Apakah bacaan doa ketika bulan Rejab? Artikel ini akan memberikan panduan rumi dan teks arab untuk doa di bulan rejab untuk memudahkan pembacaan dan hafalan anda.
Doa Di Bulan Rejab Mudah Dimakbulkan
Di media sosial tak kiralah di Whatsapp, FaceBook, Twitter, Instagram dan sebagainya, ramai yang berkongsi dan menyebarkan tentang kelebihan dan doa apabila menjelangnya bulan Rejab serta menyatakan bahawa keistimewaan berdoa pada malam pertama bulan Rejab akan termakbul doa seseorang.
Menurut suatu sumber yang diperolehi dari artikel online Sinar Islam menerusi temuramahnya dengan Imam Muda Fakhrul, beliau mengatakan bahawa tiada satu hadis sahih menceritakan tentang kelebihan pada bulan Rejab atau malam-malam tertentu bulan itu serta amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan berkenaan.
Doa Bulan Rejab
Maksudnya : “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan Kau berkatilah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan”
Imam Muda Fakhrul menjelaskan walaupun ia bukan doa yang dilafazkan Rasulullah SAW, namun ia adalah doa yang sangat baik untuk diamalkan kerana doa itu diajar oleh para ulama’ yang memohon agar kita masih diberikan peluang dan kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan. Ia boleh diamalkan tetapi tidak boleh dianggap sebagai doa yang ma’thur dan menjadi pegangan akidah umat Islam.
Perbanyakkan Amalan Ketika di Bulan Rejab
Para alim ulama sangat menggalakkan dan menekankan berkenaan memperbanyakkan amal ibadah pada bulan Rejab yang menjadi latihan terbaik sebelum bulan Ramadhan tiba. Kita dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah S.W.T. selagi perkara yang diminta dan dihajatkan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam. Ustaz Fakhrul juga menyatakan kelebihan bulan Rejab adalah ia salah satu daripada bulan-bulan haram yang mulia di sisi Allah S.W.T. Bulan-bulan haram ini merupakan bulan Zulhijah, Zulkaedah, Muharam dan juga Rejab.
Menurut ustaz Rozaimi Ramle, beliau juga menerangkan perkara yang sama seperti apa yang disebut oleh Imam Muda Fakhrul bahawa tiada satu pun hadis sahih Rasulullah S.A.W. berkenaan kelebihan bulan Rejab. Yang ada hanyalah tentang bulan Rejab termasuk dalam bulan haram dan digalakkan berpuasa sunat pada bulan haram. Namun, bila-bila sahaja dalam bulan Rejab dibolehkan untuk berpuasa dan tidak ditentukan hari-hari tertentu. Demikian yang disebut oleh Ibn Hajar al-Asqalani yang bermaksud, “Tidak ada hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, begitu juga (tidak ada riwayat) tetang berpuasa padanya, dan berpuasa mana-mana hari daripadanya secara khusus, begitu juga tentang menghidupkan malam tertentu padanya.”
Berpuasa di Bulan Rejab
Berpuasa di bulan Rejab dan bulan-bulan haram (Al-Asyhur al-Hurum) mempunyai fadhilat yang sangat besar. Terdapat beberapa hadis sahih tentang puasa pada bulan Rejab. Antaranya riwayat Muslim, An-Nasa’i dan Abu Daud. Hadis-hadis lain tentangnya termasuk riwayat Al-Baihaqi dan Ibn Majah.
Antara para ulama’ yang membolehkan puasa pada bulan Rejab termasuklah Imam Izz ad-Din bin Abd asSalam (fatwa beliau tentangnya telah dinukilkan oleh Al-Imam al-Allamah Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya Al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah), Imam Nawawi dalam Syarh An-Nawawi ala Shahih Muslim dan Al-Majmu’.
Amalan Ketika Bulan Rejab
Amalan malam Rejab yang boleh dilakukan :
- Solat sunat Tahajjud dua (2), lapan (8) atau dua belas (12) rakaat.
- Solat sunat Tasbih, Taubat dan Witir.
- Istighfar tujuh puluh (70) kali, seratus (100) kali atau lebih
- Berdoa
- Memohon keampunan diri dan ibu bapa
- Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga terbitnya fajar Subuh
(Syeikh Abdul Hamid al-Qudsi, seorang ulama yang mengajar di Masjidil Haram dalam kitabnya, Kanzun Najah was Surur menjelaskan, bahawa Wahb bin Munabbih berkata: “Aku telah membaca di dalam kitab-kitab Allah S.W.T. yang diturunkan menyatakan : Barang siapa membaca “Allahummaghfir li warhamni watub’alayya”, (Ya Allah, ampunilah aku, sayangi aku dan terimalah taubatku) 70 kali pagi dan petang, tubuhnya tidak akan tersentuh api neraka.” Rujuk juga Tuhfah alAwthon wa al-Ikhwan, Syeikh Ahmad bin Muhammad Sa’id bin Jamaluddin al Linggi, ms. 67)
Peristiwa Penting Bulan Rejab
Beberapa peristiwa penting telah berlaku dalam bulan Rejab, antaranya:
- Peristiwa Israk dan Mikraj (27 Rejab) ke atas Nabi Muhammad SAW. adalah perkara besar yang berlaku dalam bulan Rejab. Baginda telah di“Israk”kan (dibawa berjalan) dengan `Buraq’ dari Masjidil Haram di Kota Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin serta di“Mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T.
- Malaikat Jibril melakukan pembedahan ke atas dada Rasulullah S.A.W.
- Diperlihatkan keadaan syurga dan neraka melalui Rasulullah S.A.W.
- Nabi Muhammad S.A.W. bertemu dengan rasul-rasul terdahulu
- Solat lima waktu difardhukan ke atas umat Islam (malam Israk Mikraj) oleh Allah S.W.T. melalui Rasulullah S.A.W.
Sepanjang bulan Rejab, tak kira siang atau malam, kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar dan berdoa selain amalan hasanat (kematian) yang mendekatkan dan mengingatkan diri kepada Allah S.W.T.; membaca Al-Quran, bersedekah, berzikir, menghadiri majlis ilmu, menziarahi orang-orang soleh, menyantuni fakir miskin dan anak-anak yatim.
Ambillah kesempatan untuk berdoa apa sahaja dan mendapatkan pahala ketika bulan Rejab, Syaaban hingga dapat bertemu Ramadhan yang di dalamnya lebih baik dari 1000 bulan. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita serta diberikan taufiq dan hidayah untuk terus merajinkan diri beribadah pada malam-malam tersebut.
Bacaan Doa yang lain
Sumber rujukan :
- Amalan Bulan Rejab – IIUM
- Status Doa Berkenaan Rejab, Syaaban dan Ramadhan – Mufti WP
- Apakah amalan yang sesuai dilakukan pada bulan Rejab – Sinar Harian