Skip to content

5 Doa Nabi Musa yang Dicatatkan Dalam Quran

doa nabi musa

Apakah bacaan doa Nabi Musa yang terdapat di dalam Al-Quran? Artikel ini akan membincangkan bacaaan doa tersebut berserta bantuan rumi.

Nabi Musa As termasuk di dalam 25 orang nabi dan rasul yang wajib diketahui dan merupakan seorang nabi ulul azmi (Rasul pilihan yang memiliki sifat istimewa kerana keteguhan hati, ketabahan serta kegigihan yang luar biasa. Gigih dalam berjuang dan sangat tinggi nilai kesabarannya dalam menghadapi pelbagai rintangan dan cubaan dalam menyampaikan seruan dan dakwah mereka).

Nama Nabi Musa juga disebut berulang kali di dalam Al-Quran dengan pelbagai kisah yang menakjubkan dan memberi inspirasi kepada umat Islam secara khususnya dan masyarakat awam secara amnya sehinggakan ada sesetengah ulama’ menyatakan seolah-olah al-Quran adalah tentang Musa As. Seperti yang kita ketahui, Nabi Musa As ditimpa ujian daripada kelahirannya lagi, apabila ibunya terpaksa melepaskan Musa ke sungai lepas untuk membebaskan Musa daripada di bunuh oleh Firaun.

Kemudian setelah baginda diselamatkan Asiah, isteri Firaun, Musa dibesarkan oleh Firaun yang melawan Tuhan dan mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Pelbagai cabaran ditempuh Musa dan kisah-kisah baginda diceritakan di dalam al-Quran beserta doa-doa yang dipanjatkan baginda semasa menghadapi ujian-ujian tersebut.

Oleh itu, untuk artikel kali ini, kami kongsikan kepada anda, 5 doa-doa Nabi Musa As semasa menghadapi ujian yang kita boleh sama-sama amalkan.

1. Doa untuk memudahkan urusan dan ucapan

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

Bacaan Rumi: ”Robbish rohlii shodrii, wa yassirlii amrii, wahlul u’qdatam mil lisaani yafqohu qoulii”.

Maksudnya: Ya Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkan bagiku segala urusanku dan lancarkanlah lidahku, supaya mereka memahami kata-kataku. (Surah Taha: ayat 25-28)

Nabi Musa As membacakan doa ini semasa baginda diminta memakan bara api oleh Firaun. Ketika itu, baginda sangat risau jika baginda tidak dapat berdakwah lagi kerana pelat setelah memakan bara api tersebut. Tetapi, dengan kuasa Allah, Allah memberikan kemudahan kepada Nabi Musa As untuk terus berdakwah dan mengutuskan Nabi Harun As – yang termasuk di dalam senarai 25 orang Nabi dan Rasul yang wajib diketahui, untuk membantu pergerakan dakwah Nabi Musa As.

Walaupun selepas peristiwa memakan bara api tersebut Nabi Musa As dikhabarkan mempunyai kelambanan untuk bercakap, namun perkara tersebut tidak menjejaskan usaha dakwah baginda dan kejelasan dalam menyampaikan ayat Allah.

Kegunaan: Selalunya doa ini digunakan untuk melancarkan kata-kata ketika seseorang itu perlu untuk memberi ucapan ataupun akan ditemuramah dan aktiviti-aktiviti lain yang memerlukan kelancaran kata-kata

2. Doa untuk memohon keampunan Allah daripada dosa.

رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Bacaan Rumi: “Robbi innii zholamtu nafsii faghfir lii fa ghofaro lah, innahuu huwal-ghofuurur-rohiim”

Maksudnya: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri; oleh itu ampunkanlah dosaku”. (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya, sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Qasas: ayat 16)

Doa ini dibacakan semasa Nabi Musa As berhadapan dengan tekanan tetapi baginda tidak tahu apa untuk diminta secara khusus, dan baginda masih meminta dan terus meminta kepada Allah apa-apa yang baik untuk dihantarkan kepadanya.

Nabi Musa As tanpa sengaja telah membunuh seorang lelaki daripada kelas pemerintah di Mesir yang merupakan kaum Firaun untuk menghalang beliau daripada bertengkar dengan seorang lelaki Israel. Lelaki Israel tersebut meminta bantuan Nabi Musa As untuk menghadapi lelaki daripada kaum Firaun tersebut. Baginda lalu meninju lelaki tersebut dan tanpa sengaja telah menyebabkan lelaki kaum Firaun tersebut meninggal dunia.

Setelah peristiwa tersebut, Nabi Musa As sangat menyesal dan tidak henti-henti meminta pengampunan daripada Allah SWT.

3. Doa Menghindarkan Diri Dari Fitnah

فَقَالُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ (85) وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلْكَٰفِرِينَ(86)

Bacaan Rumi: “Fa qooluu álallohi tawakkalnaa, robbanaa laa taj-álnaa fitnatal lil-qoumizh-zhoolomiin. Wa najjinaa birohmatika minal-qoumil-kaafiriin.”

Maksudnya: Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim. (85) “Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari kaum yang kafir”. (86) (Surah Yunus: ayat 85 & 86)

Doa ini dibacakan semasa para pengikut Nabi Musa As yang merasa ketakutan kerana Firaun kerap menfitnah dan menzalimi mereka. Ancaman-ancaman Firaun meresahkan orang-orang yang beriman. Firaun berhasil menekan rakyatnya untuk mengingkari kebenaran yang dibawa Nabi Musa. Di tengah kegelisahan pengikutnya, Nabi Musa As berkata kepada mereka, sepertimana disebut di dalam al-Quran, surah Yunus ayat 84, yang bermaksud;

Hai kaumku, jika kamu beriman kepada Allah, maka bertawakkallah kepada-Nya saja, jika kamu benar-benar orang yang berserah diri.’ Lalu mereka berkata: ‘Kepada Allahlah kami bertawakkal! Ya Tuhan kami; janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim’.

Nabi Musa As membacakan doa ini untuk menghindarkan diri baginda dan umatnya daripada diserang fitnah yang dilontarkan oleh Firaun dan kroninya yang zalim.

4. Doa untuk Meminta Kebaikan

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Bacaan Rumi: “Robbi innii limaaa angzalta ilayya min khoirin faqiir.”

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”. (Surah Al-Qasas: ayat 24)

Doa ini dibacakan Nabi Musa As semasa di dalam pelarian baginda daripada dikejar oleh kaum yang zalim dan bertemu dengan dua orang perempuan Madyan. Kisah ini dirakamkan di dalam al-Quran di dalam surah yang sama, ayat 22 dan 23.

Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,” (22).

Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya” (23).

Setelah mendengar jawapan daripada dua orang perempuan tersebut, baginda terus membantu mereka mengambil air dan memberikan ternakan mereka minum. Lalu, Nabi Musa As memanjatkan doa untuk diberikan kebaikan kepada dua orang perempuan tersebut.

5. Doa untuk Memohon Petunjuk Allah

رَبِّ نَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ // ..عَسَىٰ رَبِّي أَنْ يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ

Bacaan Rumi: “Robbi najjinii minal-qoumizh-zhoolimin // ..A’saa robbiii ay yahdiyanii sawaaa as-sabiil.”

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim “. (21) ..”Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,”. (22) (Surah Al-Qasas: ayat 21 & 22)

Doa ini dipanjatkan Nabi Musa As ketika di dalam pelarian selepas peristiwa pembunuhan. Baginda mendapat nasihat untuk melarikan diri daripada seorang lelaki di mana kisah tersebut diceritakan di dalam al-Quran, di dalam surah yang sama, ayat 20. Maka Nabi Musa As pun melarikan diri dan memohon petunjuk daripada Allah,bagaimana baginda mahu menuju ke perjalanan seterusnya.

Kesimpulan

Akhir kalam, daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “ Doa-doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak oleh Allah SWT”. (Hadith Rwayat (Abu Daud dan at-Tirmizi)).

Daripada hadith di atas, dihuraikan bahawa orang yang sentiasa mengamalkan dan memohon doa kepada Allah di dalam kehidupan mereka, mereka akan diberikan keberkatan di dunia dan di akhirat. Dan di antara waktu yang mustajab untuk berdoa ialah antara azan dan iqamat, di mana ketika itu Allah menerima doa daripada hambanya.

Secara umumnya, apa-apa pun doa yang kita amalkan, Allah akan memberikan keberkatan kepada kita di dunia dan di akhirat. In Sha Allah.

Bacaan Doa yang lain

Doa Ketika Ziarah KuburDoa Lembutkan Hati
Doa Masuk dan Keluar MasjidDoa Tolak Bala
Doa Dipermudahkan UrusanDoa Untuk Pengantin Baru
Doa Masuk dan Keluar RumahDoa Khatam Al-quran
Doa Mudah TidurDoa Ketika Sedih
Doa PengasihDoa Ketika Mimpi Buruk
Doa Agar Dicintai AllahDoa Ketika Lupa
Doa Majlis PerkahwinanDoa Penenang Hati
Doa Saidatina FatimahDoa Agar Hujan Berhenti

Rujukan:

  1. Firly Fenti. (18 Oktober 2020). 5 Kumpulan Doa Nabi Musa As. Yang Patut Diamalkan. Laman Web PopBela.
  2. Doa Pengikut Nabi Musa Agar Terhindar Dari Fitnah dan Kezaliman. (18 Julai 2018). Laman Web Nur Online.
  3. Prophet Musa Did Not Have Defects. Alsunna
  4. Kisah Dua Wanita Madyan. (10 November 2015). Laman Web ikim
  5. Koleksi Hadith, Kelebihan Berdoa. Islam
  6. Ani Nursalikah . (22 September 2020). Nabi Musa, Perkelahian Dengan Orang Mesir. Laman Web Republika.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × five =