Skip to content

Hadis Agama adalah Nasihat – Hadis 40

Hadis agama adalah nasihat

Artikel ini membincangkan mengenai hadis ke 7 dalam buku hadis Arbain (hadis 40) karangan Imam Nawawi yang menceritakan perihal agama dan nasihat.

Hadis ini merupakan ungkapan yang merangkumi pelbagai perkara meskipun ringkas. Ia merupakan keistimewaan Nabi SAW yang telah dianugerahkan Allah. Hadis ini mengandungi semua urusan agama sama ada usul furu’, amalan dan ‘iktiqad.

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Agama adalah an-nasihah” Kami bertanya : “Untuk siapa?” Jawab baginda : “Untuk Allah, kitabnya, rasul-nya, dan bagi para imam-imam muslimin dan seluruh muslimin (selain imam-imam)” – Riwayat Muslim

Kandungan Hadis

Agama adalah nasihat bererti bahawa agama itu terletak pada nasihat kerana pada nasihat itu mengandungi ketaatan kepada Allah, kepada RasulNya, beriman serta beramal dengan kitabNya, dan Sunnah rasul-nya. Islam adalah agama Allah, nasihat mengandungi maksud supaya yang dinasihati mendapat keuntungan atau faedah. Orang yang memberi nasihat bermaksud untuk memberi kebaikan kepada orang yang dinasihati. Orang yang memberi nasihat menggunakan kata-kata yang sudah dipilih dan telah dihalusi serta ikhas bersih dari maksud yang tidak baik.

1. Nasihat untuk Allah

Maksud nasihat bagi Allah ialah beriman kepadaNya, menolak sekutu terhadapNya. Mengesakan Allah dalam ‘itiqad, ibadat dan beramal menurut apa yang diperintahkanNya, meninggalkan apa yang dilarangNya, mengingati kebesaranNya, mensyukuri nikmatNya dengan menggunakannya di jalan yang baik dan sejahtera. Nasihat bagi Allah pada hakikatnya adalah nasihat kepada diri sendiri kerana Allah tidak memerlukan sebarang nasihat seorang dari hambanya.

2. Nasihat untuk kitab Allah

Nasihat bagi kitabNya ialah beriman kepada kebenaranNya dengan beramal mengikut petunjukNya. KitabNya ialah perkataan yang diwahyukan kepada Rasul-Nya, yang tidak sama dengan perkataan manusia dan tidak dapat ditiru sepertinya oleh sesiapa pun.

Nasihat seorang Islam kepada kitab TuhanNya adalah dalam pelbagai bentuk.  

Membaca dan menghafalnya kerana dengan membacanya dapat membersihkan jiwa dan menambah ketakwaan.

Sabda Rasulullah SAW

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-quran sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai syafaat kepada tuannya”

Membaca dengan tartil dan suara yang merdu.

Sabda Rasulullah SAW

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya : “Bukanlah daripada kalangan kami sesiapa yang tidak berlagu-lagu dengan al-quran”

Meneliti dan memahami maksud ayat.

Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 24

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَآ

Maksudnya: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?”

Mengajarkannya kepada generasi Islam

Sabda Rasulullah SAW

خيركم من تعلم القران وعلمه

Maksudnya : “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada manusia.”

Berusaha memahami dan mengamalkannya.

Tiada nilai membaca al-Quran jika kita tidak mendalaminya dan mengamalkannya. Firman Allah SWT dalm Surah as-Saff ayat 2-3

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُون #  كَبُرَ مَقْتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukannya? amat besar kebencian di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”

3. Nasihat untuk Rasulullah SAW

Nasihat bagi rasul-Nya ialah membenarkan kerasulannya, mempercayai apa yang dibawanya, mematuhi suruhanya dan larangannya, membela agamanya, memusuhi siapa yang melawannya, mencintai siapa yang mencintainya, menghidupkan sunnahnya pada diri dan dalam masyarakat. Ketaatan kepada Rasulullah SAW juga merupakan ketaatan kepada Allah SWT. Firman Allah dalam Surah an-Nisa’ ayat 80

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ

Maksudnya : “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah s.a.w. maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah”

4. Nasihat untuk para pemimpin Islam

Yang dimaksudkan dengan imam muslimin ialah para pemerintah umat Islam. Sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka, termasuk juga dalam pengertian Imam muslimin ialah para ulama dan golongan Islam (mereka yang memperbetulkan penyelewengan). Para pemerintah umat Islam mestilah terdiri dari kalangan muslimin, supaya ketaatan terhadap mereka menjadi wajib Allah telah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya : “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri ( orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”

Maksud nasihat kepada pemimpin Islam ialah membantu dan menyokong mereka dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan, tegur mereka dengan cara yang sopan. Selain itu, mengingatkan mereka dikala mereka terlalai dari kewajiban dan jangan  menghasut orang ramai supaya berpaling daripada ketaatan yang membawa kepada kekacauan.

5. Nasihat untuk seluruh orang Islam

Iaitu dengan memandu mereka ke arah kebaikan dalam urusan akhirat dan dunia. Memimpin mereka ke jalan yang benar, mengawasi mereka dari jalan yang salah, mengajar mereka, belajar dari mereka, tolong-menolong dengan perkara kebaikan dan taqwa, saling hormat menghormati, cinta mencintai, memelihara kemaslahatan hidup, menjauhi sifat-sifat yang membangkitkan fitnah dan permusuhan.

Ketahuilah bahawa setiap seorang adalah anggota dalam masyarakat, kebaikan masyarakat kerana kebaikan setiap diri dan begitulah sebaliknya. Jalan untuk memelihara keselamatan masyarakat hendaklah ada nasihat dan pimpinan yang sihat. Setiap nasihat itu hendaklah dengan cara yang sopan lagi bijaksana sesuai dengan keadaan mereka yang dinasihatkan. Sabda Rasulullah SAW

اذا استنصح احدكم اخاه فلينصح له

Maksudnya : “Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat maka nasihatilah dia”

Adab Menasihati dalam Islam

Seorang Islam perlulah menasihati dan mengingatkan saudara seIslamnya secara rahsia dan bukannya di khalayak ramai. Kata Al Fudhail bin ‘Iyadh : “Orang mukmin menyembunyi lalu menasihati manakala orang yang jahat membuka pekung dan memalukan.”

Kesimpulan

Fudhail bin ‘ Iyadh berkata : “Orang yang paling berjaya di sisi kami bukanlah mereka yang berjaya melaksanakan banyak sembahyang dan puasa. Tetapi yang paling berjaya di sisi kami diukur dengan jiwa yang pemurah, berlapang dada dan melaksanakan tanggungjawab an-nasihah terhadap Ummah.”

Hadis ini menunjukkan bahawa nasihat itu dinamakan agama dan Islam. Oleh itu agama meliputi amalan dan juga perkataan. Nasihat adalah fardu kifayah, sesiapa yang melakukannya dia memperolehi pahala sementara orang lain terlepas daripada tanggungjawab tersebut.

Nasihat adalah wajib berdasarkan tahap kemampuan jika pemberi nasihat mengetahui nasihatnya diterima, dipatuhi dan dirinya terselamat daripada bahaya, dia hendaklah memberi nasihat, manakala jika bimbang keselamatan dirinya maka dia diberi pilihan.

Hadis Arbain yang lain:

1. Hadis Niat5. Hadis Berkenaan Bidaah dalam Agama
2. Hadis Islam, Iman, Ihsan dan Tanda Kiamat6. Hadis Berkenaan Halal, Haram dan Syubhah
3. Hadis Asas Islam7. Hadis Agama adalah Nasihat
4. Hadis Kejadian Manusia




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × five =