Skip to content

Rukun Solat Berserta Huraian Lengkap (Panduan Rumi)

rukun solat

Apakah rukun solat dan apa yang ada di dalamnya?

Artikel ini akan membincangkan berkenaan rukun solat, perkara yang membatalkan solat, perkara sunat dan juga perkara makruh di dalam solat.

Isi Kandungan
  1. Pengertian Rukun
  2. Rukun-rukun solat
  3. Perkara yang membatalkan solat
  4. Perkara Sunat di dalam solat
  5. Perkara Makruh di dalam solat

Pengertian Rukun

Rukun adalah bahagian asas dalam sesuatu perkara. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya seperti bacaan surah al-fatihah, ruku’ dan sujud.

Kita wajib menyempurnakan rukun-rukun ini seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana yang diturunkan melalui Malaikat Jibril.  

Daripada Malik bin Huwairith RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat. (Riwayat al-Bukhari)

Rukun-rukun Solat

Pendapat yang rajih dalam mazhab syafi’e terdapat 13 bahagian solat yang menjadi rukun. Solat tidak sah jika meninggalkan salah satu daripadanya. 13 rukun solat tersebut adalah: 


1. Niat

Niat adalah mengingati tujuan sesuatu perkara ketika mula melakukannya. Seperti mafhum hadis, amalan dihitung berdasarkan niat, setiap orang akan dihitung amalan dia berdasarkan apa yang dia niatkan. Niat bukan lintasan hati tetapi tujuan. Sebab itu di hadis disebutkan setiap amalan bukan setiap ibadat.

Adakah kita melakukan lintasan hati ketika sedang membuka kunci pintu rumah? Sudah tentu tidak. kita sudah ketahui tujuan membuka kunci pintu adalah untuk memasuki rumah. Begitulah jua dengan solat. 

Sebahagian ulama membahagikan niat kepada 3 perkara

  1. Qasad (قصد) iaitu tujuan
  2. Ta’arud (تعرض) iaitu niat bersama sewaktu mengangkat takbir
  3. Ta’yin (تعيين) iaitu menentukan waktu solat 

Lafaz niat solat adalah tidak wajib tetapi disunatkan oleh sebahagian ulama mazhab syafi’e


2. Berdiri Sekiranya Mampu Bagi Solat Fardu

Wajib berdiri bagi mereka yang mampu melakukannya. Berdasarkan hadis:

صلِّ قائمًا، فإن لم تستطع فقاعدًا، فإن لم تستطع فعلى جنبٍ

Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk, jika tidak mampu lakukanlah secara mengiring (Riwayat al-Bukhari)

Katakanlah, sekiranya dia tengah solat fardu dalam keadaaan duduk pada rakaat pertama kerana sakit, tiba-tiba pada rakaat kedua dia berasa larat untuk berdiri maka wajib bagi dia untuk berdiri. Manakala bagi solat sunat dibenarkan untuk duduk walaupun tidak uzur.

Seperti contoh bagi sesiapa yang lenguh kaki dalam solat terawih 20 rakaat. Namun demikian, pahala orang yang solat duduk adalah separuh daripada yang berdiri berdasarkan hadis Nabi ﷺ bersabda: 

مَن صلَّى قائمًا فهو أفضلُ، ومَن صلَّى قاعدًا فله نصفُ أجرِ القائمِ، ومَن صلَّى نائمًا فله نصفُ أجرِ القاعدِ

Makudnya: Siapa solat berdiri maka itu lebih baik, siapa solat duduk baginya separuh daripada orang berdiri, siapa solat dalam keadaan baring maka baginya separuh daripada orang duduk. (Riwayat al-Bukhari)


3. Takbiratul Ihram

Yang dimaksudkan dengan takbir adalah sebutan bukan mengangkat tangan. Takbir mestilah dengan lafaz Allahuakbar (الله أكبر  ). Manakala mengangkat tangan adalah sunnah disisi majoriti ulama. 

Syarat Takbiratul Ihram

  1. Melafazkan takbiratul ihram setelah berdiri
  2. Bertakbir dalam keadaan menghadap kiblat
  3. Bertakbir dalam Bahasa Arab
  4. Mendengar semua huruf dan sebutan takbiratul ihram yang diucapkannya sendiri jika pendengarannya baik
  5. Bertakbir beserta niat

Posisi Mengangkat Tangan

Dalam isu ini ada beberapa riwayat. Antaranya: 

a) Tangan separas bahu

Ia adalah berdasarkan dalil: 

أَنَّ عبداللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ فِي الصَّلاَةِ، فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ حَتَّى يَجْعَلَهُمَا حَذْوَ مَنْكِبَيْه

Maksudnya: Aku telah melihat Nabi SAW membuka takbir di dalam solat (iaitu memulakan solat dengan bertakbir), dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. (Riwayat al-Bukhari)

b) Tangan sejajar dengan cuping telinga

Ia adalah berdasarkan dalil:

…أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika bertakbir, mengangkat kedua tangannya sehingga bersetentang dengan cuping telinga…
(Riwayat Muslim)

Berdasarkan dua hadis di atas, kedua-dua amalan tersebut adalah sunnah yang dilakukan oleh Baginda Nabi ﷺ dan kita boleh memilih mana satu untuk diamalkan.


4. Membaca Surah Al-Fatihah

Hukum membaca al-Fatihah adalah rukun bagi setiap rakaat tidak kira apa jenis solat. Hal ini bersandarkan daripada hadis Nabi ﷺ yang menyebut:

لا صلاةَ لِمَن لم يقرَأْ بفاتحةِ الكتابِ

Maksudnya: Tidak sah solat orang yang tidak membaca fatihah (Riwayat al-Bukhari)

Syarat Sah Fatihah

  1. Mendengar bacaannya sendiri. Bukan dibaca di dalam hati
  2. Membaca urutan ayatnya yang sebenar
  3. Tidak melalukan kesalahan bacaan yang membawa kepada perubahan makna. Namun, Fatihah tidak batal sekiranya kesalahan yang tidak memberi kesan kepada ketepatan maknanya
  4. Bacaan Fatihah mestilah dalam bahasa arab
  5. Membaca Fatihah ketika berdiri. Sekiranya dihabiskan sewaktu ruku’ bacaan tersebut batal dan hendaklah mengulanginya semula

Membaca Bismillah 

Hukum membaca Bismillah adalah wajib di sisi mazhab Syafi’e dan tidak sunnah bagi pandangan mazhab Malik. 

Majoriti Ulama: Sunnah dibaca secara Sirr (perlahan)

Mazhab Syafi’e: Sunnah dibaca secara Jahr (kuat)

Oleh yang demikian jangan berasa hairan sekiranya kita mendengar sebahagian imam membaca bismillah secara perlahan tidak seperti kelaziman di negara kita yang membaca bismillah secara Jahr


5. Ruku’

Ruku’ di sisi syara’ ialah membongkok sekadar dua tapak tangannya sampai kepada dua lututnya. Ruku’ yang sempurna adalah membongkok sehingga belakangnnya sama rata secara mendatar.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا

Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang). (Al-Hajj: 77)

Orang yang ruku’ mestilah tetap seketika (الطمأنينة) sekurang-kurangnya membongkok dengan tetap sekadar masa sekali tasbih. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:

حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعاً

Maksudnya: Hingga engkau tetap dalam keadaan ruku’ (Riwayat al-Bukhari)


6. I’tidal Selepas Ruku

I’tidal adalah berdiri tegak setelah ruku’. I’tidal haruslah tetap seketika sekadar masa sekali tasbih. 

وكان إذا رفع رأسه من الركوع لم يسجد حتى يستوي قائما

Maksudnya: Apabila mengangkat kepalanya daripada ruku’, Baginda tidak sujud sehingga telah berdiri tegak (Hadis Aisyah Riwayat Muslim) 


7. Sujud Sebanyak Dua Kali Pada Setiap Rakaat

Sujud ialah dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan tempat sujudnya.

Syarat Sujud 

1. Melakukan sujud dengan tujuh anggota badan. Hal ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ: 

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ

Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi( sambal baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut, dan hujung kedua-dua belah kiri. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Tetap ketika semasa sujud 


8. Duduk Antara Dua Sujud

Duduk antara dua sujud adalah duduk sebentar selepas sujud pertama sebelum melakukan sujud kedua.

Duduk ini dilakukan secara iftirasy iaitu seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.


9. Duduk Tahiyat Akhir

Duduk tahiyat ialah duduk yang akhir sebelum memberi salam. Duduk ini dilakukan secara tawarruk yang bermaksud seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat.

Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.


10. Membaca Tahiyat Akhir

Tahiyat akhir dibaca pada duduk tahiyat akhir. Bacaannya sama dengan tasyahud awal cuma ditambah selawat nabi. 

Lafaz tasyahhud:  

التَّحِيَّاتُ المبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ لِلَّهِ الطَيبَاتُ الله السَّلَامُ عَلَيْكَ أيُّها النبيُّ ورَحْمَةُ اللهِ وبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وعلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ، أشْهَدُ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأَشْهَدُ أنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ ورَسولُهُ

Maksudnya: Segala penghratan yang suci, segala penghormatan yang baik hanya bagi Allah SWT, selamat sejahtera ke atasmu wahai Nabi, begitu juga rahmat Allah SWT dan keberkatan-Nya. Selamat sejahtera ke atas kami dan semua hamba Allah yang soleh. Aku jadi saksi bahawa tiada tuhan yang sebenar-benarnya selain Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhamad pesuruh Allah. 


11. Berselawat Ke Atas Nabi ﷺ Selepas Tasyahhud Akhir

Selawat ke atas nabi adalah rukun selepas membaca tasyahhud akhir. Sekurang-kurangnya lafaz selawat ke atas Nabi ﷺ ialah:

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: ya Allah, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW

Manakala selawat ibrahimiah pulah adalah Sunnah pada majoriti ulama.


12. Memberi Salam Yang Pertama

Memberi salam adalah penutup solat yang diucapkan dengan lafaz (السلام عليكم ورحمة الله )  sambil berpaling ke kanannya. Sabda Rasulullah ﷺ:

وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ 

Maksudnya: Ihramnya takbir dan yang menghalalkannya salam (Riwayat Abu Daud)


13. Melakukan Semua Rukun Mengikut Urutan (تَرتِيب  ) 

Urutan solat bermula dari niat dan takbiratul ihram kemudian membaca al-Fatihah, ruku’, sujud, dan seterusnya. Solat seseorang akan batal sekiranya dia mendahulukan sesetengah rukun solat tersebut daripada urutan asalnya. Tetapi sekiranya tidak disengajakan dia wajib mengulangi rukun solat tersebut dan rakaat yang rosak sebelumnya.  

Perkara Yang Membatalkan Solat

Solat akan batal apabila melakukan salah satu daripada perbuatan di bawah:

1. Berkata-Kata

Kata-kata yang dimaksudkan adalah selain al-Quran, zikir dan doa. Solat seseorang batal apabila dia mengucapkan kata-kata yang mengandungi dua huruf dan lebih.

2. Melakukan Pergerakan Yang Banyak

Perbuatan yang bercanggah dengan solat dengan syarat dia banyak dan berturutan. Mazhab syafie menghadkan sebanyak 3 pergerakan (pukulan dan langkah). Adapun pergerakan yang sedikit seperti jari tidak lah membatalkan solat. Berturutan pula dilihat oleh kebiasaan setempat sama ada pergerakan tersebut masih dipandang bahawasanya dia masih bersolat atau tidak.

3. Terkena Najis Pada Pakaian Atau Badan

Solat dianggap batal sekiranya najis tidak dibuang dengan segera apabila mengenai mana-mana bahagian pakaian atau badan orang yang bersolat. Jika najis tersebut dapat dibuang dengan segera atau ditiup angin maka tidak batal,

4. Terbuka Aurat

Apabila seseorang itu sengaja membuka sempadan auratnya ketika solat, maka batallah solat tersebut. Tetapi sekiranya tidak disengajakan, solatnya tidak batal tetapi haruslah ditutupi dengan kadar yang segera.

5. Makan atau Minum

Makan dan minum adalah bertentangan dengan peraturan solat. Ulama fiqh menganggarkan kadar makanan tersebut sekurang-kurangnnya tertelan sebiji kacang putih. Menelan sisa-sisa makanan yang terlekat di celah gigi juga membatalkan solat

6. Berhadas Sebelum Salam Yang Pertama

Salah satu syarat sah solat adalah suci daripada hadas. Justeru itu sekiranya didatangi hadas sengaja ataupun terlupa maka batallah solat seperti kentut, atau terkeluar air kencing walau sedikit.

7. Berubah Niat

Solat tidak sah melainkan dengan niat. Jadi solatnya akan terus batal apabila membuat keputusan untuk keluar daripada solat kerana sesuatu urusan seperti didatangi tetamu atau sebagainya.

8. Membelakangi Kiblat

Menghadap kiblat merupakan syarat asas solat. Apabila membelakangi kiblat secara sengaja akan membatalkan solat seseorang itu serta merta. Manakala dalam keadaan terpaksa solat itu tidak batal kecuali jika dia terus membelakanginya tanpa segera menghadap kiblat.

9. Berdehem, Tertawa, Menangis Dan Mengerang

Jika terkeluar dengan jelas bunyi dua huruf daripada empat perbuatan tersebut solat seseorang itu dianggap batal. Tetapi sekiranya dilakukan kerana terdesak seperti batuk secara tiba-tiba maka solatnya tidak batal.

Dalam mazhab syafie, berdehem bagi membetulkan suara hanya dibenarkan dalam perbuatan rukun seperti membaca al-Fatihah. 

Perkara Sunat Dalam Solat

Sunat adalah perbuatan yang dituntut melakukannya tanpa kemestian. Antara perbuatan yang boleh dilakukan di dalam solat adalah: 

1. Memandang Ke Tepat Sujud

Sunat untuk terus menumpukan pandangan kepada tempat sujud kecuali ketika tasyahhud. Ketika ini hendaklah memandang jari telunjuk yang menjadi isyarat ketika tasyahhud.

2. Membaca Doa Iftitah

Sunat memulakan solat selepas takbir yang pertama dengan bacaan doa iftitah sama ada menjadi imam atau makmum. Tetapi bacaan ini tidak disunatkan apabila dibimbangi akan berakhirnya waktu solat kerana kesuntukan masa.

Antara doa iftitah yang diajar oleh Baginda Nabi ﷺ adalah:

Bacaan pertama: 

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku dengan kesalahanku, sebagaimana Engkau telah jauhkan antara Timur dan Barat. Ya Allah, sucikanlah aku daripada kesalahan, sebagaimana Engkau mensucikan salju putih daripada kotoran. Ya Allah, bersihkanlah kesalahanku dengan air, salju dan embun (Riwayat al-Bukhari, no 744)

Bacaan Kedua

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، تَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Maha suci Engkau, ya Allah. Ku sucikan nama-Mu dengan memuji-Mu. Nama-Mu penuh keberkatan. Maha Tinggi Engkau. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau”(Riwayat Muslim, no 52)

Bacaan Ketiga

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha Suci Allah, baik waktu pagi dan petang (Riwayat Muslim, no 150)

Bacaan Keempat

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, pujian yang terbaik dan pujian yang penuh keberkatan di dalamnya”(Riwayat Muslim, no 129)

3. Menyaringkan Bacaan Dan Memperlahankan Pada Tempat-Tempatnya

Sunat bagi imam atau yang bersolat sendirian bagi menguatkan bacaan ketika solat subuh, dua rakaat yang pertama solat maghrib, Isya, solat jumaat, dua hari raya, solat gerhana, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadan.

4. Mengucapkan Amin Ketika Selesai Bacaan Al-Fatihah

Hal ini berdasarkan hadis: 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ : آمِينَ ، وَقَالَتِ المَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ : آمِينَ ، فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: apabila seseorang di kalangan kamu mengucapkan amin, para malaikat di langit juga mengucapkan amin. Jika bertepatan keduanya-duanya maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu (Riwayat al-Bukhari)

Manakala jika menjadi makmum hendaklah menunggu imam menyebut Amin terlebih dahulu.

5. Bertasbih Ketika Ruku’ Dan Sujud

Bacaan yang diajar oleh baginda Nabi ﷺ adalah سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ  sewaktu rukuk dan   سُبْحَانَ رَبِّيَ الأعلَى ketika sujud sekurang-kurangnya 3 kali. Namun jika ditambah adalah lebih baik.

Bacaan lain yang boleh dibaca pada waktu ruku’ dan sujud:

Bacaan Pertama

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: Maha suci Engkau tuhan kami, dan segala puji bagi Engkau, ampunkan aku (Riwayat Muslim)

Bacaan Kedua

سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ، ربُّ الملائكةِ والروحِ

Maksudnya: Yang Disanjung, Suci, Tuhan segala Malaikat dan Roh (Riwayat Muslim)

Bacaan Ketiga

سُبْحَانَ ذِي الجَبَرُوتِ وَالمَلَكُوتِ وَالكِبْرِيَاءِ وَالعَظَمَةِ

Maksudnya: Maha suci (Allah) Yang mempunyai keperkasaan dan kerajaan (penuh) serta kesombongan dan keagungan (Riwayat Abu Daud)

6. Berdoa Sebelum Memberi Salam

Salah satu tempat mustajab doa adalah di dalam solat iaitu ketika sujud dan sebelum memberi salam. Baginda Nabi ﷺ mengajarkan doa untuk meminta perlindungan dari azab neraka Jahannam, azab kubur, ujian hidup dan mati, dan fitnah dajjal. Hal ini berdasarkan hadis nabi ﷺ:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِر فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Apabila sesorang daripada kamu selesai tasyahhud akhir, dia hendaklah memohon perlindungan dengan Allah daripada 4 perkara: Daripada azab neraka Jahannam, azab kubur, pancaroba hidup dan mati, dan bencana dajjal (Riwayat Muslim)

7. Khusyu’ Pada Sepanjang Solat

Khusyu’ bukanlah sampai tidak sedar diri dengan keadaan sekeliling. Tetapi yang dimaksudkan adalah kesedaran hati terhadap semua bacaan, zikir dan doa yang diucapkan sambil menghayati ibadah solat kepada Allah.

Semua sunat yang dinyatakan di atas adalah sunat hai’ah yang bermakna sekiranya tertinggal salah satu daripada perkara di atas tidaklah perlu menggantikannya dengan sujud sahwi.

Perkara Makruh Dalam Solat

1. Menolehkan Kepala Ketika Solat Tanpa Keperluan

Perbuatan menoleh boleh menghilangkan khusyu’. Sebaliknya jika dibuat untuk memerhatikan musuh maka tidaklah makruh. Namun tidak mengapa sekiranya melihat melalui jelingan mata sahaja tanpa menoleh

2. Memandang Ke Atas

Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bahawasanya Nabi ﷺ bersabda: 

مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلَاتِهِمْ فَاشْتَدَّ قَوْلُهُ فِي ذَلِكَ حَتَّى قَالَ لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارُهُمْ

Maksudnya: apa halnya orang yang memandang ke atas langit ketika bersolat? Kemudain baginda bersabda lagi: Mereka hendaklah menghentikan perbuatan itu atau penglihatan mereka akan dihapuskan

3. Bersolat berhampiran hidangan yang menyelerakan

Tumpuan solat akan terganggu kerana hidangan tersebut. Hal ini berdasarkan hadis:

 إذا وُضع العَشاءُ، وأقيمت الصلاةُ، فابدؤوا بالعَشاء ولا يعجل حتى يفرغ منه

Maksudnya: Apabila makan malam kamu telah terhidang sedang iqamah solat juga telah selesai, kamu mulakanlah makan dan usahlah tergesa-gesa sehingga kau selesai daripadanya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Bersolat sambil menahan buang air kecil atau besar

Bersolat dalam keadaan menahan membuang hadas sudah tentu menghilangkan khusyu’ dalam solat. Rasulullah ﷺ bersabda:

لا صَلاةَ بحَضرةِ الطَّعامِ، ولا هو يُدافِعُه الأخبثانِ

Maksudnya: Tiada solat di samping makan yang terhidang. Demikian juga orang yang menahan buang air kecil atau air besar. (Riwayat Muslim)

5. Bersolat dalam keadaan sangat mengantuk

Orang yang mengantuk ketika solat mungkin menjejaskan kelancaran bacaannya sehingga melakukan kesilapan. Oleh itu hendaklah dihindarkan rasa mengantuk itu sebelum menunaikan solat. Rasulullah ﷺ bersabda: 

إِذَا نَعَسَ أَحدُكم وهو يُصَلِّي، فَلْيَرْقُدْ حتَّى يَذْهَبَ عَنْه النَّومُ، فإِنَّ أحَدَكُمْ إذَا صَلَّي وهو نَاعِسٌ لا يَدْرِي لعلَّه يَذْهبُ يَسْتَغْفِرُ فَيَسُبَّ نَفْسَه

Maksudnya: Apabila sesorang daripada kamu berasa mengantuk ketika bersolat hendaklah dia tidur sehingga mengantuknya hilang. Ini kerana jika dia terus bersolat dalam keadaan itu, mungkin dai ingin memohon keampunan lalu memaki dirinya sendiri.

Wallahualam.

Rujukan

  1. Al- Fiqh Al-Manhaji Mazhab Al-Syafie
  2. Seminar Sifat Solat Nabi – Dr. Rozaimi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three − 3 =