najis mukhaffafah

Najis Mukhaffafah: Maksud dan Cara Menyucikannya

Apakah itu najis mukhaffafah? Dalam artikel ini kita akan belajar tentang najis yang paling ringan iaitu najis mukhaffafah. Dalam tiga tingkatan najis, ia merupakan yang paling bawah.

Maksud najis

Dari segi bahasa, najis bermakna sesuatu yang menjijikkan. Dari segi syarak pula, semua benda kotor seperti tahi dan sebagainya yang menghalang sahnya ibadat. Contohnya, kalau kita ada najis, tidak sahlah kita bersolat. Kita harus bersihkan najis itu terlebih dahulu, barulah kita boleh solat.

Apa yang keluar daripada qubul dan dubur semuanya najis. Termasuklah batang karang kerana ia keluar sekali dengan air kencing. Dari satu sumber yang sama.

Rasulullah bersabda, “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” (Riwayat Muslim)

Islam sangat menitik beratkan hal-hal yang bersih. Membersihkan diri kita daripada najis dan kekotoran itu merupakan satu perkara yang wajar dan dituntut dalam agama.

Najis mukhaffafah

Najis mukhaffafah ialah najis air kencing bayi lelaki yang belum makan apa-apa kecuali susu ibu sahaja dan dia belum berumur dua tahun. Kriterianya seperti berikut:

  1. Air kencing bayi lelaki
  2. Bayi itu di bawah dua tahun
  3. Bayi itu hanya minum susu ibu sahaja

Perbezaan air kencing bayi lelaki dan bayi perempuan

Air kencing bayi lelaki lebih cair berbanding perempuan.

Air kencing bayi perempuan termasuk dalam najis apa?

Najis mutawassitah, iaitu najis pertengahan antara najis mukhaffafah (ringan) dan najis mughallazah (berat).

Cara Menyucikan Najis Mukhaffafah

Cara untuk menyucikan najis mukhaffafah adalah dengan merenjiskan atau memercikkan air kepada najis tersebut, meratakan air tersebut lalu menghilangkan sifat najis tersebut. Maknanya, najis itu mesti hilang dari segi zatnya, baunya, warnanya, rasanya, dan apa-apa yang melibatkan ciri-ciri najis tersebut. Mudah kata, sampai najis itu hilang.

Daripada Aisyah RA, “Pernah seorang bayi lelaki dibawakan kepada Rasulullah SAW, lalu bayi tersebut kencing di atas bajunya. Baginda kemudiannya meminta air dan melalukan (menuang dan merenjis) tempat najis tersebut dengan air.” (Riwayat Bukhari)

Hadis ini secara jelas memerikan kepada kita cara untuk membersihkan najis bayi lelaki. Cukup dengan merenjiskan pada najis tersebut sehingga hilang sifat-sifat yang ada.

Bentuk najis

Bentuk najis terbahagi kepada dua:

  1. Najis Ainiyah: Najis yang kita nampak bentuknya seperti warnanya
  2. Najis Hukmiyah: Najis yang kita tidak nampak bentuknya

Cara untuk menyucikan najis Ainiyah adalah dengan cara menghilang setiap ciri-cirinya iaitu warna, bau dan rasa. Ketiga-tiga sifat ini harus dihilangkan. Basuhlah tempat yang ada najis itu sehingga hilang ketiga-tiga sifat berkenaan.

Cara untuk menyucikan najis Hukmiyah pula adalah dengan mengalirkan air ke tempat najis tersebut. Lalukan sahaja air sudah memadai.

Dalil-dalil tentang najis

1. Perintah untuk kita bersuci

Allah berfirman dalam Surah al-Mudassir ayat 4:

“Dan bersihkanlah pakaianmu,”

Dalam tafsir Jalalain dan tafsir Quraish Shihab memerikan bahawa ini merupakan perintah Allah bagi kita menyucikan diri kita daripada najis. Bukan setakat itu sahaja, Allah suruh orang orang beriman untuk tidak memakai pakaian yang kainnya terlalu panjang seperti orang Arab dulu-dulu, mereka memakai kain panjang untuk menyombongkan diri.

Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah lalu dua kubur. Lalu baginda bersabda, “Dua orang ini sedang diazah, dan mereka diazab bukan kerana dosa besar. Orang yang pertama diazah kerana berbuat namimah (adu domba). Ada pun yang kedua, ia diazah kerana tidak membersihkan diri daripada sisa kencingnya.” (Riwayat Muslim)

Adu domba itu bermaksud melaga-lagakan manusia. Kedua, ialah orang yang tidak membersihkan sisa kencingnya. Secara umumnya, kencing merupakan jenis juga. Maka, hadis ini hendak mengajarkan untuk membersihkan najis kita.

2. Najis mukhaffafah

Daripada riwayat Abu Samh, “Air kencing bayi perempuan dibasuh dan air kencing bayi lelaki cukup dipercikkan dengan air.” (Riwayat Nasai’ dan Ibnu Majah)

Kesimpulan

Najis mukhaffafah atau najis ringan merupakan najis air kencing bayi lelaki yang belum berumur dua tahun dan dia hanya minum susu ibunya sahaja, belum mampu makan apa-apa lagi. Cara hendak membersihkan najis mukhaffafah ini adalah dengan merenjiskan air ke tempat yang terkena najis sehingga hilang segala sifatnya.

Artikel Berkaitan:

  1. Najis Mughallazah: Maksud dan Cara Menyucikannya
  2. Najis Mutawassitah: Maksud dan Cara Menyucikannya
  3. Taharah: Jenis Air, Jenis Najis dan Cara Untuk Taharah

Rujukan

Syarah Safinah an-Najah oleh Ustaz Muhadir Haji Joll

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × two =

Scroll to Top