Adi bin Hatim, saksi kepada tiga kebenaran janji Rasulullah SAW. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang yakin akan janji dan perkataan Rasulullah SAW.
Siapakah Adi Bin Hatim?
Adi bin Hatim al-Tha’i merupakan raja kepada suku kaum Tha’i, sebuah kabilah Arab yang tinggal di utara Semenanjung Arab. Ayahnya merupakan penguasa suku kaum Tha’i sebelumnya dan terkenal dengan sifat kedermawanannya. Beliau menggantikan kedudukan ayahnya sebagai raja selepas ayahnya meninggal dunia. Beliau menganut agama Nasrani.
Bagi mengekalkan kekuasaan dan kekayaannya, Adi bin Hatim mewajibkan rakyatnya untuk membayar mirba’ (cukai) dan menerima seperempat hasil kekayaan mereka, yang merupakan hasil dari pampasan perang. Beliau juga sangat memusuhi Rasulullah SAW kerana beliau melihat baginda sebagai sosok yang dapat merebut kekayaan dan kekuasaannya, walaupun beliau tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW.
Kisah Pengislaman Adi Bin Hatim
Sikap Adi bin Hatim yang memusuhi Rasulullah SAW berlanjutan selama hampir 20 tahun. Pada tahun ke 9 Hijrah, pasukan yang dikirim oleh Rasulullah SAW telah sampai ke perkampungan kabilah Tha’i untuk menghancurkan berhala dan mengajak mereka beriman kepada Allah SWT. Rentetan peristiwa itu, Adi membawa kaum kerabatnya untuk melarikan diri ke Syam, negeri di mana berkumpulnya penganut agama Nasrani. Namun, beliau tidak sempat membawa adik perempuannya, Safanah binti Hatim.
Safanah binti Hatim, bersama beberapa penduduk Tha’i yang tidak sempat melarikan diri ditangkap oleh kaum muslimin dan dibawa ke Madinah. Ketika berada di Madinah, Safanah telah meminta keizinan Rasulullah SAW untuk pergi ke Syam menemui keluarganya. Setelah beberapa kali bertanya, baginda mengabulkan permintaannya. Baginda juga meminta agar Safanah menunggu sehingga muncul orang yang boleh dipercayai dalam kalangan kaumnya untuk menghantarnya ke Syam.
Maka, Safanah tetap tinggal di Madinah untuk beberapa tempoh. Sepanjang beliau menetap di Madinah, beliau menyaksikan kemuliaan dan kebaikan akhlak kaum muslimin dan memutuskan untuk memeluk Islam. Apabila tiba rombongan dari Baliyy di Madinah, terdapat kenalan Safanah yang boleh dipercayai untuk menghantarnya ke Syam. Maka, Rasulullah SAW memberi keizinan kepadanya dan membekalkannya dengan pakaian baru, seekor unta yang kuat dan bekal yang cukup.
Setibanya Safanah di Syam, beliau menemui abangnya, Adi bin Hatim dan menceritakan segala perkara yang berlaku kepadanya di Madinah. Mendengar saranan adiknya untuk bertemu sendiri dengan Rasulullah SAW, Adi menyiapkan bekalan perjalanan dan menuju ke Madinah tanpa jaminan perlindungan atau perjanjian. Setibanya di Madinah, Adi pergi bertemu Rasulullah SAW di dalam masjid. Setelah memperkenalkan diri sebagai Adi bin Hatim, Rasulullah SAW menarik tangannya untuk menuju ke rumah baginda.
Dalam perjalanan menuju ke rumah baginda, terdapat seorang wanita tua yang lemah dan membawa anak kecil, yang ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW. Maka, baginda berhenti dan melayan permintaan wanita tua tersebut sehingga selesai. Melihat keadaan tersebut, Adi berkata dalam hati, “Demi Allah, ini bukan kebiasaan seorang raja”. Selepas itu, mereka melanjutkan perjalanan menuju ke rumah Rasulullah SAW. Setibanya di rumah, baginda menawarkan bantal untuk Adi duduk di atasnya. Manakala Rasulullah SAW duduk di atas tanah kerana hanya terdapat satu bantal sahaja di rumah baginda. Maka, Adi berkata di dalam hati, “Demi Allah, ini bukan kebiasaan seorang raja”.
Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada Adi, “Bukankah engkau seorang Rakusyi, yang menganut dua agama sekaligus iaitu Nasrani dan Saba’iy?” Adi menjawab, “Benar”. Rasulullah SAW bertanya lagi, “Bukankah engkau mewajibkan rakyatmu mirba’ (cukai) sehingga engkau mengambil sesuatu yang tidak dibenarkan oleh agamamu sendiri?” Maka Adi menjawab, “Benar”. Pada ketika itu, Adi yakin bahawa Rasulullah SAW benar-benar seorang Nabi kerana baginda mengetahui perkara yang tidak diketahui oleh manusia biasa.
Kemudian baginda berkata, “Wahai Adi, barangkali alasan yang menghalangimu masuk Islam adalah kerana engkau melihat keadaan kaum muslimin yang lemah dan miskin. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan menyaksikan bagaimana mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah sehingga tiada sesiapa akan mengambil harta jika diberi.
Atau barangkali alasan yang menghalangimu memeluk Islam adalah kerana engkau melihat bilangan kaum muslimin yang sedikit, sedangkan bilangan musuh ramai. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan mendengar seorang wanita dari Qadisiyyah pergi menuju Ka’bah sendirian tanpa berasa takut kepada sesiapapun kecuali Allah.
Atau barangkali alasan yang menghalangimu memeluk Islam adalah kerana engkau melihat kekuasaan dan kekuatan dunia berada pada tangan musuh. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan mendengar istana-istana putih di negeri Babil jatuh ke tangan kaum muslimin dan harta-harta khazanah Kisra bin Hurmuz menjadi milik mereka”.
Mendengar ucapan Rasulullah SAW tersebut, Adi bin Hatim mengucapkan syahadah dan memeluk Islam.
Adi Bin Hatim Selepas Memeluk Islam
Selepas memeluk Islam, Adi mewarisi sifat kedermawanan ayahnya, tetapi dengan tujuan meraih keredhaan Allah SWT. Beliau juga dikenali dengan peribadi yang sangat mencintai solat dan sentiasa berada di masjid sebelum azan dilaungkan.
Setelah Rasulullah SAW wafat, ramai dari kalangan kaumnya murtad tetapi beliau kekal beriman. Malah, beliau juga menyeru kaumnya dan kaum Bani Jadilah untuk kembali beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Diriwayatkan bahawa seramai 1500 orang kembali ke pangkuan Islam dan bergabung dengan pasukan kaum muslimin yang dipimpin oleh Khalid al-Walid untuk memerangi golongan murtad.
Wafatnya Adi Bin Hatim
Adi Bin Hatim dikurniakan umur yang panjang. Beliau wafat ketika berusia 120 tahun pada tahun 67 Hijrah di Kufah.
Dalil Yang Berkaitan Dengan Adi Bin Hatim
Dalam peristiwa pengislaman Adi Bin Hatim, Rasulullah SAW telah mengucapkan tiga janji berkenaan keadaan kaum muslimin.
قَالَ عَدِيٌّ فَرَأَيْتُ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْكَعْبَةِ، لاَ تَخَافُ إِلاَّ اللَّهَ، وَكُنْتُ فِيمَنِ افْتَتَحَ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ، وَلَئِنْ طَالَتْ بِكُمْ حَيَاةٌ لَتَرَوُنَّ مَا قَالَ النَّبِيُّ أَبُو الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم” يُخْرِجُ مِلْءَ كَفِّهِ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ، يَطْلُبُ مَنْ يَقْبَلُهُ مِنْهُ، فَلاَ يَجِدُ أَحَدًا يَقْبَلُهُ مِنْهُ”.
Maksudnya: Berkata Adi, “Aku telah melihat seorang wanita menunggang untanya dari Al-Hira sehingga dia melakukan tawaf di Ka’bah tanpa merasa takut kepada sesiapa melainkan Allah. Dan aku termasuk orang yang membuka (menakluk) khazanah Kisra bin Hurmuz. Jika umurmu panjang, kamu akan melihat apa yang Nabi Abu al-Qasim (Rasulullah SAW) telah bersabda, (iaitu) seseorang akan keluar dengan segenggam daripada emas atau perak dan pergi mencari orang untuk menerimanya, tetapi tidak akan mendapati seorang pun yang menerima daripadanya”.(Hadith Riwayat Bukhari)
Hadith tersebut menunjukkan bahawa dua daripada tiga janji Rasulullah SAW telah terjadi dan disaksikan sendiri oleh Adi bin Hatim, berkat umurnya yang panjang. Adi juga menunjukkan keyakinannya yang kuat terhadap kebenaran janji yang ketiga. Diriwayatkan bahawa janji Rasulullah SAW yang ketiga berlaku pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Pada zaman tersebut, kekayaan kaum muslimin melimpah ruah sehingga umat Islam tidak dibenarkan membayar zakat, kerana sukarnya untuk mencari penerima zakat.
Kisah ini mengajarkan kepada kita agar sentiasa yakin dengan janji Allah SWT dan RasulNya. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Rum ayat 47 yang bemaksud, “Dan merupakan hak kami untuk menolong orang-orang yang beriman”. Justeru, tidak kira betapa peritnya kehidupan kita di dunia, pasti akan ada pertolongan dariNya.
Sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain:
Rujukan
- Dr. Abdurrahman Ra’fat a-Basya. 2005. 65 Manusia Langit: Perjalanan Hidup Sahabat Rasulullah SAW. Jakarta: Senayan Abadi Publishing.
- Hepi Andi Bastoni. 2012. 100 Tokoh Dalam Dakapan Rasulullah SAW. Selangor: Kemilau Publika Sdn Bhd.
- Sunnah.com. Sahih al-Bukhari: Virtues and Merits of the Prophet (pbuh) and his Companions.