Husain Bin Ali, gugur syahid di Karbala. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang cucu Rasulullah SAW yang dikenang kisahnya pada Hari Asyura.
Siapakah Husain Bin Ali?
Husain Bin Ali merupakan cucu Rasulullah SAW. Beliau merupakan putera bongsu Sayyidatina Fatimah az-Zahra’ dengan suaminya, Sayyidina Ali bin Abu Talib, dan merupakan adik kepada Hasan bin Ali. Beliau dilahirkan pada bulan Syawal tahun ke-4 Hijrah, setahun selepas kelahiran abangnya, Hasan.
Rasulullah SAW menyambut kelahiran Husain sepertimana baginda menyambut kelahiran Hasan. Baginda mengalunkan azan ke telinganya, kemudian menyembelih akikah selepas tujuh hari kelahirannya dan memberikan nama Husain kepadanya.
Sifat-sifat Husain Bin Ali
Dalam menggambarkan paras rupa Husain, Anas bin Malik berkata, “Husain serupa dengan Rasulullah SAW daripada dada sampai ke kaki”. Manakala, wajahnya pula lebih mirip dengan ayahnya, Sayyidina Ali. Ahli-ahli sejarah Islam menggambarkan bahawa Husain memiliki badan yang sama dengan Rasulullah SAW, tidak tinggi dan tidak pendek, berbadan gagah, berbahu lebar, berdahi luas, berjanggut lebat, kulitnya putih kemerah-merahan dan bersuara merdu. Selain dari sifat fizikal, Husain turut mewarisi sifat berani dan pandai pemimpin dari Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “… Husain, ia mewarisi keberanian dan kepimpinanku”.
Keutamaan dan Kelebihan Husain Bin Ali
Kasih sayang Rasulullah SAW kepada Husain sama seperti kasih sayang baginda kepada Hasan. Hal ini dapat dilihat pada sabda Rasulullah SAW yang berbunyi, “Yang paling aku cintai dari kalangan Ahli Baitku ialah (kedua-dua cucuku) Hasan dan Husain”.
Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW pernah mengucapkan kata-kata yang memperlihatkan kasih sayang baginda kepada Husain, “Husain daripadaku dan aku daripadanya. Allah akan mencintai sesiapa yang mencintai Husain”.
Kisah Pembunuhan Husain Bin Ali di Karbala
Peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Husain bermula dengan pelantikan Yazid bin Mu’awiyah sebagai khalifah umat Islam, menggantikan ayahnya Mu’awiyah Abu Sufyan. Husain menentang pelantikan tersebut kerana tidak didasari dengan sistem syura (perbincangan) seperti yang telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin sebelumnya, tetapi didasari dengan sistem pewarisan keluarga. Maka, Husain bersama Abdullah bin Zubair, serta pengikutnya yang lain melarikan diri ke Mekah kerana enggan memberi baiat kepada Yazid.
Sepanjang Husain tinggal di Mekah, beliau telah menerima beratus-ratus surat dari penduduk Kufah yang menyatakan sokongan penuh untuk menentang kekhalifahan Yazid dan menjemputnya datang ke Kufah. Maka, Husain telah mengutus Muslim bin Aqil untuk berjumpa dengan penduduk Kufah. Penduduk Kufah yang berkobar-kobar memusuhi pemerintahan Khalifah Yazid datang memberikan baiah kepada Muslim yang mewakili Husain. Melihat semangat penduduk Kufah, Muslim mengutus surat kepada Husain untuk memintanya datang ke Kufah. Nu’man bin Bashir, gabenor Kufah pada ketika itu, tidak menentang kedatangan Muslim tetapi cuba memadamkan api kebencian penduduk Kufah terhadap Khalifah Yazid kerana bimbang akan berlaku pertumpahan darah.
Berita tersebut sampai kepada Khalifah Yazid di Syam. Kesannya, Nu’man bin Bashir telah dipecat dan kedudukannya sebagai gabenor Kufah telah diganti oleh Ubaidullah bin Ziyad. Ubaidullah memberi ugutan yang keras terhadap penduduk Kufah yang menyokong perjuangan Husain dan menawarkan ganjaran kepada mereka yang berpaling dari perjuangan tersebut. Kesannya, 18 000 penyokong Husain yang bersama Muslim berkurang menjadi 40-50 orang sahaja. Muslim pula telah ditangkap dan dibawa menghadap Ubaidillah. Sebelum dibunuh oleh Ubaidullah, Muslim menitipkan pesanan kepada Umar bin Saad untuk memberitahu Husain agar tidak datang ke Kufah, kerana penduduk Khufah telah mengkhianati beliau. Namun, surat tersebut tidak sempat sampai kepada Husain yang telah bertolak dari Mekah ke Kufah.
Walaupun keputusan Husain untuk pergi ke Kufah telah dihalang oleh ramai sahabatnya, beliau tetap meneruskan tekadnya untuk pergi ke Kufah. Semasa hampir tiba di Kufah, Husain menerima khabar mengenai kematian Muslim dan pengkhianatan penduduk Kufah. Ramai pengikutnya mencadangkan kepada Husain agar kembali ke Mekah. Namun, mendengar semangat saudara-saudara Muslim yang ingin membalas dendam, Husain memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Kufah. Maka, rombongan Husain berpecah kepada dua; sesetengah berpatah balik ke Mekah manakala 80 orang lagi mengikuti beliau menuju ke Kufah.
Sesampainya Husain di Kufah, beliau telah dihalang oleh 1000 tentera utusan Ubaidullah di bawah pimpinan al-Hur bin Yazid. Rombongan Husain meneruskan perjalanan ke satu tempat yang dinamakan Karbala dengan diekori oleh tentera al-Hur bin Yazid. 4000 tentera utusan Ubaidullah yang dipimpin oleh Umar bin Saad juga tiba di Karbala. Pasukan Bani Umayyah yang kini dipimpin oleh Umar bin Saad berunding dengan Husain untuk mencipta jalan perdamaian. Husain menyatakan kesediaannya untuk pulang ke Mekah atau pergi menghadap Khalifah Yazid untuk berunding. Hasrat Husain tersebut kemudiannya diberitahu kepada Ubaidullah melalui utusan surat dari Umar bin Saad.
Ubaidullah pada mulanya bersedia untuk menerima permintaan Husain tersebut dan berdamai dengannya. Namun, atas hasutan Syamir bin Zul Jausyan, dia mengubah fikirannya dan meminta Husain untuk menyerah jika tidak ingin dibunuh. Maka, Syamir pergi ke Karbala dan mengambil alih pimpinan Umar bin Saad terhadap tentera Bani Umayyah. Keengganan Husain untuk menyerah menyebabkan satu persatu rombongan dan kaum kerabatnya dibunuh, sehingga hanya tinggal beliau sahaja. Namun, tiada seorang pun dari tentera Bani Umayyah yang berani membunuh Husain kerana bimbang tangan mereka bergelumang dengan darah cucu Rasulullah SAW. Atas arahan Syamir, seorang pemuda bernama Sinan bin Anas an-Nakha’i telah memancung kepala Husain. Maka, gugurlah Husain sebagai seorang yang syahid.
Apabila berita pembunuhan Husain sampai kepada Khalifah Yazid, beliau menzahirkan rasa sedih dan mencela Ubaidullah. Diriwayatkan bahawa Khaifah Yazid tidak mengarahkan Ubaidullah untuk membunuh Husain, tetapi menghalang kekuasaannya di Kufah. Malah, Khalifah Yazid membebaskan keluarga Husain yang ditawan oleh tentera Bani Umayyah untuk dihantar pulang ke Madinah.
Wafatnya Husain Bin Ali
Husain wafat pada bulan 10 Muharram tahun ke-61 Hijrah. Pada ketika itu, beliau berusia 50 tahun. Hari Asyura mengingatkan kita tentang peristiwa pembunuhan Husain di Karbala. Diriwayatkan bahawa kepala Husain dikebumikan di Karbala oleh anaknya, Ali Zainal Abidin.
Dalil Yang Berkaitan Dengan Husain Bin Ali
Riwayat yang paling sahih yang menceritakan peristiwa Karbala dilihat pada Hadith Bukhari yang berbunyi;
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أُتِيَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الْحُسَيْنِ فَجُعِلَ فِي طَسْتٍ فَجَعَلَ يَنْكُتُ وَقَالَ فِي حُسْنِهِ شَيْئًا فَقَالَ أَنَسٌ كَانَ أَشْبَهَهُمْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَخْضُوبًا بِالْوَسْمَةِ
Maksudnya: Anas bin Malik berkata, “Kepala Husain dibawa dan didatangkan kepada Ubaidullah Bin Ziyad. Kepala itu diletakkan di dalam bejana. Lalu Ubaidullah Bin Ziyad menusuk-nusuk (dengan pedangnya) dan mengulas sedikit tentang ketampanan Husain”. Anas mengatakan, “Diantara Ahlul bait, Husain adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW”. Saat itu, Husain digilap rambutnya dengan wasmah (sejenis inai).
Hadith tersebut menceritakan tentang Ubaidullah yang menusuk-nusuk kepala Husain dengan pedangnya setelah beliau dibunuh. Diriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada Zaid bin Arqam dan Anas Bin Malik meminta agar Ubaidullah menyingkirkan pedang tersebut kerana tidak rela melihat cucu Rasulullah SAW diperlakukan sedemikian rupa. Kesan daripada pembunuhan Husain, Ubaidullah telah wafat dalam keadaan yang dahsyat. Demikianlah balasan Allah SWT kepada orang yang zalim.
Terdapat pelbagai pandangan yang muncul rentetan peristiwa pembunuhan tragis Husain di Karbala. Pandangan Ahli Sunnal Wa al-Jamaah menyatakan bahawa Husain tergolong sebagai orang yang terzalimi dan syahid, dan bukanlah juga seorang pemberontak. Hal ini kerana, beliau tidak mengerahkan penduduk Mekah yang sangat menyanjunginya untuk turut serta ke Kufah. Sebagai umat Islam, kita dibolehkan untuk mengenang trajedi Karbala ini dengan menunaikan puasa Asyura.
Sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain:
Rujukan
- Tarikuddin Bin Haji Hassan. 2008. Sejarah 2 Cucunda Rasulullah SAW: Sayyidina Hasan RA & Sayyidina Husein RA. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.
- SahrulAzmi Sidek. 2015. Mengenali Rasulullah SAW & Keluarga Baginda. Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.
- Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat. Peristiwa Karbala Dalam Pandangan Ahlussunnah Wal Jama’ah. Diakses dari: Peristiwa Karbala Dalam Pandangan Ahlussunnah Wal Jama’ah | Almanhaj.