Skip to content

Hadis Berkenaan Bidaah di Dalam Agama – Hadis 40

hadis tentang bidaah

Hadis ini merupakan hadis ke-5 dalam buku hadis Arbain iaitu hadis 40 karangan Imam Nawawi yang menceritakan mengenai menghapuskan kemungkaran dan bidaah.

Hadis ini menentukan amal pada zahirnya. Jika setiap amalan yang dilakukan, tidak menurut perintah Allah dan Rasul-Nya, maka amalan itu tidak akan diterima. Sebagaimana hadis pertama (انما الاعمال بالنيات) menjadi dasar menentukan amal pada batinnya.

عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِيْنَ أُمِّ عَبْدِ اللهِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم : مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ  رَدٌّرواه البخاري ومسلم

.

Maksudnya : “Daripada ummul Mukminin Ummu Abdullah Aisyah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya maka Ia adalah ditolak“.  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadis Berkenaan Bidaah

1. Islam prinsipnya ikutan, bukan rekaan

Hadis ini bertitik tolak daripada ayat al-Quran yang telah menjelaskan bahawa kejayaan dan keselamatan terletak pada mengikut petunjuk Rasulullah SAW. tanpa menokok tambah dan melampau, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Imran ayat 31

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) :” jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu

Nabi SAW Bersabda dalam khutbah Baginda:

أصدق الحديث كتاب الله، وخير الهدي هدي محمد، و شر الامور محدثاتها

Maksudnya : “Kata-kata yang paling benar ialah kitab Allah (al-Quran), Petunjuk yang terbaik ialah petunjuk Nabi Muhammad SAW, perkara yang paling buruk ialah perkara yang diada-adakan (bid’ah)”

Berdasarkan hadis ini, semua amalan manusia hendaklah berada di bawah hukum-hukum syarak. Hukum syarak menjadi penghukum ke atas segala amalan, sama ada melalui perintah atau larangannya. Oleh itu, sesiapa yang amalannya sejajar dan bertepatan dengan hukum syarak, amalan itu akan diterima. Namun begitu, sesiapa yang amalannya terkeluar daripada hukum syarak, amalan itu akan ditolak.

2. Amal yang ditolak

Perbuatan mukallaf wajib mengikut apa yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Adalah suatu kesesatan yang nyata, jika sekiranya amalan itu terkeluar dari hukum syarak yang terdapat di dalam kedua-dua sumber. Amalan ini pula terbahagi kepada dua iaitu ibadah dan muamalat.

Ibadah

Suatu ibadat yang terkeluar dari ruang lingkup hukum Allah dan RasulNya secara keseluruhan, maka ia adalah ditolak. Contohnya, seseorang yang bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) dengan mendengar nyanyian, menari dan seumpamanya. Mereka bertaqarrub dengan buah fikiran dan kesesatan yang mereka ada-adakan, mereka inilah di antara orang-orang yang Allah butakan mata hati mereka daripada mengikut jalan yang benar.

Muamalat

Segala jenis akad dan fasakh (pembatalan akad) sekiranya berlawanan dengan hukum syarak secara keseluruhan maka ia adalah batil dan ditolak. Seperti menggantikan hukum (had) zina dengan hukuman berbentuk wang. Sabda Nabi SAW kepada orang yang bertanya kepada Baginda:

“Sesungguhnya anak saya bekerja dengan si fulan, dan dia berzina dengan isterinya. Saya telah menebusnya dengan membayar 100 ekor biri-biri dan seorang khadam”.

Baginda SAW bersabda:

المائة شاة و الخادم رد عليك، وعلى ابنك جلد مائة وتغريب عام

Maksudnya : “100 ekor biri-biri dan khadam itu mestilah dikembalikan semula kepada kamu, anak kamu hendaklah disebat 100 kali dan dibuang daerah selama setahun.”

3. Amalan yang diterima

Terdapat amalan baru yang tidak terdapat pada zaman Rasulullah SAW yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Amalan-amalan ini tidak ditolak malah diterima dan dipuji. para sahabat banyak melakukannya dan mereka mengharuskannya. Mereka telah sepakat menerimanya. Contoh amalan yang diterima ialah menghimpunkan al-Quran dalam satu Mushaf pada zaman Abu Bakar RA.  Dan pada zaman Uthman al-Affan RA, beliau telah menyalin beberapa naskhah al-Quran dan menghantarnya keluar negeri beserta qari.

4. Bidaah yang terpuji dan yang dikeji

Bidaah ialah perbuatan-perbuatan yang dinilai sebagai ibadah, tetapi tidak bersumber daripada islam dan tidak memiliki landasan yang jelas. Setiap perbuatan ibadah tidak bersandar pada dalil syar’i ditolak daripada pelakunya. Sesetengah amalan yang diada-adakan yang berlawanan dengan syariat Allah ialah bidaah yang buruk. Sesetengah amalan yang diada-adakan yang tidak bercanggah dengan syarak bahkan menepati syariat adalah amalan yang diterima(baik) ada di antaranya yang sunat dan fardu kifayah.

Imam Syafi’i berkata : “Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran , sunnah, ijmak, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji.”

Bidaah Terpuji

Majlis Tahlil, tidak wujud zaman Rasullah, tetapi ia adalah majlis zikrullah. Maka ini dibolehkan dan mereka yang menghadirinya akan mendapat pahala. Selain itu, sambutan Maulidur Rasul juga adalah bidaah. Namun, ia adalah bidaah yang baik kerana ia merupakan perayaan untuk menghidupkan sirah Rasullah SAW dalam jiwa umat Islam tentang perjuangan baginda dalam menegakkan kebebaran.

Bidaah yang Dikeji

Bidaah yang buruk kadang kala boleh menjadi makruh dan kadangkala boleh menjadi haram kerana menyimpang daripada tujuan Islam. Contoh, memberi wala’ kepada pertubuhan dan jemaah yang mengingkari wahyu Allah, menyeru kepada berhukum dengan undang-undang buatan manusia dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sesiapa yang mereka-reka sesuatu amalan berkaitan agama yang tidak selari dengan kehendak syarak, maka dia akan menanggung dosanya sendiri. Hadis ini juga mengandungi larangan daripada melakukan bidaah. Ia menunjukkan bidaah akan membawa kerosakan, juga menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang sempurna, tidak ada apa yang kurang padaNya.

Diharapkan hadis tentang bidaah ini dapat memberikan gambaran sedikit sebanyak berkenaan bidaah.

Hadis Arbain yang lain:

1. Hadis Niat5. Hadis Berkenaan Bidaah dalam Agama
2. Hadis Islam, Iman, Ihsan dan Tanda Kiamat6. Hadis Berkenaan Halal, Haram dan Syubhah
3. Hadis Asas Islam7. Hadis Agama adalah Nasihat
4. Hadis Kejadian Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × 3 =