Skip to content

10 Tanda-tanda Akhir Zaman Yang Anda Perlu tahu

tanda akhir zaman

Apakah tanda-tanda akhir zaman? Artikel ini akan membincangkan beberapa tanda akhir zaman berdasarkan dalil alquran dan hadis

Pengenalan

Beriman kepada hari kiamat adalah rukun iman kelima dalam enam rukun iman yang lain dan ia wajib diyakini oleh semua umat Islam. Sekiranya seseorang itu mengingkarinya maka terkeluarlah dia daripada fahaman dan ajaran Islam.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Haj, ayat 7:

وَّاَنَّ السَّاعَةَ اٰتِيَةٌ لَّا رَيْبَ فِيْهَاۙ وَاَنَّ اللّٰهَ يَبْعَثُ مَنْ فِى الْقُبُوْ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya hari kiamat itu pastilah datang, tidak ada keraguan padanya; dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur.”

Intipati dari ayat ini menegaskan bahawa hari Kiamat bukanlah andaian atau dogeng atau legenda yang menjadi cerita dari cerita orang lain, tetapi kejadiannya ini adalah suatu perancangan yang telah diketahui oleh Allah SWT sejak azali lagi. Hanya sahaja manusia tidak pernah tahu bila tarikh, dan masanya akan berlaku Kiamat. Tiada satu pun makhluk yang bakal terkecuali dari peristiwa mengerikan ini. Dan ketika kiamat tiba, bumi akan hancur lebur seperti debu-debu halus yang berterbangan di udara, semua makhluk akan mati, lalu Allah akan menghidupkan kembali manusia dari dalam kubur.

Dua Jenis Tanda Kiamat dan Akhir Zaman

Para ulama mengelompokkan kiamat kepada dua jenis iatu Kiamat Sughra (Kiamat Kecil) dan Kiamat Kubra (Kiamat Besar). Kiamat Sughra adalah peristiwa di mana terjadinya kematian atau bencana yang menimpa sebahagian umat manusia. Contohnya kematian kerana sakit, kemalangan, bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, gunung berapi, dan sebagainya.

Manakala bagi Kiamat Kubra pula, ianya terjadi sehingga mengakibatkan kematian dan kehancuran yang sangat dahsyat menimpa seluruh alam semesta. Contohnya, dunia porak peranda, dan hancur.

1. Agama Islam dipandang asing

Dalam hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda:

بدأ الإسلام غريباً وسيعود غريباً كما بدأ فطوبى للغرباء

Maksudnya: “Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan asing dan kelak ia akan kembali asing sebagaimana dahulu ia bermula dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan asing dalam hadis tersebut? Asing yang dimaksudkan adalah Islam akan menjadi sebuah agama yang dipandang tidak releven lagi diamalkan di dunia. Sebagai contoh, apabila seseorang itu mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW, dia akan dianggap sebagai kolot atau tidak dipandang tinggi di mata masyarakat.

Sewaktu Islam datang dulu di tanah Madinah dan Mekah, ia menimbulkan satu kehairanan kepada semua masyarakat Arab. Dengan kehairanan itu cukup untuk membuat Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebahagai sihir dan agenda manusia. Siapa yang mengamalkan ajaran Islam pada ketika itu pasti akan dikecam, dikeji, dan dihina dengan sangat teruk, bahkan ada yang dibunuh.

Masakan tidak, Islam datang menghapuskan kebiasaan yang menjadi darah masyarakat umum. Manusia yang sudah terbiasa menjadi hamba kepada manusia lain, lalu disuruh menyembah Allah SWT. Zina yang haram, diganti dengan perkahwinan yang halal untuk menyatukan wanita dan lelaki dengan ijab dan qabul. Arak yang menukar sikap manusia menjadi binatang, ditukar dengan makanan-makanan yang halal lagi bersih. Riba pula dihapus dan diganti dengan cara Islam yang menguntungkan dan adil saksama.

Jika diperhatikan pada hari ini, semua yang diamalkan masyarakat jahiliah telah kembali menjadi norma hidup selesa masyarakat di akhir zaman. Maka beruntunglah sekumpulan manusia minoriti yang masih berlaku asing di tengah-tengah masyarakat ini. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

2. Tidak memperdulikan lagi soal halal dan haram dari sumber harta sendiri

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ ، لاَ يُبَالِي المَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ ، أَمِنَ الحَلاَلِ أَمْ مِنَ الحَرَامِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli dari mana ia mendapatkan harta, dari yang halal atau yang haram.” (Hadis Riwayat Nasai)

Makanan bukan sahaja penting sebagai keperluan hidup manusia. Tanpa kita sedar makanan juga sebenarnya sangat mempengaruhi dan memberi kesan kepada sikap dan kehidupan seseorang. Oleh kerana itu, kita sering kali ditekankan untuk makan dalam kadar yang sederhana, tidak terlalu kenyang dan tidak membiarkan diri dalam kelaparan. Apa yang masuk dalam badan akan menjadi darah daging sehingga mati.

Jika seseorang mengambil makanan yang diyakini dari sumber yang Halal, maka akan bertambah keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT. Sebaliknya, jika seseorang memakan harta yang Haram atau dari sumber yang syubhah, maka iman di hatinya akan terhakis dan rapuh satu persatu.

Situasi ini merujuk kepada keadaan manusia di akhir zaman yang sekarang menjadikan kemewahan dan duit segala-galanya dalam kehidupan tanpa sesekali memikirkan tentang Halal dan Haram. Lima contoh jenis pekerjaan yang menjerumuskan manusia memperoleh sumber pendapatan yang Haram adalah seperti arak, rasuah, riba, mengadai maruah, dan menghalal apa yang sudah disyariatkan sebagai Haram.

3. Berakhlak buruk

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Akan muncul beberapa orang dari umat ini di akhir zaman di pagi hari mereka berada di dalam kemurkaan Allah dan di petang hari mereka berada di dalam kemarahan Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ajaran Islam merangkumi seluruh kehidupan manusia. Malah perkara-perkara berkaitan akhlak, budi pekerti, dan ihsan sesama manusia juga sangat ditekankan dan Islam sendiri sudah menggariskan tatacara yang terbaik untuk membentuk manusia menjadi makhluk yang terbaik.

Namun, semuanya ini berbalik kepada diri sendiri. Apabila manusia sudah tiada rasa malu kepada Allah SWT, maka ia juga tiada rasa malu untuk berbuat kemaksiatan di khalayak ramai. Tampak hari ini bersepah maksiat ditonjolkan tanpa segan silu khususnya di sosial media.

4. Orang-Orang bodoh yang menguruskan urusan umum

Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ

Maksudnya: “Akan datang tahun-tahun penuh dengan pendustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercayai, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati, dan Ruwaibidho turut bicara. Lalu Baginda ditanya apakah Ruwaibidho itu? Baginda menjawab: Orang-orang bodoh yang mengurusi urusan perkara umum.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Al-Ruwaibhidah adalah sighah tasghir bagi Rabhidah (رابضة) dan ta’ marbuthah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah. Al-Rabhidah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya.

Rasulullah SAW memberikan amaran kepada umatnya supaya berhati-hati dengan tipu daya akhir zaman khususnya kepada golongan yang digelar sebagai Al-Ruwaibah.

Baginda juga menyifatkan golongan ini mempunyai dua sifat iaitu sebagai orang yang dikeji atau kurang ilmunya dan dalam masa yang sama turut bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu tentang perkara tersebut.

5. Ilmu akan diangkat

Setiap manusia perlu mempunyai ilmu. Betapa pentingnya ilmu, sehinggakan ada yang berkata, “Biar miskin harta, asalkan kaya ilmu, ada pelajaran.” Dengan ilmu, manusia dapat membezakan antara perkara yang hak dan yang batil. Bahkan ilmu juga akan memandu manusia ke jalan yang selamat dan terhindar dari perkara-perkara yang memudaratkan.

Dalam hadis yang lain, Baginda Nabi SAW mengisyaratkan:

Maksudnya: “Di antara tanda-tanda akan datangnya kiamat ialah dihilangkan ilmu (mengenai agama) dan tetapkan kejahilan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari

Hadis ini jelas menerangkan tentang pada akhir zaman nanti ilmu akan diangkat dengan kematian para alim ulama yang bersungguh-sungguh dalam menyampaikan ilmu.

6. Wabak penyakit

Sabda baginda Rasulullah: Dari ‘Auf bin Malik RA berkata:

Maksudnya: “Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu kematianku, pembebasan Baitulmaqdis, kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba, melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang), timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya, dan khir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Wabak penyakit ada disenaraikan dalam hadis di atas. Pastinya dengan apa yang melanda dunia sejak akhir-akhir ini iaitu Virus Covid-19 yang telah membunuh jutaan nyawa manusia di seluruh manusia, membuatkan anda berfikir adakah ini yang dimaksudkan dengan wabak penyakit di akhir zaman.

Tiada sesiapa yang mengetahuinya tetapi sebagai seorang hamba Allah SWT yang yakin dengan semua perkara-perkara ghaib, kita harus menjadikan ujian bencana ini sebagai titik tolak yang mendorong diri untuk bertaubat dan memperbanyakkan amal.

7. Masa berlalu dengan begitu pantas

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِالنَّارِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Masa itu emas, dan masa yang berlalu tidak mungkin akan berpatah kembali, Dikaitkan masa yang pantas berlalu dengan tanda akhir zaman. Kita mungkin tidak percaya ianya memang benar-benar terjadi pada hari ini kerana masa tidak boleh dilihat dengan mata.

Tetapi anda boleh rasakannya dengan apa yang telah anda lakukan sepanjang hari dengan 24 jam yang diberikan. Sama ada melebihkan kepada urusan dunia semata, atau urusan akhirat semata, atau menyeimbangkan kedua-duanya sekali. Akhir zaman bukan waktunya untuk berpeluk tubuh dan bermalas-malasan lagi.

Kita terlalu hampir dengan hari kebangkitan di mana setiap inci perkara yang dilakukan di dunia akan dipersoalkan dan dinilai oleh Allah SWT.

8. Fitnah berleluasa

Fitnah adalah perkara biasa yang sudah berlaku sejak pada zaman Rasulullah SAW lagi. Tetapi fitnah akhir zaman ini sangat ditakuti oleh seluruh manusia.

Yang baik dianggap jahat dan yang jahat dianggap baik. Semakin rancak fitnah ini berleluasa dengan teknologi dan sosial media. Setiap tulisan, gambar, komen, grafik, atau apa sahaja yang di forwardkan, sudah pasti tidak mampu untuk dipadam dengan mudah, lantas apabila dibiarkan ia akan dimanipulasi dengan sewenang-wenangnya, diputar-belit dengan sesuka hatinya. Dalam masa yang singkat, beribu-ribu manusia sudah terpalit dengan fitnah.

9. Banyak berlaku gempa

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: 

Maksudnya: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak terjadi gempa bumi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan Firman Allah SWT, gempa bumi yang digambarkan dalam al-Quran adalah situasi gempa bumi besar akhir zaman yang lebih dahsyat dengan apa yang berlaku pada hari ini. Gempa bumi tersebut adalah satu bentuk goncangan yang akan memusnahkan keseluruhan dunia serta menghancurkan setiap apa yang ada di muka bumi Allah SWT.

Jika dilihat pada hari ini, hampir setiap bulan berlaku gempa bumi di seluruh dunia. Gempa yang berlaku dalam kadar magnitud yang berbeza-beza ini adalah antara salah satu daripada banyak gempa bumi yang diberitakan sebagai tanda akhir zaman.

10. Banyak berlaku pembunuhan

Rasulullah SAW telah bersabda tentang tanda-tanda kiamat:

Maksudnya: “Ilmu agama dicabut, banyaknya bencana, kebakhilan bermaharajalela dan banyaknya Al-Harj. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah itu Al Harj? Rasulullah menjawab: Pembunuhan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pembunuhan dijelaskan ini bukan bermaksud peperangan yang terjadi antara pembela kebenaran melawan pelaku kebatilan atau memerangi orang yang memberontak terhadap pemerintah yang sah.

Pembunuhan yang berlaku itu adalah disebabkan urusan dunia sama ada membabitkan harta, takhta, wanita atau perkara lain yang tidak diketahui tujuannya.

Situasi ini dapat dilihat dengan sejarah pembunuhan yang berlaku di seluruh dunia dengan bermotifkan perebutan harta, politik, dendam yang akhirnya nyawa menjadi pertaruhan,

Doa Perlindungan Dari Fitnah Dajjal

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa neraka jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, serta dari kejahatan fitnah al-masikh ad-Dajjal” (Hadits riwayat Imam Muslim dari Anas dan Abu Hurairah).

Kesimpulan

Pintu taubat masih terbuka luas untuk setiap hambaNya. Maka rebutlah peluang ini untuk memohon keampunan dan kemaafan daripada Allah SWT dan mana-mana makhuk yang pernah kita sakiti selagi nyawa masih ada.

Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, “Sebaik-baik orang yang sering berbuat kesalahan adalah yang sering bertaubat kepadaNa.” (Hadis Riwayat Al-Tirmidzi).

Diharapkan artikel berkenaan tanda-tanda akhir zaman ini boleh memberikan anda kesedaran untuk berusaha menjadi hambaNya dan kekasihNya yang sering berbuat kebaikan dan bertaubat ke jalan yang diredai.

Rujukan

  1. Dr. Khairul Asyraf Mohd Nathir (2 Ogos 2021). Isyarat Besar Hampir Kiamat. Sumber Harian Metro
  2. Irsyad al-Hadith Siri ke-7 : Maksud al-Ruwaibidhah Di Dalam Hadith
  3. Mazlina Ismaik (2 Disember 2014). Agama: Makanan pengaruhi sikap, kehidupan. Sumber Berita Harian
  4. Fouziah Amir (2 Ogos 2021). Sifat Beriman Pada Hari Akhirat. Sumber Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten − 7 =