Skip to content

Hadis tentang Islam, Iman, Ihsan dan Tanda Kiamat

adith tentang islam, iman dan ihsan imam nawawi hadis 40

Artikel ini akan membincangkan Hadis Kedua dalam buku Hadis 40 (hadis arbain) karangan Imam Nawawi iaitu berkaitan dengan Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda dekatnya hari kiamat.

Isi Kandungan
  1. Matan Hadis Bahasa Arab dan Maksudnya
  2. Adab Menuntut Ilmu daripada hadis ini
  3. Islam
  4. Iman
  5. Ihsan
  6. Tanda-tanda Hari Kiamat

Hadis dan Maksudnya

Di dalam hadis ini, ia menceritakan tentang malaikat Jibril yang berjumpa dengan nabi untuk mengajarkan berkenaan islam, iman dan ihsan.

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا قَالَ

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم ذَاتَ يَوْمٍ، إذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم . فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ،

وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ.

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إنْ اسْتَطَعْت إلَيْهِ سَبِيلًا.

قَالَ: صَدَقْت . فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ!

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ.

قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ.

قَالَ: صَدَقْت. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ.

قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك.

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ.

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا،

ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟.

قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ

Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.

Kemudian dia berkata: Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!

Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). 

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.           

(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini meliputi semua amalan zahir dan batin dari urusan keimanan, pekerjaan anggota dan urusan hati. Segala ilmu syariat lahir daripada hadis ini. Jadi, hadis ini merangkumi kepada penjelasan agama seluruhnya.

Adab menuntut ilmu

Dalam menuntut ilmu, kita mesti memastikan penampilan kita kemas dan bersih. Dalam hadis ini, Jibril menjelmakan dirinya sebagai seorang lelaki. Selain itu juga, Jibril menunujukkan kepada kita cara beradab ketika berada dalam majlis ilmu dan beradab dengan ulama. Kedatangannya bermaksud untuk menyampaikan dan mengajar agama kepada Rasul dan umatnya.

Terdapat berapa adab atau karakter yang boleh diikuti sebagai seorang penuntut ilmu iaitu;

  1. Menggunakan pakaian yang bersih ketika ingin belajar atau belajar. Ia ditunjukkan oleh Jibril dimana pakaian jibril yang sangat putih dan tiada kekotoran
  2. Penampilan yang kemas. Ia ditunjukkan oleh jibril dimana rambutnya yang sangat hitam dan penampilan atau mukanya tidak mempunyai kesan perjalanan jauh.
  3. Keperluan bertalaqqi untuk sesuatu ilmu. Ia ditunjukkan oleh Jibril dimana Jibril duduk dihadapan nabi sehinggan lutut bertemu lutut.

Perkara yang disampaikan oleh Jibril adalah mengenai hakikat Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda hari kiamat.

Takrif Islam

Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah diri kepada Allah Taala. Islam menurut syarak ialah agama yang ditegakkan atas lima asas.

  1. Dua kalimah syahadah : “Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad SAW adalah utusan Allah”
  2. Mendirikan sembahyang
  3. Menunaikan zakat
  4. Berpuasa pada bulan Ramadhan
  5. Menunaikan haji ke Baitullah sekali seumur hidup

Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasul-nya yang menjamin keselamatan dan kebahagiaan hidup bagi penganutnya. Firman Allah dalam Surah Al-imran ayat 19

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَٰمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”

Disini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang datang dari Allah. Ia bukan agama rekaan dan ciptaan akal manusia. Sesiapa yang menolak agama Islam serta mengingkarinya akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah Al-imran ayat 85.

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya : “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”

Rukun Islam

Rukun islam adalah rukun-rukun atau perkara yang perlu dilakukan untuk menegakkan islam atau untuk dikira sebagai seorang islam. Terdapat 5 rukun islam iaitu:

1. Syahadah

Syahadah adalah pengakuan hati dan keyakinan jiwa terhadap keesaan Allah dan kebenaran Nabi Muhammad SAW sebagai utusannya yang membawa Rahmat ke seluruh alam. Sebab itu manusia mestilah tunduk dan mengabdikan diri kepada Allah serta memohon pertolongan secara langsung tanpa menggunakan perantaraan.

Firman Allah dalam surah Al-anbiya ayat 25:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِىٓ إِلَيْهِ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدُونِ

Maksudnya : “dan tidak Kami utuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami wahyukan kepadanya: Sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku.”

Ayat di atas adalah asas tauhid bagi agama Islam dan asas dakwah atau seruan para Rasul kepada setiap umatnya. Setelah mengakui bahawa Tuhan itu ialah Allah yang wajib disembah, maka wajib diakui bahawa Muhammad SAW adalah RasulNya yang mendapat wahyu dari Allah.

2. Mendirikan solat

Solat adalah perintah Allah yang diwajibkan setiap hari ke atas orang-orang Islam. Ia mesti dilaksanakan pada waktunya cukup dengan syarat dan rukunnya serta disempurnakan dengan sunat dan adatnya. Solat yang sempurna akan mendidik fikiran hati dan jiwa ke arah kesucian dan kemuliaan. Selain itu, jiwa manusia juga akan terhindar dari kehinaan maksiat dan mungkar. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45:

وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya: “dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Meninggalkan solat dengan sengaja bererti membuka ruang ke arah kekufuran. Sabda Rasulullah SAW

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya antara seorang lelaki dan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat.”

3. Mengeluarkan zakat.

Zakat adalah ibadah harta benda dari seorang Islam. Orang Islam yang mempunyai harta dengan kadar tertentu dan syarat tertentu diwajibkan mengeluarkan zakat. Zakat adalah suatu bentuk penyucian harta dan jiwa. Dengan mengeluarkan zakat, harta yang telah diusahakan akan mendapat keberkatan dari Allah. Selain itu,peribadi orang yang mengeluarkan zakat terhindar daripada sifat kedekut dan tamak.

Keperluan mengeluarkan zakat sama dengan kewajipan mendirikan solat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 110:

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.”

4. Berpuasa

Berpuasa pada bulan Ramadhan adalah wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh syariat Islam. Faedah puasa adalah untuk mencapai taqwa. Taqwa adalah sebab penghapusan dosa dan membuka jalan ke arah kebaikan serta mudah segala urusan. Ibadat puasa mendidik jiwa dengan sifat-sifat mulia, antaranya sabar ketika menahan diri dari makan dan minum, mengekang nafsu ammarah, dapat menjiwai perasan org dalam kelaparan dan melahirkan budi pekerti terpuji

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak berhajat dengannya meninggalkan makan dan minum”

5. Mengerjakan haji

Setiap muslim yang cukup syarat wajib mengerjakan haji di Mekah. Kewajipan ini adalah bagi mereka yang mampu menyediakan keperluan dan bekalan untuk bermusafir dan nafkah kepada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Mereka yang menunaikan haji bukan untuk mendapatkan dunia, tetapi ia adalah tuntutan agama Islam. Firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 97:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَٰلَمِينَ

Maksudnya : “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

Ibadat haji merangkumi perbuatan, perkataan, hati dan harta. Kerana itu ibadat haji dilakukan di tempat yang khusus dan pada masa yang khusus iati pada bulan haji. Haji satu ibadat yang mengalamai kepayahan dan kesusahan . Namun orang Islam mampu sabar dalam mentaati perintah Tuhannya.

Kesimpulan

وَمَن يُسْلِمْ وَجْهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan” (Surah Luqman: 22)

Demikianlah lima rukun Islam yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW iaitu rukun yang dapat dilakukan oleh perkataan, perbuatan, harta dan hati. Apabila sempurna perlaksanaan kelima-lima rukun Islam ini, maka dia adalah seorang Muslim yang berjaya.

IMAN

Artikel ini membincangkan sambungan huraian daripada Hadis 2 berkenaan dengan iman. Dalam hadis Rasulullah SAW menerangkan 6 rukun iman yang wajib diyakini. Pertama, beriman kepada Allah, beriman kepada malaikatNya, kitabNya, para rasulNya, kepada hari kiamat, dan kepada qada’ dan qadar.

Definisi Iman

Iman menurut bahasa adalah perakuan. Ulama hadis dan fekah telah berpendapat bahawa iman ialah :

التصديق بالقلب والاقرار باللسان والعمل بالاركان

“Membenarkan dengan hati, ikrar dengan lidah dan beramal dengan semua rukun-rukun iman.”

Iman dari segi syarak ialah memperakui kewujudan Allah sebagai pencipta tanpa berbelah bahagi. Sesungguhnya Allah itu Maha Suci dan Esa tiada sekutu bagiNya. Sesungguhnya, iman manusia ini ada turun naik. Iman seseorang itu boleh bertambah dan berkurang, bertambah dengan ketaatan, berkurang apabila melakukan maksiat. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2.

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

Rukun Iman

Rukun iman adalah perkara atau rukun yang perlu dipenuhi supaya seseorang itu boleh digelarkan sebagai seorang yang beriman. Terdapat 6 rukun iman iaitu

1. Beriman kepada Allah

Beriman Kepada Allah bererti percaya kepada wujudnya tuhan yang sempurna sifatnya secara mutlak, pencipta Alam ini penyusun peraturannya pengatur perjalanannya. Dia Tuhan (Allah) yang wajib disembah dan diakui kemuliaannya, kekuasaannya dan dipatuhi hukum-hukumnya.  Firman Allah dalam surah Muhammad Ayat 19.

فَٱعْلَمْ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَىٰكُمْ

Maksudnya : Maka ketahuilah, bahwa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat kamu tinggal.

Bukti yang menunjukkan wujud Allah ialah wujudnya sekelian makhluk. Kehidupan di dunia, yang terdiri dari langit dan buminya, perubahan malam dan siangnya, pelayaran kapal di dalam laut membawa muatannya, penghidupan tanaman dengan airnya, peredaran angin dan awan menurut masanya. Semua ini adalah menjadi bukti yang nyata menunjukkan keEsaan Allah dan semuanya adalah menjadi sumber bagi kehidupan manusia di dunia ini.

2. Beriman kepada malaikat

Memperakui kewujudan malaikat, mereka merupakan hamba yang dimuliakan, mereka melaksanakan segala apa yang diperintahkan. Allah menciptakan mereka daripada cahaya, mereka tidak makan, tidak berjantina, dan tidak beranaka pinak. Bilangannya hanya Allah sahaja yang ketahui. Malaikat menjalankan tugas yang ditentukan oleh Allah antaranya:

  • Jibril membawa wahyu
  • Mikail menurunkan rezeki
  • Izrail mengambil nyawa
  • Israfil meniup sangkakala
  • Raqib dan Atid menjadi penulis amal manusia yang baik dan yang jahat
  • Munkar dan Nakir menyoal orang-orang mati dalam kubur
  • Ridwan – penjaga syurga; Malik – penjaga neraka 

Mengenai ketaatan dan kepatuhan malaikat, Allah berfirman dalam surah An-Nahl ayat 49-50.

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ مِن دَآبَّةٍ وَٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ يَخَافُونَ رَبَّهُم مِّن فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: Dan kepada Allah sajalah bersujud segala apa yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri. Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka).

3. Beriman kepada kitab-kitab

Mengiktiraf kitab-kitab Samawi yang diturunkan daripada sisi Allah Taala. Kita wajib beriman kepada 4 kitab yang telah diturunkan kepada para Nabi.

  • Zabur diturunkan kepada Nabi Daud
  • Taurat diturunkan kepada Nabi Musa
  • Injil diturunkan kepada Nabi Isa
  • al-quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah sempurna, maka kitab-kitab dahulu sebelumnya tidak lagi boleh digunapakai. Al-Quran diturunkan untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT dalam surah Isra ayat 9

إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu’min yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar

Al-Quran bukan untuk dibaca untuk mendapatkan pahala sahaja, namun perlu memerhati dan meneliti maksud ayat-ayat al-Quran agar mendapat pengajaran daripadanya. Selain itu, dengan mentadabbur aat-ayat al-Quran, maka kita akan dapat mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan amal harian. Firman Allah dalam surah Sod 29

كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ

Maksudnya: Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

4. Beriman kepada rasul-rasul

Beriman dengan para Rasul dan Nabi adalah wajib kerana ia merupakan satu asas agama. Membenarkan semua Rasul yang dipilih bagi menyampaikan hidayah kepada makhluk-Nya, juga yakin bahawa mereka adalah manusia yang maksum. Maksum ialah terpelihara daripada salah dan silap. Sesiapa yang mencuaikannya, menjadi kufur. Firman Allah dalam surah al-Baqarah 285

ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِۦ ۚ وَقَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya: Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): “Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya”, dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat”. (Mereka berdoa): “Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

Wajib beriman dengan semua rasul kerana mereka semua diutuskan oleh Allah untuk membawa misi yang sama. Rasul -rasul itu ditugaskan untuk menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah dan beribadat kepadaNya. Firman Allah dalam surah al-‘Ankabut ayat 16

وَإِبْرَٰهِيمَ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱتَّقُوهُ ۖ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksundya: Dan (ingatlah) Ibrahim, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Sembahlah olehmu Allah dan bertakwalah kepada-Nya. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Beriman secara terperinci terhadap para rasul yang disebutkan dalam al-Quran di mana bilangannya seramai 25 orang. Di anatara mereka terdapat 5 orang Rasul Ulul Azmi. Mereka ialah Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Nuh. Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat 35

فَٱصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْعَزْمِ مِنَ ٱلرُّسُلِ وَلَا تَسْتَعْجِل لَّهُمْ ۚ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوٓا۟ إِلَّا سَاعَةً مِّن نَّهَارٍۭ ۚ بَلَٰغٌ ۚ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْفَٰسِقُونَ

Maksudnya :  Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka. Pada hari mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka (merasa) seolah-olah tidak tinggal (di dunia) melainkan sesaat pada siang hari. (Inilah) suatu pelajaran yang cukup, maka tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik.

Rasul Ulul Azmi memperolehi gelaran tersebut lantaran kesabaran mereka menghapi dan menanggung tentangan getir kaum mereka. Mereka juga bersabar dan tabah mendepani kesukaran dan kepayahan dalam menyampaikan dakwah Islam. Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada sekelian manusia, maka seruannya pun ditujukan kepada sekelian manusia.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 21

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksundya :  Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa

5. Beriman kepada hari akhirat

Memperakui kewujudan hari akhirat. Allah SWT akan membangkitkan manusia dari kubur mereka dan menghitung amalan mereka. Hari akhirat bermula dengan lenyap dunia ini. Maka semua makhluk yang bernyawa di dalamnya akan mati. Bumi dan langit turut bertukar rupa dan Allah akan mulakan Kejadian dalam bentuk kejadian yang baru (alam akhirat).

Pada hari itu akan di bangkit dan dihitung segala amal manusia, diberikan balasan yang sesuai dengan amal itu, yang baik dibalas baik yang jahat dibalas jahat. Hari akhirat hari pembalasan sedang hari dunia ialah hari yang ada sekarang, iaitu hari melaksanakan amal dan pekerjaan. Hanya Allah yang mengetahui bila waktu akan berlakunya hari tersebut. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 63

يَسْـَٔلُكَ ٱلنَّاسُ عَنِ ٱلسَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ ٱلسَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا

Maksudnya : Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah”. Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.

Peristiwa peristiwa hari kiamat yang wajib diyakini antaranya ada kebangkitan semula, perhimpunan di padang mahsyar, hisab, catatan amalan, neraca timbangan, sirath, kolam, syafaat, neraka dan syurga.

6. Beriman dengan qadha’ dan qadar

Beriman kepada takdir baik dan jahat sama ada yang telah berlaku yang sedang dan akan berlaku adalah dari tuntutan Islam. Beriman kepada takdir bererti percaya bahawasanya Allah mengetahui perjalanan hamba-hambaNya, hal ehwal mereka dan mentadbir urusan mereka. Kita harus percaya bahawa segala sesuatu yang berlaku dalam alam ini adalah dengan izinNya. Apa saja yang mengenai manusia sama ada yang bermanfaat dan yang mudarat adalah dengan iradah dan qudrat Nya. Firman Allah dalam surah at-Taghabun ayat 11

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya : Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan ijin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Memperakui bahawa semua perkara yang berlaku dalam alam sejagat ini merupakan takdir dan iradat Allah ta’ala. Ia berdasarkan hikmat yang hanya diketahui Allah. Contohnya, bila kita terjatuh dari tangga, ia bukanlah kehendak manusia, namun ia berlaku dengan iradah Allah. Alam ini tidaklah terjadi dengan sendirinya dan tidak pula dibiarkan segala kejadian. tetapi Alam dan yang berlaku di dalamnya menurut ketentuan qudrat Allah dan perhitunganNya. Firman Allah dalam surah al-Qamar ayat 49

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَٰهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya : Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.

Maka dengan ukuran itu berlakulah segala kejadian, ertinya segala kejadian berlaku pada alam dan pada diri manusia menurut ukuran atau qadar. Sihat dan sakit, kaya dan miskin, nikmat dan sengsara, segala yang berkaitan dengan kehidupan manusia dalam perkara yang ia sendiri tidak berupaya mengubah dan menukarkannya semua itu adalah termasuk dalam ketentuan qadar Allah.

Oleh itu, beriman kepada rukun iman merupakan asas akidah bagi setiap muslim. Sesiapa yang meyakininya, maka dia akan berjaya dan selamat. Sementara sesiapa yang mengingkarinya, dia akan sesat dan gagal.

IHSAN

Apa itu Ihsan?

Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Iaitu kamu ikhlas di dalam beribadah kepada Allah dan disertai penuh ketekunan seolah-olah kamu melihat Allah ketika melakukan ibadat, sekiranya kamu tidak mampu mencapai tahap tersebut ingatlah bahawa Allah SWT melihat kamu dan perbuatan kamu sama ada kecil mahupun besar.

Beribadat perlu kepada ihsan kerana ihsan akan mengangkat seseorang kepada makam syuhadah dan dari makan ini meningkat ke Makam Shiddiqin iaitu ke darjat orang-orang yang benar lagi jujur kepada Tuhan rabbul alamin.

Ihsan  boleh berlaku kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Contoh ihsan dengan manusia, menghormati mereka yang lebih tua, membantu mereka yang memerlukan. Ihsan kepada mereka yang lebih muda adalah dengan memberi kasih sayang dan tunjuk ajar, agar perkembangan hidup mereka mengikut acuan yang dikehendaki oleh Allah.

Ihsan terhadap haiwan juga sangat penting. Contohnya, apabila kita ingin menyembelih haiwan tersebut, binatang itu perlulah direhatkan, alat sembelihan perlulah ditajamkan.  Sabda Rasulullah SAW

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْح وَ ليُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

“Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan (baik) dalam segala hal. Jika kalian membunuh maka bunuhlah dengan ihsan, jika kalian menyembelih, sembelihlah dengan ihsan. Hendaknya kalian mempertajam pisaunya dan menyenangkan sembelihannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Sifat ihsan dengan tumbuh-tumbuhan disekeliling kita penting bagi memastikan ekosistem di bumi tidak rosak. Kita tidak boleh menebang dan mencantas pokok tanpa tujuan. Dengan tertanamanya sifat ihsan dalam diri kita, maka suasana alam sekeliling akan sejahtera dan harmoni.

HARI KIAMAT DAN TANDA-TANDANYA

Ilmu tentang waktu berlakunya kiamat merupakan antara ilmu yang hanya diketahui oleh Allah sahaja. Tiada seorang pun makhlukNya sama ada malaikat mahupun rasul yang mengetahui bilakah kiamat akan berlaku. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-A’raf 187

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَىٰهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّى ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَآ إِلَّا هُوَ

Maksudnya: Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia (Allah).

Hari kiamat tidak diketahui bilakah kedatangannya walaupun dia pasti datang, tetapi tanda-tanda telah pun ada sebagaimana yang dikatakan Rasulullah SAW dalam jawapan kepada Jibril Alaihissalam iaitu:

1. Berlakunya kerosakan di zaman tersebut. Rosaknya akhlak dimana ramai anak-anak derhaka kepada ibu bapa mereka. Mereka bergaul dengan orang tua mereka seperti tuan terhadap hambanya.

2. Berlaku situasi terbalik dan bercampur baur. Pemimpin diserahkan kepada bukan ahlinya, harta bertambah banyak di tangan manusia, bertambah kemewahan dan pemborosan, manusia bermegah-megah dengan bangunan yang tinggi, perhiasan yang banyak serta merasa bongkak terhadap makhluk. Mereka yang sebelum ini berada dalam kemiskinan dan kesengsaraan hidup di atas ihsan orang lain, seperti orang Arab Badawi yang dahulunya menjadi pengembala kambing, ketika itu menjadi penguasa dan pentadbir.

Kemudian di akhir Hadis tersebut, di terangkan bahawa lelaki yang bertanya itu menghilangkan diri. lalu Nabi SAW bertanya : “Tahukah siapa yang datang bertanya padaku hai Umar?” aku menjawab : “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu” kemudian Nabi SAW berkata : ” itulah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar agama kamu”

Hadis ini mengandungi beberapa pengajaran, di antaranya ialah:

1. Agama Islam adalah dari Allah disampaikan kepada Nabi s.a w. melalui Jibril a.s. dan pengajarannya tidak mungkin diketahui serta difahami kecuali dengan belajar. Setiap Muslim wajib belajar agama serta memahaminya supaya dapat beri’tikad dan beramal dengan cara yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya.

2. Agama Islam terdiri dari iman, islam dan ihsan. Ini bererti seorang yang beragama hendaklah yakin dengan erti kata yang sebenar beramal menurut apa yang diperintah dan melaksanakan ibadat dengan cara yang sebaik-baiknya. Sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 30

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

Maksudnya: Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik.

3. Tidak ada siapa di antara manusia dapat mengetahui tentang kedatangan hari kiamat, jika ada orang yang mengaku mengetahuinya maka teranglah dustanya, sedangkan Nabi Muhammad SAW tidak mengetahuinya. Hanya yang dapat diketahui tanda-tanda hampir hari kedatangan kiamat itu.

4. Barangsiapa yang ditanya mengenai sesuatu yang tidak diketahuinya maka dia wajib berkata “saya tidak tahu” ini merupakan tanda dia seorang yang wara’ , bertaqwa dan memiliki ilmu yang benar.

5. Antara pendekatan pendidikan adalah soal jawab. Ia merupakan pendekatan pendidikan yang berjaya. Sesungguhnya dalam pengajaran Nabi SAW, pendekatan ini digunakan dalam kebanyakan hadis Nabawi.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Akhir Zaman

Hadis Arbain yang lain:

1. Hadis Niat5. Hadis Berkenaan Bidaah dalam Agama
2. Hadis Islam, Iman, Ihsan dan Tanda Kiamat6. Hadis Berkenaan Halal, Haram dan Syubhah
3. Hadis Asas Islam7. Hadis Agama adalah Nasihat
4. Hadis Kejadian Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + 10 =