Skip to content

Suhaib Bin Sinan: Biodata & Kisah Hidupnya

suhaib bin sinan

Suhaib bin Sinan, peniaga yang untung. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang rela membuang hartanya demi mencapai keredhaan Allah SWT.

Siapakah Suhaib Bin Sinan?

Suhaib bin Sinan lebih dikenali dengan nama Suhaib al-Rumi. Gelaran al-Rumi (orang Rom) diberikan kerana beliau telah menetap di Rom pada waktu yang lama. Namun, beliau merupakan orang Arab asli. Ayahnya, Sinan bin Malik al-Numari berasal dari Bani Numair dan merupakan gabenor di daerah al-Ubullah (Basrah) yang mewakili Kisra, Raja Parsi. Ibunya pula berasal dari Bani Tamim. Suhaib dilahirkan di Mosul pada tahun 32 sebelum Hijrah.

Suhaib Bin Sinan Mendapat Gelaran Al-Rumi

Semasa berusia lebih kurang 5 tahun, Suhaib bersama ibunya dan beberapa kaum kerabat serta pembantunya pergi ke sebuah kampung bernama ats-Tsany di negeri Iraq. Ketika berada di sana, kampung tersebut diserang oleh tentera Rom. Tentera Rom membunuh para pengawal, merampas harta dan menawan penduduk kampung termasuk Suhaib.

Suhaib kemudian dijual sebagai hamba sahaya di Rom. Beliau berpindah dari satu majikan kepada majikan yang lain. Ketika menjadi hamba, beliau mendengar seorang pendeta Nasrani berkata kepada majikannya tentang ramalan kemunculan seorang Nabi di Mekah pada waktu yang terdekat. Oleh itu, beliau terus menuju ke Mekah apabila berpeluang melarikan diri daripada menjadi hamba sahaya di Rom. Gelaran al-Rumi diberikan kepada beliau oleh penduduk Mekah kerana lidahnya yang pelat untuk berbahasa Arab dan rambutnya yang berwarna merah.

Suhaib Bin Sinan Memeluk Islam

Ketika berada di Mekah, Suhaib bekerja untuk membawa barang dagangan Abdullah bin Jud’an, seorang pembesar Mekah ke pasar-pasar tertentu. Beliau memperoleh pendapatan yang banyak hasil daripada pekerjaan tersebut. Kesibukannya bekerja tidak menghalang beliau untuk menanti utusan kenabian yang diucapkan oleh pendeta Nasrani di Rom.

Pada suatu hari, semasa pulang dari perjalanan perdagangannya, seseorang memberitahu Suhaib tentang kenabian Muhammad SAW dan dakwahnya untuk menyembah Allah Yang Esa. Mendengar khabar yang sering dinantikan olehnya, Suhaib bergegas untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW yang ketika itu berada di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam.

Setibanya di rumah al-Arqam, beliau bertemu dengan Ammar bin Yasir yang juga memiliki tujuan yang sama dengannya. Kemudian, mereka berdua bersama-sama bertemu dengan Rasulullah SAW dan mendengar dakwah yang disampaikan oleh baginda. Cahaya keimanan terpancar dalam hati mereka dan mereka mengucap syahadah di hadapan Rasulullah SAW tanpa sebarang keraguan. Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Suhaib termasuk antara tujuh orang yang paling awal memeluk Islam.

Kisah Perniagaan Yang Sangat Menguntungkan

Selepas memeluk Islam, Suhaib tidak terlepas dari seksaan kafir Quraisy. Semua seksaan dan penderitaan dihadapi olehnya dengan jiwa yang sabar dan tenang kerana mengetahui ada ganjaran syurga yang menanti. Ketika muncul perintah hijrah, Suhaib ingin bertolak ke Madinah bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar namun dihalang oleh kaum Quraisy.

Kaum Quraisy mengawasi pergerakan Suhaib dengan ketat dan merampas segala emas dan perak hasil perdagangan beliau. Pada suatu malam, Suhaib berpura-pura ke tandas untuk membuang air. Ketika para pengawal terlelap tidur, beliau melarikan diri untuk menyusul Rasulullah SAW ke Madinah, namun perkara tersebut disedari oleh para pengawal yang telah terbangun.

Menyedari kaum Quraisy berjaya menjejakinya, Suhaib mengeluarkan anak panah dan mengancam untuk membunuh mereka. Namun, orang Quraisy tidak ingin membiarkan beliau lari membawa hartanya. Maka, Suhaib menunjukkan tempat penyimpanan harta di rumahnya di Mekah. Orang Quraisy merampas harta tersebut lalu membiarkan Suhaib berhijrah ke Madinah.

Suhaib bertolak ke Madinah memenuhi seruan hijrah tanpa berasa menyesal sedikitpun apabila kehilangan harta yang telah dikumpul sepanjang umurnya. Apabila beliau tiba di Quba’, Rasulullah SAW menyambut kedatangannya dengan gembira dan bersabda, “Perniagaan yang sangat menguntungkan wahai Abu Yahya (gelaran kepada Suhaib)”. Rasulullah SAW mengulangi ucapan tersebut sebanyak tiga kali.

Mendengar ucapan Rasulullah SAW, kegembiraan terpancar pada wajah Suhaib dan beliau berkata, “Demi Allah! Tidak ada yang mendahuluiku dalam perjalanan ini ya Rasulullah. Tiada yang memberi khabar kepadamu tentang kedatanganku selain Jibril”. Demikianlah perniagaan Suhaib kepada Allah SWT, paling menguntungkan serta tidak akan mengalami kerugian. 

Keutamaan Dan Kelebihan Suhaib Bin Sinan

Suhaib merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam serta mendapat seksaan daripada kaum Quraisy di Mekah. Selepas hijrah, beliau antara sahabat yang menyertai Perang Badar dan sentiasa mendampingi Rasulullah SAW. Suhaib pernah berkata, “Tidaklah Rasulullah ikut dalam peperangan sama sekali kecuali aku hadir. Baginda juga tidak membaiahkan seseorang kecuali aku hadir. Baginda tidak mengirimkan sesuatu misi penyerangan pasukan kecuali aku ada di dalamnya. Tidaklah baginda memimpin peperangan secara langsung kecuali aku berada di kanan atau kiri baginda. Tidaklah orang takut di hadapan mereka kecuali aku berada di hadapan mereka dan tidak pula di belakang mereka kecuali aku di belakang mereka. Aku tidak pernah membiarkan Rasulullah berada antara diriku dan musuh sama sekali sehingga baginda wafat

Selain terkenal dengan keberaniannya, Suhaib juga ialah seorang yang dermawan dan murah hati. Umar bin Khattab pernah menegur beliau kerana terlalu banyak mendermakan makanan sehingga melampaui batas. Beliau membalas teguran Umar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang suka memberi makanan”. Umar juga sangat menyanjungi Suhaib dan mengetahui keutamaannya sebagai sahabat yang sentiasa beruntung. Ketika Umar dibunuh oleh Abu Lu’lu’, beliau memilih Suhaib sebagai imam kaum muslimin menggantikan beliau sebelum khalifah baru dilantik, walaupun menyedari ketidakfasihannya berbahasa Arab.

Wafatnya Suhaib Bin Sinan

Suhaib hidup sehingga zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Beliau wafat di Madinah pada bulan Syawal tahun 38 Hijrah. Terdapat riwayat lain yang menyatakan bahawa beliau wafat pada tahun 39 Hijrah ketika berusia 73 tahun. Beliau dikebumikan di Madinah.

Dalil Yang Berkait Dengan Suhaib Bin Sinan

Kisah Suhaib yang sanggup mengorbankan semua hartanya demi memenuhi perintah hijrah dan menyusul kaum muslimin ke Madinah telah diceritakan sebelum ini. Berikutan peristiwa tersebut, Allah SWT telah menurunkan firmanNya yang berbunyi:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَّشْرِيْ نَفْسَهُ ابْتِغَاۤءَ مَرْضَاتِ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ رَءُوْفٌۢ بِالْعِبَادِ

Maksudnya: Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata. Dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hambaNya. (Surah al-Baqarah: 207)

Pengorbanan Suhaib yang memberi seluruh harta kekayaannya kepada orang Quraisy agar dapat berhijrah ke Madinah untuk meraih keredhaan Allah SWT menguntungkan dirinya kerana beliau mendapat kemuliaan yang tinggi apabila kisahnya diceritakan di dalam al-Quran. Justeru, perniagaan yang paling bernilai adalah apabila keuntungannya dibelanjakan pada jalan Allah SWT.

Sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain:

Khabbab Al AratJulaibib
Muawiyah Bin Abu SufyanSuhaib Bin Sinan
Ikrimah Bin Abu JahalJabir Bin Abdullah
Khubaib Bin AdiAdi Bin Hatim
Hudzaifah Ibnu YamanAbu Said Al Khudri
Suraqah Bin MalikKaab Bin Malik
Hasan Bin AliHusain Bin Ali

Rujukan

  1. Mahmud Al-Misri. 2014. Lelaki-Lelaki Hebat Di Sekeliling Rasulullah SAW Jilid 1. Selangor: Al-Hidayah Publication.
  2. Hepi Andi Bastoni. 2012. 100 Tokoh Dalam Dakapan Rasulullah SAW. Selangor: Kemilau Publika Sdn Bhd.
  3. Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany. 2018. Hayatus Sahabah 2: 20 Pemuda Wira Rasulullah. Selangor: Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 − 5 =