Nabi Zulkifli merupakan anak Nabi Ayub AS. Nama sebenar beliau ialah Basyar bin Ayub AS bin Amose bin Tarekh bin Ish bin Ish bin Ishaq AS bin Ibrahim AS.Zulkifli merupakan gelaran yang diberikan oleh seorang raja yang bernama Al-Yasa’ kepada beliau dek kerana kesanggupannya untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh raja di negeri Syam itu. Zulkifli bermaksud seorang yang sanggup menjalankan amanah raja.
Antara salah satu kisah yang selalu disebutkan adalah kisah berkenaan dengan peristiwa yang menjadikan Basyar seorang raja sehingga digelar sebagai Zulkifli.Negeri Syam merupakan negeri yang diperintah oleh seorang raja yang bernama al-Yasa’ dan sudahpun lanjut usia sedang mencari bakal pengganti untuk memerintah kerajaan itu.
Oleh kerana raja tersebut tidak mempunyai anak sebagai pewaris kerajaan beliau,maka sang raja mencari bakal penggantinya di kalangan rakyat beliau dengan mengemukakan beberapa syarat sebagai jaminan bahawa kerajaannya dapat diperintah oleh seseorang yang benar-benar layak.Antara syarat yang dikemukakan adalah seseorang itu hendaklah sanggup melaksanakan puasa disiang hari dan beribadah di malam hari serta dapat menahan amarah ketika menghadapi kesukaran.
Ketika raja tersebut mengemukakan syarat-syarat tersebut,tiada seorang pun yang sanggup untuk melaksanakan syarat tersebut sehinggalah seorang pemuda yang bernama Basyar dengan yakinnya bersuara untuk melaksanakan syarat tersebut.Maka dilantiklah Basyar sebagai pengganti raja negeri Syam itu dan diberi gelaran Zulkifli.
NABI ZULKIFLI DIANGKAT SEBAGAI RAJA NEGERI SYAM
Pemerintahan kerajaan Nabi Zulkifli dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan ketaatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Beliau tetap menepati janji dalam melaksanakan amanah yang diberikan walaupun setelah kewafatan raja tersebut. Bahkan Nabi Zulkifli sentiasa meningkatkan amalam dalam beribadah dan sebagai seorang hakim juga beliau sentiasa melayani rakyatnya dengan adil dan bijaksana. Sebagaimana Allah telah melakarkan di dalam al-quran akan kesabaran
Nabi Zulkifli dalam surah Al-Anbiyaa’ ayat 85:
وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِين
Maksudnya: Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
KESABARAN NABI ZULKIFLI MENGHADAPI UJIAN
Setelah menjadi raja, Nabi Zulkifli juga tidak terkecuali dalam menerima ujian dan dugaan.Pada saat itu,iblis berkata kepada para syaitan,”Goda lah si fulan”. Namun tiada satu pun syaitan yang sanggup melakukannya. Lantas iblis dengan sendirinya telah mendatangi Baginda AS dengan menyerupai seorang lelaki tua yang miskin ketika waktu istirehat Baginda bertujuan melengahkan waktu istirehat beliau dengan harapan agar Nabi Zulkifli dapat tertidur ketika waktu kerjanya.
Iblis yang menyerupai lelaki tua itu datang dan berpura-pura untuk meminta bantuan Nabi Zulkifli . Baginda AS kemudian menemuinya dengan sikap ramah dan menyantuni tetamunya itu. Lelaki tua itu segera mengadukan bahawa dia telah dirompak disuatu kota di negerinya itu. Baginda AS mendengarkan penuturannya dengan penuh kesabaran. Lalu Nabi Zulkifli berkata, “Apabila malam telah tiba maka datanglah ke mari, aku akan kembalikan hakmu.”
Ketika malam tiba, Baginda telah menunggu ketibaan lelaki tua itu namun dia tidak melihatnya dan dia pun bangkit meninggalkan tempat itu. Begitu juga keesokan harinya Baginda masih menunggu kehadiran orang tua faqir yang dizalimi tersebut, namun tidak menemuinya. Tatkala dia kembali ke rumah untuk istirehat siang, maka pintu rumahnya diketuk oleh seseorang. Dia berkata, “Siapa?” Maka Iblis berkata, “Si tua yang dizalimi.”
Ketika Nabi Zulkifli merasakan penat dan mengantuk yang tidak dapat ditahan lagi, lalu beliau mengarahkan pengawal agar tidak membenarkan sesiapapun menemuinya ketika waktu istirehatnya lagi. Tetapi iblis itu berjaya menombosi ruang istirehat Nabi Zulkifli. Tetapi dengan begitu saja Baginda menemaninya sampai akhirnya iblis itu menyerah dan mengaku tujuan penyamaran adalah untuk menguji kesabaran dan memancing emosi Nabi Zulkifli . Gagal sudah rencana iblis untuk membuat Baginda marah dan ingkar akan janjinya.
Oleh kerana itulah, Allah menggelarkan Basyar dengan gelaran Zulkifli yang bermaksud yang memilki kemampuan, kerana dia telah memikul satu perintah dan mampu menunaikannya.
MUKJIZAT NABI ZULKIFLI
Selain itu, Baginda juga diuji dengan ujian yang dicetuskan oleh rakyatnya sendiri.Ketika mana terdapat beberapa kaum yang sedang merancang untuk menghancurkan kerajaan Nabi Zulkifli, lantas Baginda memerintahkan rakyatnya untuk turut berperang menentang kaum tersebut namun rakyatnya telah menolak dengan alasan takut mati.Malah mereka meminta jaminan kepada Nabi Zulkifli agar tidak tewas ketika berperang.
Nabi Zulkifli tidak marah melihat sikap mereka. Ia segera bermunajat kepada Allah SWT. Doa tersebut kemudian dikabulkan oleh Allah SWT sehingga seluruh pasukan Nabi Zulkifli yang terdiri dari rakyat jelata berhasil memenangkan pertempuran dan kembali dengan keadaan yang selamat tanpa ada yang gugur.Hingga akhir dari kepemimpinan Nabi Zulkifli, rakyat merasakan hidup tenteram dan sejahtera.
HIKMAH DAN TAULADAN DARI KISAH BAGINDA
1. Keberanian
Kita hendaklah berani dalam menyahut cabaran tanpa terlalu memikirkan risiko yang bakal dihadapi dengan sentiasa memohon pertolongan dari Allah swt dengan penuh keyakinan. Sebagaimana Nabi Zulkifli berani dan sanggup untuk melaksanakan syarat yang diamanahkan oleh Raja Al-Yasa’ sebagai bakal pengganti beliau dalam memerintah negeri Syam itu walaupun Nabi Zulkfli masih muda pada ketika itu.Allah juga memerintahkan agar kita berani dalam menegakkan syiar Islam dan memerangi musuh Islam dengan penuh ketaqwaan sebagaimana firman Allah swt dalam surah An-Nisaa’ ayat 84:
فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللّهِ لاَ تُكَلَّفُ إِلاَّ نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَسَى اللّهُ أَن يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُواْ وَاللّهُ أَشَدُّ بَأْساً وَأَشَدُّ تَنكِيلاً
Bermaksud : Oleh itu,berperanglah wahai ( Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.
2. Kesabaran
Setiap ujian dan dugaan yang kita tempuhi dalam hidup,semuanya terdapat hikmah disebaliknya.Oleh itu,seharusnya kita sentiasa berlapang dada dan bersabar atas setiap musibah yang menimpa.Dalam peristiwa ketika diangkatnya Nabi Zulkifli sebagai raja, Nabi Zulkifli tidak terlepas dari ditimpa ujian sepanjang pemerintahan tersebut. Namun Nabi Zulkifli tetap teguh sabar melaksanakan amanah yang diberikan kerana beliau yakin setiap ujian yang berlaku pasti ada kejayaan disebaliknya.
Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Ali-Imran ayat 200 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللّهَ
Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
3. Istiqamah
Istiqamah bermaksud sentiasa melakukan sesuatu perkara secara berterusan dengan penuh ketaatan dan keyakinan.Nabi Zulkifli tetap istiqamah dalam malaksanakan amanah yang diberikan walaupun setelah kemangkatan raja Al-Yasa’ kerana beliau yakin istiqamah merupakan kunci kejayaan dalam hidup.
Allah berfirman dalam surah Hud ayat 112:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Bermaksud : Maka istiqamahlah kamu (Muhammad) di jalan yang benar, sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan juga kepada orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
4. Bersikap adil dan bijaksana
Seharusnya dalam setiap diri manusia mempunyai sikap adil dan bijaksana dalam setiap amanah yang diberikan.Nabi Zulkifli juga merupakan seorang hakim yang adil dalam menghakimi masalah rakyatnya tanpa mengira agama dan bangsa.Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقاً مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Bermaksud : Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
5. Sentiasa merendah diri dan selalu bersyukur
Allah amat memurkai golongan yang sombong lagi angkuh.Nabi Zulkifli tetap sentiasa merendah diri walaupun beliau merupakan seorang raja.
Allah berfirman dalam surah al-Luqman ayat 18 :
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحاً إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Bermaksud :Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |