Apakah kelebihan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda 10 kelebihan selawat yang anda perlu tahu untuk memudahkan ibadah setiap hari.
Apa itu selawat?
Selawat atau salawat berasal dari perkataan solat yang bermaksud doa atau pujian. Dari istilah Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, selawat bermaksud doa kepada Allahh agar minta dilimpahkan rahmat ke Nabi Muhammad SAW.
Menurut Al-Mubarrid, makna selawat adalah limpahan rasa kasih sayang. Jika selawat berasal daripada Allah SWT maka ertinya adalah rahmat. Manakala jika berasal dari para malaikat, ia bermaksud kasih sayang dan doa permohonan rahmat kepada Allah SWT. Selawat ada setiap hari kita baca dalam bacaan solat begitu juga zikir di luar solat.
1. Diampunkan dosa dan diangkat darjatnya oleh Allah
Selawat mampu untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita dan melembutkan hati yang keras. Ini jelas kerana bacaan dalam selawat adalah pujian-pujian kepada Allah SWT dan Rasuluullah SAW.
Dari hadis Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (melimpahkan rahmat) kepadanya sepuluh selawat, menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat.” – (Hadis Riwayat Al-Nasa’i)
2. Dimakbulkan segala doa
Lazimkan diri sebelum berdoa, dengan mengawali dan mengakhirinya dengan selawat, dan zikir kepada Allah SWT. Insha Allah lebih mudah segala hajat itu dimakbulkan oleh Nya.
Ali bin Abu Talib RA berkata:
Maksudnya: “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.”
Ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW dengan sabdanya:
كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.” – (Hadis Riwayat Al-Tabrani)
3. Yang paling dekat dengan Rasulullah pada hari kiamat
Matlamat kita dalam hidup adalah untuk berjumpa dengan hari akhirat. Pada hari tersebut semua manusia sibuk dalam menguruskan diri masing-masing. Pasti dalam kegusaran di padang mahsyar, kita inginkan berada di samping Nabi SAW di akhirat kelak.
Kunci untuk dekat dengan Rasulullah SAW di akhirat nanti adalah dengan amalan banyak selawat ketika di dunia.
Rasulullah SAW bersabda:
أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً
Maksudnya: “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
4. Diberikan kecukupan hidup oleh Allah
Apabila kita merasakan hidup serba kekurangan dan banyak perkara yang dirancang tidak berjalan dengan lancar sehingga menyukarkan kehidupan, maka berselawatlah dengan meletakkan pengharapan semata-mata kerana Allah SWT.
Ini bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ubai.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ، وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ
Maksudnya: “Jika demikian, Allah akan mencukupkan segala keperluanmu dan mengampunkan dosamu.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
Rezeki itu akan datang dalam pelbagai bentuk dari sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita.
5. Allah membalas selawat hamba Nya
Dapat menjadi hamba Allah yang dipandang oleh Nya pun sudah bersyukur sekali apatah lagi jika Allah menerima ibadah yang kita kerjakan. Itulah keistimewaan selawat yang ada padanya.
Kerana di setiap selawat yang dilafazkan di bibir, Allah akan membalas selawat kita satu selawat bersamaan dengan sepuluh kali selawat.
Daripada Abdullah bin al-‘Ash r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali.” – [Hadis riwayat Muslim (1530), an-Nasa’i (1295) dan at-Tirmizi (485)]
6. Mendapat syafaat Rasulullah di akhirat kelak
Selain syafaat Al-Quran, memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW adalah impian setiap umat Islam di akhirat kelak. Syafaat itu pertolongan. Dan di hari yang penuh kegerunan itu tidak ada yang dapat membantu kita selain dari syafaat baginda Rasulullah SAW.
Daripada Sayyidina Abu Ad-Darda’ RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berselawat ke atasku ppada waktu pagi sebanyak 10 kali dan pada waktu petang sebanyak 10 kali, dia akan mendaapt syafaatku pada hari kiamat.” – (Hadis Riwayat Ath-Thabrani)
7. Rasulullah membalas ucapan salam
Tadi kita bercakap kelebihan selawat, Allah akan membalas selawat kita dengan 10 kali selawat. Hal ini berlaku yang sama dengan Rasulullah SAW. Mereka yang melazimkan diri berselawat kepada baginda, Rasulullah akan membalas ucapan salam tersebut.
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad, Riyadus Solihin)
8. Diberikan 10 kali pahala
Antara amalan yang banyak mendatangkan pahala kepada manusia tetapi berat untuk dilakukan adalah selawat. Selawat ini mudah dan ringan untuk dilakukan. Bahkan wanita yang datang haid juga sangat digalakkan untuk berselawat.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, nescaya Allah berselawat kepadanya sepuluh selawat, menghapus darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat.” – (Hadis Riwayat An-Nasa’i)
9. Memudahkan diri ke syurga
Umat Nabi Muhammad SAW sangat beruntung kerana dikurniakan seorang Nabi dan Rasul terakhir yang banyak meninggalkan wasilah kepada kita contohnya seperti berselawat. Amalan berselawat tidak beberapa saat sahaja untuk dilakukan tetapi ganjaran pahalanya berganda-ganda.
Daripada Ali bin Abu Talib RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Orang yang bakhil ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
10. Hilang rasa risau dan dukacita
Akhir sekali, kelebihan selawat adalah ia boleh menghilangkan rasa risau dan sedih.
Dari Ubai bin Ka’ab, RA katanya:
“Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?” Baginda SAW, menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka”; Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”; Baginda SAW, bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;
Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku” Baginda SAW bersabda: “Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”; Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku” Baginda SAW, bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik – untukmu”;
Aku berkata: “(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan”; Baginda SAW, bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu” – (Hadis Riwayat Tirmizi, Imam Ahmad, dan Hakim)
Berselawat mampu untuk menyembuhkan perasaan sedih di hati dan menghilangkan duka cita yang melanda diri. Perbanyakkan berselawat membuatkan perasaan sedih dan duka cita tidak menjadi berat.
Dada tidak terlalu sebak menghadapi kedukaan. Batin kita juga akan lebih kuat untuk mengharungi liku kehidupan yang terhidang di depan mata.
Semoga perkongsian mengenai kelebihan selawat ini dapat memudahkan umat Islam di luar sana untuk lebih bersamangat dalam memperbanyakkan selawat sehingga ke hujung nyawa. Harapnya dengan asbab kita berselawat, kita dapat berjumpa dengan Rasulullah SAW dan mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.
Artikel Lain: 10 Bacaan Selawat yang anda Perlu Tahu
Kelebihan Amalan yang lain
Rujukan:
- 40 Hadis Amalan Sedikit Pahala Berganda (Ustaz Muhadir Haji Joll)
- Indahnya Hidup Bersyariat (Dato’ Ismail Kamus dan Ustaz Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid)
- Al-Kafi #1274: Maksud Selawat Dan Salam Kepada Rasulullah SAW. Mufti Wilayah Persekutuan