Skip to content

15 Kelebihan Hari Jumaat Yang Anda Perlu Tahu

kelebihan hari jumaat

Apakah kelebihan hari Jumaat yang perlu anda tahu? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan kelebihan-kelebihan hari Jumaat berdasarkan huraian dari nas Al-Quran dan Hadis sahih sebagai panduan bersama.

Pendahuluan

Setahun ada 365 hari, setahun ada 12 bulan, sebulan ada 30 hari, dan seminggu ada 7 hari. Itu adalah ilmu pengetahuan asas yang kita faham tentang kitaran tarikh dan hari dalam kehidupan.

Masyarakat Arab menyebut hari Ahad ialah Yaumul Ahad (Ahad) Yaumul Itsnaini (Isnin), yaumuts Tsulasa’ (Selasa) yaumul Arbi’aa (Rabu), yaumul Khamsa (Khamis), yaumul Arubah (Jumaat). Dalam kalendar hijrah, hari Ahad merupakan hari yang pertama manakala dalam kalendar Masihi pula hari isnin dikira sebagai hari yang pertama.

Dalam Islam, hari yang menjadi penghulu segala hari adalah Jumaat. Banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang menarik dan sudah tentu keistimewaannya sangat banyak khusus kepada umat Islam.

Kelebihan Hari Jumaat

1. Dianggap sebagai hari yang paling mulia

Abu Hurairah RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam AS diciptakan, pada hari ini (Adam AS) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Banyak peristiswa-peristiwa sirah Islam berlaku pada hari Jumaat. Selain dari kisah Nabi Adam AS dan Hawa, kita juga boleh mengambil ikhtibar dari perang badar (Jumaat, 2 Ramadan), pertempuran Nabi Musa dan Firaun, dan Nuzul Al-Quran.  

2. Hari bagi kaum muslimin

Tiada hari yang paling dinanti oleh kaum muslimin selain hari Jumaat. Saat itu banyak amalan-amalan yang digalakkan untuk dibuat akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Contohnya seperti mandi sunat, membaca Surah Al-Kahfi, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, dan mendirikan solat Jumaat.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”- (Surah Al-Jumaah, Ayat 9)

3. Penghulu segala hari

Jumaat adalah hari yang Allah hadiahkan kepada umat Islam. Pernah satu ketika Bani Israel meminta daripada Nabi Musa satu hari untuk mereka berehat dan menumpukan pada amal ibadah. Lalu Nabi Musa mencadangkan mereka memilih Jumaat tetapi orang Yahudi menolaknya dan memilih Sabtu.

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir R.A berkata, Rasululullah SAW berkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” – (Hadia Riwayat Ahmad)

4. Dikenali sebagai hari kebesaran mingguan

Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.”- (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jika dilihat dengan pancaindera yang jernih, bermula dari awal pagi lagi kita sudah diberikan panduan untuk memulakan hari Jumaat yang berkat dengan amalan-amakan sunatnya seperti mandi sunat, memotong kuku, memakai wanigan, memakai pakaian yang bersih dan cantik, berselawat, datang awal ke masjid, dan tunaikan solat Jumaat.

5. Semua kaum muslimin berhimpun bagi solat Jumaat

Hari Jumaat dalam bahasa Arab dipanggil “Jumu’ah”. Ia berasal daripada perkataan “jama’a”, bermaksud ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, keupayaan, dan kemampuan.

Semuanya dipandang sama rata kerana setiap orang akan tunduk dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa untuk meminta keampunan dan keredhaan Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

6. Banyak malaikat turun ke bumi

Malaikat akan turun ke bumi untuk mencatat amalan manusia di dunia termasuklah ketika solat Jumaat. Namun, setelah imam naik ke mimbar, malaikat akan menutup buku catatannya dan ikut serta untuk mendengar khutbah.

Oleh kerana itu, sesiapa yang suka datang lewat ke masjid sehingga imam sudah membacakan khutbah, amalannya tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke arasy untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata:

“Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat Ku, demi kemuliaan dan kebesaran Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

7. Sesiapa yang berdoa maka akan dikabulkan

Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” – (Hadis Riwayat Tarmizi).

Rasulullah SAW yang maksum itu pun menadah tangan dan berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT. Sedangkan kita yang tidak ada apa-apa keistimewaan masih berlagak sombong tidak mahu berdoa. Ingatlah sejauh mana kita berjalan di dunia ini, kita tetap akan kembali semula pada Pencipta yang abadi.

8. Dihapuskan segala dosa

Fitrah manusia tidak terlepas dari melakukan dosa. Dan sebaik-baik manusia adalah yang menyesali perbuatan salahnya lalau kembali bertaubat kepada Allah SWT dan menjadi individu yang lebih baik dari sebelumnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar”- (Hadis Riwayat Muslim)

9. Hari meraih pahala

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Ganjaran bagi segala kebajikan digandakan pada hari Juma’at”.  – (Hadis Riwayat ath-Thabarani)

Oleh itu berikanlah fokus dan perhatian seratus pertus pada ibadah ketika hari Jumaat. Kerana sahih ia menjanjikan banyak pahala.

10. Hari lebih utama untuk bersedekah

Sedekah diambil daripada perkataan (Bahasa Arab: صدقة‎) yang bermaksud benar.

Makna syara’ “sedekah” pula adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Baik pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, maupun untuk kepentingan jihad fi sabilillah.

Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama bersedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya.”

11. Mendapat hidayah berlipat kali ganda

Setiap orang pasti ingin diberikan taufiq dan hidayah dalam kehidupan. Taufiq bermaksud hidayah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap mukallaf berupa kecerdasasan akal dan sejumlah pengetahuan asas. Manakala hidayah pula adalah hidayah Allah SWT yang diberikan kepada semua manusia yang dapat membawanya kepada kebahagiaan. Kedua-duanya ini membantu sebagai jalan penerang kepada umat manusia mendapat petunjuk ke jalan yang benar.

Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda;

“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), esok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.” – (Hadis Riwayat Muslim)

12. Meninggal pada hari Jumaat tanda husnul khatimah

Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” – (Hadis Riwayat. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).

Jelas ini menunjukkan mana-mana orang muslimin yang meninggal pada hari mulia Jumaat akan menyelamatkannya dari seksa dan azab kubur. Justeru, ia juga menunjukkan tanda kematian yang baik atau husnul khatimah.

13. Terselamat dari seksa kubur

Dua perkara yang sangat ditakuti oleh muslimin ketika sudah meninggal dunia adalah himpitan kubur dan azab kubur. Himpitan kubur berlaku pada saat awal sebelum liang lahad ditutup dan hampir semua manusia akan melaluinya kecuali Nabi serta Rasul.

Manakala bagi azab kubur pula adalah proses di mana segala amalan baik dan buruk mendapat balasan dalam kubur.

Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah kubur.” – (Hadis Riwayat Tarmizi)

14. Peristiwa berlakunya kiamat

Beriman dengan hari Kiamat adalah termasuk di dalam rukun-rukun Iman yang perlu dipercayai dan diyakini dengan sepenuh hati. Kiamat adalah peristiwa kehancuran alam ini dan seterusnya menuju kepada hari kebangkitan dan pengadilan di padang mahsyar.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

15. Dapat melihat Allah SWT di syurga

Firman Allah SWT;

Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).” – (Surah Al-Jumuaah, Ayat 35)

Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas : “Dan Kami memiliki pertambahannya’; Beliau mengatakan; “Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”

Melihat Allah SWT adalah satu nikmat yang sangat besar. Keyakinan pada Nya akan menjadikan manusia lebih bersyukur dengan kehidupan di dunia ini lantas bersedia dengan bekal amal untuk akhirat juga.

Kesimpulan

Ambilkan hikmah dan kebaikan pada hari Jumaat dengan merindui kedatangannya dan merebut kebaikan sepanjang harinya. Diharapkan artikel tentang kelebihan hari Jumaat ini dapat memberikan anda pengetahuan dan informasi yang berguna.

Kelebihan Amalan yang lain

Kelebihan IstighfarKelebihan Selawat
Kelebihan SedekahKelebihan Solat Tahajjud
Kelebihan Hari JumaatKelebihan Lailatul Qadar
Kelebihan Puasa Bulan RejabKelebihan Malam Nisfu Syaban
Kelebihan Puasa EnamKelebihan Solat Tarawih
Kelebihan Sujud SyukutKelebihan Membaca Quran

Rujukan

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-365: Hari Jumaat Penghulu Kepada Segala Hari, (April 2019). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
  2. 15 Kelebihan Hari Jumaat (2017), Solusi Anak Muda. Laman web Solusi Anak Muda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 3 =