Skip to content

Hukum Cukur Bulu Kening atau Kaki. Boleh atau Tidak?

hukum cukur bulu kening atau kaki

Apakah hukum cukur bulu kening atau kaki? Bulu ini umum. Ada banyak bulu pada badan manusia. Tapi, pernahkah kita teliti bulu mana satu yang boleh cukur, dan bulu mana satu yang tak boleh cukur?

Dalam artikel ini, penulis akan khususkan kepada dua jenis bulu yang masyarakat selalu tertanya-tanya. Iaitu:

  1. Hukum cukur bulu kaki
  2. Hukum cukur bulu kening

Selain daripada itu, penulis akan sentuh juga namun dalam bentuk kesimpulan yang mudah pembaca nak faham. Tapi, fokusnya dalam artikel ini, adalah dua poin tadi.

Mari kita masuk kepada persoalan yang pertama.

Hukum cukur bulu kaki

Apa hukum kita cukur bulu kaki kita? Kalau dah memanjang nampak tak kemas, macam mana?

Asalnya, tak ada pun syarak menyebutkan akan hal ini. Larang pun tidak, suruh pun tidak. Jadi, KH Ahmad Zahro di dalam bukunya Fiqih Kontemporer menyebutkan yang ianya kembali kepada asalnya hukum, iaitu harus. Kalau tak ada dilarang ataupun di suruh, maka mudahnya hukum kembali kepada harus.

Cukur bulu kaki ini statusnya lebih kurang macam cukur bulu dada dan cukur bulu di tangan. Tak disebut oleh syarak. Maka, cukur semua bahagian ini, adalah harus hukumnya.

Tak ada kena mengena pun dengan ‘mengubah ciptaan Allah’. Sebab kategori mengubah ciptaan Allah itu adalah sampai tahap ‘melebih-lebih’ seperti rekonstruksi (pembedahan plastik) bahagian wajah supaya nampak macam artis luar negara. Yang itu mengubah ciptaan Allah. Melebih-lebih.

Cukur bulu ini tak sampai pun tahap itu. Kalau cukur pun ia tumbuh balik. Bukan ‘ubah’ apa-apa pun.

Hal ini, adalah pilihan. Nak cukur, atau tak nak cukur, boleh saja. Harus.

Hukum cukur bulu kening

Hal ini lain. Ia ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah. Daripada Ibnu Abbas R.A, katanya Rasulullah bersabda:

Telah melaknat oleh Rasulullah saw akan perempuan yang mencukur bulu kening dan yang minta dicukurkan. (Riwayat Abu Daud)

Fatwa negeri Selangor ada menyentuh hal ini:

“Majoriti fuqaha berpendapat, mencabut atau mencukur bulu kening sehingga halus adalah diharamkan sama ada kepada lelaki atau wanita kerana perbuatan itu termasuk dalam istilah mengubah ciptaan Allah SWT.

”Namun demikian, bagi wanita yang mempunyai bulu kening yang terlalu panjang atau terlalu lebat sehingga mengaibkan, adalah harus mencabut atau menggunting sekadar menghilangkan keaibannya.”

Dalam hal ini, ada dua keadaan.

  1. Haram cukur untuk saja-saja nak cukur. Cukur untuk kecantikan.
  2. Harus cukur bila ada nampak keaiban pada wajah. Mungkin kening panjang daripada kebiasaan orang. Nampak pelik. Maka, bolehlah dicukur sekadar yang perlu untuk nampak ‘biasa’.

Kalau suami suruh isteri untuk cukur bulu kening pun haram hukumnya sebab ada larangan tegas daripada Rasulullah secara umum.

Kalau wanita itu tiba-tiba tumbuh bulu-bulu yang ‘lain macam’ seperti janggut dan misai. Kes begini boleh cukur. Harus. Sebab lain daripada kebiasaan perempuan.

Ada tak bulu yang syarak suruh untuk cukur?

Tadi, ada bulu yang syarak tak sebut tentangnya. Lagi satu, syarak larang untuk cukur.

Selain itu, ada tak syarak sendiri suruh untuk cukur?

Jawabnya, ada.

Rasulullah bersabda di dalam satu hadis:

“Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.” (Riwayat Bukhari)

Bulu-bulu ini memang digalakkan untuk cukur.

Bulu kemaluan itu, bulu-bulu yang di sekitar kemaluan juga termasuk di dalam ‘perintah’ ini seperti bulu dubur. Hal ini disebut oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Tahrir Al-Alfazh Al-Tanbih.

Kesimpulan

Hukum potong bulu kening adalah haram sama sekali sebab ada hadis Rasulullah suruh menegahnya. Kalau bulu kening nampak pelik saja harus untuk dicukur sekadar yang perlu.

Hukum potong bulu kaki adalah harus. Sebab syarak tak sebut langsung tentangnya. Maka, kembali kepada asalnya suatu hukum, iaitu harus.

Hukum potong bulu misai, kemaluan dan ketiak adalah sunat. Kerana ada hadis yang suruh.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum BerzinaHukum Cukur Bulu
Hukum Gantung Gambar dalam RumahHukum Gugurkan Kandungan
Hukum Main ForexHukum Warnakan Rambut
Hukum Baca Al-quran Ketika HaidHukum Buang Tahi Lalat
Hukum Makan Dakwat SotongHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Rujukan

  1. Hukum cukur bulu kaki bagi lelaki dan perempuan: Mufti WP
  2. Tiada larangan syarak wanita cukur bulu kaki: Berita Harian
  3. Mencukur bulu kening: Mufti WP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − four =