Al-Quran merupakan kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan ia ditulis di dalam mushaf serta diriwayatkan kepada kita dengan tartil. Al-Quran juga merupakan pedoman untuk manusia di muka bumi ini bagi membuktikan kewujudan pencipta dan kerasulanNya yang mana ia dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas dan membacanya merupakan ibadah.
Sejarah Penurunan Al-Quran
Dalam sejarah penurunan al-Quran, terdapat beberapa pendapat ulama yang menyatakan antara al-Quran diturunkan secara sekaligus atau berperingkat. Antara pandangan berkaitan penurunan al-Quran ialah :
1. Penurunan Al-Quran dari Allah SWT ke Luh Mahfuz
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan bertujuan untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT. Para malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan Allah SWT di Luh Mahfuz pasti akan berlaku seperti dalam firmanNya :
بَلۡ هُوَ قُرۡءَانٞ مَّجِيدٞ (٢١) فِي لَوۡحٖ مَّحۡفُوظِۢ (٢٢)
Maksudnya : “(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya (21) (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz. (22)” (Al-Buruj : 21-22)
2. Dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di Langit Dunia
Penurunan ini berlaku secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia pada Lailatul Qadr sebagaimana firman Allah SWT :
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ (١٨٥)
Maksudnya : “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah : 185)
3. Dari Baitul Izzah kepada Rasulullah SAW
Penurunan al-Quran dari Baitul Izzah kepada Rasulullah SAW berlaku secara beransur-ansur atau berperingkat melalui perantaraan Malaikat Jibril. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW telah dijelaskan dalam firmanNya :
وَقُرۡءَانٗا فَرَقۡنَٰهُ لِتَقۡرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكۡثٖ وَنَزَّلۡنَٰهُ تَنزِيلٗا (١٠٦)
Maksudnya : “Dan Al Quran itu telah Kami turunkan dengan berangsur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.” (Al-Furqan : 106)
Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur berlaku dalam masa lebih kurang 23 tahun. Al-Quran diturunkan sejak Baginda dilantik menjadi Rasulullah dan selesai apabila Baginda hampir wafat. Namun begitu, pendapat lain menyatakan dalam sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya : “Al-Quran diturunkan sekaligus oleh Allah SWT ke langit dunia pada malam Lailatul Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun” (HR Ibn Abbas)
Walaubagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat bahawa penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat dan bukan melalui Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan kepada Rasulullah SAW.
Cara Penurunan Al-Quran
Terdapat beberapa cara bagaimana Al-quran diturunkan kepada Nabi SAW
1. Melalui mimpi
Rasulullah SAW mendapatkan wahyu melalui mimpi yang benar yang mana Malaikit Jibril memasukkan ahyu tersebut ke dalam hati Baginda. Rasulullah SAW tidak merasakan atau melihat apa pun, tetapi hanya Baginda sudah merasakan wahyu tersebut berada di dalam hatinya seperti firman Allah SAW :
۞وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ ٱللَّهُ إِلَّا وَحۡيًا أَوۡ مِن وَرَآيِٕ حِجَابٍ أَوۡ يُرۡسِلَ رَسُولٗا فَيُوحِيَ بِإِذۡنِهِۦ مَا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ عَلِيٌّ حَكِيمٞ (٥١)
Maksudnya : “Dan tidak mungkin bagi seorang manusiapun bahwa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau dibelakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.” (Syura : 51)
2. Bunyi Loceng
Rasulullah juga mendapatkan wahyu melalui bunyi loceng yang mana amat berat dirasakan Baginda sehingga Baginda berpeluh-peluh walaupun pada ketika itu musim sejuk seperti sabda Rasulullah SAW :
”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan gema (desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-Ku.”
3. Rasulullah SAW Melihat Malaikat Jibril
Ketika Rasulullah SAW menerima wahyu, Malaikat Jibril telah melihatkan dirinya kepada Rasulullah SAW dalam rupa yang sebenar sebagaimana firman Allah SWT :
وَلَقَدۡ رَءَاهُ نَزۡلَةً أُخۡرَىٰ (١٣) عِندَ سِدۡرَةِ ٱلۡمُنتَهَىٰ (١٤)
Maksudnya “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain (13) (iaitu) di Sidratil Muntaha. (14)” (An-Najm : 13-14)
Hikmah Penurunan Al-Quran Secara Beransur-Ansur
1. Menetapkan Dan Meneguhkan Hati Rasulullah SAW
Penurunan al-Quran secara beransur-ansur meneguhkan hati Rasulullah SAW yang selari dengan penyebaran dakwah Rasulullah SAW pada awal menjadi Rasul. Sepanjang Rasulullah menyebar dakwah, pelbagai rintangan yang perlu dihadapi, menguji kesabaran serta menguji keteguhan hati Baginda. Justeru itu, penurunan al-Quran secara beransur memberikan keteguhan hati Rasulullah untuk menghadapi suka dan duka dalam berdakwah seperti dalam firmanNya :
وَكُلّٗا نَّقُصُّ عَلَيۡكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِۦ فُؤَادَكَۚ وَجَآءَكَ فِي هَٰذِهِ ٱلۡحَقُّ وَمَوۡعِظَةٞ وَذِكۡرَىٰ لِلۡمُؤۡمِنِينَ ١٢٠
Maksudnya : “Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.” (Hud : 120)
2. Penurunan Ayat-Ayat Selaras Dengan Peristiwa
Penurunan ayat-ayat al-Quran secara beransur adalah selaras dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku kerana setiap peristiwa yang berlaku pastinya memerlukan jawapan yang berbeza sebagai panduan, nasihat dan sebagainya. Antara ciri-ciri peristiwa yang berkaitan ialah hukum-hakam sesuatu perkara, penjelasan untuk masalah yang mengelirukan, panduan semasa peperangan, menjawab persoalan-persoalan kaum musyrikin dan sebagainya.
3. Mudah Dihafaz Dan Difahami
Penurunan al-Quran secara beransur juga memudahkan umat Muslim untuk menghafaz ayat-ayatnya kerana kedatangan Islam pada awalnya ditentang orang kafir dan kaum Muslim pada waktu itu terpaksa menerima ajaran Islam secara senyap-senyap. Selain itu, bahan untuk penulisan juga susah didapati pada ketika itu serta tidak semua tahu menulis dan ada juga yang masih buta huruf. Maka, penurunannya secara beransur membantu umat Muslim menghafaz mengguna daya ingatan sedikit demi sedikit.
Rujukan
- Abd Jalal Abd Manaf, Shamsul Dahari D. dan Dr. Mohamad Marzuqi. (2015). “Keberkesanan Kaedah Kefahaman Makna Ayat Al-Quran”. Jurnal Darul Quran.Bil.19.
- Mohd Haidhir Md Yusof. “Al-Quran : Muqaddimah Dan Sejarah”
- Panduan Rasmi :Pengenalan Al-Quran PDF (moha)
- Pengertian Dan Konsep Al-Quran PDF (studentrepoy)