Apakah doa selepas iqamat dan adab yang boleh dicontohi sebelum dan selepasnya? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda tentang doa selepas iqamat dan adab yang boleh dilakukan sebagai panduan dalam kehidupan.
Apa itu iqamat?
Iqamat berasal dari perkataan Arab iaitu ‘أَقَام’ yang bermaksud menjadikannya lurus atau menegakkan. Iqamat dari segi bahasa adalah bangun. Sedangkan menurut syarak, iqamat beerti membangunkan orang yang hadir untuk mendirikan solat dengan beberapa kalimah tertentu yang telah ditetapkan.
Ia akan dilaungkan selepas azan sebagai tanda bahawa imam akan memulakan solat fardhu. Oleh yang demikian, makmum akan bersiap sedia berdiri dalam saf untuk mendirikan solat fardhu.
Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, hukum iqamah adalah sunat muakkad untuk solat fardhu lima waktu sama seperti hukum azan. Kata Imam al-Nawawi: Mazhab kami yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir bagi (solat) berjemaah dan juga solat bersendirian
Bilakah masa yang tepat antara azan dan iqamat
Sebenarnya menetapkan jarak antara azan dan iqamat adalah sunnah. Hal ini bagi mengambil kira kepada para jemaah yang turut hadir untuk solat agar tidak ketinggalan dalam mendirikan solat bersama-sama.
Dari segi menetapkan masa, ulama berpendapat bahawa jarak azan dan iqamat ini adalah selama tempoh makan seseorang yang makan atau mandi dengan tenang sahaja.
Ini berdasarkan hadis Al-Imam asy-Syaukani meriwayatkan di dalam Nail al-awthar 1/409, dengan sanadnya daripada Ubay ibn Ka’ab, Rasulullah bersabda:
Wahai Bilal, jadikanlah antara azanmu dan iqamatmu ruang nafas seperti jangka masa seseorang makan dengan tenang bersahaja, atau mandi dengan cara tenang bersahaja.
Adakah dibolehkan berdoa selepas iqamat?
Bacaan doa selepas iqamat adalah disunatkan sepertimana yang dilakukan juga selepas azan. Penjelasan ini seiringan dengan pandangan daripada Imam Al-Nawawi, Imam Ibn Hajar Al-Haitami dan lain-lain.
Sedangkan dari kalangan ulamak Hanabilah seperti Ibn Qudamah, beliau lebih cenderung untuk memberi hukum sunat berzikir bagi sesiapa yang mendengar iqamat seperti juga azan. Walau bagaimanapun tiada perbezaan antara iqamah dan azan dari segi doa.
Ulamak ramai yang berpendapat bahawa disunatkan berdoa apa-apa sahaja yang disukai selepas iqamah, kerana itu jugalah yang dilakukan oleh Imam Ahmad yang berdoa sambil menadah kedua-dua tangannya
Amalan doa selepas azan tsabit dengan hadis Nabi SAW, dimana Jabir bin ‘Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang mendengar azan dan berdoa Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat.” – (Sahih Bukhari: 614)
Doa selepas iqamat
Bacaan rumi: Allahumma rabba hazihid da’ watittamah. Wassolatil qaimah. Ati saiyidana Muahammadanil wasilata wal fadhilah. Wassyarafa waddarajatal ‘aliatar rafi’ah. Wab’athhul maqamal mahmudal lazi wa’adtah. Innaka laatukhliful mi’ad.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahnyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang Engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”
Adab sebelum iqamat
- Ambil wuduk
- Pastikan diri, tubuh, pakaian, dan tempat solat suci daripada najis dan hadas
- Menghormati lafaz iqamat yang dilaungkan
- Duduk dalam keadaan tertib
Adab selepas iqamat
- Membaca doa selepas iqamat
- Berdiri dengan lurus dan rapat dalam saf
- Bersedia untuk mendirikan solat
Kesimpulan
Azan dan iqamat adalah lafaz yang sangat istimewa dan kalimah-kalimahnya mengandungi makna tauhid yang cukup besar kepada kita sebagai umat Islam. Oleh yang demikian, jagalah kesucian azan dan iqamah ini kerana sesungguhnya ia adalah seruan untuk umat Islam bersujud kepada Allah SWT.
Bacaan Doa yang lain
Rujukan
- Al-Mughni karya Imam Abu Qudamah Al-Maqdisi
- Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab karya Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi
- Al-Kafi #767: Adakah Anda Doa Selepas Iqamah Sebagaimana Doa Selepas Azan? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan