Arafah adalah nama tempat tertentu di mana para jemaah haji melaksanakan wukuf. Arafah merupakan tempat penting dalam melakukan ibadah Haji kerana Wukuf di padang Arafah merupakan rukun kedua ibadah Haji. Jutaan jemaah Haji akan berwukuf di padang Arafah pada 9 Dzulhijjah dan para hari inilah puasa hari Arafah dilaksanakan.
Pada Hari Arafah, puasa adalah disunatkan kepada umat Islam yang belum mampu dan tidak mengerjakan ibadat Haji. Puasa Hari Arafah dilakukan pada tanggal 9 Dzulhijjah mengikut kalendar Hijrah Islam. Di Malaysia, pada tahun ini, tarikh 9 Zulhijjah 1441H di Malaysia adalah bersamaan 30 Julai 2020 (Khamis). Oleh yang demikian, pada Hari Arafah terdapat beberapa kelebihan yang besar dalam syariat Islam.
Berpuasa Sunat Arafah
Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan Ibadat Haji, disunatkan berpuasa pada Hari Arafah.
Puasa Hari Arafah sangat disarankan kepada umat Islam yang belum mampu dan tidak mengerjakan ibadat Haji, dengan berpuasa sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha.
Dimulai dengan niat, menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sehingga waktu berbuka.
Niat Puasa Hari Arafah
Niatnya:
Maksudnya: Aku berniat puasa sunat Arafah kerana Allah Taala
Kelebihan Puasa Sunat Arafah
Terdapat banyak kelebihan apabila melaksanakan Puasa Hari Arafah ini. Perkara ini menyebabkan rata-rata kaum muslimin akan berpuasa pada hari ini untuk mengejar kelebihan yang Allah SWT berikan.
1. Mendapat Ganjaran Pahala
Kelebihan berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”
Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”
2. Keampunan dari Allah SWT
Allah SWT menjanjikan banyak keutamaan bagi setiap umat Islam yang menjalankan puasa sunat Arafah. Salah satunya adalah ampunan atas dosa-dosa. Hari Arafah juga disebut sebagai hari pengampunan dosa dan pembebasan dari siksa neraka.
Puasa sunat pada Hari Arafah adalah peluang untuk membersihkan dosa yang dilakukan. Sebagai umat Islam yang sentiasa mencari keredhaan Allah, kita sewajarnya mengisi kedatangan bulan DZulhijjah dengan perbagai amalan soleh kerana ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Antaranya kita dianjurkan memperbanyakan amalan bersedekah, berzikir, bertahlil, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT di samping meninggalkan segala maksiat dan dosa.
3. Doa tersangat mustajab pada Hari Arafah
Salah satu amalan terbaik adalah berdoa kepada Allah SWT, ketika hari Wukuf di padang Arafah. Setiap umat Islam digalakkan untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT kerana Hari Arafah merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan.
Doa boleh difahami sebagai pemohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Tuhannya. Berdoa dari segi bahasanya bererti memanggil, memohon, atau meminta. Ketika berdoa, bererti sedang memanggil, memohon, dan meminta kepada Allah, Zat Yang Maha Agung, lagi Maha Mendengar
Dalil 1:
Nabi Muhammad Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
“Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).
Dalil 2:
Daripada Amr bin Syu’aib dari ayahnya dan daripada datuknya, Abdullah bin Amr bin Ash radhiyallâhu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda, Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu,
“Tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu.” (Hadis Riwayat at Tirmizi)
Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah Haji, kelebihan hari Wukuf di padang Arafah wajar digunakan sebaiknya dengan berdoa sepanjang tempoh tersebut di tempat masing-masing, tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu.
Sekalipun, amalan berdoa dan wukuf adalah khususiyyat iaitu perkara yang dikhususkan untuk Jemaah Haji.Ini kerana tiada dalil khusus yang menghadkannya.
Wukuf Di Arafah: Kemuncak ibadah Haji
Pada Hari Arafah,umat Islam yang melakukan ibadah Haji akan Pada 9 Dzulhijjah mengikut Kalendar Islam diwajibkan berwukuf di padang Arafah.
Wukuf di padang Arafah adalah salah satu daripada rukun haji. Wukuf dipadang Arafah adalah kemuncak dalam ibadah Haji. Perbezaan Haji dan Umrah dapat dilihat dari tiada Wukuf di Arafah bagi Umrah. Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah wukuf di Arafah”.
Allah sangat memuliakan Hari Wukuf di padang Arafah. Wukuf hanya dilaksanakan 1 hari dalam 1 tahun. Jemaah haji harus berada dalam waktu sebahagian siang dan malam di Arafah untuk berwukuf. Disunahkan semasa wukuf memperbanyak solat berjemaah, bertalbiah, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan memperbanyak solat sunat.
Wukuf bermaksud bermaksud berhenti dan berada di bumi Arafah sebentar atau seketika. Ibadah ini dilakukan dengan cara berdiam diri di padang Arafah mulai dari tergelincirnya matahari tanggal 9 Dzulhijjah sehingga terbenamnya matahari pada tanggal 10 Dzulhijjah. Hari Arafah juga adalah hari Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakannya, daripada api neraka.
Semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Selain Perang Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita dan marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya.”
Hari Arafah: Gambaran Padang Masyhar
Hari Arafah juga merupakan gambaran kecil keadaan Padang Masyhar, dimana pada Hari Kiamat semua makhluk Allah SWT dikumpulkan sebelum dihisab sama ada ke syurga atau neraka. Oleh yang demikian, ironinya Hari Arafah mengingatkan kita umat Islam akan adanya Hari Kiamat. Keaadan di padang Arafah merupakan simbolik Padang Mahsyar yang sangat lapang, di bawah matahari yang terang serta panas menyengat.
Ibnul Qayyim rahimahullah dalam sya’ir mimiyyahnya mengatakan: “Sungguh agungnya hari perkumpulan itu seperti perkumpulan di hari kiamat, namun hari kiamat itu lebih dahsyat”.
Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar seperti dalam FirmanNya:
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ الْآخِرَةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ النَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ ﴿١٠٣﴾
“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).
Wukuf di padang Arafah mengumpulkan jemaah Haji dari seluruh pelusuk negara. Wukuf di padang Arafah adalah kemuncak ibadah Haji. Wukuf boleh dilihat sebagai penyatuan ummah. Wukuf di Arafah menghimpunkan orang Islam yang telah disamaratakan dalam balutan ihram.
Semua umat manusia dikumpulkan di satu tempat yang sama. Semuanya kelihatan sama. Yang membezakan hanyalah iman dan takwa. Semasa wukuf juga Allah SWT berada paling hampir dengan hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai ceruk muka bumi ini.
Melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya; “Hambaku datang dari segenap pelosok yang jauh dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika kamu datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di laut nescaya Aku hapuskan semuanya. Allah SWT berfirman: “Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu minta ampun untuk mereka”.
Peristiwa di Arafah
Arafah adalah tempat bertemunya Nabi Adam dan Siti Hawa setelah ratusan tahun terpisah selepas diturunkan dari syurga. Nabi Adam dan Hawa dipertemukan di di Jabal Rahmah yang terdapat di tengah padang Arafah. Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah SWT.
Manakala, Haji Wida’ merupakan salah satu peristiwa sedih yang telah menimpa umat Islam sebelum kewafatan Baginda. Dalam Khutbah Wida’, terdapat banyak pesanan yang telah disampaikan oleh Rasulullah, seolah-olah baginda mengucapkan selamat tinggal kepada semua sahabat-sahabatnya yang hadir ketika bersama-samanya sebelum pemergiannya yang terakhir menuju Allah.
- Larangan membunuh jiwa dan mengambil harta orang lain tanpa alasan yang hak.
- Kewajipan meninggalkan tradisi dan amalan jahiliah – pembunuhan dan riba.
- Berwaspada dengan gangguan syaitan dan kewajipan menjaga agama.
- Larangan mengharamkan apa yang dihalalkan dan sebaliknya.
- Kewajipan memuliakan wanita (isteri).
- Kewajipan berpegang teguh kepada Al-Quran dan An-Nas.
- Kewajipan taat kepada pemimpin, siapa pun dia selama masih berpegang teguh kepada Al-Quran.
- Kewajipan berbuat baik kepada hamba sahaya.
- Umat Islam adalah bersaudara antara satu sama lain.
- Kewajipan menyampaikan khutbah Rasulullah SAW kepada yang lain
(Hadis Riwayat Sunan Ibn Majah, no 3074)
Haji Wida berlaku pada 9 Dzulhijjah tahun ke-10 Hijrah Rasulullah SAW di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Dalam wukuf, Rasulullah mewasiatkan agar hanya Kitab Allah dan Sunnah Rasul-rasulnya saja untuk menjadi pegangan agar tidak tersesat. Hanya Al Quran dan Sunnah. Haji yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dikenali sebagai Hajjatul-Wada (Haji perpisahan). Haji itu juga berlaku selepas sempurna wahyu dan ajaran yang disampaikan kepada umat Islam. Wahyu terakhir yang telah diturunkan, iaitu:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama kamu.”
(Surah Al-Maidah, 5:3)
Penutup
Kesimpulannya, Hari Arafah ialah Hari Pengampunan di mana umat Islam dilimpahkan rahmat-Nya. Antara intipati artikel ini, niat dan kepentingan berpuasa di Hari Arafah, di mana dosa setahun sebelumnya dan setahun setelahnya dihapuskan, dengan syarat orang tersebut berusaha menghindar diri dari berbuat dosa atau maksiat setahun setelahnya.
Seterusnya, doa tersangat mustajab pada Hari Arafah. Semua mengenakan ihram (kain putih) membawa maksud semua manusia sama di depan Allah. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Di padang Arafah, ketika Hari Wukuf, jemaah Haji mengambil peluang mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan keredhaan dari-Nya.
Jenis Puasa yang lain
Puasa Ramadhan | Puasa Nazar |
Puasa Enam | Puasa Bulan Rejab |
Puasa Hari Asyura | Puasa Hari Putih |
Puasa Hari Arafah | Puasa Ganti |