Apakah kelebihan Solat Sunat Tahajjud? Artikel ini akan membincangkan beberapa kelebihan jika anda melakukan solat sunat tahajjud.
Pengenalan
Solat sunat tahajud, adalah peluang keemasan yang Allah SWT kurniaan kepada para hamba-Nya. ‘Tahajjud’ berasal daripada bahasa Arab dengan tafsiran ‘berjaga’ iaitu bangun ketika waktu sahur atau malam.
Dari segi istilah pula, solat sunat tahajud merupakan solat yang dilakukan pada waktu tengah malam selepas Isyak, ataupun selepas bangun daripada tidur (digelar juga sebagai qiamullail). Ada juga pandangan, bahawa solat ini boleh didirikan selepas solat isyak
Solat sunat tahajud lebih afdal didirikan secara bersendirian dalam suasana sunyi dan hening. Pun begitu boleh juga dilakukan secara berjemaah. Hukumnya adalah sunat muaakad iaitu sunat yang sangat dituntut, dicintai oleh Allah SWT dan Rasul.
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat tahajud, walau hanya satu malam begitu juga dengan para sahabat; Baginda bersabda;
“Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (solat tahajud)” (Hadis Riwayat Muslim)
Allah SWT telah menjanjikan pelbagai ganjaran yang kepada umatnya yang bangun di tengah malam hanya untuk mendirikan solat sunat ini. Maka berbahagialah bagi golongan yang dijanjikan keistimewaan ini.
Kelebihan Solat Sunat Tahajjud
Antara kelebihan-kelebihan golongan yang melazimi solat sunat tahajud adalah;
1. Masuk Syurga Tanpa Hisab
Golongan yang menjadikan solat sunat tahajud sebagai pakaiannya akan dihadiahkan oleh Allah SWT dengan ganjaran yang luar biasa istimewanya, iaitu akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab.
Jelas dalam sabda Rasulullah SAW;
“Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: ‘Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk qiamullail)?’ Lalu sekumpulan kecil orang yang bangun malam itu masuk syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
2. Mendapat Tempat Terpuji
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (al-Isra’:79)
Ini bermakna, sesiapa yang mengerjakan solat sunat tahajud akan dikurniakan dengan pangkat dan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT. Ini merupakan jaminan Allah SWT kepada seluruh umat Islam.
3. Diampunkan Dosa dan Kifarah
Rasulullah SAW bersabda;
“Hendaklah kamu berqiamullail kerana ia merupakan perjalanan orang yang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan kamu kepada Tuhanmu, mengampunkan segala dosa dan kifarah di atas dosa-dosa, mencegah penyakit daripada bulan.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Solat sunat di sepertiga malam ini bukan sahaja tempat untuk memohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa yang lalu, tetapi juga merupakan benteng daripada melakukan perbuatan dosa yang dilarang Allah SWT.
Tahajud juga sebagai penambah iman, dan cara pelembut hati yang keras!
4. Mendapat Ganjaran Istimewa di Akhirat
Allah mengurniakan kelebihan yang cukup hebat bagi hamba-Nya yang mendirikan solat malam secara istiqomah dan ikhlas kerana-Nya.
Antara ganjarannya yang akan di perolehi oleh golongan yang mengerjakan solat malam adalah: Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri, dipermudahkan hisab, dapat melalui titian sirat al-mustaqim seperti kilat, dan akan menerima buku catatan dari tangan kanan.
5. Mudah Mendapat Pertolongan Allah
Sesiapa yang melazimi solat sunat tahajud akan mudah mendapat pertolongan dari Allah SWT tanpa perantara.
Tepat dengan sabda Rasulullah SAW;
“Sesungguhnya pada malam terdapat satu waktu tiadalah hamba yang muslim membetulinya dengan berdoa meminta kebaikan kepada Allah kecuali dikurniakan kepadanya, yang demikian itu setiap malam.” (Hadis Riwayat Ahmad)
6. Mudah Diperkenankan Doa
Dengan banyak berdoa pada waktu sepertiga malam juga doa sangat mudah dimakbulkan Oleh Allah SWT. Tahajud merupakan waktu yang tepat untuk bermunajat kepada-Nya.
Daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: ‘Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)’, sehinggalah terbit fajar.” (Hadis Riwayat Muslim)
7. Dikurniakan Limpahan Rezeki
Allah SWT akan melimpahruahkan rezeki melalui amalan ibadah malam yang didirikan dengan penuh kehambaan.
Maksud rezeki bukan dalam aspek makanan yang cukup dan sedap sahaja, tetapi juga kesihatan yang baik, keluarga harmoni dan bahagia, pekerjaan yang baik, sahabat yang pekerti mulia dan sebagainya.
Bahkan setiap rezeki yang dikurniakan itu akan sentiasa diberkati oleh Allah SWT.
8. Mendapat Ketenangan Jiwa
Ketenteraman dan ketenangan jiwa dapat diperoleh melalui pelaksanaan solat tahajud dan ibadah malam. Apatah lagi ibadah yang dikerjakan dalam suasana malam yang sunyi pasti akan membawa kepada minda dan jiwa yang lapang.
Manakala, dengan melepaskan setiap keluhan pada Allah SWT membuatkan hati lebih teduh dan dapat menyucikan jiwa untuk bermuhasabah.
Sebenarnya ibadah malam yang dilakukan adalah zikir dan doa yang mampu menenteramkan jiwa dan perasaan, kerana semakin fokus beribadah semakin tenang akal fikiran.
Sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ketahuilah bahawa hanya dengan mengingati Allah sajalah diperolehi ketenteraman hati.” ( ar-Ra’d : 28)
9. Dipermudah Urusan Kehidupan
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya beribadah pada malam hari lebih khusyuk (mantap) dan bacaan waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari kamu mempunyai urusan yang banyak.” ( al-Muzammil : 5-7)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa; jika seseorang itu bangun semata-mata menunaikan ibadah pada waktu malam, maka segala urusannya pada esok hari akan menjadi lebih mudah dan teratur kerana hatinya menjadi lebih terbuka dalam semua perkara.
Hal ini kerana sifat kehambaannya itu seperti membenarkan kehendak Allah SWT. Solat malam akan membentuk sifat keperibadian tentang lemahnya seseorang hamba Allah, tidak tinggi diri, sentiasa reda dan memerlukan Allah SWT, bukan manusia.
10. Menyihatkan Tubuh
Mengerjakan ibadah solat tahajud juga sebagai cara atau terapi untuk menyihatkan tubuh badan sama ada secara fizikal atau mental. Solat itu juga sebagai senaman ringan yang mengandungi kebaikan tersendiri; menjauhkan daripada penyakit.
Tambahan lagi, pada waktu sepertiga malam merupakan masa yang sangat sesuai untuk menambah dan membaikpulih tenaga manusia.
Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada TuhanMu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Kelebihan Solat Tahajjud Menurut Imam al-Ghazali
- Membersihkan hati daripada kebencian sesama manusia.
- Menyemai rasa takut terhadap Allah SWT dan menyedari bahawa kehidupan duania hanya sementara dan singkat.
- Dapat memahami manfaat solat tahajud.
- Agar dapat mencintai Allah dan menguatkan iman.
Kesimpulan
Allah SWT sangat mencintai hamba-Nya yang sentiasa beristiqomah untuk bangun mendirikan solat tahajud. Dengan itu Allah menganugerahkan ganjaran yang begitu besar. Maka beruntunglah bagi sesiapa yang mampu terjaga, berwuduk lalu berqiamullail di waktu kebanyakan yang lain enak diulit mimpi.
Disebabkan itulah golongan ahli ibadah ini mendapat pujian Allah SWT dalam firman-Nya:
“Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)” (adz-Dzaariyaat : 17-18)
Sebenarnya tidak mudah untuk bangun dan membasahkan tubuh dengan sejuknya pagi, tetapi yang bisa itulah menghadiahkan nikmat paling indah. Awalnya pasti sukar, tetapi apabila sudah bertemu kenikmatan dalam beibadah pasti itulah bahagia yang sebenar.
Justeru, dalam menambah takwa dan mengejar cinta-Nya, ibadah malam atau solat tahajud menjadi keutamaan.
Semoga kita adalah sebahagian daripada mereka yang menjadikan tahajud sebagai cara hidup. Amin!
Kelebihan Amalan yang lain
Rujukan:
- Indahnya Hidup Bersyariat, Dato’ Ismail Kamus, 2009
- Ensiklopedia Solat, Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif, 2011
- Harian Metro
- Bidadari.my