Apakah kelebihan istighfar yang kita boleh peroleh dalam kehidupan seharian? Artikel pada kali ini akan berkongsi dengan anda 10 kelebihan istighfar bagi memantapkan lagi amalan ibadah istighfar yang kita lakukan.
Apa itu istighfar?
Perkataan istighfar datangnya dari Bahasa Arab yang membawa maksud memohon ampunan atas segala dosa yang telah dilakukan oleh kita iaitu manusia sebagai hamba Nya.
Istighar pada lazimnya menjadi ungkapan sebagai zikir yang kita lafazkan setiap masa sebagai penghapus dosa dan melindungi diri daripada sebarang kejahatan.
Contoh lafaz-lafaz istighfar
Berikut adalah antara contoh lafaz istighfar yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian.
1. Istighfar Nabi Adam
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Robbana dholamna anfusana, wa illam taghfir lana wa tarhamna lanakuunanna minal khasirin”
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”
2. Istighfar Nabi Muhammad SAW sebelum wafat
سبحان الله وبحمده، أستغفر الله، وأتوب إليه
“Subhanallahi wabihamdih, astaghfirullaha wa atuubu ilaih”
Maksudnya: “Maha suci Allah dan segala puji bagi Nya. Aku memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada Nya.”
3. Istighfar penghapus dosa
أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه
“Astaghfirullah, alladzi la ilaha illa huwal hayyul qayyumu wa atuubu ilaih”
Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah, Dzat yang tidak ada sesembahan kecuali Dia. Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri sendiri. Dan aku Bertaubat kepada-Nya.”
4. Istighfar sebelum salam dalam solat
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظَلَمْتُ كَثِيْرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
“Allahumma inni dhalamtu nafsi dhulman katsira, wala yaghfirudz dzunub illa anta, faghfirluu maghfiratan min indik, warhamnii innaka antal ghafurur rahiim”
Maksudnya : “Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisiMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
5. Istighfar meminta ampun dan taubat
رَبِّ اغْفِرْ لِى وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Rabbighfirli wa tub ‘alaiya, innaka antat tawwabur rahiim”
Maksudnya : “Ya Tuhan ampunilah dan sayangilah aku dan terimalah taubatku , sesungguhnya Engkau Maha penerima Taubat dan Maha Penyayang.” – (Hadis Riwayat Abu Daud).
6. Istighfar pendek
استغفرالله
“Astaghfirullah”
Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah.”
Atau dengan tambahan di belakangnya iaitu:
اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ
“Astaghfirullahal ‘adzhiim”
7. Sayyidul istighfar
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، اغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ
“Allahumma anta Rabbi, la ilaha illa anta, Khalaqtani wa ana abduka, wa ana ‘ala ahdika wa wa’dika, mas tatha’tu, audzu bika min syarri ma shana’tu, abu’u laka bi ni’matika wa abu’u laka bi dzanbi. Faghfir li, fainnahu la yaghfirudz dzunuba illa anta”
Maksudnya : “Ya Allah Engkau Tuhanku, tidak ada tuhan selain Engkau , Engkaulah yang menjadikan aku , dan aku adalah hamba Mu, aku akan selalu menepati janji-Mu sekemampuan Ku, aku berlindung kepada Mu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku kembali kepada Mu dengan nikmat yang telah Engkau berikan. Aku kembali kepada Mu dengan dosa, maka mapunilah aku, sesungguhnya tidak ada yang bisa mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Kelebihan istighfar
Terdapat banyak kelebihan istighfar yang boleh anda jadikan panduan dalam hidup, Antara kelebihannya itu adalah seperti:
1. Mengikuti sunnah Rasulullah SAW
Dalam sebuah hadis, ada diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW sentiasa melazimi diri untuk beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. Hal ini bertepatan dengan apa yang pernah diriwayatkan dalam Sahih Imam Al-Bukhari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya : “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6307)
2. Allah ampunkan dosa walau sebanyak buih di lautan
Manusia tidak akan pernah sekalipun terhindar dari berbuat dosa dan perkara-perkara maksiat. Namun, Allah Maha Pengampun biarpun sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pintu taubat buat kita masih terbuka selagi mana ada masa dan kesempatan yang diberikan.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” – (Hadis Riwayat Ibn al-Sunni, 83)
3. Dikeluarkan dari kesempitan hidup
Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, 1518)
Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh, sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi.
Namun begitu, dengan beristighfar hati kita akan jadi lebih tenang. Sekaligus mengeluarkan kita dari belengu hidup yang memenantkan.
4. Mendapat rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka
Setiap rezeki datangnya dari Allah SWT. Allah pemberi rezeki yang banyak kepada hamba Nya sama ada manusia itu beriman ataupun sebaliknya. Bila kita faha, rezeki dalam konteks yang lebih besar ia bukanlah merujuk pada harta dan wang ringgit semata-mata tetapi lebih mendalam dari semua itu.
Contohnya seperti nikmat kesihatan, dikeliling orang yang kita sayang, dipermudahkan urusan, dan sebagainya.
Allah SWT berfirman dalam Surah Nuh, Ayat 10 hingga 12 yang bermaksud:
“Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan memberikanmu kebun-kebun dan (di dalamnya pula) untukmu sungai-sungai.”
5. Meningkatkan kekuatan jiwa
Zikir dan istighfar mempunyai pengaruh yang kuat dalam semangat spiritual manusia. Justeri, bagi kita yang mempuyai jiwa yang lemah, dengan cara memperbanyakkan beristighfar dan berzikir adalah amalan yang sangat mustahak dan penting.
6. Rasa diri lebih dekat dengan Allah SWT
Istighfar tampak memang mudah namun yakinlah ramai dari kita tidak mampu untuk melakukannya. Di sinilah yang menunjukkan bahawa amalan yang kecil tetapi dilakukan secara istiqamah itu satu ujian buat setiap manusia.
Sedangkan amalan yang dicinai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.
Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” – (Hadis Riwayat Bukhari, No. 6465)
7. Memperoleh perlindungan Allah dari hasutan syaitan
Syaitan tidak akan berhenti dari menghasut manusia untuk melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh Allah. Justeru untuk memperoleh perlindungan dari hasutan tersebut, kita wajib kembali memohon keampunan kepada Allah.
“Sesungguhnya syaitan telah berkata, “Demi kemuliaan Mu Ya Allah, aku terus menerus akan menggoda hamba-hamba Mu selagi roh mereka ada dalam badan mereka (masih hidup). Maka Allah menimpalinya. “Dan demi kemuliaan dan keagungan Ku, Aku sentiasa mengampuni mereka selama mereka memohon ampunan (beristighfar) kepada Ku. – (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
8. Membentuk keperibadian sebagai orang yang bijak
Dengan beristighfar kita sememangnya dapat memanfaatkan masa dengan amalan yang mendatangkan banyak manfaat dan pahala. Sama ada sedang berehat atau bekerja, bibir sentiasa melafazka zikir dan istighfar membolehkan kita mengingati Allah setiap masa.
Seorang ulama berkata, “Tanda orang yang arif (bijak) itu ada enam. Apabila ia menyebut nama Allah, ia berasa bangga. Apabila menyebut dirinya, ia merasa hina. Apabial memperhatikan ayat-ayat Allah, ia ambil pelajarannya. Apabola muncul keinginan untuk bermaksiat, ia segera mencegahnya. Apabila disebutkan ampunan Allah, ia merasa gembira. Dan apabila mengingat dosanya, ia segera beristighfar.” – (Kitab Tanbibu Ghafilin, 67)
9. Dijauhkan dari azab dan bala
Tidak ada perkara yang paling bermakna dan menjadi matlamat semua manusia selain kembali kepada Allah dalam keadaan bersedia dan penuh dengan amal kebaikan yang membolehkan kita untuk masuk syurga.
Hudzaifah pernah berkata,” Saya adalah orang yang tajam lidah terhadap keluargaku, Wahai Rasulullah, aku takut kalau lidahku ini menyebabkan aku masuk neraka.” Rasulullah SAW bersabda di mana posisimu terhadap istighfar? Sesungguhya, aku sentiasa berisistighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari.” – (Hadis Riwayat Nasa’I, Ibnu Majah, Al-Hakim, dan disahihkannya)
Lazimkan diri dengan beristighfar moga-moga ia menjadi perisai kita dari azab api neraka yang menjulang panasnya.
10. Bila mati akan masuk syurga
Baginda Nabi Muhammad SAW ada bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang beristighfar seperti itu pada siang hari dengan penuh keimanan kemudian ia mati sebelum waktu malam tiba, maka ia akan masuk syurga dan siapa yang beristighfar seperti itu pada malam hari dengan penuh keimanan kemudian dia mati sebelum waktu pagi tiba, maka ia akan masuk syurga. – (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Meninggal dalam keadaan bersedia sambil bibir masih basah mengingati Allah adalah tanda kematian yang baik. Justeru, manfaatkanlah kesempatan ini walau di mana jua.
Lazimkan diri beristighfar apabila bangun dari tidur, selepas mendirikan solat, semasa bekerja, semasa berehat, dan sebelum masuk tidur. Usaha ini sedikit sebanyak akan mendidik diri mendahulukan Allah dalam apa jua yang kita buat.
Diharapkan semoga panduan tentang kelebihan istighfar ini dapat memberikan informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk pembaca semua di luar sana. Insha Allah, sama-sama kita istiqamah dengan amalan yang tampak sederhan dan kecil di mata tetapi sebenarnya besar maknannya di sisi Allah SWT.
Kelebihan Amalan yang lain
Rujukan:
- Rahsia dan Kelebihan Istighfar, Muhammad Afdoluddin Abdullah. Penerbitan Pustaka Ilmuwan
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-385: Kelebihan Istighfar Pada Pagi Hari Jumaat. Mufti Wilayah Persekutuan
- Melazimi istighfar dan Janji Allah Kepada Pengamalnya. Harakah Daily