Selain daripada puasa yang diwajibkan pada bulan Ramadan, umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa pada tarikh-tarikh dan peristiwa tertentu. Antara puasa yang sangat besar ganjarannya ialah Puasa Hari Asyura.
Kebanyakan orang selalu keliru dan terlepas pandang tentang puasa ini walaupun masyarakat kita sinonim dengan perbuatan memasak bubur Asyura pada 10 Muharam. Selain daripada adat turun-temurun tersebut, tahukah anda bahawa terdapat amalan berpuasa pada Hari Asyura yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW?
Insya-Allah, artikel kali ini akan membincangkan perkara yang berkaitan dengan Puasa Hari Asyura, lafaz niatnya, kelebihannya, dan panduan mudah untuk mengamalkannya.
Maksud Puasa Asyura
Hari Asyura (عَاشُورَاءَ) membawa makna hari kesepuluh dalam bahasa Arab. Panggilan ini adalah disebabkan Hari Asyura merupakan hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam tahun Hijrah.
Puasa pada Hari Asyura merupakan amalan berpuasa pada tanggal 10 Muharam dan ia termasuk di dalam kategori puasa-puasa sunat yang sangat dituntut. Allah SWT menjanjikan fadilat yang sangat besar buat hamba-Nya yang berpuasa pada Hari Asyura.
Niat Puasa Hari Asyura
Niatnya adalah:
Bacaan rumi: “Nawaitu shauma ‘aasyuuraa sunnatan lillahi ta’ala“
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sunat hari kesepuluh (di bulan Muharam), kerana Allah Taala
Dalil dan Kisah di Sebalik Puasa Asyura
Hari Asyura banyak dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah umat Islam
Sebagai contoh peristiwa di mana Nabi Musa a.s. dan Bani Israel diselamatkan oleh Allah SWT daripada Firaun dan para pengikutnya.
Hal ini merujuk kepada hadis daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ. فَقَالَ “ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ”. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” Riwayat al-Bukhari (3397)
Selain itu, terdapat juga hadis tentang Hari Asyura, daripada Ibn Abbas r.a., beliau berkata apabila ditanya berkaitan puasa pada hari Asyura:
مَا عَلِمْتُ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمًا يَطْلُبُ فَضْلَهُ عَلَى الْأَيَّامِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ وَلَا شَهْرًا إِلَّا هَذَا الشَّهْرَ
Maksudnya: “Aku tidak ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada satu hari dan mencari-cari kelebihan yang ada padanya daripada hari-hari yang lain melainkan pada hari ini (hari Asyura’) dan tidak juga pada satu bulan melainkan pada bulan ini (Ramadhan).” Riwayat Muslim (1132)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda, daripada Aisyah r.a., berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِصِيَامِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW memerintahkan agar berpuasa pada hari Asyura’.” Riwayat al-Bukhari (2001)
Berpuasa Sehari sebelum dan selepas
Bukan sahaja disunatkan berpuasa pada 10 Muharam. Kita juga turut digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelum atau hari selepasnya. Perbuatan ini bertujuan untuk membezakan antara amalan Muslim dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal.
Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: “Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.” Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan juga oleh Ibnu Abbas r.a., kata Nabi SAW:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharam).” Riwayat Muslim (1134)
Oleh itu, kita dianjurkan untuk turut berpuasa pada 9 Muharam atau pada 11 Muharam. Boleh juga berpuasa pada 10 Muharam bersama salah satu daripada hari sebelumnya atau hari selepasnya. Menurut para ulama, cara yang terbaik adalah berpuasa pada ketiga-tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharam.
Kelebihan Berpuasa Pada Hari Tersebut
Selain daripada kelebihan Hari Asyura itu sendiri, amalan berpuasa pada Hari Asyura turut mempunyai fadilat yang besar, iaitu dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” Riwayat Ibn Majah (1738)
Penutup
Sebagai kesimpulan, disunatkan untuk kita berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharam) berserta dengan 9 Muharam atau 11 Muharam supaya dapat membezakan dengan amalan golongan Yahudi. Semoga kita dapat merebut amalan berpuasa yang cukup hebat fadilatnya ini disertakan dengan pelbagai lagi amalan-amalan lain pada 10 Muharam. Amin.
Jenis Puasa yang lain
Puasa Ramadhan | Puasa Nazar |
Puasa Enam | Puasa Bulan Rejab |
Puasa Hari Asyura | Puasa Hari Putih |
Puasa Hari Arafah | Puasa Ganti |
Rujukan dan Bacaan Lanjut:
- Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan
- Laman Web Shafiquqolbu