Apakah bacaan doa untuk memohon keampunan dari Allah SWT? Dalam artikel ini, penulis akan membahaskan doa-doa untuk memohon keampunan dan amalan-amalan untuk meraih keampunan daripada Allah.
Pengenalan
Sebagai manusia, kita memang sentiasa melakukan dosa dan hal itu sudah menjadi lumrah dalam diri kita.
Rasulullah bersabda:
Semua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat. (Riwayat Ibnu Majah)
Rasulullah sendiri akui bahawa setiap manusia itu melakukan dosa. Namun, dalam kalangan pendosa-pendosa itu, yang terbaik adalah mereka yang kembali dan bertaubat kepada Allah.
Allah sentiasa mengampunkan hamba-hamba-Nya. Cuma, kita yang harus ada kesedaran lalu segara memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya setelah berbuat dosa.
Namun, apakah ada keampunan bagi dosa yang berulang-ulang?
Keampunan bagi Dosa yang Berulang
Hal ini dijawab dalam satu hadis:
Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki. (Riwayat Bukhari)
Kuncinya ialah keikhlasan dan kesungguhan. Orang yang ikhlas memohon ampun dan bertaubat itu segera diampunkan oleh Allah. Betapa Allah itu Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya.
Janganlah kita berputus asa dengan rahmat Allah.
Allah berfirman dalam Surah az-Zumar ayat 53:
Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.
Orang yang melampaui batas terhadap diri sendiri itu ialah orang yang berasa bahawa dengan banyaknya dosa dia, dia berasa Allah sudah tidak akan mengampunkan dia. Anggapan itu tidak betul sama sekali. Allah menjawab dalam ayat ini. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.
Jadi, apakah doa-doa untuk memohon keampunan?
Doa Keampunan
1. Penghulu istighfar
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ ،وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، فَاغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ
Maksudnya: Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia (beriman dan taat) kepada-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.
Dalam satu hadis Bukhari diceritakan kelebihan membaca penghulu istighfar ini, yakni sesiapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keimanan lalu mati pada pagi esoknya, maka masuk syurga. Sesiapa yang membaca pada waktu pagi dengan penuh keimanan lalu mati pada malam itu, maka masuk syurga.
2. Istighfar
Isitghfar boleh dibaca dengan lafaz penuh atau pendek. Semua jenis lafaz adalah baik asalkan kita ikhlas dalam memohon keampunan daripada Allah.
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه
Maksud: Aku meminta ampun pada Allah yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat pada-Mu
Beristighfar kepada Allah akan mengampunkan segala dosa kita seperti buih di lautan (Hadis riwayat Abu Daud).
3. Istighfar Nabi Adam
Doa ini boleh dicari dalam al-Quran, Surah al-A’raf ayat 23:
رَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخٰسِرِيْنَ
Maksud: Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan tidak merahmati kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.
Istighfar ini dibaca oleh Nabi Adam AS bilamana baginda diusir dari syurga selepas makan buah dari pohon larangan.
4. Istighfar Nabi Yunus
Allah berfirman dalam Surah Yunus ayat 87:
لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksud: Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim
Nabi Yunus membaca doa ini bilamana baginda ditelan oleh ikan paus.
5. Berbuat baik
Rasulullah bersabda:
Bertakwalah kepada Allah di mana-mana pun kalian berada. Iringilah perbuatan dosa dengan amal kebaikan, kerana kebaikan itu dapat menghapusnya. Serta bergaullah dengan orang lain dengan akhlak yang baik. (Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Perhatilah ayat kedua dalam hadis di atas. Setiap perbuatan baik atau amal soleh itu pasti menghapuskan dosa-dosa kita. Contohnya:
- Solat
- Puasa
- Bersedekah
- Berzikir
Dan seterusnya. Semua amal kebaikan dapat menghapuskan dosa-dosa kita. Insya-Allah.
Bacaan Doa yang lain
Rujukan
Minhajul Abidin tulisan Imam al-Ghazali.