Israk Mikraj

Kisah Israk Mikraj -Peristiwa Sebelum, Semasa dan Selepas

Bagaimanakah kisah Israk Mikraj berlaku? Artikel ini akan menerangkan bagaimana berlakunya peristiwa Israk Mikraj pada masa sebelum, semasa dan selepas.

Pengenalan

Semua orang tahu kisah Israk Mikraj di mana Rasulullah dari Mekkah ke Baitul Maqdis (Palestin). Dari Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) pula naik ke Sidratul Muntaha, iaitu satu tempat yang berada lebih atas daripada langit ketujuh. Sidratul Muntaha ini, tiada makhluk Allah yang mampu melepasinya melainkan Rasulullah. Sebab itulah ianya istimewa. Ia memang khusus Rasulullah sahaja yang boleh naik ke situ.

Rasulullah ke sana sekejap sahaja, dalam satu malam, kira-kira pada dua pertiga malam. Dalam al-Quran ada disebutkan tentang ini. Cuba buka Surah al-Israk, baca ayat pertama. Muka surat 282. Allah berfirman:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ayat ini turun ketika mana selepas habisnya perjalanan Israk Mikraj di mana Rasulullah bercerita kepada orang ramai tentang hal itu. Ramai yang tidak percaya. Ramai yang mengatakan Rasulullah itu berdusta. Maka turunlah ayat ini untuk membenarkan kata-kata Rasulullah. Kita sebagai orang Islam percaya kerana ini merupakan kalam Allah sendiri secara pasti. Al-Quran itu diturunkan secara mutawatir maka wajiblah kita beriman dengan ayat ini.

Sebelum Peristiwa Israk Mikraj

Dua individu yang sangat disayangi oleh Rasulullah meninggal dunia. Dua individu yang sangat baik kepada baginda. Pertama, isteri kesayangan Rasulullah sendiri yang menenangkan baginda ketika mana baginda menggigil selepas mendapat wahyu pertama di Gua Hira’. Beliau ialah Siti Khadijah. Siti Khadijah-lah yang menyelimutkan baginda. Kali pertama baginda menerima wahyu, bukan sesuatu yang mudah bila baginda dilihatkan satu malaikat di hadapannya. Baginda juga manusia biasa. Khadijah-lah yang berada di sisi baginda, menenangkan baginda dan membenarkan Islam yang dibawa baginda. Bayangkan, ketika semua orang tidak mahu Islam, namun Khadijah mahu Islam. Betapa dahsyatnya beliau menjadi seorang yang pelik.

Zaman kita, Islam sudah tersebar luas. Islam ini sudah popular. Zaman baginda, Islam ini satu yang pelik. Ajak untuk mengesakan Tuhan ini merupakan satu benda yang pelik. Tetapi, pada Khadijah tidak. Pegang kebenaran. Ramai tidak semestinya betul.

Kedua, bapa saudara Rasulullah yang tidak menganut Islam tetapi amat mengasihi baginda, iaitu Abu Talib Bin Abdul Mutalib. Abu Talib, walaupun tidak percaya dengan apa yang baginda bawa, tetapi tetap baik hubungannya dengan Rasulullah. Pernah juga Abu Talib minta baginda untuk tidak berdakwah, tetapi Rasulullah dengan hormatnya menolak saranan itu.

Abu Talib melindungi Rasulullah ketika ramai orang nak menyakiti baginda. Pernah sekali orang Quraisy menyerahkan seorang pemuda tampan yang bernama Imarah Bin Walid kepada Abu Talib untuk dijadikan anak tetapi dengan syarat kena serahkan Rasulullah kepada mereka. Abu Talib dengan tegasnya menolak. Sungguh sayang kepada anak saudaranya itu. Meskipun tidak seakidah, hubungan saudara itu tetap dipelihara dengan kukuh.

Dengan kehilangan dua individu yang sangat disayangi baginda ini, baginda tersangatlah sedih. Mari kita buat garis panduan agar cerita ini jelas:

  1. Rasulullah tidur di rumah Ummu Hani (anak Abu Talib dan kakak Ali). Baginda didatangi oleh tiga malaikat, Jibril, Mikail dan Israfil. Baginda dibawa ke Hijr (dekat Kaabah) dan tidur bersama dua lagi orang sahabat iaitu Hamzah Bin Abu Mutalib dan Ja’far Bin Abu Talib. Kemudan, baginda dibawa pula oleh malaikat ke Telaga Zam Zam, pun dekat saja dengan Kaabah.
  1. Ketika duduk di Telaga Zam Zam, Jibril pun membedah dada Rasulullah dan membasuh hatinya tiga kali dengan air zam zam. Malaikat Mikail membantu Jibril dalam hal ini.
  1. Rasulullah bergerak menaiki Buraq, seekor haiwan lebih besar daripada keldai dan lebih kecil daripada baghal (sejenis unta). Buraq ini laju, ia boleh bergerak sejauh matanya mampu melihat. Kalau matanya melihat sejauh 10km, maka 10km-lah ia mampu membawa Rasulullah. Ia bawa Rasulullah ke satu tempat dan baginda bersembahyang di situ. Nama tempat itu, Taybah. Itu nama dulu, sekarang namanya Madinah al-Munawwarah. Jibril beritahu Rasulullah yang baginda bakal berhijrah ke sini. Dua malaikat berada bersama Rasulullah, Jibril dan Mikail. Malaikat ketiga, menurut riwayat sudah tidak bersama mereka lagi.

Semasa Israk

  1. Selepas Taybah, baginda berhenti pula di Gunung Sinai di mana Nabi Musa mendapat kitab Taurah. Kemudian di Bethlehem di mana Nabi Isa lahir. Seterusnya di maqam (kubur) Nabi Musa, dekat sahaja dengan Masjid al-Aqsa.
  1. Sampai sahaja di Masjid al-Aqsa, buraq ditambat pada satu batu yang ditunjukkan oleh Jibril lalu tertimbuslah batu itu. Rasulullah pun masuk ke dalam Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat dua rakaat. Para Nabi sebelum-sebelum ini menjadi makmum kepada Rasulullah. Jibril tanya kepada Rasulullah, “Tahukah engkau siapa yang solat di belakangmu tadi?” “Tidak tahu,” jawab Rasulullah. “Merekalah para Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah.
  1. Lepas habis solat di Masjid al-Aqsa, Rasulullah dihidangkan dengan dua jenis air. Satu, arak. Dua, susu. Jibril bagi air-air ini kepada Rasulullah. Lantas, Rasulullah memilih susu. Jibril berkata, “Engkau telah memilih fitrah.” (Ada riwayat berkata tiga air, air ketiga itu air biasa dan riwayat lain kata air yang dicampurkan dengan madu).

Semasa Mikraj

  1. Rasulullah naik langit pertama. Rasulullah berjumpa dengan penjaga pintu langit pertama, nama malaikat itu ialah Ismail. Rasulullah ber-mikraj ini adalah dengan menaiki tangga. Tangga itu selang-seli dibuat dengan emas dan perak dari syurga Firdaus. Di langit pertama ini, Rasulullah berjumpa dengan Nabi Adam. Sebelah Nabi Adam terdapat dua pintu. Apabila Nabi Adam melihat pintu kanan, baginda akan gelak dan ketawa, tetapi bila baginda melihat pintu kiri, baginda akan sedih dan menangis. Di pintu kanan itu, Rasulullah pun pergi melihat. Baunya sungguh busuk. Rasulullah melihat di dalamnya ada pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan penzina. Keadaan mereka sungguh mengerikan.
  1. Rasulullah naik ke langit kedua. Rasulullah bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya. Rasulullah lihat ada persamaan antara rupa Nabi Isa dengan seorang sahabat baginda, Urwah bin Mas’ud as-Tsaqafi.
  1. Rasulullah naik ke langit ketiga. Rasulullah berjumpa dengan Nabi Yusuf. Rasulullah kata inilah manusia yang paling cantik diciptakan Allah.
  1. Rasulullah naik ke langit keempat. Rasulullah berjumpa dengan Nabi Idris.
  1. Rasulullah naik ke langit kelima. Rasulullah berjumpa dengan Nabi Harun. Nabi Harun dikhabarkan janggutnya separuh putih, separuh hitam. Dan, panjangnya sampai ke pusat.
  1. Rasulullah naik ke langit keenam. Rasulullah berjumpa dengan Nabi Musa. Nabi Musa menangis ketika berjumpa dengan Rasulullah. Apabila ditanya kenapa, Nabi Musa menjawab, “Aku menangis kerana ada seorang yang lebih mulia diutuskan selepasku. Umatnya lebih ramai masuk syurga berbanding umatku.”
  1. Rasulullah naik ke langit ketujuh. Rasulullah berjumpa dengan Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim berkata dengan Rasulullah, “(Hai Muhammad) perintahkanlah kepada umatmu, supaya mereka memperbanyakkan tanaman-tanaman syurga, kerana sesungguhnya tanah syurga itu subur dan luas.” Rasulullah bertanya, “Apakah tanaman-tanaman syurga itu?” Nabi Ibrahim menjawab, “La hawla wala quwwata illa billah.
  1. Rasulullah masuk ke Baitul Makmur dan naik ke Sidratul Muntaha.
  1. Rasulullah melawat syurga dan neraka.
  1. Rasulullah naik ke Mustawa. Mustawa ini mikraj Rasulullah yang ke sembilan. Di sinilah Rasulullah menerima syariat solat 5 waktu. Sebelum ini mereka solat bagaimana? Mereka solat 2 rakaat sesuai dengan syariat semasa itu. Di sinilah baru dapat syariat solat 5 waktu. Pada mulanya Rasulullah dapat perintah untuk 50 kali waktu solat. Rasulullah pun turun. Lalu Nabi Ibrahim, baginda tak berkata apa-apa. Lalu Nabi Musa pula, baginda yakinkan Rasulullah untuk minta kurangkan waktu solat sebab umatnya yang lemah dan tak mampu. Rasulullah berulang-alik banyak kali sampailah solat itu menjadi 5 waktu.
  1. Rasulullah turun, nak balik ke Mekkah. Baginda menaiki buraq dan akhirnya sampailah di Mekkah sebelum waktu Subuh. Kejadian Israk Mikraj ini berlaku pada satu malam sahaja.

Selepas Peristiwa Israk Mikraj

  1. Baginda didustakan oleh sebahagian besar kaum Quraisy. Semua tak percayakan baginda. Rasulullah berceritakan hal itu kepada orang ramai di ruangan umum. Abu Jahal merupakan antara individu mengolok-olokkan baginda. Dia mengatakan baginda sudah gila. Manakala Abu Bakar pula merupakan sahabat Rasulullah yang pertama membenarkan apa yang telah diceritakan oleh baginda.

Kesimpulan

Kisah ini menunjukkan kebesaran Allah dengan pembuktian berdalil dalam al-Quran sendiri. Barangsiapa yang beriman kepada kitabNya, maka berimanlah dengan cerita ini. Rasulullah diutuskan untuk membawakan berita gembira kepada kita semua umatnya. Hendaklah kita insaf dengan segala apa yang terjadi dan mengambil pengajaran untuk panduan hidup.

Rujukan

Najmuddin al-Ghaithy. (2013). Israk & Mikraj: Latar Belakang dan Falsafahnya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × three =

Scroll to Top