Bagaimanakah melakukan Puasa Hari Putih? Apakah lafaz niat dan kelebihan-nya?
Artikel ini akan membincang perkara yang berkaitan dengan lafaz niat Puasa Hari Putih, kelebihan dan panduan mudah untuk mengerjakannya
Nabi Muhammad saw telah membawa seluruh umat manusia ke arah satu dimensi kehidupan yang jauh lebih baik dan malah Allah menjamin keselamatan di dunia dan di akhirat bagi sesiapa yang mengikuti jejak Rasulullah saw seperti mana yang telah dicontohi.
Banyak amalan sunat yang diamalkan dan diwariskan kepada para sahabat, tabi’in (orang yang mengikuti), tabi’ tabi’in (orang yang ikut orang yang mengikuti) dan sehinggalah sampai kepada umat Islam pada hari ini.
Antara amalan sunat yang digalakkan ialah berpuasa sunat. Terdapat pelbagai jenis puasa sunat mengikut di dalam hadis dan ini termasuklah puasa hari putih.
Maksud Puasa Hari Putih
Puasa hari putih atau puasa ayyamul bidh bermaksud berpuasa pada hari bulan mengambang iaitu pada setiap hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan bulan Islam. Hal ini kerana pada waktu itu cahaya bulan sangat terang-benderang.
Berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu (RA), katanya:
صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.” Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721).
Berdasarkan hadis di atas kita digalakkan berpuasa selama tiga hari dalam satu-satunya bulan Islam. Namun, lebih afdal sekiranya kita dapat melakukannya pada hari ke-13, 14 dan 15 dalam bulan Islam.
Hal ini merujuk kepada hadis yang berikut.
Daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, berpuasalah pada 13, 14, dan 15 hari bulan.” Riwayat al-Tirmizi (761)
Nota: Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.
Niat Puasa Hari Putih
Niat Puasa Hari Putih Bacaan rumi:
Nawaitu sauma ayyamal bidh sunnatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah taala
Nota: Anda masih boleh berpuasa sekiranya terlupa untuk niat pada malam harinya atau keesokan harinya sebelum Subuh. Anda masih boleh berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat anda tidak makan dan minum juga tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa antara waktu masuknya waktu Subuh hingga tergelincirnya matahari.
Kelebihan Berpuasa Pada Hari Putih
1. Seolah-olah puasa sepanjang tahun
Hal ini merujuk kepada hadis berikut:
صَوْمُ ثَلاَثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ
Maksudnya: Puasa tiga hari dari setiap bulan, dan bulan Ramadan ke bulan Ramadan adalah puasa sepanjang tahun. Riwayat Muslim (1162)
Selain hadis tersebut, terdapat hadis lain yang merujuk kepada kelebihan tersebut.
Antara wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah r.a. ialah puasa tiga hari bagi setiap bulan.
Dalam hadis yang lain:
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّكَ لَتَصُومُ الدَّهْرَ، وَتَقُومُ اللَّيْلَ؟» ، فَقُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ هَجَمَتْ لَهُ العَيْنُ، وَنَفِهَتْ لَهُ النَّفْسُ، لاَ صَامَ مَنْ صَامَ الدَّهْرَ، صَوْمُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ» ، قُلْتُ: فَإِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: «فَصُمْ صَوْمَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا، وَلاَ يَفِرُّ إِذَا لاَقَى»
Bermaksud: Aku mendengar Abdullah bin `Amru bin al-`As r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda: Bahawasanya engkau berpuasa sepanjang tahun dan bangun di waktu malam? Jawabku, “Ya.”, Nabi s.a.w. menjawab: Bahawasanya engkau jika engkau lakukan yang demikian, cengkung matamu dan lemah dirimu. Tiada puasa bagi orang yang puasa sepanjang tahun. Puasa tiga hari (dalam sebulan) adalah puasa sepanjang tahun. Aku menjawab: Aku mampu lebih daripada itu, Nabi s.a.w. menjawab: Puasalah puasa Nabi Daud a.s. Baginda Nabi Daud a.s. berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Nabi Daud tidak lari ketika bertemu. Sahih Bukhari (3/40)
Begitu juga hadith, daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” Riwayat Abu Daud (2449)
2. Sistem ketahanan badan lebih baik
Profesor Valter Lango di Universiti Southern California telah melaksanakan sebuah kajian yang cukup menarik mengenai kelebihan puasa ini. Kajian dilaksanakan kepada sekumpulan peserta yang telah diarahkan untuk berpuasa antara dua hingga empat hari dalam sebulan dan memakan tempoh selama enam bulan secara berturut-turut. Menariknya, kajian ini mendapati bahawa sistem ketahanan badan para peserta adalah lebih baik daripada sebelumnya.
Begitu juga kajian yang telah dilakukan kepada dua kumpulan tikus makmal. Kumpulan tikus yang ‘berpuasa’ menunjukkan pembinaan sel kanser dalam badan mereka terbina dalam fasa lewat berbanding kumpulan tikus makmal yang tidak berpuasa. Sekali lagi, hal ini menunjukkan sistem ketahanan badan yang berpuasa lebih baik daripada yang tidak berpuasa.
3. Elak penyakit yang berat dan serius
Menurut kajian Profesor Valter Longo lagi, penemuan baru juga menunjukkan bahawa puasa telah menyebabkan penurunan penghasilan enzim PKA (protein kinase A). Enzim ini penting dalam meningkatkan penghasilan sel.
Menurut kajian lain, enzim ini telah dikaitkan dengan peningkatan risiko barah dan pertumbuhan tumor. Namun, melalui aktiviti puasa penurunan enzim ini dalam badan menyebabkan risiko barah dan pertumbuhan tumor berkurangan. Hal ini bermaksud, risiko untuk mengalami penyakit berbahaya ini adalah tipis.
Jelasnya lagi, apabila lapar, badan manusia dikatakan cuba untuk menyimpan tenaga dan akan menyebabkan badan manusia mengitar semula sel-sel ketahanan badan terutamanya yang telah rosak dan tidak diperlukan lagi. Jelaslah bahawa dengan puasa pengambilan makanan yang seimbang mampu untuk memulihkan sistem ketahanan badan agar menjadi lebih kuat dan tidak mudah dijangkiti penyakit.
PENUTUP
Subhanallah, itulah kelebihan berpuasa yang sangat berkuasa dalam memelihara kesihatan diri seseorang manusia. Sunnah yang telah diamalkan sejak dahulu, kini menjadi tular luar biasa kepada generasi moden bahkan kepada yang bukan Muslim.
Betapa dahsyatnya puasa ayyamul bidh (puasa hari putih) sekiranya kita mengamalkan secara konsisten pada setiap bulan. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua dalam hari-hari kita berharap dan mengabdikan diri kepada Allah.
Jenis Puasa yang lain
Puasa Ramadhan | Puasa Nazar |
Puasa Enam | Puasa Bulan Rejab |
Puasa Hari Asyura | Puasa Hari Putih |
Puasa Hari Arafah | Puasa Ganti |
Rujukan:
- Fadhilat Khusu Puasa 27 Rejab sempena Isra mikraj – Mufti Wilayah Persekutuan
- Cheng CW, Adams GB, Perin L, et al. Prolonged fasting reduces IGF-1/PKA to promote hematopoietic-stem-cell-based regeneration and reverse immunosuppression [published correction appears in Cell Stem Cell. 2016 Feb 4;18(2):291-2]. Cell Stem Cell. 2014;14(6):810-823. doi:10.1016/j.stem.2014.04.014
- Sapio L, Di Maiolo F, Illiano M, et al. Targeting protein kinase A in cancer therapy: an update. EXCLI J. 2014;13:843-855. Published 2014 Aug 18.