Perihal dakwah Nabi Nuh A.S berserta bahtera-nya banyak disingkap di dalam Al-Quran melalui surah-surah antaranya Al-A’raf, Nuh dan Hud.
Bermakna, kisah nabawiyyah amatlah penting dimana ia merupakan salah satu bentuk perintah daripada Allah kepada umat di zaman kini supaya mengambil pengajaran daripada kaum-kaum yang terdahulu serta tidak mengulangi kekufuran mereka lagi.
Sesuai dengan sifat Al-Quran itu sendiri yakni sebuah kitab sebagai petunjuk kepada umat manusia manakala nabi dan rasul sebagai utusan Allah yang menyampaikan mushafNya.
Sehubungan dengan itu, penting untuk kita mempelajarinya. Antaranya adalah kisah tentang Nabi Nuh A.S untuk dijadikan pedoman hidup.
Asal Usul Nabi Nuh A.S
Nabi Nuh A.S merupakan nabi yang ketiga setelah Nabi Adam A.S dan Nabi Idris A.S. Menurut tafsir Ibnu Kathir, ayah baginda bernama Lamik (Lamaka) bin Mutawasylah bin Idris bin Yarid bin Qainan bin Yanusyi bin Syits bin Adam A.S.
Sehubungan dengan itu, baginda juga merupakan keturunan dari Nabi Adam A.S. Nabi Nuh dinamai Nuh kerana baginda suka menangis. Al-Quran meriwayatkan dalam Surah Al-Israa’ ayat 3 bahawa baginda ialah seorang hamba yang suka bersyukur.
Maksudnya: (Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.
Nabi Nuh A.S dan kaumnya dikatakan hidup di sekitar lembah Eufrat dan Tigris iaitu terletak di Iraq Selatan. Baginda juga merupakan rasul pertama yang diutuskan untuk menyampaikan syari’at Allah kepada kaumnya.
Kekufuran Kaum Nabi Nuh A.S
Bermula dari berkembangnya keturunan Nabi Adam A.S, umat manusia tunduk dan patuh dengan perintah untuk menyembah Allah. Namun, setibanya zaman Nabi Nuh A.S, kaumnya mula menyembah berhala yang berpunca dari terbinanya patung-patung yang bernama Wadd (Dewa Keperkasaan), Suwa (kecantikan atau kelembutan), Yaghus (kekuatan), Yauq (kepantasan ketika peperangan) dan Nasr (umur panjang).
Patung berhala tersebut merupakan tanda penghormatan terhadap anak murid Nabi Idris A.S yang telah meneruskan ajaran baginda dengan baik sekali setelah ketiadaan baginda.
Kerana tertarik dengan ajaran anak didik Nabi Idris A.S, setelah pemergian mereka, masyarakat membuat lukisan simbolik mereka untuk sentiasa memperingati usaha bakti yang telah dilakukan.
Hal tersebut berlarutan sehinggakan masyarakat pada masa itu membuat patung berhala menyerupai anak didik Nabi Idris A.S kerana terlalu taksub dengan kehebatan mereka yang juga merupakan hamba Allah.
Bermulanya Dakwah Nabi Nuh A.S
Nabi Nuh A.S diperintahkan untuk mengajak kaumnya kembali menyembah Allah serta meninggalkan kesyirikkan penyembahan berhala. Dakwah baginda dikatakan berlarutan sehingga 950 tahun.
Baginda dengan penuh sabar mengajak kaumnya melihat nikmat dan kebesaran Allah melalui penciptaan langit dan bumi yang silih berganti, cahaya daripada bulan dan matahari yang menyinar sesuai dengan waktunya serta segala hidupan di bumi bercambah dengan sempurna. Nikmat-nikmat tersebut dirakamkan firman Allah dalam Surah Nuh ayat 15 hingga 17.
Meskipun tempoh dakwah Nabi Nuh A.S yang panjang, ia tidak menjamin ramai daripada kaumnya yang akan beriman. Hal ini disebut dalam Tafsir Ibnu Kathir bahawa seramai kira-kira 80 orang sahaja yang beriman dengan ajaran baginda. Namun, ia tidak mematahkan semangat baginda meskipun dihina dan dicaci oleh kaumnya sendiri.
Dakwah Nabi Nuh A.S Terus Ditentang
Dalam kalangan mereka yang beriman dengan ajaran Nabi Nuh A.S, mereka adalah terdiri daripada golongan hamba yang lemah, tidak mempunyai pengaruh dan kekayaan luar biasa yang mampu menarik minat para pembesar dan bangsawan.
Baginda terus diremeh oleh kaumnya yang kafir dengan menyatakan bahawa baginda tidak lain hanyalah manusia biasa dimana dia tidak memiliki keistimewaan. Seperti dalam firman Allah dalam Surah Hud ayat 27,
Maksudnya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.
Walaupun baginda diutuskan kepada kaum yang sudah mempunyai perkembangan pemikiran yang mengetahui sifat-sifat ketuhanan, namun mereka masih lagi berfikiran ditahap yang sama iaitu tidak mempercayai sesuatu yang tidak tercapai oleh akal manusia bahawasanya Allah itu wujud meskipun tiada bukti fizikal tentang kewujudanNya. Kecewa dengan sikap kaumnya yang menolak ajarannya, baginda mengadu pada Allah,
“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran). “Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.(Surah Nuh 6-7)
Turunnya Wahyu Pembinaan Bahtera
Ajakan Nabi Nuh A.S terus disangkal tanpa berpenghujung oleh kaumnya yang kafir sehinggalah Allah memerintahkan supaya baginda membuat bahtera yang besar dan memberi amaran bahawa taufan akan berlaku sebagai pengajaran bagi mereka yang zalim melalui Surah Hud ayat 37,
Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.
Sepanjang tempoh pembuatan bahtera tersebut, baginda ditertawa dan diperkecilkan oleh kaumnya. Sedikitpun kaumnya tidak terkesan dan tidak mempercayai kata-kata baginda bahawa negeri itu akan ditimpa musibah dari Allah. Kemudian, baginda membalas dengan menyatakan, sesungguhnya kita lihat siapa yang bakal rugi kerana bakal ditimpa azab Allah kelak.
Hal ini membuktikan bahawa Nabi Nuh A.S tergolong dalam Ulu Al-‘Azmi iaitu baginda merupakan salah seorang nabi yang mempunyai kesabaran yang tinggi. Dimana baginda sentiasa bersabar dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan dari kaumnya sendiri.
Badai Tiba
Setelah selesai membina bahtera, Allah memerintahkan agar dimasukkan lelaki dan perempuan secara berpasangan, mahupun haiwan yakni jantan dan betina dari setiap jenis secara berpasangan juga seperti dalam Surah Hud ayat 40,
Maksudnya: (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman”. Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.
Tidak lama selepas Nabi Nuh A.S menempatkan pengikutnya dalam bahtera, muncul air daripada celah-celah bumi. Awan dilangit mencurahkan air hujan selebat-lebatnya diringi ribut dan taufan melanda bumi. Orang kafir lari bertempiaran menyelamatkan diri mencari perlindungan termasuklah isteri dan anak Nabi Nuh A.S sendiri. Mereka enggan menaiki bahtera yang dibina baginda, maka mereka termasuklah dalam golongan yang dizalimi Allah.
Sedang bahtera itu belayar, disekelilingnya kelihatan orang kafir dilambung ombak yang besar antaranya ialah Kan’aan iaitu anak Nabi Nuh A.S. Terlihat akan anaknya yang ditimpa kesusahan, baginda menjerit supaya Kan’aan berenang kearah bahtera namun seruan ayahnya tidak diendahkan. Kan’aan memberitahu dia mahu berenang mencari tempat berlindung di kawasan gunung tinggi. Seperti di dikisahkan di dalam Surah Hud ayat 43,
Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.
Diriwayatkan bahawa badai tersebut berlaku selama 40 hari. Akhirnya, bahtera Nabi Nuh A.S berlabuh di Gunung Judi ataupun sekarang dikenali sebagai Gunung Ararat yang terletak di Turki. Disana, baginda dan golongan beriman yang terselamat memulakan kehidupan baru sebagai hamba yang taat kepada Allah.
Penutup
Demikianlah tamatnya riwayat anak Nabi Nuh A.S dan orang kafir daripada kaumnya yang ditenggelamkan oleh banjir besar dan arus yang deras akibat mensyirikkan Allah. Tanda demi tanda telah diperlihatkan, amaran keras telah diberi dan ajakan lembut Nabi Nuh A.S tidak Berjaya menurunkan ego kaumnya untuk kembali beriman kepada Allah.
Pengajaran Daripada Kisah Nabi Nuh A.S
1. Kesabaran dalam berdakwah
Seperti yang kita ketahui, kesabaran Nabi Nuh A.S dalam menyampaikan dakwah kepada kaumnya selama 950 tahun tiada tolok bandingnya. Baginda tetap bersabar meskipun dituduh dan dicerca oleh kaumnya.
Sabar itu adalah kunci dalam menjalankan dakwah terutamanya menyampaikan syari’at Allah. Sebagai seorang muslim hendaklah kita mencontohi akhlak baginda untuk sentiasa bersabar dalam menyampaikan seruan Allah kepada golongan yang tidak mengetahuiNya.
2. Anak dan isteri ujian Allah
Firman Allah dalam Surah At-Taghaabun ayat 14,
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sehubungan dengan itu, penting untuk lelaki sebagai ketua keluarga untuk mendidik isteri dan anak- anak tentang keimanan terhadap Allah. Walaupun Nabi Nuh A.S, merupakan seorang nabi dan rasul, isteri dan anaknya tidak terlepas dari kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.
Disini dapat kita simpulkan bahawa ikatan persaudaraan yang didasari dengan aqidah yang tulen dan mantap adalah lebih berharga daripada ikatan keturunan atau ikatan darah. Sesungguhnya, iman itu tidak dapat diwarisi, terpulang kepada tuan empunya badan untuk menyuburkannya.
3. Kufur nikmat
Kita seharusnya menjadikan sikap kaum Nabi Nuh A.S sebagai teladan dimana mereka tidak memperdulikan nikmat yang diberikan Allah dengan menyembah sesuatu yang lain. Nikmat kekuatan akal fikiran juga penting untuk diguna pakai apabila berdepan dengan sesuatu yang baharu supaya tidak mudah percaya dengan perkara yang palsu.
Sebagai contoh, penyembahan berhala yang merupakan jelmaan anak murid Nabi Idris A.S adalah bertentangan dengan norma kehidupan mereka dimana mereka pada asalnya menyembah Allah. Disini jelas, kaum Nabi Nuh A.S menggunakan hawa nafsu dengan mengelirukan masyarakat menggunakan kekuatan emosi untuk mempengaruhi mereka yang kurang berilmu dengan helah.
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |
Senarai Rujukan :
- Bab 4 : Wacana Cerita dalam Al-Quran
- Jabatan Agama Islam Perak : Kisah Para Anbia’: Kisah Nuh A.S
- Islami.co : Kisah Nabi Nuh dan Bahtera Penyelamat
- Makna Kisah Nuh A.S dalam Al-Quran, Al-Banjari
- Kisah Nabi Nuh, MRM Graph, Ummu Abdillah al-Buthoniyah
- Surah Nuh