Skip to content

10 Hadis Tentang Iman yang Anda Perlu Tahu

hadis tentang iman

Artikel ini akan membahaskan 10 hadis tentang iman. Setiap hadis yang dibawa itu akan diperjelaskan supaya semua pembaca dapat memahaminya dengan mudah. 

Apa itu iman? 

Dari segi bahasa, iman berasal daripada perkataa amana yang bermakna percaya atau membenarkan sesuatu. Bertolak daripada perkataan itu, dapat difahami bahawa iman berkait rapat dengan kepercayaan. 

Iman dari segi syarak pula ialah percaya dalam hati, mengucap dengan lisan dan beramal dengan perbuatan atau fizikal. 

Iman itu tidak cukup sekadar percaya sahaja. 

Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 14:

Orang-orang Arab berkata, “Kami telah beriman.” Katakanlah (wahai Muhammad), “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja, “kami telah Islam.” Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Mari kita pelajari 10 hadis tentang iman. Mudah-mudahan bermanfaat buat semua pembaca. 

Hadis 1: Iman, Islam dan Ihsan 

قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ. قَالَ: صَدَقْت

Kata Jibril: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan Hari Kiamat dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau! (Riwayat Muslim)

Saya pasti, semua orang tahu hadis ini. Setidak-tidaknya pernah mendengarinya. Hadis ini sangat panjang, jadi saya mengambil bahagian yang berkaitan dengan iman sahaja. 

Sabda Rasulullah dalam hadis ini, iman adalah beriman kepada 6, iaitu beriman kepada: 

  1. Allah 
  2. Malaikat 
  3. Kitab
  4. Rasul 
  5. Hari Kiamat
  6. Qada’ dan qadar  

Ini merupakan asas rukun iman yang kita telah pelajari sejak kecil. Sekiranya anda tertanya-tanya dari mana datangnya rukun iman itu. Maka, inilah jawapannya! 

Kita wajib percaya kepada Allah yakni Tuhan kita yang Esa. Seterusnya, kepada malaikat-malaikat seperti Jibril, Israfil dan sebagainya. Allah menjadikan mereka sebagai makhluk yang sentiasa tunduk kepada perintah-Nya. 

Kita juga wajib percaya kepada setiap kitab yang diturunkan. Bukan sekadar al-Quran, tetapi kitab-kitab terdahulu juga. Al-Quran adalah penutup segala kitab dan pelengkap segala syariat. 

Kita wajib percaya kepada para Rasul sejak dari zaman Nabi Adam hingga Nabi Muhammad. Setiap Rasul mempunyai peranannya dalam menyebarkan Islam dengan syariat-syariat tertentu. Akhirnya, Nabi Muhammad adalah Rasul terakhir dan penutup segala syariat. 

Kita wajib percaya tentang adanya Hari Kiamat. Dunia ini akan berakhir dan kita semua makhluk Tuhan akan kembali kepada-Nya. Bukan sekadar kembali, kita akan diadili di hadapan Allah!

Kita wajib percaya takdir yang baik dan buruk. Hendaklah kita menerima takdir yang buruk dan mensyukuri takdir yang baik. Janganlah menafikan takdir kita, sebaliknya berdoalah kepada Allah kebahagiaan dunia dan akhirat. 

Hadis 2: Berkata baik atau diam, memuliakan tetamu dan jiran 

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْراً أًوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاْليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ. [رواه البخاري ومسلم]

Rasulullah bersabda: 

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah memuliakan jiran. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang benar-benar beriman itu pasti melakukan tiga perkara ini: 

1. Berkata yang baik-baik, sekiranya tidak ada perkara yang baik-baik untuk dikatakan, dia akan diam 

Diam adalah respon terbaik kepada apa-apa perkara yang tidak berfaedah. Janganlah bercakap hal-hal yang kosong. 

Imam Syafie pernah berkata (dipetik daripada kitab syarah hadis 40 Imam al-Athtar): 

Apabila seseorang ingin bercakap, maka hendaklah dia berfikir. Sekiranya jelas tiada kemudaratan baginya, maka bercakaplah. Sekiranya jelas kemudaratan atau ragu-ragu tentang kemudaratannya, maka tahanlah daripada bercakap. 

2. Melayani jiran dengan baik 

Ini bermaksud sebagai orang beriman, wajib menjaga hak-hak jiran seperti membantunya apabila perlu, memberi salam ketika berjumpa, menziarahinya ketika sakit dan lain-lain. 

3. Memuliakan tetamu 

Ini juga bermaksud orang beriman wajib menjaga hak-hak tetamunya. Contohnya, tetamu ada hak untuk bermalam di rumah kita tetapi tidak melebihi sehari semalam. Ada yang menyebutkan tiga hari dan sebagainya. 

Hadis 3: Beriman dan istiqamah 

 قُلْتُ : يَارَسُوْلَ اللّهِ قُلْ لِى فِى الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ اَحَدًا غَيْرَكَ. قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللّهِ ثُمَّ اسْتَقِم (رواه مسلم)

Seorang sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorang pun selainmu. Beliau bersabda, katakanlah: Saya beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (beristiqamah). (Riwayat Muslim).

Istiqamah dalam konteks ini bermaksud berpegang kepada tauhid sehingga mati. Imam al-Qushairi berkata dalam kitabnya, istiqamah merupakan satu darjat. Ia membawa kepada kesempurnaan amalan. Sesiapa yang tidak istiqamah, maka lenyaplah segala usahanya. 

Hadis 4: Kebersihan itu sebahagian daripada iman 

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم “الطَّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

Rasulullah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. (Riwayat Muslim) 

Hadis ini menegaskan kepentingan kebersihan. Orang yang beriman pasti akan menjaga kebersihan dirinya dan sekeliling. Dia akan sentiasa menjaga wuduk dan sebagainya. Sebab, orang yang berwuduk sudah tentulah beriman. 

Hadis 5: Mencegah kemungkaran 

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Rasulullah bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan kewajipan untuk mencegah kemungkaran dengan tahap-tahapnya. Pertama, dengan tangan. Apa maksud tangan di sini? Boleh jadi perbuatan secara langsung seperti ketika seseorang itu menjadi pemimpin dan sebagainya. 

Kedua, dengan lisan. Percakapan kita wajib mengungkapkan kebencian kepada kemungkaran itu. Bukan itu sahaja, mulut kita juga mesti menasihati dan menegur mereka yang berbuat mungkar. Ketiga, dengan hati. Ini merupakan selemah-lemah iman. Hati kita mesti membenci kemungkaran itu, jangan sesekali mengiktiraf atau memuji. 

Hadis 6: Malu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

Rasulullah bersabda: Iman memiliki lebih dari enam puluh cabang, dan malu adalah sebahagian daripada iman. (Riwayat Bukhari)

Malu di sini bermaksud malu untuk melakukan maksiat dan malu juga untuk tidak melaksanakan perintah Allah. 

Hadis 7: Menyayangi saudara Islam 


         عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ‏

Rasulullah bersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Tanda orang beriman itu mesti menyayangi saudara sesama Islam. Hasil daripada kasih sayang itu akan menjadikan orang Islam itu bersatu padu dan harmoni. 

Hadis 8: Iman dan kemungkaran tidak boleh hadir serentak 

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Rasulullah bersabda: Tidaklah seorang penzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa ketika seseorang itu mempunyai iman yang sempurna, dia tidak akan sesekali berbuat maksiat. Iman dan maksiat tidak boleh hadir serentak. 

Di sini kita boleh bermuhasabah seketika. Apabila kita senang dengan maksiat, maka kita perlu semak iman kita. Ucapkan istighfar dan bertaubat. 

Hadis 9: Perbaharui iman 

جَدِّدُوا إيْمَانَكُمْ قِيلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ وَكَيفَ نُجدِّدُ إيْمَانَنَا قَالَ أَكْثِرُوْا مِنْ قَوْلِ لَا إلهَ إلَّا اللهُ

Rasulullah bersabda: Perbaharuilah iman kamu sekalian. Sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya memperbaharui iman kami? Ujar baginda: Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah.(Riwayat Ahmad) 

Cara untuk memperbaharui iman kita adalah dengan berzikir kalimah tauhid dengan banyak. Jangan sekadar berzikir dengan geraknya bibir, malahan tambahlah sekali dengan renungan tentang keesaan Allah. 

Hadis 10: Akhlak mulia

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Rasulullah bersabda: Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang terbaik terhadap isteri-isterinya. (Riwayat Ahmad) 

Akhlak merupakan tanda sempurnanya iman seseorang. Lelaki yang sempurna imannya adalah lelaki yang berakhlak mulia terhadap isterinya. 

Diharapkan artikel hadis tentang iman ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan beberapa hadis yang berkait tentang iman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 5 =