10 Kelebihan Istighfar yang Anda Perlu Tahu

Amalan Harian · Zikir & Istighfar

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

10 Kelebihan Istighfar

Lafaz, Pengajaran dan Panduan Beramal

Zikir Harian Amalan Sunnah Penghapus Dosa Istighfar · أستغفر الله

Apakah kelebihan istighfar yang kita boleh peroleh dalam kehidupan seharian? Artikel ini berkongsi 10 kelebihan istighfar beserta lafaz-lafaz pilihan bagi memantapkan lagi amalan zikir harian anda.

Kelebihan istighfar yang disandarkan kepada hadis sahih adalah yang paling kukuh. Terdapat beberapa riwayat yang dhaif namun para ulama membenarkan penggunaannya dalam konteks fadail amal selagi tidak bercanggah dengan nas yang sahih.

Ringkasan: Istighfar bermaksud memohon ampunan kepada Allah SWT atas segala dosa yang telah dilakukan. Nabi Muhammad SAW sendiri beristighfar lebih daripada 70 kali sehari walaupun baginda maksum (terpelihara dari dosa). Antara kelebihan istighfar ialah penghapus dosa, pembuka rezeki, pelindung dari syaitan, serta jalan masuk ke syurga bagi yang melazimi amalan mulia ini.

Apa Itu Istighfar?

Perkataan istighfar datangnya dari Bahasa Arab yang membawa maksud memohon ampunan atas segala dosa yang telah dilakukan oleh kita iaitu manusia sebagai hamba-Nya. Istighfar pada lazimnya menjadi ungkapan sebagai zikir yang kita lafazkan setiap masa sebagai penghapus dosa dan melindungi diri daripada sebarang kejahatan.

Dalam tradisi Islam, istighfar bukan sekadar ucapan bibir semata-mata, tetapi merupakan pengakuan hati yang ikhlas bahawa manusia sentiasa lemah dan memerlukan belas ihsan serta keampunan Allah SWT. Inilah yang menjadikan istighfar sebagai amalan yang sangat mulia dan tinggi kedudukannya di sisi Allah.

7 Contoh Lafaz Istighfar

1. Istighfar Nabi Adam AS

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Robbana dholamna anfusana, wa illam taghfir lana wa tarhamna lanakuunanna minal khasirin”

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”

2. Istighfar Nabi Muhammad SAW Sebelum Wafat

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

“Subhanallahi wabihamdih, astaghfirullaha wa atuubu ilaih”

Maksudnya: “Maha suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Aku memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.”

3. Istighfar Penghapus Dosa

أَسْتَغْفِرُ اللهَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

“Astaghfirullah, alladzi la ilaha illa huwal hayyul qayyumu wa atuubu ilaih”

Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah, Dzat yang tidak ada sesembahan kecuali Dia. Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri sendiri. Dan aku bertaubat kepada-Nya.”

4. Istighfar Sebelum Salam Dalam Solat

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Allahumma inni dhalamtu nafsi dhulman katsira, wala yaghfirudz dzunub illa anta, faghfirli maghfiratan min indik, warhamnii innaka antal ghafurur rahiim”

Maksudnya: “Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

5. Istighfar Meminta Ampun dan Taubat

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Rabbighfirli wa tub ‘alaiya, innaka antat tawwabur rahiim”

Maksudnya: “Ya Tuhan ampunilah dan sayangilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang.” — Hadis Riwayat Abu Daud

6. Istighfar Pendek (Harian)

اَسْتَغْفِرُ اللهَ

“Astaghfirullah” — Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah.”

Atau dengan tambahan di belakangnya:

اَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ

“Astaghfirullahal ‘adzhiim” — “Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung.”

7. Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar)

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

“Allahumma anta Rabbi, la ilaha illa anta, Khalaqtani wa ana abduka, wa ana ‘ala ahdika wa wa’dika, mastatha’tu, audzu bika min syarri ma shana’tu, abu’u laka bi ni’matika wa abu’u laka bi dzanbi. Faghfir li, fainnahu la yaghfirudz dzunuba illa anta”

Maksudnya: “Ya Allah Engkau Tuhanku, tidak ada tuhan selain Engkau. Engkaulah yang menjadikan aku, dan aku adalah hamba-Mu. Aku akan selalu menepati janji-Mu sekemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku kembali kepada-Mu dengan nikmat yang telah Engkau berikan dan aku kembali dengan dosaku. Maka ampunilah aku, sesungguhnya tidak ada yang bisa mengampuni dosa kecuali Engkau.”

10 Kelebihan Istighfar dalam Kehidupan Seharian

1

Mengikuti Sunnah Rasulullah SAW

Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW sentiasa melazimi diri untuk beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. Hal ini sangat menakjubkan kerana baginda adalah manusia maksum yang terpelihara dari dosa, namun tetap menjadikan istighfar sebagai amalan harian yang tidak putus-putus. Inilah bukti bahawa istighfar bukan sekadar amalan penghapus dosa, tetapi juga merupakan bentuk pengabdian dan kerendahan hati seorang hamba kepada Allah SWT. Apabila kita beristighfar, kita sedang mengikuti jejak langkah mulia Nabi SAW.

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”

Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 6307

2

Allah Ampunkan Dosa Walau Sebanyak Buih di Lautan

Manusia tidak akan pernah sekalipun terhindar dari berbuat dosa dan perkara-perkara maksiat. Namun, Allah SWT Maha Pengampun biarpun sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pintu taubat tetap terbuka. Hadis menerangkan bahawa sesiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebanyak tiga kali, Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah dan betapa mudahnya pintu keampunan itu dikurniakan kepada hamba yang mahu memohon.

Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi… maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.”

Hadis Riwayat Ibn al-Sunni, No. 83

3

Dikeluarkan dari Kesempitan Hidup

Apabila hidup terasa sempit, hati gelisah, dan masalah datang bertimpa-timpa, perbanyakkanlah istighfar. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA menerangkan bahawa sesiapa yang melazimi istighfar, Allah SWT akan menjadikan baginya jalan keluar bagi setiap kesempitan, kelapangan bagi setiap kebimbangan, serta rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dengan beristighfar, jiwa menjadi lebih tenang dan lapang kerana kita menyedari bahawa setiap kesulitan itu hanyalah ujian sementara dari Allah SWT.

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Hadis Riwayat Abu Daud, No. 1518 (Sanadnya dhaif, namun maknanya selari dengan nas sahih yang lain)

4

Mendapat Rezeki daripada Arah yang Tidak Disangka-Sangka

Setiap rezeki datangnya dari Allah SWT. Rezeki dalam konteks yang lebih luas bukan sekadar harta dan wang ringgit, tetapi merangkumi nikmat kesihatan, keluarga yang bahagia, dipermudahkan urusan, dan ketenangan jiwa. Allah SWT berfirman dalam Surah Nuh, ayat 10 hingga 12 bahawa dengan beristighfar, Allah akan menurunkan hujan yang lebat, memperbanyakkan harta dan zuriat, serta mengurniakan kebun-kebun dan sungai-sungai. Ini adalah janji Allah yang pasti bagi mereka yang tekun beristighfar.

“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan memberikanmu kebun-kebun dan sungai-sungai.”

Surah Nuh: Ayat 10 – 12

5

Meningkatkan Kekuatan Jiwa dan Semangat Rohani

Zikir dan istighfar mempunyai pengaruh yang luar biasa kuat dalam semangat spiritual manusia. Jiwa yang lemah, mudah putus asa, dan selalu dilanda kegelisahan memerlukan “ubat” rohani yang berkesan. Dengan cara memperbanyakkan istighfar dan berzikir, jiwa akan diisi semula dengan kekuatan iman yang mampu menghadapi sebarang cabaran hidup. Seseorang yang melazimi istighfar akan merasakan perbezaan yang nyata pada tahap keyakinan, ketabahan, dan ketenangan hatinya dalam menempuh ujian kehidupan.

6

Rasa Diri Lebih Dekat dengan Allah SWT

Istighfar tampak mudah namun ramai yang tidak mampu melakukannya secara istiqamah. Inilah ujian sebenar buat setiap manusia. Amalan yang paling dicintai Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit. Apabila lidah kita terbiasa melafazkan istighfar, hati secara semula jadi akan mula merasakan kehadiran Allah lebih dekat. Rasa hampir dengan Allah ini adalah anugerah terbesar yang boleh diperoleh seorang hamba, kerana dari sinilah lahirnya ketenangan, panduan, dan rahmat yang berterusan.

“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”

Daripada Aisyah RA — Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 6465

7

Memperoleh Perlindungan Allah dari Hasutan Syaitan

Syaitan tidak akan berhenti dari menghasut manusia untuk melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh Allah. Justeru, untuk memperoleh perlindungan dari hasutan tersebut, kita wajib kembali memohon keampunan kepada Allah. Terdapat riwayat yang menceritakan bahawa syaitan berkata ia akan sentiasa menggoda manusia, namun Allah menjawab bahawa Allah akan sentiasa mengampuni mereka selama mana mereka memohon keampunan. Ini menunjukkan bahawa istighfar adalah senjata rohani paling berkesan untuk menolak bala syaitan.

“Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku sentiasa mengampuni mereka selama mereka memohon ampunan (beristighfar) kepada-Ku.”

Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim

8

Membentuk Keperibadian Sebagai Orang yang Bijak dan Arif

Dengan beristighfar, kita memanfaatkan setiap saat dengan amalan yang mendatangkan manfaat dan pahala. Sama ada sedang berehat atau bekerja, bibir yang sentiasa melafazkan zikir dan istighfar membolehkan kita mengingati Allah pada setiap masa. Menurut ulama, tanda orang yang arif dan bijak itu ada enam — salah satunya ialah apabila teringat dosanya, dia segera beristighfar tanpa bertangguh. Kebiasaan beristighfar ini secara perlahan-lahan membentuk watak dan peribadi yang mulia, penuh rasa syukur, dan sentiasa sedar akan tanggungjawabnya kepada Allah.

“Tanda orang yang arif (bijak) itu ada enam. Apabila muncul keinginan untuk bermaksiat, ia segera mencegahnya. Dan apabila mengingat dosanya, ia segera beristighfar.”

Kitab Tanbihu Ghafilin, ms. 67

9

Dijauhkan daripada Azab, Bala, dan Api Neraka

Tiada perkara yang lebih bermakna dan menjadi matlamat semua manusia selain kembali kepada Allah dalam keadaan bersedia dan penuh amal kebaikan. Melazimi istighfar adalah salah satu ikhtiar terbaik untuk menjauhkan diri dari ancaman azab Allah. Sahabat Nabi, Hudzaifah RA pernah mengadu kepada Rasulullah tentang kekhilafan lidahnya, lalu Baginda menjawab bahawa beliau sendiri beristighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari. Lazimkan diri dengan beristighfar agar ia menjadi perisai dari azab api neraka yang panasnya menjulang.

“Sesungguhnya aku sentiasa beristighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari.”

Hadis Riwayat Nasa’i, Ibnu Majah & Al-Hakim (Disahihkan)

10

Bila Mati Akan Masuk Syurga

Inilah kelebihan istighfar yang paling agung dan menjadi idaman setiap Muslim. Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa sesiapa yang beristighfar (Sayyidul Istighfar) pada siang hari dengan penuh keimanan kemudian mati sebelum waktu malam tiba, maka dia akan masuk syurga. Begitu juga yang beristighfar pada malam hari dengan penuh keimanan kemudian mati sebelum waktu pagi, maka dia pun akan masuk syurga. Meninggal dunia dalam keadaan bersedia dengan bibir yang masih basah mengingati Allah adalah tanda kematian yang paling baik.

“Siapa yang beristighfar seperti itu pada siang hari dengan penuh keimanan kemudian ia mati sebelum waktu malam tiba, maka ia akan masuk syurga. Dan siapa yang beristighfar seperti itu pada malam hari dengan penuh keimanan kemudian dia mati sebelum waktu pagi tiba, maka ia akan masuk syurga.”

Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari

Lazimkan diri beristighfar apabila bangun dari tidur, selepas mendirikan solat, semasa bekerja, semasa berehat, dan sebelum masuk tidur. Usaha ini sedikit sebanyak akan mendidik diri untuk sentiasa mendahulukan Allah dalam apa jua yang kita lakukan.

8 Soalan Lazim (FAQ) tentang Istighfar

1. Apakah maksud istighfar dan mengapakah kita perlu beristighfar setiap hari?

Istighfar bermaksud memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan. Kita perlu beristighfar setiap hari kerana manusia bersifat pelupa, sering tersalah dan tersilap sama ada secara sengaja atau tidak. Nabi SAW sendiri beristighfar lebih 70 kali sehari sebagai tanda kehambaan dan kesyukuran kepada Allah, maka apatah lagi kita yang sarat dengan kekurangan dan dosa.

2. Apakah perbezaan antara istighfar biasa dengan Sayyidul Istighfar?

Istighfar biasa seperti “Astaghfirullah” adalah lafaz ringkas yang boleh dibaca pada bila-bila masa. Manakala Sayyidul Istighfar (penghulu istighfar) adalah doa istighfar yang paling lengkap dan paling afdal yang mengandungi pengakuan tauhid, pengakuan hamba, pengakuan janji, permohonan perlindungan, pengakuan nikmat, pengakuan dosa, dan permohonan keampunan. Nabi SAW mengajarkan Sayyidul Istighfar dibaca pagi dan petang.

3. Berapakah bilangan istighfar yang disyorkan untuk dibaca setiap hari?

Tiada had bilangan yang ditetapkan, namun Nabi SAW mengamalkan lebih daripada 70 kali sehari. Para ulama mencadangkan sekurang-kurangnya 100 kali sehari sebagai ikutan amalan Nabi SAW. Namun yang paling penting ialah keikhlasan dan keistiqamahan (berterusan), bukan sekadar bilangan semata-mata. Mulakan dengan jumlah yang mampu dan tingkatkan secara beransur-ansur.

4. Adakah istighfar boleh membantu dalam menghadapi tekanan hidup dan masalah kewangan?

Ya. Hadis menyebut bahawa sesiapa yang melazimi istighfar, Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Ini termasuk rezeki dalam bentuk kewangan, kesihatan, dan ketenangan jiwa. Istighfar membantu kita mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Kaya, sekali gus membuka pintu rahmat dan keberkatan yang mungkin tertutup akibat dosa-dosa kita.

5. Bolehkah istighfar dibaca dalam keadaan berjalan, bekerja, atau memandu?

Ya, istighfar boleh dilafazkan pada bila-bila masa dan dalam mana-mana keadaan selagi tidak dalam keadaan yang dilarang oleh syarak seperti di dalam tandas. Ia boleh dibaca semasa berjalan, memandu, memasak, bekerja, berehat, dan sebagainya. Inilah keindahan istighfar — ia adalah zikir yang mudah dan fleksibel tetapi sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT.

6. Apakah syarat-syarat taubat yang diterima oleh Allah SWT?

Para ulama menetapkan tiga syarat utama taubat yang sempurna: Pertama, menyesal atas dosa yang telah dilakukan dengan penuh ketulusan hati. Kedua, berhenti serta-merta dari melakukan dosa tersebut. Ketiga, berazam dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi. Sekiranya dosa itu melibatkan hak orang lain, perlu ditambah dengan memulangkan hak tersebut atau memohon maaf daripada orang berkenaan.

7. Apakah waktu-waktu yang paling afdal dan mustajab untuk beristighfar?

Antara waktu paling afdal untuk beristighfar ialah: (1) Waktu Sahur (sepertiga malam terakhir) — Allah turun ke langit dunia untuk menerima taubat. (2) Selepas setiap solat fardu. (3) Pagi hari Jumaat sebelum solat Subuh. (4) Selepas membaca Al-Quran. (5) Sebelum tidur. Namun ingat, istighfar yang dilakukan pada bila-bila masa tetap diterima selagi dilakukan dengan ikhlas dan penuh harapan kepada rahmat Allah.

8. Bagaimanakah cara terbaik untuk membiasakan diri beristighfar secara istiqamah?

Beberapa cara yang berkesan untuk beristiqamah beristighfar: Mulakan dengan target kecil seperti 33 kali selepas setiap solat. Gunakan tasbih atau aplikasi zikir di telefon sebagai pembantu. Letakkan catatan peringatan di tempat-tempat yang selalu dilihat. Jadikan istighfar sebagai kebiasaan semasa menunggu, dalam perjalanan, atau sewaktu berehat. Yang paling penting adalah niat yang ikhlas dan keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa mendengar dan menerima taubat hamba-Nya.

Sumber Rujukan

  1. Rahsia dan Kelebihan Istighfar, Muhammad Afdoluddin Abdullah. Penerbitan Pustaka Ilmuwan.
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-385: Kelebihan Istighfar Pada Pagi Hari Jumaat. Mufti Wilayah Persekutuan.
  3. Melazimi Istighfar dan Janji Allah Kepada Pengamalnya. Harakah Daily.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 + nineteen =