Skip to content

Hukum Lelaki Pakai Cincin. Boleh atau tidak?

hukum lelaki pakai cincin

Apakah hukum lelaki pakai cincin sama ada boleh atau tidak? Artikel ini akan membincangkan dalil-dalil berkenaan perkara ini.

Pengenalan

Hal ehwal memakai cincin ini sudah menjadi satu isu yang sering diperdebatkan oleh masyarakat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tak boleh. Ada yang kata mazhab lain-lain. Ada yang kata makruh. Jadi, agak payah untuk kita tarik satu kesimpulan tentang bagaimana nak memakai cincin dengan mengikut sunnah baginda nabi SAW.

Jadi, kita kena elak dulu gaya memakai cincin mana satu yang ditegah menurut sunnah baginda.

Penggunaan Cincin yang Diharamkan oleh Nabi

Bagi lelaki, haram sama sekali untuk memakai cincin emas. Ini adalah kerana, nabi pernah mempunyai cincin lalu ditegur oleh Jibril AS.[i] Ini adalah kerana hukum hakam Islam secara terperinci diturunkan kepada nabi selepas peristiwa mikraj. Jadi, perlahan-lahan hukum Islam itu diterapkan supaya ia sebati dengan masyarakat.

Selepas ditegur oleh Jibril AS, nabi terus membuka cincin emas tersebut dan buang. Baginda pun berkata, “Aku tak akan memakainya lagi!” Nabi pun mula memakai cincin yang diperbuat daripada perak. Ibnu Umar berkata, selepas itu cincin perak yang dipakai oleh nabi tersebut, diwariskan kepada Abu Bakar. Lepas itu, Umar dan akhirnya Uthman. Cincin tersebut hilang sebab terjatuh dalam telaga. Kisah ini adalah menurut Sahih Muslim.

Cincin yang dipakai nabi itu pun, digunakan untuk buat cop surat. Ini adalah menerusi Anas Bin Malik dalam hadis riwayat Muslim. Rasulullah mempunyai cop pada cincin perak baginda yang tertulis Muhammad Rasul Allah, perkataan secara berasingan dengan tiga baris. Siapa yang nak pakai cincin yang ada cop Muhammad Rasul Muhammad, diingatkan untuk buka bila nak masuk ke tandas. Ini adalah untuk menghormati nama Allah dan Rasul yang terletak pada cincin tersebut.

Jadi, di sini, boleh memakai cincin selain daripada emas. Sebagaimana Abu Hurairah laporkan,

Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.” (Hadis riwayat Muslim)

Kata Imam Nawawi dalam Minhaj Syarah Sahih Muslim, telah ijmak akan keharusan perempuan memakai cincin emas. Dan juga, telah ijmak juga akan pengharaman lelaki memakai cincin emas.

Di sini, jelas. Perempuan harus pakai cincin emas. Lelaki haram memakai cincin emas, pada jari mana-mana sekalipun. Asalkan emas, haram.

Jari Mana Yang Boleh Pakai Cincin?

Soalan lagi satu, jari yang mana satu?

Ali Bin Abi Talib berkata,

Rasulullah SAW menegahku dari memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk.” (hadis riwayat Muslim)

Rasulullah pernah melarang Saidina Ali daripada memakai cincin pada jari tengah (jari hantu) dan jari telunjuk. Dua jari ini, tidak boleh.

Adapun Imam Nawawi sebut yang memakai cincin pada jari tengah dan telunjuk ini merupakan makruh tanzih. Apa itu makruh tanzih?

Ia merupakan kesalahan yang tanpa dosa yang menyalahi adab. Sama seperti minum sambil berdiri. Ini adalah makruh tanzih. Ia tidak salah, tapi tidak beradab atau tidak afdhal.[ii]

Jadi, pakai cincin pada jari tengah dan telunjuk ini tidaklah sampai haram, tetapi makruh tanzih.

Dalam Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi sebut yang sunat bagi lelaki dan juga perempuan untuk memakai cincin pada jari kelinking iaitu jari yang paling kecil sekali. Ini menurut Imam Nawawi adalah ijmak akan hukum sunatnya. Tidak kiralah tangan kiri atau tangan kanan. Asalkan jari kelingking, sunat hukumnya.

Ada hadis yang Nabi memakai pada tangan kiri, seperti kata Anas Bin Malik,

Adalah Nabi SAW memakai cincin pada jari ini (sambil menunjukkan ke arah jari kelinking pada tangan kirinya).” (Hadis riwayat Muslim)

Namun, ada juga yang mengatakan bahawa Nabi memakai cincin pada jari tangan kanan, seperti yang diriwayatkan dalam Syamail Al-Muhammadiah.[iii]

Kesimpulan

Lelaki tidak boleh memakai cincin emas, sebaliknya yang boleh hanyalah cincin yang dibuat daripada selain emas seperti perak, batu permata dan lain-lain. Digalakkan memakai perak, sebab itu yang nabi pakai.

Sepakat ulama kata sunat hukumnya memakai cincin pada jari kelingking yakni jari kecil, dan ia boleh dipakai pada mana-mana tangan, baik kanan atau kiri. Yang dimakruhkan adalah pemakaian pada jari telunjuk dan jari tengah seperti kata Imam Nawawi.

Jari kelingking, sunat hukumnya.

Diharapkan aritikel hukum lelaki pakai cincin ini dapat memberikan sedikit sebanyak ilmu pada para pembaca.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum BerzinaHukum Cukur Bulu
Hukum Gantung Gambar dalam RumahHukum Gugurkan Kandungan
Hukum Main ForexHukum Warnakan Rambut
Hukum Baca Al-quran Ketika HaidHukum Buang Tahi Lalat
Hukum Makan Dakwat SotongHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Rujukan:

  1. Why Did The Prophet Wear a Silver Ring and What was its Meaning – Salam Web
  2. Pahami arti Makruh Tahrim , Makruh Tanzih dan Haram Jangan Sampai Salah – Merdeka
  3. 205 Sunnah Way of Wearing a Ring – The Sunniway

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen + 17 =