Apakah itu Aqiqah dan bagaimana ia dilakukan?
Artikel ini akan membincangkan berkenaan Aqiqah, syarat-syarat binatang sesembelihan dan huraian berkenaan perkara ini.
Isi Kandungan |
Maksud Aqiqah
Aqiqah berasal daripada perkataan ‘aqq yang bermaksud melubangi atau memutus. Manakala dari segi istilah, aqiqah ialah penyembelihan binatang yang dilakukan ketika mencukur rambut bayi yang baru lahir.
Ibadah ini dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT dengan kelahiran bayi baru. Menurut Ibn Qayyim dalam kitabnya Tuhfatul Maudud mengatakan bahawa “aqiqah ialah menyembelih haiwan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi dan mencukur rambutnya.”
Hukum Aqiqah
Hukum aqiqah adalah sunat muakad menurut Imam Syafie dan jumhur ulama. Sunat muakad merupakan ibadah sunat yang amat dituntut dalam Islam bahkan Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan tuntutan ini. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
كُّلَّ غُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِه وَيَخْلَقُ وَيُسَمَّى
Maksudnya : “Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya dan diberi nama”. (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tarmidzi dan Ibn Majah)
Jenis Dan Umur Haiwan Sembelihan
Aqiqah merupakan ibadah sunat yang dituntut dalam Islam. Oleh itu, terdapat syarat jenis haiwan yang dibenarkan mengikut umur untuk melaksanakan ibadah ini.
Jenis Haiwan | Umur Haiwan |
Kibas | Satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan. |
Kambing/ Biri-biri | Melebihi satu tahun apabila gugur dan gigi susun atau gigi hadapannya |
Kerbau / Lembu | Melebihi dua tahun |
Unta | Melebihi lima tahun |
Haiwan-haiwan yang hendak dibuat aqiqah ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak sakit, tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Kadar afdal bagi ibadah aqiqah ini adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki, manakala bagi anak perempuan memadai dengan seekor kambing sahaja.
Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW :
مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ
Maksudnya : Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Syarat Sah Aqiqah
Aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti ibadah-ibadah yang lain bagi menyempurnakannya. Antara syarat sah ibadah ini ialah:
- Berniat aqiqah ketika menyembelih.
- Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
- Binatang ternakan berkaki empat seperti kambing, lembu, kerbau dan unta.
- Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut, sama ada kecacatan luaran dan dalaman.
- Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
- Disembelih pada waktunya, iaitu pada hari ketujuh selepas kelahiran anak atau pada bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh. Setelah baligh menjadi tanggungjawab anak itu untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri.
Niat Aqiqah
Bacaan ini perlulah dibacakan ketika sembelihan sedang dilakukan.
Bacaan Rumi: Bismillah Allahu Akbar Allaahumma minka wa laka, haadzihi ‘aqiiqotu fulaan
Maksudnya: Dengan Nama Allah, Allah adalah Yang Terbesar, Ya Allah ini dariMu dan untukMu. Ini adalah aqiqoh fulaan
Penyebutan ‘fulaan’ itu diganti dengan nama anak yang diaqiqahkan tersebut.
Walaubagaimanapun, jika melafazkan bismillah sahaja dan diniatkan di dalam hati juga telah mencukupi.
Perlaksanaan Aqiqah
Perlaksanaan aqiqah hendaklah dilaksanakan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi. Jika tidak dapat dilaksanakan pada hari ketujuh itu, maka boleh dilakukan pada hari keempat belas. Jika tidak dapat juga, maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu.
Sekiranya pada hari-hari tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain. Rasulullah SAW bersabda,
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya : “Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur rambut serta diberi nama.” (Hadis riwayat Ahmad & at-Tirmizi)
Haiwan-haiwan yang hendak dibuat aqiqah ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak sakit, tidak cacat, tidak buta, tidak terlalu kurus dan cukup umur seperti yang telah ditetapkan.
Daging sembelihan sama ada kambing atau selainnya digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun ibadah itu adalah aqiqah nazar. Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” (Riwayat Bukhari)
Hal ini kerana ibadah ini dituntut adalah sebagai mewujudkan rasa kesyukuran atas kelahiran anak dan juga mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga, jiran serta sesama umat Islam yang miskin dengan mengadakan kenduri.
Hikmah
1. Tanda Kesyukuran
Melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas dianugerahkan anak atau zuriat baru. Anak merupakan rezeki dan penyambung keturunan di muka bumi. Maka haruslah kita menunjukkan rasa syukur apabila telah dikurniakan anak.
2. Melindungi bayi daripada kejahatan dan hasutan syaitan
Seperti yang kita maklum, syaitan berjanji akan sentiasa mengganggu anak Adam, oleh itu kita hendaklah melindungi bayi yang lahir terpelihara dengan ibadah aqiqahnya seperti sabda Rasulullah SAW :
كُّلَّ غُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِه وَيَخْلَقُ وَيُسَمَّى
Maksudnya : “Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqah yang disembelih untuknya pada hari ketujauh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama.” (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
3. Mengukuhkan semangat perpaduan
Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat apabila bersama-sama menikmati kenduri dan meningkatkan amalan gotong-royong dalam masyarakat.
4. Menggalakkan amalan sedekah.
Kita hendaklah mengamalkan bersedekah kerana amalan itu tidak akan pernah terputus walaupun kita kembali kepada Allah SWT sepertimana sabda Rasulullah SAW“
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya :”Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga perkara, iaitu sedekah Jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa daripada anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)
Rujukan
- Irsyad Al-Fatwa ke-184 : Hukum Menggantikan Kambing Dengan Lembu Atau Unta Bagi Tujuan Aqiqah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan), 9 Mac 2017 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1438 H.
- Fiqih Aqiqah : Tanya Jawab Seputar Ibadah, Media Zikir Sdn Bhd 2017, Indonesia.
- Menyambut Cahaya Mata Dalam Islam, Norwariza Mohd Hed, Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd, 2014.