula, Majma’ Fiqh Al-Islami sudah mengeluarkan fatwa yang ianya harus berdasarkan empat syarat:

  • Penderma mesti rela nak beri, bukan dipaksa.
  • Pemindahan itu mestilah dijadikan ikhtiyar terakhir dan ianya mestilah benar-benar darurat.
  • Operasi pemindahan mesti diiktiraf. Senang cerita, yang betul-betul pasti ia akan menjadi.
  • Janganlah membahayakan si penderma. Kalau penderma selepas mendermakan organ itu, hidupnya pasti menjadi lebih bahaya dan susah payah, lebih baik tidak menderma. Keadaan di penderma juga harus diperhati baik dari segi fizikal dan mental.

Allah berfirman:

Oleh sebab itu, kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Surah Al-Maidah ayat 32)

Siapa yang mendermakan organnya kepada manusia lain, seolah-olah dia telah menyelamatkan manusia itu tadi dengan mengembalikan deria yang hilang dan rosak.

2. Pendapat yang mengatakan HARAM

Allah berfirman:

Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah ayat 195)

Beri organ pada orang lain itu seolah-olah menghilang fungsi dalam badan dan ini merupakan suatu kebinasaan seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran tadi. Ia terpakai pada yang hidup dan mati, sama sahaja. Tetap haram. Rasulullah bersabda:

Memecahkan tulang si mati sama seperti memecahkan tulang orang hidup pada hukum berdosanya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Memecahkan tulang ini sama macam memindahkan organ. Kesannya sama, iaitu menghilangkan manfaat.

Satu kaedah fiqh juga mengatakan:

Kemudaratan itu tidak dihilangkan dengan kemudaratan.

Maknanya, benda yang bahaya, tidaklah boleh digantikan dengan benda yang bahaya juga. Orang yang kehilangan fungsi organ, itu kemudaratan padanya. Tetapi, bila ada orang lain yang menderma organ dia, itu sudah dipindahkan kemudaratan pada si penderma pula. Mudarat juga. Jadi ini tidak boleh sama sekali. Membantu orang sampai merugikan diri sendiri.

Kalau nak membantu seperti bersedekah, kita disuruh oleh Islam untuk membelanjakan harta yang lebih selepas pembiayaan pokok diri sendiri sudah terlangsai. Samalah dengan konsep ini.

Kesimpulan

Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya Al-Muwafaqaat berkata:

Sesungguhnya kebaikan dan keburukan itu berbeza. Tidak dapat dikatakan bahawa padanya ada kebaikan sahaja, kerana kebaikan itu tetap akan ada bercampur dengan suruhan atau kerumitan, sama ada sedikit atau banyak.  Apa yang kita faham adalah sesuatu itu mempunyai antara kebaikan atau keburukan. Penentunya adalah bergantung kepada apa yang terlebih padanya. Jika yang melebihi adalah jenis kebaikan, maka keadaan biasa menghukumkan sebagai kebaikan. Tetapi jika keburukan yang lebih berat, maka mengikut keadaan, ia adalah keburukan. Oleh itu, hendaklah melihat yang mana lebih berat daripada dua keadaan itu.

Dalam hal manusia, mesti ada dua-dua, kebaikan dan keburukan. Jadi, harus dilihat mana satu yang lebih tinggi, adakah kebaikan atau keburukan? Kalau kebaikan yang lagi kuat, maka baiklah ia. Kalau keburukan, maka sebaliknyalah ia.

Hukum derma organ, ada dua. Harus dan haram. Harus sekiranya ia menetapi syarat-syarat yang ditetapkan ulama. Haram sekiranya ia bercampur keburukan yang lebih tinggi kepada penderma itu kembali.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum BerzinaHukum Cukur Bulu
Hukum Gantung Gambar dalam RumahHukum Gugurkan Kandungan
Hukum Main ForexHukum Warnakan Rambut
Hukum Baca Al-quran Ketika HaidHukum Buang Tahi Lalat
Hukum Makan Dakwat SotongHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Rujukan

  1. Pendermaan Organ – MuftiWP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight − six =