Skip to content

Malam Nisfu Sya’ban: Kelebihan, Doa dan Amalan

malam nisfu sya'ban

Apakah malam nisfu Sya’ban menurut Islam? Artikel pada kali ini akan membincangkan tentang apa yang dimaksudkan dengan malam nisfu Sya’ban serta kelebihan, doa, dan amalan yang boleh dijadikan panduan.

Pengenalan

Bulan Sya’ban adalah bulan ke kelapan dalam takwim Hijriah. Yang mana sebelum bulan Sya’ban, anda akan dipertemukan dengan bulan Rejab dan selepas bulan Sya’ban anda akan melalui pula bulan Ramadhan. Ketiga-tiga bulan yang disebutkan ini sering menjadi perhatian ramai kerana ia bersangkut paut antara satu sama lain. Rejab adalah bulan menabur benih, Sya’ban bulan menyiram tanaman, dan Ramadhan bulan disaatnya manusia menuai hasil.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus” (Surah at-Taubah : ayat 36)

Apabila menyebut tentang bulan Sya’ban, topik yang menjadi perbualan adalah tentang malam nisfu Sya’ban itu sendiri.

Apa itu malam nisfu Sya’ban?

Nisfu Sya’ban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Sya’ban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Sya’ban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Sya’ban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Sya’ban bererti setengah bulan Sya’ban. Malam Nisfu Sya’ban adalah malam ke-15 Sya’ban iaitu siangnya 14 hari bulan Sya’ban.

Kelebihan malam nisfu Sya’ban

1. Diampunkan segala dosa

Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Al-Ghaffar, Allah SWT Maha Pengampun atas segala dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Selagi mana seorang hamba itu masih mahu kembali kepada Tuhan-Nya, selagi itu pintu taubat dan keampunan sentiasa terbuka selebar-lebarnya.

Firman Allah SWT, “Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa. Sesungguhnya Dia Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Az-Zumar : ayat 53)

Ramai yang beranggapan bahawa hidayah itu datang dengan sendiri sedangkan seseorang tidak akan mampu mendapatkan hidayah sekiranya dia tidak mahu berusaha untuk mendapatkannya. Contohnya, terdetik dalam diri anda untuk berubah dari jahil kepada soleh tetapi anda masih terus berada dalam kemaksiatan dan tidak mahu belajar untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Lalu bagaimana hati yang hitam boleh disucikan kembali?

2. Terbuka Pintu Langit

Pada malam nisfu Syaaban, pintu langit dan pintu rahmat dibuka dan Allah mengampunkan orang yang tidak mensyirikkannya.

Daripada Mu’az bin Jabal r.a; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT akan memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Allah akan mengampunkan penghuni dunia melainkan dua golongan manusia; musyrik (orang yang menyekutukan Allah SWT) dan musyabin (orang yang bermusuhan).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, At-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

3. Doa yang mustajab

Berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”.

Kerana itu pada malam tersebut anda digalakkan untuk banyakkan berdoa. Rahmat Allah SWT sentiasa memayungi hamba-Nya yang sentiasa menginginkan kebaikan dan kerahmatan di dunia dan akhirat.

Artikel Berkaitan: Adab Ketika Berdoa

4. Amalan dinaikkan

Jika di bulan Ramadhan, ada satu malam yang digelar malam lailatul qadar. Sebaliknya, bulan Sya’ban ada satu malam yang digelar sebagai malam Nisfu Sya’ban pada pertengahan bulan. Pada malam tersebut, amalan-amalan manusia akan diangkat ke langit dengan perintah Allah SWT.

Usman bin Zaid menceritakan: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW, wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Sya’aban; lalu baginda menjawab, itulah bulan Sya’aban di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa”. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai)

Telah berkata Ibn al-Qayyim RA: “Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT: Amalan tahunan diangkat pada bulan Sya’ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis”. (Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12:313)

Doa malam nisfu Sya’ban

Teks rumi: Allahumma yaa dzalman-na wa laayamun-nu ‘alaihi yaadzaljalaali wal ikraam, yaadzaath thu-li wal in’aami, laa ilaaha illaa anta zhahrallajiinaa, wa jaaralmus tajiiriina wa amaanal khaaifiin. Allahumma inkunta katabtanii ‘indaka fii ummil kittabi syaqiyaan au mahruuman au muqtarran ‘alayya firrizqi. Famhu allahumma fi ummil kitabi shaqowati wahirmani waqtitaro rizqi. Waktubni ‘aindaka sa ‘a iddan marzuqon muqaffaqon lilkhoirro ti fainnaka qulta waqaw lukal haqqu fi kitabikal munzali ‘ala lisani nabiyyikal mursali. Yamhumullahu ma ya shau qa yusbitu wa ‘aindahu ummulkitabi. Washollallaahu’alaa sayyidinaa Muhammadin wa-alihi washohbihii wassallam, walhamdulillahi rabbil’alamiin

Maksudnya: “Wahai Tuhanku yang Maha Pemberi, Engkau tidak memerlukan pemberian. Wahai Tuhan Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan. Wahai Tuhan pemberi segala kekayaan dan segala nikmat. Tiada Tuhan selain Engkau, kekuatan orang yang meminta pertolongan, lindungan orang yang mencari perlindungan, dan tempat yang aman bagi orang yang ketakutan. Tuhanku, seandainya Engkau mencatatkan bagi diriku di sisi-Mu pada Luh Mahfuzh sebagai orang yang sengsara atau orang yang sempit rezeki, maka hapuskanlah catatan itu. Sebaliknya, catatkanlah aku di sisi-Mu sebagai orang yang bahagia, murah rezeki dan memperolehi taufiq-Mu untuk berbuat kebaikan. Sesungguhnya Engkau telah berfirman dan bahawasanya firman-Mu adalah benar di kitabmu yang diturunkan melalui ucapan Rasul utusan-Mu. Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki. Di sisi-Nya Luh Mahfuzh. Semoga Allah memberikan selawat kepada Sayyidina Muhammad SAW dan keluarga berserta para sahabatnya. Segala puji bagi Allah SWT.”

Amalan-amalan yang boleh dilakukan

Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”.

Secara amnya, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Apa sahaja amalan yang baik dan membawa kepada pahala boleh untuk anda laksanakan.

1. Berpuasa sunat

Hadis dari Ali bin Thalib RA yang menceritakan, Nabi bersabda;

Maksudnya: “Bila tiba malam Nisfu Sya’ban, bangunlah menghidupkan malamnya dan berpuasalah pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun pada malam itu ke langit dunia bermula dari saat terbenam matahari dan Allah berkata; Tiadakah orang yang memohon ampun untuk Aku ampuninya. Tiadakah orang yang memohon rezeki untuk aku beri rezki kepadanya. Tiadakah yang ditimpa bala, untuk aku beri keselamatan untuknya. Tiadakah orang yang melakukan demikian dan demikian hinggalah terbit fajar”. (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Niat puasa sunat Sya’ban:

Lafaz rumi: Nawaitu Shauma Ghadin ‘An Adaa’i Sunnati Sya’bana Lillaahi Ta’Aala

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sunat Syaaban esok hari kerana Allah Taala

Malam nisfu Sya’ban bagi tahun 2021, 1442 Hijriah jatuh pada 29 Mac 2021 iaitu pada hari Isnin (sebaik sahaja masuk waktu solat Maghrib). Pada malam itu adalah malam ke-15 Sya’ban dan anda akan bermula puasa sunat sehingga terbenam matahari.

2. Membaca Al-Quran

Pada malam Nisfu Sya’ban mereka anda boleh membaca Al-Quran. Sama ada secara individu atau berjemaah diikuti dengan

3. Berdoa

Doa itu senjata orang mukmin. Allah SWT memerintah hamba-Nya untuk berdoa dan Allah sangat suka mendengar hamba-Nya berdoa.

Allah SWT berfirman, “Berdo’alah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Surah Al-Mu’min 40: ayat 60)

4. Bersedekah

Nabi Muhammad SAW menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturrahim. Amalan suka bersedekah mempunyai banyak hikmah yang tersendiri.

Hadis daripada Muaz bin Jabal RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Dan sedekah melenyapkan kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Dalam hidup ini, sekecil mana pun sedekah yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan. Malah, ‘buah tangan’ yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman walaupun cuma untuk seketika. Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang berada dalam kesempitan. Sebab itu, Islam sangat memuliakan orang yang sentiasa bersedekah atau menginfakkan hartanya.  Sehinggakan Rasulullah SAW mengangkat kedudukan orang yang bersedekah lebih mulia daripada orang yang menerima.

5. Berzikir dan berselawat

Berzikir dan berselawat merupakan amalan mudah dan amat besar ganjarannya di sisi Allah.

Dalam surah al-Ahzab, Ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi (MUhammad). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kalian kepadanya (Nabi Muhammad SAW) dan berilah salam kesejahteraan dengan penghormatan sepenuhnya.”

Penutup

Menghidupkan bulan Sya’ban termasuk nisfu Sya’ban dengan ibadat seperti membaca Al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri kehadrat Allah SWT. Yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu ialah pengkhususan bulan atau hari tersebut untuk satu-satu ibadah, bukan pada pengisisan atau aktiviti amalan yang dilakukan. Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah, meningkatkan ketaqwaan dan melakukan amalan. Diharapkan artikel berkenaan malam nisfu Sya’ban ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.

Kelebihan Amalan yang lain

Kelebihan IstighfarKelebihan Selawat
Kelebihan SedekahKelebihan Solat Tahajjud
Kelebihan Hari JumaatKelebihan Lailatul Qadar
Kelebihan Puasa Bulan RejabKelebihan Malam Nisfu Syaban
Kelebihan Puasa EnamKelebihan Solat Tarawih
Kelebihan Sujud SyukutKelebihan Membaca Quran

Rujukan

  1. Irsyad al-Hadith Siri ke-70: Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban. Sumber muftiwp.gov.my
  2. Zamri Hashim (26 April 2019). Syaaban bulan pererat persaudaraan. Sumber Berita Harian
  3. Kelebihan nisfu Sya’ban. Sumber islamituindah.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + 17 =