Skip to content

10 Amalan Sunat Ketika Hari Raya Aidiladha

amalan sunat hari raya aidiladha

Apakah amalan sunat hari raya Aidiladha yang boleh kita lakukan baik secara perseorangan atau bersama-sama dengan keluarga. Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda beberapa amalan sunat hari raya Aidiladha yang sangat bagus jika diamalkan oleh umat Islam.

Apa itu hari raya Aidiladha?

Hari raya Aidiladha ataupun dipanggil sebagai Hari Raya Korban adalah sambutan perayaan masyarakat Islam di seluruh dunia. 

Mengikut kalender Islam, hari raya ini jatuh pada hari kesepuluh di bulan Zulhijjah iaitu tepatnya pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Perbezaan yang ketara pada hari raya Aidiladha berbanding hari raya Aidilfitri adalah ibadah korban binatang ternakan yang dilakukan. 

Amalan sunat hari raya Aidiladha yang boleh dilakukan

Amalan sunat hari raya Aidiladha tidak jauh berbeza sebenarnya dengan hari raya Aidilfitri. Namun begitu, terdapat beberapa pertambahan dan berikut ini adalah amalan sunat hari raya Aidiladha untuk rujukan kita bersama.

1. Menghidupkan malam hari raya

Amalan sunat hari raya Aidilfitri yang pertama boleh kita lakukan adalah dengan menghidupkan malam hari raya tersebut. 

Kita digalakkan untuk menghidupkannya dengan beribadat kepada Allah SWT seperti melakukan solat, berzikir, membaca Al-Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

2. Memperbanyakkan bertakbir

Hari raya Aidiladha merupakan salah satu daripada tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT. Justeru itu, umat Islam sangat digalakkan untuk bertakbir. Ini bertepatan dengan hadis daripada Ali dan Ammar r.anhuma, mereka menceritakan:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.” – (Hadis Riwayat al-Hakim, hadis sahih)

3. Mandi sunat hari raya sebelum ke masjid

Membersihkan diri dan mandi sunat hari raya sebelum ke masjid menjadi amalan sunat hari raya Aidiladha yang sangat banyak manfaatnya. Selain untuk kebersihan tubuh badan dan menyegarkan diri, ia juga adalah amalan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Lafaz mandi sunat itu adalah seperti yang berikut:

 “Sahaja aku mandi sunat hari raya aidiladha kerana Allah SWT Taa’la.”

4. Berpakaian yang terbaik 

Sambutlah pagi hari raya ini dengan memakai pakaian yang terbaik menandakan kita bersyukur dengan kurniaan yang diberikan oleh Allah.

Berpakaian yang terbaik tidak semestinya ia baru tetapi cukup jika ia pakaian yang terbaik daripada semua pakaian yang kita miliki di dalam almari. 

5. Makan selepas keluar rumah

Bagi amalan sunat hari raya Aidiladha, kita disunatkan untuk menjamah makanan selepas pulang dari rumah untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha.

Hal ini diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.” – (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)

6. Segera ke masjid untuk solat sunat hari raya Aidiladha

Solat sunat hari raya Aidiladha adalah solat sunat dua rakaat yang mempunyai rukun dan syarat yang sama dengan solat fardhu lima waktu kecuali ditambah dengan takbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua.

Khutbah Aidiladha juga sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya. Namun begitu, sunat ia dimulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.

7. Menyembelih haiwan korban

Ibadah korban menjadi amalan bagi setiap umat Islam setiap kali tibanya hari raya Aidiladha. Ia sunat dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada 10, 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

Hukum bagi ibadah ini adalah sunat muakkad menurut Mazhab Syafie. Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

8. Makan daging korban dan bersedekah kepada asnaf dan fakir miskin

Dalam Surah al-Hajj ayat 37, Allah berfirman yang bermaksud: 

“Daging dan darah haiwan korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa daripada kamu.”

Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” – (Surah Al-Hajj, ayat 28)

9. Saling mendoakan kebaikan untuk orang lain

Mendoakan kesejahteraan orang lain adalah satu amalan yang sangat terpuji. Islam sangat menggalakkan untuk setiap umat Islam agar mendoakan kepada saudaranya.

Kita disarankan untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita. Doa yang diucapkan tanpa pengetahuan saudara kita itu akhirnya pahalanya akan kembali kepada kita juga. 

10. Saling mengeratkan hubungan silaturahim

Amalan mudah yang boleh kita buat untuk mengeratkan hubungan silaturahim adalah dengan ziarah-menziarahi. Aktiviti ziarah sudah sinonim dalam budaya rakyat Malaysia menjelang hari raya.

Islam bahkan sentiasa menyuruh umatnya agar memperbaiki dan mempertingkatkan ikatan silaturahim dan ukhuwah sesama insan dan umat Islam.

Hal ini seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al Hujuraat ayat 10:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan sunat hari raya Aidiladha ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian khususnya apabila tiba perayaan ini.

Rujukan:

  1. Korban Sucikan Jiwa, Erat SIlaturhim. Berita Harian
  2. Amalan Sunnah Menyambut Hari Raya Aidiladha Di Rumah. Sirap Limau
  3. Bayan Linnas Siri Ke-110: Kelebihan Hari Arafah dan Hari Raya Aidiladha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 + 3 =