Apakah lafaz doa akhir tahun? Artikel pada kali ini kami ingin berkongsi kepada anda tentang doa akhir tahun dan perkara-perkara yang perlu dimuhasabahkan setiap tahun.
Pengenalan
Tanpa kita sedar, telah hampir menjelang penghujung tahun. Banyak suka dan duka silih berganti. Bermacam-macam peristiwa yang terjadi, jatuh dan bangun dalam hidup menjadi rencah yang menyedapkan perjalanan hidup setiap orang. Umat Islam berada di penghujung tahun apabila berada pada bulan Zulhijjah, iaitu bulan kedua belas dalam bulan-bulan Islam.
Di penghujung tahun sebelum masuk pada tahun baru ketika waktu maghrib nanti, kita digalakkan untuk membaca doa akhir tahun. Doa ini bertujuan untuk merafakkan rasa syukur atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, memohon ampun atas segala dosa dan kesalahan, serta memohon agar diterima segala amal baik yang dilakukan sepanjang tahun.
Waktu doa akhir tahun dibaca
Tempoh masa yang sesuai untuk kita baca doa akhir tahun adalah pada petang selepas waktu petang selepas Asar pada 29 atau 30 Zulhijjah.
Amalan sunat pada bulan Zulhijjah
Sikap sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal kebaikan ataupun taqarrub memang amat dituntut pada setiap masa. Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat beberapa amalan sunat yang boleh kita lakukan ketika bulan zulhijjah. Bahkan dalam satu hadis ada menerangkan juga kelebihan beramal dalam bulan ini.
Maksudnya: “Tiada hari yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan amalan soleh padanya melainkan 10 hari terawal zulhijjah.” – (Sahih al-Bukhari, 969)
Antara amalan yang boleh dilakukan adalah seperti:
- 1 hingga 8 hari bulan berpuasa sunat
- 8 hari bulan menghidupkan malam harinya dengan ibadah
- 9 hari bulan pada hari wukuf, banyakkan ibadah pada malam di hari Arafah, sunat berpuasa bagi orang yang tidak mengerjakan haji, membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali
- Pada Hari Raya Haji, disunatkan untuk solat sunat Aidiladha, membaca takbir, dan melakukan ibadah korban atau sedekah
- Pada hari tasyrik, hidupkan malam dengan banyak beribadah, dan takbir selepas setiap waktu solat fardhu
- Pada 30 Zulhijjah, baca doa akhir tahun selepas waktu asar
Doa akhir tahun
Maksudnya: “Wahai tuhan, apa jua yang aku telah lakukan di dalam tahun ini daripada perkara yang engkau telah tegah, lalu aku tidak bertaubat daripadanya dan engkau tidak reda serta tidak melupakannya, engkau mengasihiku selepas engkau berkuasa untuk menghukumku, dan engkau menyeru kepadaku supaya bertaubat daripadanya selepas keberanianku melakukan maksiat kepada mu. Maka sesungguhnya aku memohon ampun kepada mu, ampunilah aku. apa jua perkara yang telah aku lakukan di dalam ahun ini daripada sesuatu yang engkau reda dan engkau menjanjikan ganjaran kepadaku, maka aku memohon kepada mu wahai tuhan yang maha mulia, wahai tuhan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan, supaya engkau menerimanya (amalan baik) daripadaku. dan janganlah engkau memutuskan harapanku kepada mu wahai tuhan yang maha mulia.”
Perkara-perkara yang perlu dimuhasabahkan setiap tahun
Pergantian tahun maka bertambah jugalah umur kita. Dari muda kepada tua, dari tua menjadi warga emas. Begitulah putaran dalam kehidupan. Oleh yang demikian, adalah sangat wajar untuk kita sentiasa bermuhasabah diri sebelum masuk ke tahun baru.
1. Tingkatkan amal ibadah
Yang dulunya culas dalam mengerjakan solat fardhu, belajar untuk istiqamah semula agar kita peroleh kelazatan dalam beribadah itu. Orang yang beriman akan capai satu tahap kebahagiaan yang didapatkan saat beribadah kepada Allah SWT.
“Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” – (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Ia adalah anugerah terbesar yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambanya yang terpilih. Apabila kita rasa kenikmatan dalam beribadah, jiwa akan lebih tenang, hati akan lebih bahagia, dan dada terasa lapang dan tenteram sesudah menunaikan ibadah tersebut.
2. Lebih produktif dan aktif
Sihat jasmani dan rohani boleh menjadikan kita seorang yang lebih produktif dan aktif dalam melakukan tugas harian. Lebih dewasa, lebih banyak tanggungjawab dan tanggungan. Apabila kita produktif dalam melakukan sesuatu hal, kerja akan mudah siap dan diselesaikan.
3. Mendidik sikap menjadi lebih baik
Ramai orang rasakan bahagia itu ada pada kemewahan kerana itu mereka bekerja semata-mata kerana duit. Ada orang juga rasakan Bahagia itu ada pada pasangan kerana itu maksiat bebas berleluasa, kahwin dan cerai dibuat main tanpa segan.
Bahagia yang hakiki bagi seorang manusia adalah apabila dia mampu untuk mengubah diri dan kehidupannya lebih dekat kepada jalan Islam yang sebenar. Dekat dengan Allah, dan mencintai Rasulullah SAW. Bahagia apabila kita turut dapat menggunakan kelebihan pada diri untuk berkongsi nikmat dengan orang lain. Bahagia bila orang lain tersenyum kerana kita.
4. Manfaatkan masa sebaik mungkin
Masa tidak akan diundur ke belakang, dan tidak akan maju ke depan. Bukan masa yang mengejar kita tetapi sebenarnya kita yang mengejar masa. Masa tidak akan sesekali berhenti tetapi terus jalan menuju kepada satu titik nokhtah pengakhiran. Lalu kemudian kita akan dipulangkan kembali ke negeri abadi.
Masa ini hanya pinjaman. Rasa sekejap atau lambat semuanya bergantung pada bagaimana kita manfaatkannya. Seminit diberikan kepada ahli ibadah akan menjadi masa yang sangat berkualiti daripada sepuluh tahun diberikan kepada ahli maksiat.
5. Menyesali perbuatan-perbuatan lampau
Sebaik-baik manusia bukan yang kurang melakukan dosa, tetapi yang berbuat dosa tetapi bertaubat semula. Menyesal dengan segala keburukan yang dilakukan baik dari pertuturan, tingkah laku, perlakuan, atau sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daripada umatku diampunkan melainkan golongan mujahirin. Antara perbuatan mujaharah adalah di mana seorang lelaki melakukan satu amalan pada waktu malam, kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada waktu malam. Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan ini dan perbuatan itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan, lalu dia bangun pagi dan mendedahkan apa yang Allah tutup darinya.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)
6. Tidak mensia-siakan orang lain disekeliling
Hidup ini terlalu singkat untuk kita saling membenci dan berdendam dengan orang lain. Akan tiba masa seorang demi seorang dari kita meninggal dunia. Oleh yang demikian, wujudkanlah hubungan yang baik dengan orang yang kita jumpa atau kenal.
Firman Allah SWT: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.” – (Surah al-A’raf, ayat 199)
7. Jangan takut ambil peluang
Mungkin dulu kita takut atau tidak bersedia untuk ambil apa-apa peluang sedangkan kita mampu untuk hadapinya. Jika kita ada peluang untuk berumah tangga, maka percepatkanlah urusan perkahwinan itu. Jika kita ada peluang untuk sambung belajar, teruskan menimba ilmu sehingga tahap yang paling tinggi.
Jangan mensia-siakan peluang kerana mungkin ia tidak datang buat kali kedua. Tetapi sambutlah peluang dengan keyakinan dan kesungguhan agar apa yang diimpikan boleh dicapai.
8. Naik taraf ekonomi agar lebih baik
Dalam masa kita tingkatkan amal baik, jangan lupa juga untuk tingkat sekali ekonomi diri. Dunia hari ini memang sangat menguji bagi sesiapa yang bergaji kecil kerana barang-barangan semakin mahal.
Setiap bulan ada sahaja harga barang asas yang naik. Belajar untuk ada simpanan sendiri bagi kegunaan kecemasan.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hadid, ayat 7
Maksudnya: “Berimanlah kepada Allah dan rasul Nya, dan belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada harta kurniaan Nya yang dijadikannya kamu sebagai penguasa Nya. Maka orang-orang yang beriman antara kamu dan membelanjakan sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah, mereka beroleh pahala yang besar.”
Kesimpulan
Diharapkan artikel berkenaan dengan doa akhir tahun dan perkara-perkara yang perlu dimuhasabakan setiap tahun boleh memberikan kita ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan berguna. Yang lalu biarkan berlalu, yang akan datang pastikan kita siapkan mental dan fizikal sebaik-baiknya.
Bacaan Doa yang lain
Rujukan
- Senarai Amalan Sunat Bulan Zulhijjah & Hari Arafah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
- Muhasabah Untuk Berubah. IKIM
- Usah Lepaskan Peluang Baca Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Petang Ini. SinarPlus